About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Saturday, September 26, 2009

PM mahu aset ATM ditingkat

Sumber: Utusan
PUTRAJAYA 25 Sept.– Keperluan dan kekukuhan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu ditingkatkan bagi memastikan kawalan keselamatan keseluruhan negara berada pada tahap yang optimum, kata Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin.

Beliau berkata, amanat itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu beliau mengadakan kunjungan hormatnya di Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Azizan berkata, Perdana Menteri juga melahirkan harapan untuk melihat barisan pertahanan negara dibentengi oleh angkatan tentera yang komited dan memiliki aset yang berkeupayaan untuk menangkis sebarang ancaman dari luar.

“Beliau juga mahu supaya anggota-anggota tentera bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membanteras dan membasmi sebarang ancaman yang datang dari dalam negara,” katanya kepada pemberita selepas kunjungan hormat itu.

Mengulas lanjut Azizan berkata, pertemuan itu antara lain membincangkan mengenai pengurusan aset dan pembangunan infrastruktur ATM serta pelaksanaan beberapa perancangan keupayaan aset yang dimiliki.

“Saya telah sampaikan kepada Perdana Menteri berhubung beberapa panduan kita untuk membangunkan keupayaan ATM, aset- aset perangnya berpandukan kepada dokumen 4D-MAF (4D-MAF ialah Agenda Utama Adalah Untuk Merealisasikan Transformasi ATM).

Kita hanya akan menggunakan dokumen ini sebagai landasan kepada pembangunan keupayaan ATM,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai laporan sebuah blog yang mendakwa batalion Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNIFIL) Malaysia di Lebanon memerlukan kereta perisai baru pada kadar segera, Azizan berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan mengenai perkara itu.

“Saya harus meneliti laporan itu terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan,” katanya.

Laporan laman blog itu menyebut bahawa pasukan Malaysia yang bernaung di bawah panji-panji UNIFIL di Lebanon memerlukan kereta perisai baru bagi menggantikan kereta perisai sedia ada.

Penulis blog itu mendakwa, kereta perisai pasukan Malaysia jenis Condor itu kini dalam keadaan yang amat uzur dan ATM difahamkan akan menggantikan kenderaan tersebut beberapa bulan lagi. – Bernama

Wednesday, September 16, 2009

ATM menggalas amanah rakyat

Sumber: Utusan
Oleh AMIR SARIFUDIN
KEJAYAAN dan liku-liku yang dilalui oleh organisasi seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekali lagi diperkatakan dan kali ini berkaitan dengan Hari Ulang Tahun ATM ke-76.

Bagi warga ATM dan bekas-bekas anggota tentera termasuk yang pernah berkhidmat semasa pentadbiran British, ia pasti mempunyai pelbagai pengertian berhubung ulang tahun tersebut. Banyak pengalaman yang ditempuhi warga tentera sebelum negara ini mencapai kemerdekaan hinggalah kini.

Bagaimanapun mungkin agak berbeza bagi kalangan orang awam yang tidak begitu menghayati ulang tahun itu kerana mereka berada di luar organisasi berkenaan. Apabila tiba tarikh 16 September, warga ATM adalah golongan paling berbangga kerana selama ini pun merekalah yang menjadi modal insan di belakang kestabilan dan keamanan negara.

Tanpa modal insan yang bersemangat waja, belum tentu organisasi besar seperti ATM dapat mengekalkan keselamatan dan kedaulatan negara hingga mendapat pengiktirafan antarabangsa. Sebagai pasukan beruniform sudah pasti rakyat melihat ATM sebagai sebuah organisasi yang mempunyai warga berkualiti, berdisiplin, berketerampilan, berkemahiran dan berpengetahuan tinggi.

Semua ciri-ciri ini akan memastikan kelangsungan dalam mempertahankan bumi Malaysia. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika diwawancara Utusan Malaysia berkata, beliau berpuas hati dengan tahap disiplin anggota-anggota tentera.

''Tahap disiplin mereka ini adalah tinggi iaitu lebih 90 peratus,'' katanya ringkas.
Apa yang dikatakan oleh Ahmad Zahid itu bukanlah retorik semata-mata kerana ukuran tahap disiplin itu berdasarkan penyelidikan oleh Bahagian Staf dan Perisikan Pertahanan (BSPP).

Menurut Ahmad Zahid, tahap disiplin warga ATM itu amat menggembirakan kerana ia sukar diperolehi oleh kebanyakan negara sedang membangun.

Kesiapsiagaan anggota dan pegawai ATM itu sekali gus menunjukkan bahawa mereka boleh digerakkan dalam apa jua operasi sama ada di dalam mahupun luar negara.

Ini terbukti apabila anggota ATM diiktiraf pembabitan mereka dalam tugasan luar negara seperti di Lebanon dan sebagainya. Walaupun aset Malaysia agak kurang canggih semasa penugasan di luar negara, namun semangat ditunjukkan oleh pasukan tentera Malaysia amat tinggi dan sangat dihargai.

''Sekiranya dari semasa ke semasa ada permintaan untuk ATM menghantar pasukan menjadi tentera pengaman, kita akan hantar. Itu komitmen kita,'' katanya.

Walaupun berpuas hati dengan pretasi warga ATM bukan bermakna organisasi itu sudah boleh berpuas hati dan mendabik dada. Ini kerana masih terdapat ruang kosong yang perlu dipertingkatkan, kata Ahmad Zahid. Beliau bagaimanapun berpandangan kesiapsiagaan aset serta peralatan dalam ATM perlu dipertingkatkan lagi.

''Tahap kesiapsiagaan aset ATM pada masa ini dianggarkan kira-kira 80 peratus dan ia boleh dipertingkatkan lagi agar mencapai lebih 90 peratus,'' katanya.

Kombinasi kesiapsiagaan modal insan dan juga aset amat penting bagi sesebuah angkatan bersenjata untuk membolehkan ia bergerak menangani apa jua permasalahan serta mengekalkan kedaulatan negara. Jika satu daripada faktor itu tidak berada dalam keadaan siap siaga, kemungkinan besar pergerakan angkatan bersenjata akan cacat.

Selain memberi tumpuan kepada penyelenggaraan aset sebagai langkah meningkatkan tahap kesiapsiagaan peralatan, kerajaan melalui Kementerian Pertahanan akan memastikan wujud perseimbangan pertambahan aset melibatkan tiga cabang ATM iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),

Ini bakal memperlihatkan aset-aset baru bagi meningkatkan keupayaan ATM. Menurut Ahmad Zahid, walaupun bajet kementerian dijangka berkurangan 20 peratus pada tahun depan, namun pihaknya akan memastikan ia tidak menjejaskan pengoperasian ATM.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan secara terperinci yang dimaksudkan aset-aset baru tersebut. Pemilikan aset-aset sedia ada kata beliau, mampu untuk memantapkan operasi dalam memastikan keselamatan.

Antara langkah wajar dilakukan oleh kementerian itu yang mempunyai aset-aset besar ialah menggunakan aset sedia ada untuk mencipta dana bagi menampung pengoperasian ATM.

''Kem-kem lama akan dijadikan aset kepada kementerian pertahanan. Ia tidak akan dijual tetapi dijadikan aset dan juga boleh dijadikan bangunan pada masa hadapan.

''Nilai tanah juga boleh dijadikan aset yang berharga kepada kementerian,'' katanya.

Mengenai sambutan Hari ATM kali ini, ia akan memberi fokus kepada pendekatan keagamaan yang bertujuan mewujudkan perasaan kebanggaan dalam diri setiap anggota dan pegawai ATM. Sambutan kali ini bagi menyeimbangkan antara faktor duniawi dan ukhrawi.

''Ia juga merupakan komitmen spiritual untuk mewujudkan anggota dan pegawai tentera yang berjaya,'' jelasnya.

Menjawab pertanyaan, Ahmad Zahid berkata, cabaran keadaan keselamatan negara pada masa hadapan sangat dinamik dan tidak menentu. Justeru, ATM perlu dibangunkan dengan sistematik dan teratur agar mampu menghadapi segala macam kemungkinan.

Berikutan itu, ATM dilihat telah merangka satu rancangan pembangunan strategik jangka panjang iaitu Fourth Dimension Malaysia Armed Forces (4D MAF).

Ia melibatkan pelan pembangunan keupayaan ATM dengan mengambil kira wawasan, misi dan peranan yang perlu digalas oleh ATM.

''Kajian merumuskan struktur organisasi ATM perlu disusun semula mengikut keperluan konsep operasi ketika berlaku krisis dan mampu disesuaikan ketika aman.

''Lanjutan daripada itu, konsep penstrukturan digunakan dalam merangka pembangunan keupayaan ATM adalah lean dan mean tetapi lebih potent dari segi keupayaan combat keseluruhannya,'' kata beliau.

Di samping itu, pembabitan rakyat Malaysia menyertai kerjaya dalam ATM sebenarnya memberi banyak manfaat dan kemudahan untuk jaminan masa depan mereka.

Melalui falsafah pendidikan dalam ATM, banyak peluang pendidikan diwujudkan bermula tahun 1980 lagi dengan Skim Pengajian Tinggi di mana ATM menghantar anggota serta pegawainya mengikuti pengajian di dalam dan luar negara.

ATM juga membuka peluang kepada mana-mana anggota yang mahu menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi memperbaiki keputusan sedia ada.

''Sejak program pendidikan ini dilaksanakan, pencapaian warga ATM sangat memberangsangkan.

''Kira-kira 3,800 anggota dan pegawai tentera yang telah dan sedang mengikuti pengajian dari peringkat diploma hingga doktor falsafah.

''Ini tidak termasuk mereka yang melanjutkan pengajian di peringkat sijil dan diploma di bawah program khas perkhidmatan masing-masing,'' katanya.

Menurut Ahmad Zahid, mereka yang dihantar melanjutkan pengajian didapati mampu memberi komitmen tinggi baik dari segi keputusan peperiksaan, disiplin yang tinggi, malah peningkatan dalam prestasi kerja.

Kesinambungan daripada program sedia ada, ATM sedang merangka pelan dipanggil sebagai pensiswazahan pegawai di mana semua pegawai dalam ATM akan memperolehi sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda sebelum meninggalkan perkhidmatan.

''Untuk merealisasikan perkara ini, ATM merancang menambah lagi kursus-kursus yang relevan,'' katanya.

Mengakhiri wawancara, Ahmad Zahid mengingatkan rakyat negara ini bahawa sejarah telah membuktikan iaitu sumbangan dan pengorbanan pasukan keselamatan memerangi apa jua bentuk ancaman termasuk komunis telah berupaya mewujudkan suasana aman dan sejahtera.

Keadaan ini memungkinkan pembangunan pesat negara dengan dilaksanakan secara teratur dan berkesan. Malah, rakyat dapat menjalani kehidupan harian tanpa rasa takut atau gusar.

''Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita (semua rakyat) bersama untuk sama-sama menentukan suasana keamanan dan kestabilan negara ini sentiasa terpelihara.

''Perkara ini tidak hanya dibebankan kepada bahu warga tentera sahaja, malah melibatkan semua pihak.

"Keamanan dan kedamaian yang dikecapi hari ini adalah kurniaan Allah SWT, hasil usaha gigih dicurahkan pelbagai pihak.

''Warga tentera adalah perisai dan benteng pertahanan negara,'' katanya.

16 Sept. sepatutnya dihargai

Sumber: Utusan
Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my

SESETENGAH warga Malaysia mungkin tidak sedar bahawa hari ini adalah ulang tahun penubuhan Persekutuan Malaysia ke-46. Hari ini juga ada yang langsung lupa tentang ulang tahun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-76.

Satu tarikh tetapi ada dua peristiwa penting berlaku pada hari ini - 16 September. Tanggal 16 September bagi masyarakat awam adalah seperti hari biasa. Sebab hari ini bukan cuti umum sebagaimana kita bercuti untuk menyambut Hari Kemerdekaan pada setiap 31 Ogos.

Jadi tidak hairanlah jika 16 September tidak membawa apa-apa makna bagi kebanyakan rakyat di Semenanjung Tanah Melayu. Mereka lebih mengingati 31 Ogos daripada 16 September. Tetapi tarikh ini memberi makna yang besar kepada kebanyakan rakyat di Sabah dan Sarawak.

Hari ini genap 46 tahun Sabah dan Sarawak merdeka melalui penubuhan Malaysia. Sejak 2008, tanggal 16 September setiap tahun akan diingati sebagai Hari Malaysia.

Dengan perisytiharan ini diharap mengubah sikap kurang sedar oleh sebilangan besar rakyat tentang tarikh pembentukan Malaysia. Ini terjadi kerana kita lebih mengingati tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 berbanding dengan tarikh kemerdekaan Sabah dan Sarawak bersama Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura pada 16 September 1963. Tetapi Singapura keluar daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Barangkali untuk rakyat mengingati tarikh ini maka wajar 16 September dijadikan hari cuti umum di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi mengenang hari penubuhan Malaysia.

Lebih-lebih lagi tiada program sambutan secara besar-besaran dianjurkan di seluruh negara pada tarikh tersebut sejak dahulu lagi. Oleh itu bukan pelik tarikh bersejarah ini berlalu tanpa timbul rasa perbezaan dengan hari-hari biasa. Oleh kerana tarikh 16 September jatuh dalam bulan Ramadan, umat Islam berpuasa maka tiada sambutan diadakan.

Jika tahun-tahun terdahulu, Hari Malaysia disambut - itu pun kerana meraikan majlis penutupan Bulan Kemerdekaan dan ia hanya diadakan di negeri yang menjadi tuan rumah sambutan itu sahaja. Liputan yang diberikan oleh pihak media juga kurang meluas.

Apakah benar sesetengah rakyat negara ini tidak menghargai tarikh bersejarah 16 September 1963? Jangan salahkan pandangan bahawa kita sendiri mendiskriminasi tarikh 16 September berbanding tarikh 31 Ogos, sedangkan kedua-dua tarikh itu sama penting dalam lipatan sejarah negara.

Atau rakyat Malaysia lebih mengingati 16 September sebagai tarikh cadangan penubuhan kerajaan baru seperti dicanangkan oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim tahun lalu.

Mujur tarikh itu tidak mencipta sejarah kerana ia hanya satu impian Anwar semata-mata. Sebab itu, kerajaan wajar mengangkat Hari Malaysia setaraf dengan tarikh 31 Ogos agar tarikh terbentuknya negara kita lebih dihayati, dikenang dan dihargai oleh seluruh rakyat.

Hubungan antara kaum yang dilihat agak longgar sejak dua tahun kebelakangan ini perlu dipulihkan.

Jika tarikh 16 September dijadikan cuti umum maka elok hari tersebut diadakan acara yang memupuk perpaduan kaum termasuk melibatkan kaum-kaum di Sabah dan Sarawak. Tarikh terbentuknya Malaysia perlu lebih dihayati, dikenang dan dihargai bukan sahaja oleh rakyat Sabah dan Sarawak tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Tarikh itu wajar dikenang sebagai detik bersejarah kepada Malaysia kerana ia merupakan hari lahirnya sebuah negara baru di rantau ini.

Pada 16 September 1963 , Tunku Abdul Rahman Putra mengisytiharkan penubuhan Persekutuan Malaysia bagi menggantikan Persekutuan Tanah Melayu.

Pembentukan Malaysia itu membolehkan Singapura, Sabah dan Sarawak memperoleh kemerdekaan daripada British melalui Malaysia.

Berdasarkan geopolitik Asia Tenggara pada tahun-tahun 1960-an, penyatuan itu lebih bertujuan untuk menjamin perpaduan, kemakmuran dan keselamatan bersama terutama daripada ancaman komunis.

Dalam proses pembentukannya, gagasan itu ditentang oleh Filipina dan Indonesia. Beberapa tahun lalu Manila mengisytihar tidak akan menuntut Sabah yang berada dalam Malaysia.

Tetapi berlainan dengan Indonesia, masih ada api dalam sekam yang masih berbara. Dalam kempen pembersihan rakyat Malaysia di Indonesia sejak tiga minggu lalu pemerhati politik Datuk Hashim Suboh berpandangan, rakyat kita perlu sentiasa kekal matang, cerdik, bijaksana dan rasional.

"Rakyat Indonesia khususnya politikus, karyawan media, pemimpin NGO dan mahasiswa sebenarnya baru mula bernafas dalam udara demokrasi.

"Mereka yang ghairah tentang hak, ketelusan dan keterbukaan ini akan lambat-laun menyedari bahawa di alam realitinya bangsa Indonesia tidak boleh dimajukan dengan sajian politik retorik semata-mata," jelas Hashim ketika dihubungi.

Dalam konteks hubungan Malaysia-Indonesia, kata beliau, adalah penting untuk kita tidak lagi bersentimental dengan mereka. Buang jauh-jauh hubungan secara abang-adik kerana kita dan mereka pasti mudah terguris dan tercalar oleh sesuatu perkara berbanding dengan pola hubungan bersama rakan-rakan yang berdiri sama tinggi.

Kini terbukti penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia adalah suatu keputusan yang tepat dan terbukti membawa rahmat besar kepada rakyat dan kedua-dua negeri.

Dengan bukti kemajuan dan nikmat pembangunan yang dikecapi hari ini, tidak ada pihak boleh menafikan kewajaran penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia.

Kestabilan politik, kemakmuran sosial dan kemajuan ekonomi yang dikecapi sejak merdeka menerusi Malaysia 46 tahun lalu, jelas berjaya mengubah landskap kedua-dua negeri di Pulau Borneo itu.

Menurut Hashim yang juga Naib Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, kejayaan memajukan negara secara seimbang tanpa membiarkan mana-mana negeri atau daerah tertinggal, daif dan kelihatan seolah-olah terabai dan dipinggirkan mestilah dijadikan matlamat utama mana-mana kerajaan dan mereka yang diangkat menjadi pemimpin kerajaan.

Konsep federalisme perlu dihayati sepenuhnya biarpun kita bersaing habis-habisan di pentas politik. Sementara politik dan demokrasi perlu dimatang dan dimurnikan, Malaysia sesungguhnya kini memerlukan persekitaran politik yang lebih kondusif, cerdik, beradab dan saling menghormati di antara kerajaan-kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

"Bagi Sabah dan Sarawak mungkin telah tiba masanya parti-parti politik berasaskan negeri dinaikkan taraf atau diserapkan menjadi parti politik bertaraf nasional jika benar kita semua inginkan Malaysia yang satu dan holistik," kata Hashim.

Kecenderungan untuk melihat Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai entiti yang berada dalam petak atau kompartmen yang berasingan telah terhakis dengan cukup jelas sebaik-baik sahaja kita menghentikan penggunaan istilah Malaysia Barat untuk merujuk Semenanjung dan Malaysia Timur untuk Sabah dan Sarawak.

"Ia tambah dimantapkan lagi apabila Kerajaan Persekutuan membuat keputusan menyeragamkan waktu yang memberikan kesan psikologi yang cukup besar kepada seluruh rakyat tentang 'kesatuan' kita.

"Pada masa yang sama kelonggaran peraturan kemasukan rakyat dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak turut membantu melenyapkan perasaan 'keterasingan' yang amat tidak perlu itu.

"Supaya perasaan itu terus terhapus mungkin lebih wajar perkataan Semenanjung juga tidak perlu digunakan lagi selepas ini. Sebaliknya kita boleh terus merujuk identifikasi geografi kepada negeri atau bandar yang telah kita gunakan dengan selesa di luar perkataan Sabah dan Sarawak," jelas Hashim

Monday, September 14, 2009

Cabaran bertugas dalam 'tiub besi'

Sumber: Utusan
Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my

CEKAL. Itu mungkin gambaran tepat mengenai 32 anak Kapal Diraja Tunku Abdul Rahman (KD TAR). Ah, bunyinya sedikit pujian melangit tetapi seseorang anggota kapal selam harus tabah bertugas dan 'hidup' dalam tiub besi yang sempit selama 40 sehingga 50 hari.

Justeru, antara syarat utama untuk menganggotainya ialah keadaan mental anak-anak kapal selam harus berada pada tahap terbaik dan tidak boleh berasa takut atau mudah lemas ketika berada dalam ruang sempit (claustrophobia).

"Pada satu sesi pemilihan dalam kursus kapal selam yang saya sertai, ada yang claustrophobic sehingga tidak boleh membuang air dalam tandas yang kecil itu," jelas Komander Zulhelmy Ithnain kepada Mega di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Rabu lalu. Bagaimanapun, gambarnya tidak dibenarkan dirakamkan jurugambar.

"Bunyinya sedikit menggelikan hati namun sekiranya berhadapan sendiri, barulah seseorang itu dapat menilai kemampuan diri yang mungkin mudah berasa lemas seperti ketika bertugas, makan, mandi serta mengerjakan solat," katanya.

Selain itu, seseorang anggota kapal selam dalam mana-mana angkatan tentera laut di dunia haruslah tidak gemuk atau mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi yang ditetapkan pemerintahan masing-masing.

Ini kerana kesemua tangga dalam KD TAR adalah menegak, sementara ruang makan, mandi dan tidurnya secara perbandingan dengan sebuah rumah pangsa adalah terlalu kecil.
Namun, bagi sesiapa yang menggemari cabaran serta keseronokan bertugas dalam mana-mana kapal selam yang moden serta canggih, kesemua cabaran itu pastinya dapat diatasi dengan mudah.

Malah, ada sesetengah pemerhati pertahanan berpendapat penugasan di dalam kapal selam merupakan impian atau kemuncak karier seseorang anggota tentera laut yang terlibat dalam operasi di lautan.

Ditanya mengenai perkara itu, Zulhelmy memberitahu, dalam satu kursus motivasi TLDM yang diikutinya dahulu, pernah melukis gambar kapal selam dengan lakaran orang berdiri di atasnya.
"Orang itu adalah saya, inilah yang saya impikan," imbasnya.


Beliau pernah menyertai satu kursus kapal selam seawal 1993 sewaktu berpangkat leftenan bersama lima pegawai TLDM yang lain.

Hanya empat orang yang berjaya menamatkan latihan tersebut, manakala dua lagi terpaksa disingkirkan kerana masalah kesihatan antaranya rabun dan mempunyai berat badan berlebihan.

"Kesemua yang menamatkan latihan itu telah meninggalkan perkhidmatan TLDM dan di antara mereka, tinggal saya seorang yang masih bertugas," ujarnya.

Beliau yang kini berusia 42 tahun beranggapan, pemilihannya sebagai pegawai memerintah kapal selam pertama negara itu adalah berdasarkan nasib, di samping mempunyai keupayaan bersesuaian untuk tugas tersebut.

"Saya tidak boleh mengatakan anak-anak kapal selam KD TAR sebagai istimewa tetapi insya-Allah, kami mampu mengendalikannya," katanya menjawab soalan penulis dengan penuh rendah diri dan keinsafan.

