About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, September 14, 2009

Cabaran bertugas dalam 'tiub besi'

Sumber: Utusan
Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my

CEKAL. Itu mungkin gambaran tepat mengenai 32 anak Kapal Diraja Tunku Abdul Rahman (KD TAR). Ah, bunyinya sedikit pujian melangit tetapi seseorang anggota kapal selam harus tabah bertugas dan 'hidup' dalam tiub besi yang sempit selama 40 sehingga 50 hari.

Justeru, antara syarat utama untuk menganggotainya ialah keadaan mental anak-anak kapal selam harus berada pada tahap terbaik dan tidak boleh berasa takut atau mudah lemas ketika berada dalam ruang sempit (claustrophobia).

"Pada satu sesi pemilihan dalam kursus kapal selam yang saya sertai, ada yang claustrophobic sehingga tidak boleh membuang air dalam tandas yang kecil itu," jelas Komander Zulhelmy Ithnain kepada Mega di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Rabu lalu. Bagaimanapun, gambarnya tidak dibenarkan dirakamkan jurugambar.

"Bunyinya sedikit menggelikan hati namun sekiranya berhadapan sendiri, barulah seseorang itu dapat menilai kemampuan diri yang mungkin mudah berasa lemas seperti ketika bertugas, makan, mandi serta mengerjakan solat," katanya.

Selain itu, seseorang anggota kapal selam dalam mana-mana angkatan tentera laut di dunia haruslah tidak gemuk atau mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi yang ditetapkan pemerintahan masing-masing.

Ini kerana kesemua tangga dalam KD TAR adalah menegak, sementara ruang makan, mandi dan tidurnya secara perbandingan dengan sebuah rumah pangsa adalah terlalu kecil.
Namun, bagi sesiapa yang menggemari cabaran serta keseronokan bertugas dalam mana-mana kapal selam yang moden serta canggih, kesemua cabaran itu pastinya dapat diatasi dengan mudah.

Malah, ada sesetengah pemerhati pertahanan berpendapat penugasan di dalam kapal selam merupakan impian atau kemuncak karier seseorang anggota tentera laut yang terlibat dalam operasi di lautan.

Ditanya mengenai perkara itu, Zulhelmy memberitahu, dalam satu kursus motivasi TLDM yang diikutinya dahulu, pernah melukis gambar kapal selam dengan lakaran orang berdiri di atasnya.
"Orang itu adalah saya, inilah yang saya impikan," imbasnya.


Beliau pernah menyertai satu kursus kapal selam seawal 1993 sewaktu berpangkat leftenan bersama lima pegawai TLDM yang lain.

Hanya empat orang yang berjaya menamatkan latihan tersebut, manakala dua lagi terpaksa disingkirkan kerana masalah kesihatan antaranya rabun dan mempunyai berat badan berlebihan.

"Kesemua yang menamatkan latihan itu telah meninggalkan perkhidmatan TLDM dan di antara mereka, tinggal saya seorang yang masih bertugas," ujarnya.

Beliau yang kini berusia 42 tahun beranggapan, pemilihannya sebagai pegawai memerintah kapal selam pertama negara itu adalah berdasarkan nasib, di samping mempunyai keupayaan bersesuaian untuk tugas tersebut.

"Saya tidak boleh mengatakan anak-anak kapal selam KD TAR sebagai istimewa tetapi insya-Allah, kami mampu mengendalikannya," katanya menjawab soalan penulis dengan penuh rendah diri dan keinsafan.

Tugasan

Dalam sesebuah kapal selam, sesuatu maklumat biasanya disalurkan oleh beberapa pegawai yang dibenarkan meneropong ke atas dasar lautan melalui periskop.

Maklumat itu seterusnya disampaikan kepada anak-anak kapal lain untuk dianalisis bersama dan diambil tindakan selanjutnya.

Manakala dalam sesebuah kapal permukaan pula, maklumat biasanya disampaikan oleh anak-anak kapal yang bertugas mengawasi perairan sekitar, untuk dianalisis pegawai memerintah sebelum melaksanakan langkah seterunya.

Zulhelmy menjelaskan, keadaan itu menjadikan perhubungan di antara anak-anak kapal KD TAR sangat rapat dan mesra.

"Operasi penyampaian maklumat secara songsang itu membuatkan kami perlu mempercayai serta yakin di antara satu sama lain," jelasnya.

Cabaran utama bertugas dalam kapal perang itu pula, katanya, adalah berkenaan dengan psikologi dan emosi.

Mengetahui betapa sensitifnya peralatan dan sistem di dalam kapal selam, seseorang itu mungkin berhadapan dengan keresahan mengenai keselamatan masing-masing.

Sekiranya berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingini, mereka mempunyai ruang serta masa yang amat terhad untuk menyelamatkan diri.

"Pada waktu-waktu beginilah seseorang itu semakin dekat dengan tuhan masing-masing. Keampunan serta keselamatan sentiasa dipohon," ujarnya.

Keterujaan

Pertemuan singkat dengan pegawai memerintah kapal selam pertama negara itu sedikit sebanyak memberi gambaran jelas mengenai keseronokan, keterujaan dan cabaran yang dihadapi anak-anak kapal 'tiub besi' berkenaan.

Bagi Ketua Bahagian Mekanikal KD TAR, Leftenan Komander Chan Ling Ket, penugasan di dalam kapal selam memberinya keseronokan dan cabaran tersendiri.

Beliau yang berasal dari Kangar memberitahu, tempoh masa yang lama berada di dasar laut bersama rakan-rakan setugas membolehkannya memahami tradisi dan amalan mereka.

"Sejak 20 haribulan (Ogos) lalu sehingga 3 September, saya tidak pernah sekalipun 'tinggal' puasa. Saya berfikiran, jika kita mahu menghormati dan memahami insan lain, kita perlu lalui kehidupan mereka.

"Tetapi apabila mendarat sahaja, saya terus 'tinggalkan' puasa,'' katanya sambil tersenyum.
Bintara Kanan Teknik, Elektrik dan Radio (TLR), Jerry Koyoh pula memberitahu, perbezaan paling utama bertugas di dalam kapal selam berbanding kapal permukaan ialah anak-anak kapal selam perlu menjaga pemakanan yang diambil.
"Sekiranya kami banyak mengambil makanan berminyak dan berlemak, ia tidak bagus kerana tiada tempat untuk kami bersenam di dalam kapal selam.

"Jika ini berlaku, kesihatan pasti terganggu dan tugasan akan menjadi susah,'' tegasnya.

Bagi negara ini, memiliki kapal selam bukanlah suatu untuk dibangga-banggakan kecuali ia hanya sebagai keperluan bagi mana-mana negara maritim yang kedudukannya dikelilingi laut.

Mengenai pembangunan industri kapal selam negara pula, sesetengah pemerhati berpendapat, kerajaan harus menggalakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kapal selam supaya negara mampu menghasilkannya sendiri pada masa hadapan.

Ini seterusnya memastikan keupayaan sebenar kapal selam negara menjadi rahsia, sehingga menyebabkan mana-mana negara musuh terpaksa berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini