Sumber: utusan online
Oleh ANDIKA WAHAB
LENGGANG. Keadaan di kawasan berkenaan sunyi sepi dan seperti biasa penduduk di situ menjalankan aktiviti harian mereka seperti biasa.
Tiada apa yang istimewa di kawasan berkenaan yang dianggap sebagai jauh dari kesibukan bandar.
Tiada apa yang istimewa di kawasan berkenaan yang dianggap sebagai jauh dari kesibukan bandar.
Ia bukanlah kawasan strategik. Jauh sekali sebagai lokasi pelancongan.
Dengan kata lain, tiada apa yang istimewa untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai daya tarikan pengunjung.
Namun, suasana yang tenteram itu tiba-tiba dikejutkan dengan kehadiran pasukan tentera hingga bertukar menjadi 'kelam-kabut.'
Keadaan seolah-olah berlaku peperangan hebat hingga menyebabkan suasana tidak tenteram.
Bagaimanapun semua ini adalah demonstrasi latihan ketenteraan.
Ia gara-gara kehadiran sekumpulan pasukan tentera udara terdiri daripada 21 negara peserta dalam Pasific Airlift Rally 2009 (PAR '09) yang melaksanakan sesi latihan pengguguran bantuan udara di kawasan ladang tebu terbesar di Chuping, Perlis.
Sebanyak tujuh pesawat pengangkut jenis C130H dan satu pesawat tentera buatan Rusia jenis AN-32 melakukan latihan pengguguran melibatkan 30 pek bantuan udara tepat ke arah lokasi pengguguran.
Kesemua pesawat milik Amerika Syarikat, Australia, Malaysia, Rusia, Singapura dan New Zealand tersebut adalah antara 21 negara peserta yang menyertai siri latihan pengguguran bantuan udara pada hari keempat penganjuran PAR bermula 17 hingga 21 Ogos lalu.
Antara negara lain menyertai PAR tahun ini ialah Kemboja, Kanada, India, Indonesia, Laos, Nepal, Papua New Guinea, Korea Selatan, Sri Lanka, Thailand, Tongo dan Brunei.
Suasana yang jarang sekali berlaku itu turut menarik perhatian penduduk sekitar kawasan berkenaan yang memberhentikan kenderaan masing-masing sepanjang jalan raya berhampiran untuk menyaksikan eksesais dianjurkan bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Udara Amerika Syarikat.
Ia sememangnya menjadi daya tarikan memandangkan latihan itu merupakan yang pertama dianjurkan menerusi PAR di Perlis walaupun latihan tersebut merupakan kali kedua di negara ini.
Sebelum ini, Malaysia menjadi lokasi penganjuran pertama PAR bertempat di Langkawi, Kedah pada 2003.
Penganjuran eksesais secara dwi tahunan yang dianjurkan buat kali keempat di peringkat rantau Pasifik ini memilih lokasi ladang tebu tersebut memandangkan ia antara kawasan lapang paling sesuai setelah mendapat persetujuan daripada pemilik ladang itu.
Eksesais pengguguran bantuan udara pada hari keempat penganjuran PAR itu bermula tepat pukul 2 petang dengan kemunculan pesawat pengangkut C130H di ruang udara sekitar ladang tebu tersebut bagi melakukan pemantauan awal.
Ia bertujuan memastikan semua persediaan awal termasuk zon pengguguran tepat bersiap sedia sebelum operasi pengguguran dilakukan.
Sepuluh minit kemudian, muncul sebuah pesawat kedua untuk menyempurnakan pengguguran bantuan udara kali pertama.
pengguguran
Kira-kira 20 pek bantuan udara telah dilepaskan tepat pada zon pengguguran seperti yang telah dirancang selari dengan dua konsep utama ditekankan dalam eksesais tersebut menerusi Command Post Exercise (CPX) dan Field Training Exercise (FTX).