Tugasan

Dalam sesebuah kapal selam, sesuatu maklumat biasanya disalurkan oleh beberapa pegawai yang dibenarkan meneropong ke atas dasar lautan melalui periskop.

Maklumat itu seterusnya disampaikan kepada anak-anak kapal lain untuk dianalisis bersama dan diambil tindakan selanjutnya.

Manakala dalam sesebuah kapal permukaan pula, maklumat biasanya disampaikan oleh anak-anak kapal yang bertugas mengawasi perairan sekitar, untuk dianalisis pegawai memerintah sebelum melaksanakan langkah seterunya.

Zulhelmy menjelaskan, keadaan itu menjadikan perhubungan di antara anak-anak kapal KD TAR sangat rapat dan mesra.

"Operasi penyampaian maklumat secara songsang itu membuatkan kami perlu mempercayai serta yakin di antara satu sama lain," jelasnya.

Cabaran utama bertugas dalam kapal perang itu pula, katanya, adalah berkenaan dengan psikologi dan emosi.

Mengetahui betapa sensitifnya peralatan dan sistem di dalam kapal selam, seseorang itu mungkin berhadapan dengan keresahan mengenai keselamatan masing-masing.

Sekiranya berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingini, mereka mempunyai ruang serta masa yang amat terhad untuk menyelamatkan diri.

"Pada waktu-waktu beginilah seseorang itu semakin dekat dengan tuhan masing-masing. Keampunan serta keselamatan sentiasa dipohon," ujarnya.

Keterujaan

Pertemuan singkat dengan pegawai memerintah kapal selam pertama negara itu sedikit sebanyak memberi gambaran jelas mengenai keseronokan, keterujaan dan cabaran yang dihadapi anak-anak kapal 'tiub besi' berkenaan.

Bagi Ketua Bahagian Mekanikal KD TAR, Leftenan Komander Chan Ling Ket, penugasan di dalam kapal selam memberinya keseronokan dan cabaran tersendiri.

Beliau yang berasal dari Kangar memberitahu, tempoh masa yang lama berada di dasar laut bersama rakan-rakan setugas membolehkannya memahami tradisi dan amalan mereka.

"Sejak 20 haribulan (Ogos) lalu sehingga 3 September, saya tidak pernah sekalipun 'tinggal' puasa. Saya berfikiran, jika kita mahu menghormati dan memahami insan lain, kita perlu lalui kehidupan mereka.

"Tetapi apabila mendarat sahaja, saya terus 'tinggalkan' puasa,'' katanya sambil tersenyum.
Bintara Kanan Teknik, Elektrik dan Radio (TLR), Jerry Koyoh pula memberitahu, perbezaan paling utama bertugas di dalam kapal selam berbanding kapal permukaan ialah anak-anak kapal selam perlu menjaga pemakanan yang diambil.
"Sekiranya kami banyak mengambil makanan berminyak dan berlemak, ia tidak bagus kerana tiada tempat untuk kami bersenam di dalam kapal selam.

"Jika ini berlaku, kesihatan pasti terganggu dan tugasan akan menjadi susah,'' tegasnya.

Bagi negara ini, memiliki kapal selam bukanlah suatu untuk dibangga-banggakan kecuali ia hanya sebagai keperluan bagi mana-mana negara maritim yang kedudukannya dikelilingi laut.

Mengenai pembangunan industri kapal selam negara pula, sesetengah pemerhati berpendapat, kerajaan harus menggalakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kapal selam supaya negara mampu menghasilkannya sendiri pada masa hadapan.

Ini seterusnya memastikan keupayaan sebenar kapal selam negara menjadi rahsia, sehingga menyebabkan mana-mana negara musuh terpaksa berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu.

Tuesday, September 8, 2009

Preview Perajurit September 2009

Sumber: forum Gempurwira

Mengharungi Pelan Dimensi Ke-4
ATMPacific Air Rally ‘09
1,531 Berjaya Menamatkan Latihan Asas Perajurit
PV SELANGOR-Komitmen Padu TLDM & BNSSB
Industri Perkapalan Rusia
Operasi SAR Maritim Malaysia
Sayap Udara Pasukan Khusus: Satu KeperluanKOPASKA
Minda Perajurit
Polis dan Keselamatan Negara
UCAM –Kamera Pengawasan Keselamatan
Kenderaan Pengurusan Krisis
Galeri Rejimen Pasukan Khas Brunei
PUMA IFV
-aneep-

Friday, September 4, 2009

Peruntukan Kementah menurun

Sumber: Utusan online
PELABUHAN KLANG 3 Sept. - Kementerian Pertahanan dijangka menerima peruntukan jauh lebih rendah dalam Bajet 2010 yang akan dibentangkan pada Oktober ini berbanding tahun lalu.

Pada Bajet 2009, kementerian itu menerima peruntukan Bajet Mengurus sebanyak RM10.65 bilion dan Bajet Pembangunan pula RM2.35 bilion.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu mengambil kira faktor keadaan ekonomi yang dihadapi negara sekarang.

''Jumlah bajet itu saya tidak boleh umumkan kerana ia embargo, tetapi pembahagiannya masih 80 peratus untuk pengurusan dan 20 peratus bagi pembangunan.

''Kita akan guna peruntukan tersebut untuk penyenggaraan,"' katanya ketika ditanya sama ada ekoran pengurang bajet itu kerajaan tidak akan membeli kapal atau pesawat baru.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis menyambut ketibaan kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman di Pusat Hidrografi Nasional, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Pulau Indah di sini hari ini.

Thursday, September 3, 2009

Kapal selam Malaysia tiba di Pelabuhan Klang


Sumber: Kosmo Online

SEREMBAN - Pemilikan dua kapal selam oleh Malaysia tidak akan mencetuskan perlumbaan kapal selam di rantau ini memandangkan negara-negara jiran sudahpun memilikinya, kata seorang penganalisis pertahanan.

