27 April 2014 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)
berusia 80 tahun dengan mengambil kira sejarah permulaan kewujudan Pasukan
Simpanan Sukarela Tentera Laut Negeri-negeri Selat. Hari ini kepimpinan TLDM diketuai oleh Tan Seri
Abdul Aziz bin Jaafar selaku Panglima Tentera Laut (PTL) yang ke 15 bersama struktur baharu barisan jemaah
kepimpinan peringkat tertinggi TLDM serta seluruh warga tentera laut yang
digelar navy people seharusnya merasa bangga dengan pencapaian TLDM setakat
ini kerana kecemerlangan yang dicapai hari ini adalah merupakan komitmen dan
kerja kuat secara berpasukan.
Struktur baharu jemaah kepimpinan peringkat tertinggi TLDM
menyaksikan perlantikkan Laksamana Madya Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman
Haji Ahmad Badaruddin Timbalan PTL yang baharu menggantikan Laksamana Madya
Datuk Seri Panglima Mohamed Nordin Ali yang telah menamatkan perkhidmatan.
Beliau mempunyai pengalaman yang sangat luas berasal dari negeri Melaka dan
beliau adalah legasi Laksamana moden yang ke 5 bagi negeri Melaka secara
berturut-turut selepas Laksamana Tan Seri Anwar Mohd Nor, Laksamana Tan Seri
Ramlan Mohamed Ali dan Tan Seri Abdul Aziz bin Jaafar.
TLDM kini diterajui oleh 41 orang
Panglima dengan 6 orang Panglima di peringkat Formasi/Markas, 9 orang Panglima
Komander Pasukan, 8 orang Panglima di
peringkat Asisten Ketua Staf (AKS) yang memikul tanggungjawab mengetuai dalam
perlaksanaan Visi, Misi dan Teras Strategik TLDM sementara yang selebihnya
menjawat jawatan di luar konteks TLDM.
Teras Strategik TLDM menggariskan Teras Strategik pertama adalah
meletakkan keupayaan angkatan dengan menyediakan angkatan laut yang seimbang
dan kredibel, Teras Strategik kedua dengan mensasarkan untuk kecemerlangan
dalam perlaksanaan operasi dan eksesais dan Teras Strategik ketiga ialah
mengeratkan jaringan pertahanan dua hala dan pelbagai hala. Dengan gabungan
visi, misi dan teras strategik ini telah menghasilkan Nilai Teras TLDM bagi
memandu halatuju TLDM ke arah kemuliaan, kesetiaan, keberanian dan kebanggaan.
Dalam keadaan kewangan negara yang amat tidak
memberangsangkan mengikut ‘alasan’ kerajaan untuk perolehan platform baharu dan
perolehan sistem persenjataan kepada kapal-kapal yang sedang ‘berpuas hati’
dengan status fitted for but not with, pihak pengurusan tertinggi TLDM
masih boleh mengagihkan perbelanjaan dan urus tadbir dalam meningkatkan
kesejahteraan kepada warganya dengan menambah baik kemudahan infrastruktur dan
prasarana pangkalan dan Rumah Keluarga di semua Pangkalan TLDM.
Ini sejajar dengan langkah perbelanjaan berhemah yang
diperkenalkan oleh pengurusan tertinggi TLDM sejak tahun 2010 dan berjaya
menjimatkan sebanyak RM 4 juta dan
digunakan untuk menampung kos pembaikan kapal-kapal TLDM dan membiayai
kursus-kursus terutamanya di bawah Program Foreign Military Sales (FMS).
Namun begitu berdasarkan inisiatif utama Pelan Strategik 2013-2020
(PS1320), PTL melalui perutusan ulung menjelang 2014 menegaskan bahawa TLDM
akan terus memantau projek-projek serta program perolehan di bawah dasar sedia
ada dari tahun 2013 untuk memastikan ianya berlangsung mengikut jadual. Projek-projek ini melibatkan pembinaan 2 buah
kapal latihan, projek perolehan 6 buah kapal LCS, perolehan Sistem Pengawasan
Bawah Air untuk Markas Angkatan Kapal Selam (MAKS), pembinaan Pangkalan TLDM
Kota Kinabalu (PTKK), pembinaan
kemudahan latihan yang lengkap bagi anggota PASKAL, melengkapkan semua stesyen
luar pantai TLDM dengan sistem keselamatan bawah air serta sistem radar
permukaan dan proses mengenal pasti lokasi untuk pembinaan Markas Wilayah Laut
4 di Bintulu.
Dalam usaha mempertingkatkan keupayaan armada, TLDM akan
terus berusaha untuk memperolehi 6 buah pesawat helikopter anti kapal selam dan juga pemasangan optical director untuk
skuadron 24 Korvet. Dengan pemilikan dua
buah kapal selam scorpene dalam armada adalah tidak lengkap sesuatu operasi
anti kapal selam jika tidak ada pesawat helikopter yang berkebolehan dalam
peperangan anti kapal selam. Setakat ini
armada TLDM hanya mampu ‘berpuas hati’ dengan menggandingkan aset strategik itu
dengan platfom-platfom permukaan sahaja yang mana semua orang tahu bahawa
gandingan ini tidak memberi jangkauan yang maksima di dalam operasi mencari dan
memusnah yang mana kumpulan search attack unit (SAU) agak sukar untuk tidak
berada di dalam zon bahaya torpedo semasa ‘kelekaan’ memburu musuh bawah
permukaan tersebut kerana kemampuan sonar untuk menjejak dan memastikan ianya HOT
sebilang masa adalah agak sukar. Justeru
peranan tambahan yang boleh dijadikan sandaran tetapi mampu memberi impak
maksima adalah pesawat helikopter ASW yang mempunyai kuasa tempur yang ampuh
dan daya mobiliti yang tinggi .
Sesungguhnya bukan mudah untuk
sesuatu organisasi pertahanan yang besar seperti TLDM untuk membangunkan armada
ke tahap keupayaan operasi jika kerajaan masih bermain ‘tarik tali ‘ dalam
memperuntukkan bajet yang bersesuaian untuk menyempurnakan apa yang diperlukan
oleh TLDM dalam konteks mempertahankan kedaulatan maritim negara.
Keupayaan
operasi pertama semestinya bermula dengan memiliki sejumlah aset dan peralatan
sebagai persiapan ke medan perang yang mana ini adalah tugas hakiki kerajaan
dalam menyediakan semua keperluan yang diperlukan oleh TLDM mengikut
spesifikasi yang TLDM perlukan bukan keperluan yang TLDM terpaksa terima mengikut
percaturan politik sesuatu pihak.
Hakikat ini adalah sangat
bersesuaian dengan maksud firman Allah dalam Surah Al Anfal Ayat 60 yang
berbunyi, “Bersiap sedialah bagi menghadapi mereka (yakni musuh-musuh)
dengan segala kekuatan yang termampu kamu sediakan dari pasukan berkuda yang lengkap sedia untuk
menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh lain selain dari
mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedangkan Allah mengetahui dan apa saja
yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada
kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”.
Sementara keupayaan operasi yang kedua adalah untuk
meletakkan kapabiliti misi ke tahap optima adalah memerlukan aset itu pula
sentiasa berada pada tahap Status Pengoperasian Kategori 1 (CAT 1) dalam semua
aspek teknikal, logistk dan sumber manusia.
Dalam konteks logistik dan teknikal biasanya TLDM selalu terperangkap kepada suatu keadaan yang
menjejaskan keupayaan operasi lantaran kekurangan atau kelambatan alat ganti
yang memberi kesan kepada peroses pembaikan.
Dua keadaan ini menjadikan TLDM berada di dalam keadaan
‘serba salah’ dan jika kepincangan ini tidak diberi suntikan sewajarnya oleh
pihak kerajaan, maka keupayaan operasi sebenar TLDM akan dilihat oleh mata umum sebagai tidak kompeten
sedangkan pada masa yang sama semangat, jati diri, kemahiran dan kepakaran yang
dimiliki oleh navy people berada pada tahap operasional pada sebilang
masa.
Cogan kata ‘SEDIA BERKORBAN’ bukan sekadar slogan yang dilaungkan tetapi
ianya mempunyai roh yang pada mereka membujur lalu melintang patah dan tidak
hairanlah setiap misi yang disertai oleh navy people akan pulang dengan
kejayaan. Antara kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh navy
people dekad ini ialah Ops Fajar, Ops Daulat, Ops Pasir dan lain-lain di
dalam dan di luar negara.
Modal Insan
Anggota dan pegawai TLDM adalah manusia biasa mempunyai
keluarga dan fitrah kehidupan seperti manusia terbanyak. Datang dari pelbagai negeri berasaskan
bangsa, etnik, anutan ugama, budaya dan adat resam yang pelbagai sesuai dengan
kemajmukan penduduk Malaysia. Mereka berhimpun dalam kelumpok yang besar
menjadi satu keluarga navy people dan membentuk sub- budaya yang unik
yang menjadi amalan dalam kalangan mereka.
Sub-budaya yang wujud dalam prefesional ketenteraan umumnya bukanlah
disasarkan untuk membunuh atau dibunuh semata-mata tetapi proses untuk mencapai
visi dan misi mungkin terpaksa menghadapi sesuatu yang lebih kompleks.
Justeru, pelbagai cara dan pendekatan telah dilaksanakan
mengikut kesesuaian tertentu dari masa ke semasa berdasarkan keupayaan
kepimpinan atasan. Era mutakhir, Navy Plan telah diperkenalkan sebagai
makanisma mengukur prestasi pengurusan navy people dengan menggariskan
objektif-objektif strategik dan pengukuran terhadap sasaran penting bagi
menentukan TLDM berupaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan
sebaik mungkin
Tidak kurang juga suara-suara yang suka mengakronimkan TLDM
dengan makna yang mereka reka sendiri untuk tujuan humor malah ada juga
bertujuan menghina. ‘Tentera Lawa Dalam Malaysia, Tempat Lawatan Dalam Manjung,
Tengok Luar Dalam Melantung’ adalah
antara akronim yang sering digunakan dalam perbualan.
Mungkin atas kesedaran itu, PTL hari ini telah memperkenalkan
sejak beberapa tahun yang lalu satu pendekatan bagi merasionalkan makna TLDM
kepada yang lebih bersifat ‘roh’ menjadi terminologi yang lebih bermakna dan sesuai
dengan keunggulan TLDM:
|
TLDM tidak pernah mengabaikan aspek latihan demi mempertajamkan kemahiran warganya
|
T-Train – Persediaan latihan se awal Perajurit Muda bagi lain-lain Pangkat (LLP)
selama 6 bulan di Pusat Latihan Perajurit Muda KD SULTAN ISMAIL Tanjong Pengelih kemudian meneruskan
pengajian dalam pengkhususan bidang yang dipilih selama 4 hingga 9 bulan
(tertakluk kepada kepakaran) pada peringkat Kelas 2 di sekolah-sekolah latihan KD
PELANDOK Lumut. Setamat kursus teori
Kelas 2, anggota di tugaskan di lapangan sebenar unit-unit di laut atau di
pangkalan sebagai Lasykar Dalam Latihan (OJT) selama lebih kurang 6 bulan di
awasi oleh Penyelia-Penyelia Bahagian di lapangan. Setelah tamat OJT, mereka di kembalikan ke KD
PELANDOK untuk kursus peningkatan kepakaran peringkat Kelas 1 selama 4 hingga 9
bulan (tertakluk kepada kepakaran).
Setelah lulus dalam kursus kelas 1 barulah anggota diberi penugasan di
penempatan sebenar. Mereka akan
dipanggil untuk mengikuti kursus-kursus lanjutan bila tiba masanya berdasarkan time
based sehingga ke peringkat tertinggi dalam kategori LLP.
Beberapa modul di unit-unit sokongan yang dibina seperti WASPADA , Pusat
Taktikal Maritim (PUSTAKMAR), TANGKAS adalah antara pusat-pusat latihan kepada
peningkatan ilmu dan kemahiran di bidang teknikal, taktik dan pengendalian
kapal. Manakala KD SULTAN IDRIS 1 yang
bernaung di bawah pemerintahan Markas Pendidikan dan Latihan TLDM merupakan
Kolej yang berperanan melatih dan membentuk pegawai muda menjadi pemimpin dan
peneraju TLDM masa hadapan.
L-Lead. Semua anggota dan pegawai
merupakan pemimpin yakni dalam konteks yang senior adalah pemimpin
kepada yang junior berdasarkan kebolehan, kemampuan tahap kepakaran dan
kemahiran individu. TLDM sangat menekankan
kebolehan navy people dalam aspek kepimpinan di mana modul khusus
Kepimpinan Dan Pengurusan menjadi subjek wajib lulus dan Pusat Kepimpinan TLDM merupakan
unit yang bertanggungjawab dalam usaha memperkasakan teras kepimpinan dalam
diri setiap anggota TLDM.
D-Developed. Dalam konteks kepimpinan, setiap anggota dan pegawai
mempunyai peranan dalam membangunkan sekurang-kurangnya pembangunan diri
sendiri sebagai peningkatan dalam kerjaya yang diceburi dan tentunya kepimpinan
menengah dan atasan mempunyai peranan yang lebih besar mengikut tahap dan
kemampuan masing-masing.
M-Manage. Berasaskan latihan berterusan
semua peringkat berupaya memimpin, membangun dan akhirnya mengurus bermula dari
sekecil-kecil departmen kepada sebesar-besar sebuah organisasi yang di panggil
TLDM.
Cabaran untuk TLDM mentransformasikan daya pemikiran navy
people ke arah pemikiran bertaraf dunia sejajar dengan wawasan TLDM untuk
mencapai status world class navy bukanlah suatu perkara yang mudah. Namun
begitu usaha TLDM untuk merealisasikan hasrat itu telah pun dilaksanakan dengan
memperkenalkan pelbagai pendekatan seperti K-Navy serta diperkuatkan dengan
Nilai-nilai Teras dan Nilai-nilai Transformasi sebagai pembudayaan dalam
peningkatan ilmu pengetahuan dan akademik sebagai satu lonjakan paradigma dalam
memperkasakan profesionalisme modal insan yang bergelar navy people.
Selain warga tetap, TLDM juga mempunyai pelapis dari Pasukan
Simpanan Sukarela (PSS) yang telah distrukturkan semula kepada beberapa
komponen seperti Simpanan Pilihan (PALAPES dan PLAS), Simpanan Pakar (Pelabuhan/Perkapalan/Limbungan),
Simpanan Khusus (Perikanan/Perubatan/Jabatan Laut), Simpanan Sukarela Biasa
Simpanan Angkatan Tetap (Bekas Pegawai dan LLP TLDM).
PSSTLDM merupakan ketumbukan barisan kedua TLDM yang mana
penubuhannya sangat signifikan dan diyakini akan dapat membantu menjayakan misi
dan visi TLDM jika berlaku kegawatan keselamatan dalam negara terutamanya untuk
menjaga keutuhan pertahanan pangkalan dan lokasi-lokasi strategik mengikut
kemahiran dan kepakaran yang sedia ada pada mereka. Dengan peningkatan ancaman glokal, maka
sangat wajar nisbah kekuatan komplemen di tambah dari masa ke semasa dalam
usaha mendedahkan rakyat kepada kemahiran ketenteraan yang akan kembali memberi
pulangan dalam bentuk keupayaan pertahanan menyeluruh (HANRUH).
Pencapaian, Perolehan dan penambahbaikan 2013
PTL dalam ucapan seterusnya menyatakan dengan kenaikan
peruntukan kerajaan sebanyak 4.83 peratus bagi melaksanakan Program Pertahanan
Maritim, TLDM telah berjaya melaksanakan aktiviti-aktiviti penambahbaikan yang
melibatkan pemodenan peralatan dan menaikkan taraf hidup warga navy people.
Setakat ini TLDM memperolehi dua buah aset baharu iaitu kapal
latihan pertama GAGAH SAMUDERA yang telah di lancarkan pada bulan Dis 2012 dan kapal latihan kedua TEGUH SAMUDERA yang
dilancarkan pada 2013 dengan spesifikasi 75.9 meter panjang yang dilengkapi
dengan tempat pendaratan helikopter. Dibina oleh syarikat tempatan NGVTech Sdn.
Bhd usaha sama dengan Daewoo Shipbuilding Marine
Engineering (DSME) dari Korea Selatan turut dilengkapi dengan sistem kombat dan
sistem persenjataan jarak dekat.
Peranan utama kapal ini ialah sebagai platform latihan dan
mampu belayar sejauh 2,500 batu notika atau bersamaan 21 hari tanpa henti
sebelum ulang bekal dilakukan.
Menempatkan seramai 47 orang anak-anak kapal serta 60 orang pelatih
termasuk 12 penempatan untuk pelatih wanita.
Kedua-dua kapal ini bila siap sepenuhnya nanti akan diletakkan di bawah
naungan Flotila Latihan bersama KLD Tunas Samudera.
KD KASTURI sudah beroperasi semula setelah selesai menjalani Program
Pemanjangan Jangka Hayat (SLEP) bermula 20 Nov 2013. Beberapa komponen fizikal yang boleh dilihat
di geladak atas KD KASTURI selepas program SLEP ini ialah dua unit Anti Submarine
Rocket Launcher (ASRL) digantikan dengan dua unit dengan tiga tiub pelancar
Torpedo ASW Eurotorp B515 setiap satu dan instalasikan di bahagian port
dan starboard geladak ASRL, meriam 57mm bofors (Y gun) ditanggalkan dari
posisi asal di geladak suku.
KD KASTURI juga pada suatu ketika dahulu pernah mengurangkan
krewnya ke tahap minima dalam program kapal bestari dengan cara memaksimakan
otomasi peralatan. Namun begitu sehingga
ke hari ini program tersebut tidak dapat direalisasikan meski pun kelihatan ada
penambahbaikan terhadap sistem dan peralatan yang lebih canggih mengikut
peredaran masa dan mesra pengguna sebelum dan selepas SLEP.
Selain pengoperasian Simulator Kapal Selam Scorpene, Misil Exocet
SM39 Block 2 juga sudah berada dalam inventori persenjataan TLDM. Misil SM39
Block 2 adalah misil dari famili Exocet versi kapal selam yang dilancarkan dari
tiub torpedo di mana ianya terkandung di dalam vehicule sous marine (VSM)
yang didorong oleh kuasa sendiri manuver sebelum keluar ke permukaan.
Dengan ini ianya tidak akan meninggalkan
jejak menunjukkan di mana posisi sebenar
kapal selam. Setelah misil melepasi
permukaan dan berada di udara ia akan meninggalkan VSM dan menuju ke sasaran
seperti mana keupayaan variasi misil yang lain.
Keupayaan Exocet SM39 ini boleh
dilakukan penembakan dari jarak jauh yakni di luar dari zon bahaya torpedo kapal-kapal
anti kapal selam musuh di permukaan. Sehingga kini, misil ini sedang digunakan
oleh Tentera Laut Perancis dan tentera laut beberapa negara lain.
Sepanjang 2013, sebanyak 20 siri latihan dan eksesais di
dalam dan luar negara telah berjaya dilaksanakan dalam usaha melatih,
mengekalkan kemahiran, ketahanan dan kompetensi operator-operator perang dalam
pelbagai bidang kepakaran serta menguji keupayaan dan kebolehgunaan aset-aset
TLDM sedia ada di samping mempereratkan hubungan diplomatik negara dengan
negara-negara terlibat.
Sebanyak tiga projek pembangunan prasarana telah disiapkan
melibatkan Kompleks Kolej TLDM (KDSI 1) yang berpangkalan di Lumut, Projek
Pembangunan KD SRI SANDAKAN Fasa 3 dan Projek Peningkatan Jeti operasi di
Lumut.
KD PELANDOK (KDP) dan KDSI 1 juga telah mencipta sejarah
mereka yang tersendiri apabila diiktiraf
sebagai Institut Latihan Maritim (ILM) oleh Jabatan Laut Malaysia. Pengiktirafan kepada KDP yang merupakan Pusat Latihan bagi anggota Lain-lain Pangkat
(LLP) TLDM dan KDSI 1 adalah Pusat Latihan bagi Pegawai-pegawai TLDM telah
membuka ruang dan peluang kepada bakal-bakal anggota dan pegawai yang akan
menamatkan perkhidmatan untuk mencebur diri ke alam pekerjaan dalam sektor
perkapalan. Sebagai permulaan, TLDM akan
melaksanakan dua daripada sembilan Modul
Asas Latihan, Perakuan dan Pengawasan Bagi Pelaut 1995(STCW’95) dan yang
selebihnya akan ditambah dari masa ke semasa.
Pensijilan STCW’95 merupakan
suatu usaha TLDM dalam mempertingkatkan kompetensi anggota TLDM dalam
aspek perundangan lalu lintas laut (ROR) dan aspek-aspek yang berkaitan dengan
tugas pengangkutan di laut dan apa yang lebih penting dengan memiliki
kompetensi STCW’95 ini akan melayakkan seseorang itu untuk terus diterima
bekerja dalam sektor industri maritim bila bersara kelak. Sebelum ini pengetahuan dan kemahiran pegawai
dan anggota TLDM tidak diberi pengiktirafan oleh Jabatan Laut meski pun beliau
bekas kepten kapal mau pun navigator yang mempunyai pengalaman yang cukup luas
dalam aspek pemanduan kapal dan aspek-aspek
yang berkaitan dengannya.
Pusat Hidrografi Negara (PHN) yang terletak di Pelabuhan
Kelang turut mencipta sejarahnya yang tersendiri dengan menerima pelbagai
pengiktirafan hasil dari kecemerlangan mereka dalam bidang pengukuran dan
pencartaan yang mana hasil pengeluarannya diguna pakai oleh pelaut-pelaut
antarabangsa.
Sejarah pengukuran hidrografi di perairan Malaysia sebelum
ini dilakukan oleh Royal Navy sejak kurun ke 18 lagi di mana carta dan
publikasi pengeluarannya di kenali dengan nama British Admiralty
(BA). Kemerdekaan yang dicapai daripada
Kolonial British telah memberi ruang kepada TLDM mewujudkan perkhidmatan
hidrografinya sendiri. Ianya bermula
seawal tahun 1965 dengan kumpulan pertama pegawai dan anggota TLDM dihantar
menjalani latihan di Australia.
Justeru pada tahun 1969 Cawangan Hidrografi TLDM ditubuhkan
dengan mengubahsuai sebuah kapal MCMV untuk melaksanakan tugas-tugas
pengukuran. Pada 31 Oktober 1972,
kabinet telah memutuskan dengan melantik TLDM sebagai agensi yang bertanggung
jawab terhadap kerja-kerja pengukuran hidrografi di Malaysia.
Untuk tujuan itu sebuah kapal telah dibina di Limbungan Hong
Leong- Lurssen Butterworth dan memulakan perkhidmatan dengan TLDM pada Januari
1978. Kapal yang berukuran 71 meter
panjang dan 13 meter lebar dengan keanggotaan 155 orang Pegawai dan LLP telah
diberi nama dengan KD MUTIARA (151).
Sebuah lagi kapal untk kegunaan hidrografi telah dibina juga di
Limbungan Hong Leong- Lurssen Butterworth dengan reka bentuk firma Krogerwerft
Jerman yang telah memulakan perkhidmatan dengan TLDM pada tahun 1996 dengan
nama KD PERANTAU (255) sempena nama kapal
hidrografi pertama yang telah dilucutkan tauliah. Kedua-dua kapal ini dilengkapi dengan
peralatan hidrografi moden yang serba canggih. Sehingga pada tahun
1990an TLDM telah mula mengguna pakai carta MAL dan publikasi-publikasi yang
dikeluarkan oleh PHN.
Kontroversi Dan Isu Tuntutan Bertindih
-Akhir bulan Januari yang lalu rakyat Malaysia dikejutkan
dengan laporan berita agensi asing yang menyatakan tiga buah kapal perang
Tentera Laut Rakyat China (PLAN) iaitu
sebuah kapal pendarat (LPD) Changbaishan dan dua buah kapal pemusnah daripada
Kelas LuYang I dan ll menceroboh perairan negara berhampiran James Shoal atau
Beting Serupai 60 batu notika ke utara Mukah.
Walaubagaimana pun hasil pemantauan dan perisikan TLDM, ketiga-tiga
kapal berkenaan tidak menceroboh kawasan perairan Malaysia sebagaimana yang didakwa.
Sejarah penglibatan ejen-ejen negara China di Kepulauan
Spratly adalah bermula dan menjadikan mereka lebih proaktif adalah semenjak
perlaksanaan United Nation Law of The Sea (UNCLOS 1982) yang membenarkan
negara-negara pesisir untuk menuntut Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) sehingga 200
batu notika dari titik pangkal wilayah masing-masing. Perlaksanaan ini menyebabkan berlakunya
perebutan wilayah dan mengakibatkan ketegangan di antara negara-negara yang
menuntut.
Negara-negara yang terlibat dalam tuntutan ini ialah China,
Filipina, Taiwan, Vietnam, Brunei dan Malaysia. Isu tuntutan bertindih ini
menjadi lebih rumit untuk di selesaikan di meja perundingan adalah kerana
negara-negara penuntut membuat justifikasi yang berbeza dalam tuntutan mereka.
China dan Vietnam telah menuntut keseluruhan Laut China Selatan sebagai hak dan
kedaulatan mereka manakala Malaysia, Brunei dan Taiwan hanya sebahagian yang
tertentu sahaja di kawasan tersebut.
Sebagai negara kuasa besar selepas Amerika, China memerlukan
pembangunan negaranya secara menyeluruh untuk wujud sebagai sebuah negara berkuasa
besar di rantau ini. Jadi, tidak hairanlah jika pendekatan agresif Tentera Laut
China beberapa dekad terakhir ini telah mencetuskan pertempuran dengan
negara-negara menuntut terutamanya Philipina dan Vietnam. Meski pun semangat
diplomatik China – Malaysia agak baik namun pendekatan China dalam isu Spratly
ini agak sukar untuk diramal selama mana hubungan baik ini boleh bertahan
dengan melihat provokasi-provokasi yang berupa pencerobohan di sekitar penempatan
negara. Namun begitu dengan sikap Malaysia yang tidak mudah melatah untuk
bertindak balas dengan menggunakan kuasa ketenteraan dalam isu-isu pencerobohan
seperti ini telah memudahkan rundingan dua hala G to G ke arah penyelesaian
yang lebih baik malah membantu dalam pertumbuhan ekonomi dua hala dengan
pertukaran dagangan.
Setakat ini semua negara-negara yang menuntut telah menduduki
satu atau lebih pulau-pulau di
persekitaran Spratly melainkan negara Brunei.
Malaysia sendiri berdasarkan justifikasi UNCLOS 1982 telah mengambil
inisiatif dengan membangunkan Gugusan Semarang Peninjau (GSP) yang mengandungi
Pulau binaan Terumbu Layang-layang, Terumbu Mantanani, Terumbu Ubi, Terumbu
Siput dan Terumbu Peninjau. Semua
penempatan ini merupakan ‘padang permainan’ anggota TLDM yang bermandi peluh
dan darah dalam memastikan kedaulatan negara di persekitaran ini tidak
dicerobohi oleh mana-mana anasir.
Era awal pembinaan GSP meninggalkan kesan ‘trauma’ kepada
anggota-anggota TLDM yang terlibat menjaga persekitaran GSP ini kerana telah
menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran yang sangat getir. Mereka bukan sahaja terdedah kepada cuaca
semula jadi yang tidak menentu malah menerima ancaman-ancaman daripada ejen-ejen
yang datang ‘mengintai’ penempatan mereka.
Dengan peralatan dan persenjataan yang serba kekurangan, mereka
mempertaruhkan jasad dan nyawa mereka untuk menghadapi segala kemungkinan yang
mendatang.
-Setahun berlalu insiden berdarah pencerobohan sekumpulan
lelaki bersenjata yang telah memperkenalkan diri mereka sebagai tentera
Kesultanan Sulu menceroboh Kampong Tanduo
Felda Sahabat 17 Lahad Datu Sabah telah mengorbankan 10 orang perajurit
negara. Di awal kejadian yang berlaku
tanpa dijangka ini, reaksi spontan masyarakat Malaysia tentunya memandang sinis
keupayaan atau kesiagaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di dalam
membentengi Peraiaran Sabah pada masa itu sehinggakan dapat ditembusi dengan
begitu mudah. Itulah persepsi, yang
terpacul tanpa usul periksa dan memahami plot-plot kejadian yang sebenar.
TLDM pada dasarnya sentiasa bersiaga sepanjang masa dengan
menugaskan aset armada seadanya menunjukkan kehadiran patroli di
kawasan-kawasan tertentu samada di Perairan Semenanjong maupun di Perairan
Malaysia Timur meski pun negara berada dalam situasi aman. Namun begitu, masyarakat harus faham dengan
keluasan Perairan Sabah dan Sarawak serta Gugusan Semarang Peninjau (GSP) lebih
kurang 130,000 km persegi tidak memungkinkan aset TLDM yang juga terhad
bilangannya dapat memenuhi setiap inci ruang laut negara dalam satu masa. Perairan
pantai Sabah sahaja sepanjang 1,603km dengan komposisi kepulauan sebanyak 397
buah pulau dengan bahagian selatannya bersempadan dengan Indonesia dan bahagian
timurnya bersempadan dengan Filipina.
Justeru tidak hairanlah jika aktiviti
lintas sempadan masih membolosi perairan negara kerana musuh juga mempunyai
muslihat dalam mengatur strategi mereka.
Adalah menjadi sangat tidak adil jika masyarakat terus
mengadili yang TLDM tidak kompeten dalam menjaga kedaulatan perairan negara
lantaran kemasukan penceroboh ‘Tentera Kesultanan Sulu’ dalam skala yang sangat
kecil di celah-celah ruang laut yang sangat luas serta dalam suasana rakyat
negara persempadanan Indonesia dan Filipina yang miskin telah menjadikan kawasan
pesisir Sabah sebagai ‘negara kedua’ mereka dalam mencari perlindungan secara
tradisi yang sebelum ini dianggap tidak memberi ancaman kepada kedaulatan dan
keselamatan negara.
Pengajaran dari insiden itu,
TLDM juga terus bangkit melupakan segala ‘kekurangan’ dan meningkatkan kawalan kesiapsiagaan
dalam melaksanakan operasi pemantauan di kawasan-kawasan berisiko bersama aset-aset maritim dari Agensi
Penguatkuasaan Maritim (APMM) serta agensi-agensi penguatkuasaan yang lain digembleng dalam operasi bersama di
bawah skop penugasan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM)
bagi menentukan Pantai Timur Sabah terus selamat dari sebarang ancaman.
ESSCOM yang telah diumumkan penubuhannya oleh Perdana Menteri pada 7 Mac
2013 adalah bertujuan bagi memastikan pengawasan berterusan di sepanjang Pantai
Timur Sabah iaitu sejauh 1400km merangkumi kawasan Kudat, Sandakan, Lahad Datu,
Kunak dan Tawau. Dengan insiden-insiden sebegini membuatkan rakyat
jelata sangat mendambakan suatu kenyakinan yang ketumbukan angkatan laut kita
mampu memberi cabaran jika kedaulatan
perairan negara betul-betul di ceroboh.
Hakikatnya demi Malaysia yang berdaulat, sebagai rakyat bangsa Malaysia
yang bermaruah tidak harus membiarkan keselamatan
tanah tumpah ini hanya di bahu Pasukan Keselamatan semata-mata untuk
menjaganya. Pada dasarnya adalah menjadi tanggung jawab kita semua
sebagai bangsa Malaysia yang merdeka dan bermaruah sama-sama menjaga perairan
pertiwi atau seluruh tanahair.
Perkembangan terbaharu mengikut sumber, Nur Misuari telah
mengumumkan penubuhan Republik Negara Mindanao dengan mendakwa keseluruhan
Kepualauan Mindanao, Sabah dan Sarawak adalah di bawah wilayah mereka. ATM sedang membuat pemerhatian secara dekat
dalam perkembangan ini dan sebagai reaksi awal ATM merangka perluasan wilayah
ESSCOM dan meminta kerjasama
syarikat-syarikat minyak dan gas supaya memberi kerjasama sewajarnya
bersangkutan isu keselamatan kepada agensi-agensi keselamatan yang terlibat dan
menggesa supaya menubuhkan Platun Askar Wataniah kepada pekerja-pekerja
syarikat minyak dan gas. Namun begitu
perkara ini masih di tahap perbincangan di mana tiada perubahan standard operation procedure (SOP)
dalam pengoperasian wilayah ESSCOM setakat ini.
-Konfrontasi Malaysia-Indonesia
juga mencatat sejarah yang tidak mudah dilupakan oleh sesetengah generasi
rakyat Malaysia. Isu pertindihan
tuntutan Ambang Batas Laut (AMBALAT) di laut Sulawesi belum lagi mencapai
persefahaman yang konkrit untuk menidakkan pertelingkahan Malaysia-Indonesia
tidak boleh meletus kepada skala yang lebih besar.
Kedua-dua negara penuntut masing-masing mempunyai asas yang yang kuat
dan merasakan mereka berhak dan mengaku blok kawasan yang menjadi pertikaian
itu adalah hak kedaulatan negara mereka.
Wujudnya pertindihan tuntutan ini adalah berdasarkan faktor-faktor
geografi persempadangan kedua-dua negara
yang berkedudukan secara bertentangan dan juga bersebelahan di antara
satu sama lain. Ciri-ciri geografi yang
terbentuk telah memberi tafsiran yang berbeza dalam melakar persempadanan
maritim dua negara ini tambahan lagi
dengan adanya pemilikan entiti-entiti yang ada hubung kait dengan sejarah serta
hal-hal yang istimewa yang terdapat di kawasan ini.
Sentimen yang di mainkan oleh rakyat Indonesia dalam isu ini sentiasa
membara dan boleh menyemarakkan api persengketaan yang besar jika kematangan
pemerintah kedua-dua negara gagal berfungsi dengan baik.
TLDM bersama beberapa agensi penguatkuasa
maritim sentiasa berhati-hati dan berhemah dalam menghadapi provokasi demi
provokasi yang dimainkan oleh rakyat Indonesia termasuk Tentera Negara Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) serta
agensi-agensi maritim mereka.
Anggota TLDM
sentiasa profesional, konsisten dan memberi tumpuan yang sangat serius semasa
menjalankan operasi di kawasan ini supaya tidak terkeluar dari batas sempadan
yang dihadkan sebagai hak kedaulatan negara dan tidak terpengaruh dengan
provokasi pihak Indonesia dari mengambil tindakan terburu-buru semasa menangani
apa saja isu yang tercetus demi menjaga hubungan diplomatik yang sangat intim
antara kedua-dua pihak. Sebagai pedoman
asas, TLDM sentiasa mengamalkan pematuhan prosedur Incidents At sea
Agreement (INCSEA) yang telah ditandatangani oleh pihak TLDM dan TNI-AL
sebagai garis panduan bersama semasa berurusan di kawasan ini.
Malaysia percaya, melalui hubungan baik antara kedua-kedua kerajaan
sahaja yang mampu mengekang setiap isu yang berbangkit dari merebak menjadi
perbalahan yang melibatkan ketenteraan yang lebih besar.
Keadaan Aset Dan Keperluan Penambahan
Pada tahun 1988, TLDM mula mengoperasikan Unit Udaranya
sendiri dengan menggunakan enam buah pesawat helikopter terpakai jenis WASP HAS
MK I diletakkan di bawah pemerintahan Panglima Armada. Manakala persediaan juruterbang bermula
dengan 13 orang pelatih yang menjalani latihan di Pusat Latihan Terbang 3
(PULATIBANG) TUDM yang berpangkalan di Kluang Johor. Pentauliahan Unit udara ini kepada KD
RAJAWALI pada 1990 dengan aset udaranya semata-mata pesawat terpakai WASP HAS MK
I di namakan Skuadron (skn) 499 telah banyak memberi pengajaran berguna kepada
Unit ini dalam menimba ilmu penerbangan.
Pesawat ini memberi perkhidmatan yang sangat cemerlang dalam
konteks mendewasakan juruterbang dan anggota sokongan teknikalnya yang begitu
komited mempelajari silibus yang serba baharu ini dengan dibantu oleh
pegawai-pegawai dari Royal Navy sebagai permulaan. Namun begitu
sepanjang tempoh ini navy people yang ‘dikatakan’ tidak begitu matang
dalam bidang ini berjaya ‘menjinakkan’ pesawat lama ini tanpa berlaku
kemalangan jiwa dan harta sekali gus menggambarkan bahawa TLDM mampu mengendalikan perkara-perkara yang di
anggap baharu dan asing dalam budaya mereka.
Hasilnya dalam tempoh yang tidak begitu lama, KD RAJAWALI
berkembang pesat dan pada tahun 2000 KD RAJAWALI telah memperolihi enam buah pesawat
baharu helikopter maritim bagi menamatkan perkhidmatan pesawat WASP yang sudah
melewati tempoh yang sewajarnya untuk digunakan.
-Pesawat helikopter Super Lynx 300 Mk 100 memasuki
perkhidmatan di bawah label Skn 501.
Peranan utama Skn ini adalah bagi membantu aset-aset permukaan di dalam
peperangan atas permukaan (ASuW), bawah permukaan (ASW), pengawasan sasaran
melampaui garis ufuk (OTHT), operasi
khas PASKAL di samping melaksanakan tugas-tugas am dalam bentuk misi
kemanusiaan seperti Bodevec, Medevec dan lain-lain.
Pesawat ini juga boleh dipasang dengan sistem
persenjataan peluru berpandu ASuW Sea Skua malah telah berjaya dalam perujian
yang dilakukan baru-baru ini ke atas sasaran.
Pesawat ini juga mampu membawa persenjataan bagi ASW torpedo A244S dan
tenggekan mesingun kaliber 50mm. Pesawat ini juga dikatakan pesawat organik
kepada Skn frigate 2000 Jebat dan Lekiu tetapi hakikatnya selagi ada tapak
pendaratan yang bersesuaian dengan saiznya, Super Lynx 300 Mk 100 sedia untuk diatur
gerak.
-Skn 502 juga berpangkalan di KD RAJAWALI yang mengoperasikan
6 buah pesawat AS 555 Fennec sebagai pesawat latihan dan lain-lain peranan yang
hampir sama dengan Super Lynx 300 Mk 100 meski pun pesawat ini tidak membawa
persenjataan berat. Namun begitu bagi
pertahanan diri dan sokongan penembakan pesawat ini dipasang dengan tenggekkan
mesingun MGKA berkaliber 7.62mm.
-Rakyat Malaysia umumnya menanti dengan penuh sabar
‘pengumuman’ kerajaan bagi menunaikan hasrat TLDM untuk memiliki 6 buah lagi pesawat helikopter yang mempunyai spesifikasi
lengkap sebagai pesawat anti kapal selam. Rakyat terbanyak menyokong penuh hasrat TLDM
atas dasar menaruh kepercayaan penuh kepada TLDM dalam menjaga kedaulatan
maritim negara. Tanpa aset yang sepadan
dengan kemampuan navy people, segala gerak ikhtiar yang dilakukan
pastinya tidak mencapai sasaran secara maksima.
- Armada TLDM era 80an mempunyai lima buah platform yang
berfungsi sebagai kapal pengangkutan kelas Landing Ship Tank (LST) iaitu KD SRI LANGKAWI, KD SRI RAJA JAROM dan KD
BANGI sementara dua buah lagi ialah KD SRI INDERA SAKTI dan KD MAHAWANGSA dalam
Kelas MPCSS yang dikira terbaik di rantau ini. Kemudian pada era 90an KD SRI LANGKAWI, KD SRI RAJA JAROM, KD BANGI
di lucutkan tauliah kerana terlalu usang dan sebuah lagi kapal bantuan terpakai
di beli iaitu LST KD SRI INDERAPURA namun perkhidmatannya dengan TLDM tidak
panjang setelah dilucut tauliah pada tahun 2009 kerana kerosakan teruk akibat
kebakaran. ‘Pemergian’ KD SRI INDERAPURA
masih belum ada pengganti.
Tahun 2014, TLDM masih mengekalkan Flottila Bantuan Armada khususnya bagi platfom
pengangkutan dan pembekalan dengan hanya dua buah sahaja iaitu platform dalam
kategori Kapal Pemerintah Pelbagai Fungsi dan Sokongan KD SRI INDERA SAKTI dan KD
MAHAWANGSA. KD SRI INDERA SAKTI telah
dibina di Jerman oleh Firma Bremer Vukan pada tahun 1979 dan KD MAHAWANGSA
telah dibina oleh firma Takoma Marine Industri Korea Selatan pada tahun
1979. Kedua-dua kapal ini sudah berada
dalam perkhidmatan sekurang-kurangnya sudah menjangkau 30 tahun. Pelbagai misi telah mereka laksanakan dalam
dan luar negara dengan penuh cemerlang.
Namun begitu secara fitrahnya setiap sesuatu terutamanya kenderaan
setelah digunakan lebih 30 tahun sudah dikira sangat uzur dan sudah tidak lagi
boleh beraksi seghairah benda baharu.
Semasa LIMA’07 yang lalu rakyat pernah digambarkan bahawa LP-X
DOKDO Amphibious Ship Republic of Korean Navy (ROKN) memenuhi kriteria asas
untuk kegunaan TLDM berasaskan saiz, spesifikasi dan keupayaan kapal kelas
tersebut namun sehingga ke saat ini belum lagi menjadi kenyataan. Sedangkan keperluan kapal pengangkutan
serbaguna ini sangat relevan dengan keperluan ATM masa kini yang sering
mengaturgerakkan anggota amfibi di dalam melaksanakan misi-misi taktikal peperangan.
Dengan bentuk geografi Malaysia yang semua negeri-negerinya
yang berpantai, aturgerak pasukan secara amfibi adalah suatu gerakan yang
sangat praktikal dan tentunya penggunaan kapal yang bersesuaian dengan tugas
ini adalah sangat penting. Menggenapkan
angka enam dalam Skn MPCSS ini adalah
satu kemestian di dalam armada TLDM yang merupakan keperluan sebenar TLDM bagi
menjangkau keperluan pertahanan negara dalam pelbagai dimensi operasi di dalam
misi-misi yang melibatkan ATM, pengangkutan awam dan misi-misi bantuan bencana
dalam negara dan jiran-jiran serantau.
Kesimpulan
TLDM dan navy people adalah identiti yang jelas
terbentuk dari suatu kesedaran yang tinggi dalam kalangan anak-anak Melayu
semasa negara masih di bawah penjajahan Kolonial. Berhadapan dengan tentera Indonesia semasa
kancah konfrontasi yang menceroboh melalui sungai dan laut.
Rejang Area Security Command (RASCOM) juga telah menzahirkan
pengorbanan TLDM memerangi anasir komunis di sepanjang Sungai Rejang, ke
Kanowit, Kapit dan Binatang.
Menjalani Operasi Cabut bagi menghalang kemasukan pendatang
haram Vietnam yang lari dari kancah peperangan negara mereka dari mendarat di
pantai-pantai Malaysia. Bila peperangan
Vietnam tamat, Ops Cabut masih diteruskan dalam usaha membenteras kemasukan
nelayan-nelayan asing ke kawasan perairan ZEE Malaysia yang kaya dengan sumber
makanan laut.
Laluan Selat Melaka di antara laluan tersibuk di dunia
sebagai laluan perdaganagan antarabangsa
memerlukan pemantauan yang tinggi dari ancaman perlanunan di mana TLDM
telah berjaya mengekang kegiatan tersebut dari berleluasa.
Navy people turut diberi mandat oleh ATM sebagai anggota pengaman
Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), cemerlang dalam peperangan tidak simetri di Teluk
Aden yang menjadi sanjungan dan mendapat
pengiktirafan antarabangsa.
Menabur bakti di perbatasan GSP dan AMBALAT demi sebuah
kedaulatan dengan mempertaruhkan nyawa tanpa gentar. TLDM terus mara mencipta nama mempersiapkan
armada dan sahsiah warganya seiring menongkah arus kemodenan bersama slogan
keramat SEDIA BERKORBAN. PERAJURIT
-SELAMAT MENYAMBUT HARI
ULANGTAHUN KE 80-