Selang 10 minit seterusnya, muncul pula pesawat ketiga sehinggalah kepada pesawat pengangkut terakhir dalam latihan pengguguran bantuan udara tersebut pada kira-kira pukul 3 petang.
Mengikut operasi pengguguran sebenar, antara barang yang terkandung dalam pek bantuan udara tersebut ialah makanan, bahan perubatan, pakaian dan beberapa keperluan lain mengikut had berat dan kapasiti pesawat pengangkut.
Bagaimanapun, kesemua barang yang dimuatkan dalam pek bantuan udara sepanjang latihan pengguguran tersebut adalah bahan 'tiruan' atau 'dummy' semata-mata.
Ia bertujuan mengelakkan sebarang elemen ketidakcekapan pengurusan termasuk pembaziran dalam setiap eksesais yang dilaksanakan menerusi PAR.
Apa yang penting, had berat bahan dalam pek bantuan tersebut sama dengan had berat keperluan bantuan udara dalam operasi sebenar.
Menurut Panglima 1 Divisyen Udara, Mejar Jeneral Datuk Roslan Saad, eksesais itu tidak tertumpu kepada kaedah pengguguran bantuan udara semata-mata malah lebih kepada kerjasama dalam membentuk satu pasukan udara yang mempunyai tahap kesiapsiagaan tinggi.
Selain itu, katanya, ia bertujuan meningkatkan keserasian dan persefahaman di kalangan anggota tentera pelbagai negara di rantau Pasifik seterusnya membentuk satu pasukan keselamatan yang mampu melaksanakan operasi bantuan udara dengan cekap dan terancang.
"Selain meningkatkan kecekapan atur gerak dan koordinasi dalam misi bantuan udara, PAR '09 juga menjadi platform terbaik kepada semua negara peserta bertukar-tukar maklumat, teknik dan pengalaman dalam operasi tersebut.
"Setiap negara terbabit mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Dengan adanya eksesais ini, kita dapat melakukan penambahbaikan dan melakukan transformasi dalam mengatur gerak operasi dalam satu pasukan.
"Ini telah meningkatkan keyakinan kita (negara peserta) untuk bergerak secara berpasukan dalam menyempurnakan mana-mana misi bantuan kepada negara dilanda bencana alam yang kritikal khususnya di rantau Pasifik," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menutup Eksesais PAR '09 yang berlangsung di Pangkalan Tentera Udara Subang, Selangor, baru-baru ini.
Seramai 365 pegawai dan anggota dari 21 buah negara peserta PAR terlibat dalam eksesais itu.
Sementara itu, Pengarah Eksesais PAR '09, Kolonel Mustak Ahmad berkata, eksesais tersebut berjaya menjadi landasan terbaik bagi meningkatkan jalinan kerjasama pelbagai hala di kalangan negara peserta.
Katanya, ia juga dapat meningkatkan strategi perancangan dan pelaksanaan semua negara peserta dalam misi bantuan kemanusiaan.
Beliau menambah, ini dapat dilihat melalui kerjasama berpasukan dan komitmen tinggi dipamerkan oleh semua negara sepanjang lima hari latihan tersebut berlangsung.
"Eksesais ini juga berjaya memberi pendedahan dan kesedaran meluas tentang kepentingan kemahiran, teknologi dan daya kerja berpasukan dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa bencana alam.
"Selain itu, ia juga berjaya meningkatkan nilai kerja berpasukan dengan perancangan strategik dalam usaha mewujudkan kecekapan bantuan udara bagi memacu operasi bantuan kemanusiaan serantau," katanya.
Menurutnya, kesemua nilai-nilai tersebut dapat dilihat menerusi pelaksanaan sesi latihan pengguguran bantuan udara pada hari keempat penganjuran PAR '09 itu.
Katanya, nilai-nilai seperti kerjasama berpasukan, komitmen dan persefahaman dalam membentuk koordinasi operasi secara strategik dapat dilihat menerusi sesi latihan tersebut.
"Itu adalah hasil awal yang diperolehi setelah menjalankan eksesais ini.
"Kita (TUDM) berbangga kerana berjaya terpilih menjadi hos atau penganjur utama buat kali kedua dalam PAR ini," katanya.
Dalam pada itu, seorang anggota tentera dari pasukan Tentera Udara Nepal, Mejar Tara Bhushan Sujakhu berkata, dia berterima kasih kepada pihak atasannya kerana memberi peluang menyertai eksesais yang sangat berprestij ini.
Katanya, ucapan terima kasih juga disampaikan kepada TUDM dan Malaysia sendiri sebagai penganjur rasmi kerana memberikan kemudahan dan kelengkapan cukup sempurna sepanjang penganjuran PAR '09.
perancangan
"Walaupun anggota tentera dari Nepal tidak berfungsi sebagai salah satu negara pelaksana dalam eksesais pengguguran bantuan udara di Chuping, Perlis, tetapi kita di beri peluang bersama-sama merangka pelan perancangan latihan dalam seminar antarabangsa FTX.
"Justeru, kita juga masih ada sumbangan dan menerima manfaat terbaik di samping dapat bertukar-tukar maklumat dan kemahiran khususnya dalam usaha meningkatkan strategi dan pelaksanaan operasi bantuan udara sama ada secara unilateral atau multilateral," katanya.
Menurutnya, dia telah menimba banyak pengalaman dan pelbagai kemahiran sepanjang mengikuti PAR '09 di negara ini.
Antaranya ialah penekanan supaya dapat bekerjasama dalam satu pasukan, membentuk koordinasi dan perancangan operasi secara strategik.
"Selain itu, latihan ini juga sebagai persiapan awal ke arah pembentukan satu pasukan udara di rantau Pasifik yang sentiasa bersiap sedia menghulur bantuan khususnya kepada mana-mana negara dilanda bencana alam kritikal," katanya.
Pada masa sama, tambahnya, beliau juga teruja dan kagum melihat keindahan dan alam semula jadi di beberapa kawasan di negara ini.
Katanya, walaupun Malaysia sudah jauh lebih maju berbanding Nepal, masih ada lagi tempat-tempat yang masih dipelihara dari aspek kehijauan dan kesuburannya seperti di Chuping, Perlis.
Sementara itu, Pegawai Waran TUDM, Hardy Mohamad Haron, 27, berkata, latihan pengguguran bantuan udara di Chuping, Perlis pada hari keempat eksesais PAR adalah platform terbaik kepada TUDM untuk bertukar-tukar pengalaman dengan negara-negara di rantau Pasifik.
Katanya, peluang tersebut dimanfaatkan sebaiknya untuk meningkatkan kemahiran dan skil dalam melakukan operasi tersebut secara pakatan dengan rakan dari negara-negara lain.
"Sebelum ini, semua negara di rantau Pasifik tidak melakukan sebarang operasi bantuan udara secara pakatan atau dalam bentuk pasukan. Kita melakukannya secara bersendirian dan tidak tertumpu kepada koordinasi secara kumpulan.
"Sebagai contoh semasa bencana tsunami di Aceh, semua negara termasuk Malaysia, Singapura, Australia dan Amerika Syarikat melakukan pengguguran bantuan udara secara unilateral.
"Akibatnya, menghadapi sedikit masalah dalam operasi pengguguran tersebut kerana berhadapan dengan pelbagai masalah seperti ketiadaan koordinasi, kawasan lapang untuk pengguguran, pengurusan dan rangkaian untuk mendarat dan sebagainya," katanya.
Justeru tambahnya, menerusi PAR, semua negara dapat berkumpul dan melakukan latihan sebagai persediaan awal melakukan sebarang bentuk operasi pengguguran atau bantuan udara dengan lebih terancang.
No comments:
Post a Comment