Katanya, hasrat Malaysia untuk membeli kapal selam sudahpun dirancangkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sejak dari awal tahun 80-an lagi tetapi terhalang disebabkan kekangan kewangan.

Indonesia sudah mempunyai kapal selam sejak 1960-an, Singapura kini sudah ada empat buah dan Vietnam telah memesan enam kapal selam jenis Kilo, kata penganalisis itu kepada Bernama semalam.

"Malaysia cuma mengikut keperluan semasa," katanya merujuk kepada kapal selam pertama Malaysia KD Tunku Abdul Rahman yang dijangka tiba di jeti Pulau Indah, Pelabuhan Klang, pagi esok (hari ini).

Menurut penganalisis itu, tanpa kapal selam dalam perkhidmatannya, tentera laut negara tidak akan dapat mempelajari taktik memerangi kapal selam musuh.

Task Force 2010 ditamat awal

Sumber: utusan online
Oleh ARSHAD KHANpengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Task Force 2010 yang ditubuhkan pada 1997 dan sepatutnya berakhir tahun hadapan akan ditamatkan fungsinya penghujung tahun ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, melalui pembubaran itu, segala peranan yang dimainkan oleh Task Force 2010 akan diambil alih oleh agensi-agensi kerajaan yang sedia ada.

Katanya, penamatan itu bukan disebabkan sebarang bantahan oleh Thailand, tetapi dibuat atas persefahaman bersama kedua-dua negara.

"Tidak ada bantahan, tetapi kedua-dua pihak merasakan elok kita mengunakan agensi-agensi rasmi sedia ada dan bukannya agensi tambahan yang diwujudkan bagi menangani permasalahan itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Malaysia-Thailand Kali ke-49 (GBC) di sini hari ini. Turut hadir Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwon.

Task Force 2010 di pihak Malaysia yang ditubuhkan bersama Thailand untuk mempromosikan keamanan tiga wilayah yang sedang bergolak di negara jiran iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat.
Zahid berkata, penamatan Task Force 2010 dibuat dengan persetujuan Kabinet.

Kata beliau, walaupun tanpa Task Force 2010, pihaknya yakin agensi-agensi sedia ada dapat mewujudkan keberkesanan yang sama dalam membantu masyarakat Islam di selatan Thailand.

"Apa yang telah kita setuju bersama ialah kita bantu masyarakat Islam di Thailand untuk meneruskan kehidupan mereka cara aman, dapat pendidikan mengikut kurikulum seperti ditetapkan pihak Bangkok, menjalankan ibadah sebagai orang Islam tanpa gangguan.

"Selain melatih ahli-ahli separa profesional untuk mendapat latihan tambahan di Malaysia untuk mewujudkan peluang pekerjaan di selatan Thailand," katanya.

Selain itu, kata beliau, satu resolusi bersama turut dicapai GEB iaitu untuk mewujudkan kerjasama yang lebih erat antara kedua negara untuk membanteras aktiviti penyeludupan manusia.

"Kita telah melakukan satu resolusi bersama yang mana langkah-langkah dibuat berikutan tuduhan bahawa Thailand dan Malaysia jadi pangkalan penyeludupan orang-orang Myanmar yang masuk atau keluar dari negara ini.

''Selain ada juga tuduhan kita dijadikan pangkalan oleh beberapa negara di Indo-China untuk masuk ke kawasan kita,'' katanya.

Justeru, katanya lagi, langkah-langkah yang dipersetujui ialah memperketatkan kawalan sempadan dan menentukan bahawa pengawasan dilakukan terhadap kalangan masyarakat tempatan agar tidak ada kerjasama antara penduduk tempatan Malaysia atau Thailand yang membantu penyeludupan manusia," katanya.

Selain itu, kata beliau, mesyuarat itu juga bersetuju dengan penubuhan Kompleks Kastam dan Imigresen (CIQ) yang baru di sempadan kedua negara, tetapi ia akan dibincangkan lebih lanjut.

Wednesday, September 2, 2009

PAR '09 gegar ladang tebu Chuping


Sumber: utusan online
Oleh ANDIKA WAHAB

LENGGANG. Keadaan di kawasan berkenaan sunyi sepi dan seperti biasa penduduk di situ menjalankan aktiviti harian mereka seperti biasa.
Tiada apa yang istimewa di kawasan berkenaan yang dianggap sebagai jauh dari kesibukan bandar.

Ia bukanlah kawasan strategik. Jauh sekali sebagai lokasi pelancongan.
Dengan kata lain, tiada apa yang istimewa untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai daya tarikan pengunjung.

Namun, suasana yang tenteram itu tiba-tiba dikejutkan dengan kehadiran pasukan tentera hingga bertukar menjadi 'kelam-kabut.'

Keadaan seolah-olah berlaku peperangan hebat hingga menyebabkan suasana tidak tenteram.
Bagaimanapun semua ini adalah demonstrasi latihan ketenteraan.

Ia gara-gara kehadiran sekumpulan pasukan tentera udara terdiri daripada 21 negara peserta dalam Pasific Airlift Rally 2009 (PAR '09) yang melaksanakan sesi latihan pengguguran bantuan udara di kawasan ladang tebu terbesar di Chuping, Perlis.

Sebanyak tujuh pesawat pengangkut jenis C130H dan satu pesawat tentera buatan Rusia jenis AN-32 melakukan latihan pengguguran melibatkan 30 pek bantuan udara tepat ke arah lokasi pengguguran.

Kesemua pesawat milik Amerika Syarikat, Australia, Malaysia, Rusia, Singapura dan New Zealand tersebut adalah antara 21 negara peserta yang menyertai siri latihan pengguguran bantuan udara pada hari keempat penganjuran PAR bermula 17 hingga 21 Ogos lalu.

Antara negara lain menyertai PAR tahun ini ialah Kemboja, Kanada, India, Indonesia, Laos, Nepal, Papua New Guinea, Korea Selatan, Sri Lanka, Thailand, Tongo dan Brunei.

Suasana yang jarang sekali berlaku itu turut menarik perhatian penduduk sekitar kawasan berkenaan yang memberhentikan kenderaan masing-masing sepanjang jalan raya berhampiran untuk menyaksikan eksesais dianjurkan bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Udara Amerika Syarikat.

Ia sememangnya menjadi daya tarikan memandangkan latihan itu merupakan yang pertama dianjurkan menerusi PAR di Perlis walaupun latihan tersebut merupakan kali kedua di negara ini.

Sebelum ini, Malaysia menjadi lokasi penganjuran pertama PAR bertempat di Langkawi, Kedah pada 2003.

Penganjuran eksesais secara dwi tahunan yang dianjurkan buat kali keempat di peringkat rantau Pasifik ini memilih lokasi ladang tebu tersebut memandangkan ia antara kawasan lapang paling sesuai setelah mendapat persetujuan daripada pemilik ladang itu.

Eksesais pengguguran bantuan udara pada hari keempat penganjuran PAR itu bermula tepat pukul 2 petang dengan kemunculan pesawat pengangkut C130H di ruang udara sekitar ladang tebu tersebut bagi melakukan pemantauan awal.

Ia bertujuan memastikan semua persediaan awal termasuk zon pengguguran tepat bersiap sedia sebelum operasi pengguguran dilakukan.

Sepuluh minit kemudian, muncul sebuah pesawat kedua untuk menyempurnakan pengguguran bantuan udara kali pertama.

pengguguran

Kira-kira 20 pek bantuan udara telah dilepaskan tepat pada zon pengguguran seperti yang telah dirancang selari dengan dua konsep utama ditekankan dalam eksesais tersebut menerusi Command Post Exercise (CPX) dan Field Training Exercise (FTX).

Selang 10 minit seterusnya, muncul pula pesawat ketiga sehinggalah kepada pesawat pengangkut terakhir dalam latihan pengguguran bantuan udara tersebut pada kira-kira pukul 3 petang.

Mengikut operasi pengguguran sebenar, antara barang yang terkandung dalam pek bantuan udara tersebut ialah makanan, bahan perubatan, pakaian dan beberapa keperluan lain mengikut had berat dan kapasiti pesawat pengangkut.

Bagaimanapun, kesemua barang yang dimuatkan dalam pek bantuan udara sepanjang latihan pengguguran tersebut adalah bahan 'tiruan' atau 'dummy' semata-mata.

Ia bertujuan mengelakkan sebarang elemen ketidakcekapan pengurusan termasuk pembaziran dalam setiap eksesais yang dilaksanakan menerusi PAR.

Apa yang penting, had berat bahan dalam pek bantuan tersebut sama dengan had berat keperluan bantuan udara dalam operasi sebenar.

Menurut Panglima 1 Divisyen Udara, Mejar Jeneral Datuk Roslan Saad, eksesais itu tidak tertumpu kepada kaedah pengguguran bantuan udara semata-mata malah lebih kepada kerjasama dalam membentuk satu pasukan udara yang mempunyai tahap kesiapsiagaan tinggi.

Selain itu, katanya, ia bertujuan meningkatkan keserasian dan persefahaman di kalangan anggota tentera pelbagai negara di rantau Pasifik seterusnya membentuk satu pasukan keselamatan yang mampu melaksanakan operasi bantuan udara dengan cekap dan terancang.

"Selain meningkatkan kecekapan atur gerak dan koordinasi dalam misi bantuan udara, PAR '09 juga menjadi platform terbaik kepada semua negara peserta bertukar-tukar maklumat, teknik dan pengalaman dalam operasi tersebut.

"Setiap negara terbabit mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Dengan adanya eksesais ini, kita dapat melakukan penambahbaikan dan melakukan transformasi dalam mengatur gerak operasi dalam satu pasukan.

"Ini telah meningkatkan keyakinan kita (negara peserta) untuk bergerak secara berpasukan dalam menyempurnakan mana-mana misi bantuan kepada negara dilanda bencana alam yang kritikal khususnya di rantau Pasifik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menutup Eksesais PAR '09 yang berlangsung di Pangkalan Tentera Udara Subang, Selangor, baru-baru ini.

Seramai 365 pegawai dan anggota dari 21 buah negara peserta PAR terlibat dalam eksesais itu.
Sementara itu, Pengarah Eksesais PAR '09, Kolonel Mustak Ahmad berkata, eksesais tersebut berjaya menjadi landasan terbaik bagi meningkatkan jalinan kerjasama pelbagai hala di kalangan negara peserta.

Katanya, ia juga dapat meningkatkan strategi perancangan dan pelaksanaan semua negara peserta dalam misi bantuan kemanusiaan.

Beliau menambah, ini dapat dilihat melalui kerjasama berpasukan dan komitmen tinggi dipamerkan oleh semua negara sepanjang lima hari latihan tersebut berlangsung.

"Eksesais ini juga berjaya memberi pendedahan dan kesedaran meluas tentang kepentingan kemahiran, teknologi dan daya kerja berpasukan dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa bencana alam.

"Selain itu, ia juga berjaya meningkatkan nilai kerja berpasukan dengan perancangan strategik dalam usaha mewujudkan kecekapan bantuan udara bagi memacu operasi bantuan kemanusiaan serantau," katanya.

Menurutnya, kesemua nilai-nilai tersebut dapat dilihat menerusi pelaksanaan sesi latihan pengguguran bantuan udara pada hari keempat penganjuran PAR '09 itu.

Katanya, nilai-nilai seperti kerjasama berpasukan, komitmen dan persefahaman dalam membentuk koordinasi operasi secara strategik dapat dilihat menerusi sesi latihan tersebut.
"Itu adalah hasil awal yang diperolehi setelah menjalankan eksesais ini.

"Kita (TUDM) berbangga kerana berjaya terpilih menjadi hos atau penganjur utama buat kali kedua dalam PAR ini," katanya.

Dalam pada itu, seorang anggota tentera dari pasukan Tentera Udara Nepal, Mejar Tara Bhushan Sujakhu berkata, dia berterima kasih kepada pihak atasannya kerana memberi peluang menyertai eksesais yang sangat berprestij ini.

Katanya, ucapan terima kasih juga disampaikan kepada TUDM dan Malaysia sendiri sebagai penganjur rasmi kerana memberikan kemudahan dan kelengkapan cukup sempurna sepanjang penganjuran PAR '09.

perancangan

"Walaupun anggota tentera dari Nepal tidak berfungsi sebagai salah satu negara pelaksana dalam eksesais pengguguran bantuan udara di Chuping, Perlis, tetapi kita di beri peluang bersama-sama merangka pelan perancangan latihan dalam seminar antarabangsa FTX.

"Justeru, kita juga masih ada sumbangan dan menerima manfaat terbaik di samping dapat bertukar-tukar maklumat dan kemahiran khususnya dalam usaha meningkatkan strategi dan pelaksanaan operasi bantuan udara sama ada secara unilateral atau multilateral," katanya.

Menurutnya, dia telah menimba banyak pengalaman dan pelbagai kemahiran sepanjang mengikuti PAR '09 di negara ini.

Antaranya ialah penekanan supaya dapat bekerjasama dalam satu pasukan, membentuk koordinasi dan perancangan operasi secara strategik.

"Selain itu, latihan ini juga sebagai persiapan awal ke arah pembentukan satu pasukan udara di rantau Pasifik yang sentiasa bersiap sedia menghulur bantuan khususnya kepada mana-mana negara dilanda bencana alam kritikal," katanya.

Pada masa sama, tambahnya, beliau juga teruja dan kagum melihat keindahan dan alam semula jadi di beberapa kawasan di negara ini.

Katanya, walaupun Malaysia sudah jauh lebih maju berbanding Nepal, masih ada lagi tempat-tempat yang masih dipelihara dari aspek kehijauan dan kesuburannya seperti di Chuping, Perlis.

Sementara itu, Pegawai Waran TUDM, Hardy Mohamad Haron, 27, berkata, latihan pengguguran bantuan udara di Chuping, Perlis pada hari keempat eksesais PAR adalah platform terbaik kepada TUDM untuk bertukar-tukar pengalaman dengan negara-negara di rantau Pasifik.

Katanya, peluang tersebut dimanfaatkan sebaiknya untuk meningkatkan kemahiran dan skil dalam melakukan operasi tersebut secara pakatan dengan rakan dari negara-negara lain.

"Sebelum ini, semua negara di rantau Pasifik tidak melakukan sebarang operasi bantuan udara secara pakatan atau dalam bentuk pasukan. Kita melakukannya secara bersendirian dan tidak tertumpu kepada koordinasi secara kumpulan.

"Sebagai contoh semasa bencana tsunami di Aceh, semua negara termasuk Malaysia, Singapura, Australia dan Amerika Syarikat melakukan pengguguran bantuan udara secara unilateral.

"Akibatnya, menghadapi sedikit masalah dalam operasi pengguguran tersebut kerana berhadapan dengan pelbagai masalah seperti ketiadaan koordinasi, kawasan lapang untuk pengguguran, pengurusan dan rangkaian untuk mendarat dan sebagainya," katanya.

Justeru tambahnya, menerusi PAR, semua negara dapat berkumpul dan melakukan latihan sebagai persediaan awal melakukan sebarang bentuk operasi pengguguran atau bantuan udara dengan lebih terancang.

PAT Baru

sumber : utusan online


KUALA LUMPUR 1 Sept. - Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin yang hari ini secara rasmi mengambil alih jawatan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berazam meneruskan perubahan dan peningkatan kemampuan pasukan pertahanan negara.

Katanya, selaku Panglima ATM pertama daripada cabang udara, beliau memikul satu amanah, kepercayaan dan tanggungjawab yang amat besar untuk meningkatkan kekuatan negara di rantau ini.

Jelasnya, peningkatan kemampuan pertahanan juga mencerminkan pengukuhan maruah negara yang merupakan sesuatu yang amat perlu diberikan perhatian.

"Bersempena dengan pelantikan saya selaku Panglima ATM yang baru hari ini, saya merafak sembah melafazkan ikrar taat setia tidak berbelah bagi kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Panglima Tertinggi ATM.

"Saya juga dengan penuh takzim dan ikhlas merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan atas penghormatan serta kepercayaan kepada saya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis serah terima tugas dengan bekas Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir menyaksikan majlis berkenaan.

Azizan dilahirkan di Kedah pada 1952 dan mula berkhidmat dalam ATM sejak 1971 dan mencipta sejarah sebagai Panglima Tentera Udara pertama dilantik ke jawatan Panglima ATM.
Azizan berkata, beliau menyedari wujud kekangan dari segi bajet untuk meningkatkan kemampuan ATM secara mendadak, namun itu tidak menjadi penghalang kepada beliau untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi faedah ATM.

Dalam pada itu, Abdul Aziz dalam ucapannya pada majlis itu berkata, beliau penuh yakin dengan kredibiliti dan pengalaman luas Azizan.

"Dengan sokongan semua pihak, beliau akan dapat melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan jaya dan cemerlang, insya-Allah," katanya.
Menurutnya, selama empat dekad berada dalam bidang ketenteraan, ia mengajar beliau satu perkara penting iaitu perlu ada kesetiaan dalam jiwa.

"Kesetiaan saya tidak akan berubah demi negara," katanya.

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini