About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Friday, November 3, 2023

PENGANJURAN KARNIVAL HARI ATM 2023 BERJAYA

Oleh: Paklang Hamzah


Lumut 3 Nov - Seramai 136,361 pengunjung dicatatkan hadir pada penganjuran Karnival Hari ATM (KHA) 2023 yang lalu.  KHA yang berlangsung mulai 13 hingga 15 Oktober di Pangkalan TLDM Lumut adalah kolaborasi dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan Darat, Laut dan Udara dalam usaha mempromosikan peranan ATM dalam melindungi kedaulatan dan integriti wilayah negara tercinta.


Penganjuran KHA 2023 ini adalah bersempena dengan Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-90 Tahun 2023 yang disambut pada 10 Oktober yang lalu. Bertemakan “Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama” telah mendapat sokongan padu rakyat Malaysia terhadap ATM dan TLDM khususnya.  


KHA berjaya mendekatkan masyarakat dengan ATM melalui segmen Demonstrasi Operasi Maritim melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan Darat, Laut dan Udara.Turut mencuri perhatian penonton ialah persembahan Kawad Senyap, Pancaragam, Army The Red Warrior dan Anjing Perang TDM, serta Penerjunan Bebas Pasukan Khas ATM. 


Pengunjung juga berpeluang menyaksikan upacara tradisi tentera laut iaitu Sunset Ceremony oleh kapal-kapal yang bertambat di dermaga TLDM dan menyaksikan secara dekat aset-aset pertahanan negara melalui segmen Pameran Statik dan melawat kapal-kapal TLDM. 


Banyak Agensi Terlibat

Di samping itu, terdapat juga segmen pameran melibatkan agensi kerajaan yang lain seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Penjara, Kastam dan Bomba serta Kementerian Kesihatan Malaysia. Pameran juga turut melibatkan institusi kewangan seperti Affin Bank, Bank Rakyat, Bank Islam, Bank Muamalat dan Maybank serta badan-badan korporat seperti Koperasi Tentera, PERNAMA, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Lembaga Air Perak, PERKESO, Tourism Perak, Universiti Malaysia Terengganu dan Yayasan Ikhlas serta syarikat-syarikat swasta dari sektor hartanah, telekomunikasi dan pelaburan.


Selain demonstrasi dan pameran, pengunjung turut diberi peluang menyertai pertandingan yang dianjurkan seperti pertandingan Armada Swimming Challenge, Armada Explorace, Sukan Rakyat, Pakaian Beragam, Mobile Legend dan Tali Balingan. Lebih menarik, kebanyakan acara ini seperti Sukan Rakyat, Pakaian Beragam, Mobile Legend dan Tali Balingan telah dilaksanakan di kapal-kapal TLDM yang semestinya menjadi pengalaman berharga buat peserta yang terlibat. Para pengunjung juga turut dihiburkan dengan persembahan konsert Ameng & Blue Shadow Band dan Sentuhan Buskers.


KHA 2023  telah dirasmikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman pada 10 Oktober, manakala Gimik Pembukaan Karnival pula disempurnakan oleh Timbalan Panglima Armada Barat pada 13 Oktober.


 


Wednesday, September 13, 2023

Diari Pejuang Siri 2

New Release. 

Derap tapak dan degup nadi satria menyelusuri denai-denai dan tebing belantara, menongkah arus deras sungai, menjulang senjata mengatur jejak langkah memburu petualangan negara tanpa mengira padah mengundang jika tersilap langkah. Keamanan agama, nusa dan bangsa agenda utama mereka. Sebaris ucapan dan sekalung penghargaan tidak dapat menghilang hanyir darah yang mengalir. Selagi parut masih ada, airmata mereka saban tahun tergenang bila menyaksikan kemegahan adik-adik generasi pelapis berbaris dan menyanyi lagu semangat.



Saturday, August 26, 2023

Diari Pejuang Siri 1



Naskah DIARI PEJUANG Siri 1 ini wajib memnjadi bacaan umum masyarakat Malaysia terutamanya oleh pelajar sekolah dan universiti.  Syabas kepada penulis dan selamat memmbaca- Datuk Zaini Hassan-Editor, Wartawan, Pemikir - Ogos 2023









Sunday, August 20, 2023

Diari Seorang Pelaut Ep. 2


Kehidupan sebagai anggota tentera laut adalah suatu perjalanan yang sukar. Dalam perjalanan itu ada kalanya bertemu pengalaman suka dan adakalanya bertemu duka.  Yang tabah akan berakhir ke garisan penamat dan tak kurang juga yang mengambil keputusan sebaliknya.  Sebahagian pengalaman peribadi aku kongsikan di dalam DIARI SEORANG PELAUT Episod 2 ini.  Di antaranya ialah Laporan LIMA 2023 di segmen maritim dan pengalaman penulis bersama KD HANGTUAH.


http://www.librariku.com/Dw_dtShowDetails.aspx?qBookID=EA3396





Wednesday, July 19, 2023

Diari Seorang Pelaut Ep 1

 New Release!






Dengan lafaz kalimah mulia BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIM

Aku memulakan langkah hijrah pada 1 Muharram 1445 H bersamaan 18 Jul 2023 dengan melancarkan naskah ebook pertama ku untuk tatapan anda semua. Alhamdulillah.


Sunday, July 9, 2023

THALAY LAUT 24/23 PERKUKUH KERJASAMA PERTAHANAN MALAYSIA-THAI

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama Tentera Laut Diraja Thailand (TLDT)
terus mengukuhkan kerjasama pertahanan mereka melalui Eksesais THALAY LAUT Siri 
24/23 yang berlangsung pada 2 hingga 8 Julai 2023 di Kuantan dan perairan Laut China 
Selatan.

THALAY LAUT merupakan eksesais bilateral dwitahunan yang telah dimulakan sejak 
tahun 1981. Selaras dengan objektif memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam memelihara kedaulatan wilayah maritim, THALAY LAUT 24/23 telah dilaksanakan dalam tiga peringkat iaitu Fasa Pelabuhan, Fasa Laut dan Fasa Penutup.

Fasa Pelabuhan THALAY LAUT 24/23 telah bermula pada 2 Julai di Markas Wilayah 
Laut 1, Kuantan merangkumi Taklimat Eksesais, Majlis Perasmian, Diskusi Pegawai Operasi, Piala THALAY LAUT dan Majlis Resepsi anjuran kedua-dua angkatan laut. 

Aktiviti-aktiviti sepanjang Fasa Pelabuhan ini dirangka sedemikian dengan objektif untuk meningkatkan kerjasama dan kesefahaman serta memupuk esprit de corps di kalangan peserta eksesais.
Fasa Laut telah berlangsung dari 5 hingga 6 Julai. Pelbagai latihan berkonsepkan Field 
Training Exercise (FTX) telah dilaksanakan termasuk latihan Fast Intercept Attack Craft
(FIAC), Manoeuvering Exercise (MANEX), Screen Exercise (SCREENEX), Replenishment at Sea Approach (RASAP), Boarding Exercise (BOARDEX) dan Photo Exercise (PHOTOEX). 
Semasa FTX, sebanyak empat aset TLDM terlibat iaitu KD GAGAH SAMUDERA, KD 
PERKASA, pesawat Fennec dan Fast Combat Boat, manakala TLDT telah menghantar
HTMS PATTANI bagi menjayakannya. 
Pelaksanaan pelbagai siri latihan ini dapat 
mempertingkatkan saling kendalian di samping sebagai medan perkongsian ilmu dan 
kemahiran bagi kedua-dua angkatan laut.

Fasa Penutup THALAY LAUT 24/23 telah berlangsung pada 7 Julai meliputi aktiviti
Post Exercise Debrief (PXD) dan Majlis Penutup di Auditorium Al-Haimi, Markas Wilayah Laut 1. 

Majlis Penutup telah disempurnakan oleh Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Muda 
Farizal Myeor dengan kehadiran Ketua Staf Skuadron Ronda, Armada TLDT, Kepten Wittaya Jongkawna.

Penglibatan dan komitmen TLDM dalam eksesais bilateral ini membuktikan keupayaan 
dan kemampuan TLDM dalam mendokong tonggak diplomasi pertahanan negara. Jalinan 
kerjasama pertahanan dengan TLDT amatlah penting dalam memastikan wilayah maritim 
kedua-dua negara sentiasa terpelihara.

Saturday, May 27, 2023

LIMA ‘23 SEA EXERCISE DILANCAR




Langkawi 27 Mei-  Langkawi International Maritime and Aerospace 2023 (LIMA’23) telah berakhir hari ini.  Kesinambungan daripada itu sejumlah 27 buah kapal yang terlibat dalam  LIMA’23 sekali lagi akan terlibat dengan LIMA ‘23 Sea Exercise (LSX) di Perairan Langkawi yang bermula esok.    


Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selaku tuan rumah dalam penganjuran eksesais Edisi Ke-4 ini telah melibatkan 14 aset TLDM bersama 13 buah kapal tentera laut dari negara Brunei Darussalam, China, India, Indonesia, Itali, Jepun, Korea Selatan, Pakistan, Singapura, Thailand dan Vietnam akan melaksanakan latihan ini


Fasa pelabuhan LSX telah bermula sejak 25 Mei lalu dengan pengisian aktiviti sukan dan sosial serta perbincangan sebelum fasa di laut berlangsung pada 28 Mei ini. 


Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Ruzelme bin Hj Ahmad Fahimy dalam ucapan perasmian LSX berkata, penganjuran eksesais ini telah diperkenalkan  sejak tahun 2015 dengan tujuan untuk melaksanakan  latihan maritim dalam usaha untuk mengukuhkan hubungan pelbagai hala dan meningkatkan  kesalingoperasian dalam kalangan peserta LSX melalui pembangunan gabungan doktrin dan amalan operasi.  Di samping memanfaatkan kehadiran kapal-kapal yang terlibat untuk aktiviti keselamatan maritim sempena LIMA '23.


Tambah beliau lagi, LSX 21 tidak dapat dilaksanakan ekoran pandemik COVID-19 sejak 2020, yang telah memberi kesan fizikal kepada penganjuran LIMA 2021 dan turut menjejaskan pelaksanaan LSX 21. 


Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada setiap peserta LIMA Sea Exercise 2023 kerana dedikasi dan komitmen terhadap latihan ini dengan harapan pengalaman yang diperoleh daripada latihan ini akan mengeratkan ikatan persahabatan yang mendalam yang telah lama wujud dan  terus diperkukuhkan di antara TLDM dan tentera laut lain di seluruh dunia. MP



Panglima Armada Timur 





Thursday, May 25, 2023

Malaysia Memilih ATR 72 MPA Untuk ATM




ATR 72 MPA dilengkapi dengan rangkaian sistem komprehensif elektronik yang canggih.Sistem misi ATOS (Airborne Tactical Observation and Surveillance) dari Leonardo merupakan inti operasi pesawat tersebut. Sistem ini mengintegrasikan semua sensor yang terdapat di pesawat, mengumpulkan maklumat dan menghubungkan kepada kru melalui antara human machine interface (HMI) yang dioptimumkan. 

HMI ini memaparkan semua data yang dikumpulkan dari sensor-sensor di pesawat dalam gambaran taktikal yang lengkap. Keupayaan ini memberikan kesedaran situasi yang baik kepada kru dalam senario yang paling kompleks, berserta meminimumkan beban kerja operator dan memaksimumkan keberkesanan misi.

Sensor-sensor yang terpasang termasuklah radar kelas dunia dalam bentuk Leonardo Seaspray 7300E, yang merupakan sebagian dari keluarga radar Seaspray Active Electronically Scanned Array (AESA) yang sangat sukses.

Direka dan dihasilkan di UK, varian terbaru V2 dari radar ini dilengkapi dengan teknologi pemprosesan dan penerima yang diperbarui untuk memenuhi tuntutan yang berkembang dalam misi ISR (Intelligence, Surveillance, and Reconnaissance). 

Rangkaian komprehensif pengawasan udara, laut, dan darat akan memberikan kemampuan multi-domain yang ditingkatkan kepada ATR 72 MPA.

Melalui ATOS, Seaspray 7300E V2 bekerja dengan sensor-sensor lainnya di pesawat tersebut untuk menjadikannya sebagai platform ISTAR (intelligence, surveillance, target acquisition, and reconnaissance) yang lengkap.

Selain memantau laut, ATR 72 MPA juga dapat memantau pantai dari jarak yang signifikan dan menggunakan cara synthetic-aperture radar (SAR) dari radar untuk menghasilkan gambaran lengkap tentang garis pantai.

Untuk mendukung misi perang anti-kapal selam (ASW) dan perang anti-unit permukaan (AsuW), ATR 72 MPA juga akan dilengkapi dengan ULISSES (Ultra-LIght SonicS Enhanced System), sebuah sistem sensor akustik terintegrasi yang dirancang untuk 'mendengar' kapal selam musuh dan menentukan lokasinya.

Seperti Seaspray, ULISSES juga akan diintegrasikan melalui ATOS untuk memberikan gambaran komprehensif tentang lingkungan kepada kru ATR 72 MPA. 

Secara unik di persekitaran, ULISSES menggabungkan fungsi 'multistatik', yang menggunakan beberapa sumber informasi untuk menentukan lokasi kapal selam bawah laut yang bermusuhan.

Sensor lain yang berrintegrasi dalam sistem ATOS termasuk menara sensor elektro-optik dengan kamera berwarna dan monokrom, sensor peperangan elektronik yang menawarkan kemampuan pemantauan elektronik wideband, Sistem Identifikasi Otomatis (AIS), dan Pemantau Arah Sistem Pencarian dan Penyelamatan Udara (ASARS DF). 

Dengan sistem misi prestasi tinggi dan sensor generasi terkini, ATR 72 MPA boleh mencapai objektif dengan cekap dan dengan berkesan, mengeksploitasi julat dan persembahan ketahanan yang sepenuhnya.

Sinergi antara ATR 72 MPA, Ground Station yang berkaitan, dan aset-aset kerjasama dijamin melalui kelengkapan komunikasi Leonardo yang membolehkan sistem untuk berkongsi gambaran taktikal secara masa nyata, menyebarkan data dan maklumat dalam keadaan Line of Sight (V/UHF-HF-WBDL) dan Beyond Line of Sight (SATCOM).

Leonardo menandatangani kontrak dengan Malaysia untuk dua ATR 72 MPA

Langkawi, 25 Mei 2023 – Kementerian Pertahanan Malaysia hari ini telah menandatangani kontrak bersama Leonardo bagi membekalkan dua platform ATR 72 MPA (Pesawat Peronda Maritim). 

Majlis menandatangani perjanjian telah berlangsung di Langkawi sempena pameran pertahanan Maritim dan Angkasa LIMA'23. 

Kontrak ini merupakan hasil dari pemilihan yang ditawarkan oleh Leonardo yang diumumkan pada bulan Oktober lalu dalam pembekalan dua pesawat Misi Khas ATR yang mempunyai konfigurasi Maritim Patrol serta perkhidmatan sokongan logistik dan latihan bersepadu yang berkaitan.

Pesawat Pelbagai Misi

ATR 72 MPA ialah pesawat turboprop berkembar yang direka untuk misi rondaan maritim yang kompleks. Ia adalah varian khusus terbaharu pesawat pengangkutan serantau ATR, sebahagian daripada pelbagai jenis yang dibangunkan oleh Leonardo untuk misi termasuk pengawasan maritim, Peperangan Anti-Submarine Warfare (ASW), Peperangan unit Anti-Surface (AsuW), Search & Rescue (SAR), pemantauan alam sekitar, pemindahan perubatan dan pengangkutan kakitangan dan bahan-bahan.

Pesawat yang dipilih oleh Malaysia mengekalkan kebolehpercayaan, kebolehbaikan, kos kitar hidup rendah, dan ciri keselesaan dari ATR 72-600 asas. Ia juga akan dilengkapi dengan sistem misi yang fleksibel, sensor canggih, dan rangkaian komunikasi lengkap untuk misi Command, Control, Communications, Intelligence, Surveillance and Reconnaissance (C4ISR) di darat dan laut. 

Sensor dan sistem misi akan dapat beroperasi dalam secara “standalone” dan net-centric, membolehkan pengumpulan, pemprosesan, dan perkongsian data strategik di kalangan operator, sambil memberikan kesedaran situasi yang lengkap tentang senario operasi. 

ATR 72 MPA dioptimumkan untuk patrol maritim, pengumpulan maklumat elektronik (ELINT), pengesanan dan penjejakan sasaran permukaan dan terbenam di laut, SAR, menangani aktiviti haram (pengedaran dadah, rompakan, dan penyeludupan), serta melindungi perairan wilayah. 

Terdapat potensi untuk menjadikan platform Anti-Submarine Warfare (ASW) dan Anti-Surface unit Warfare (AsuW) yang lengkap.

Sistem ATOS

Varian ATR 72 MPA, yang berkhidmat dengan organisasi ketenteraan dan penguatkuasa undang-undang, dilengkapi dengan sistem misi modular Leonardo ATOS (Airborne Tactical Observation and Surveillance), yang juga akan disertakan dalam konfigurasi Malaysia. 

ATOS menguruskan sensor-sensor yang terdapat di pesawat tersebut, menggabungkan maklumat yang dikumpul, dan menyediakan gambaran taktikal yang komprehensif dan sentiasa dikemaskini kepada misi  sistem operator. 

Dengan warisan komersial, ATR 72 MPA menampilkan ciri ergonomic reka bentuk yang menyokong kecekapan dan keberkesanan krew semasa misi yang biasanya boleh bertahan lebih daripada 8 jam.

Pesawat Misi Khas berasaskan ATR mampu memenuhi pelbagai keperluan pelanggan di seluruh rantau APAC, dengan banyak pengendali tempatan turboprop serantau ATR telah pun mendapat manfaat daripada sokongan logistik lanjutan.

Dario Marfè, SVP Aircraft Komersial & Perkhidmatan Pelanggan di Leonardo, berkata, "Kami berbangga kerana Kerajaan Malaysia telah memilih ATR 72 MPA kami, sebuah pesawat yang mewakili kemampuan teknologi maju Leonardo dalam reka bentuk dan integrasi platform dan sistem pada tahap tertinggi. 

ATR 72 MPA menggabungkan kehandalan dan kos operasi yang rendah, segala kelebihan pesawat pengangkutan penumpang serantau ATR 72-600, dan dilengkapi dengan sistem misi Leonardo yang berteknologi terkini. Ia ditempatkan di pasaran sebagai penyelesaian yang sangat efektif untuk keselamatan dan pertahanan pelanggannya”.

Tuesday, May 23, 2023

GRACING CEREMONY SEGMEN MARITIM LIMA ‘23



Perdana Menteri Malaysia,YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim telah menyempurnakan Acara Gracing Ceremony di Segmen Maritim Langkawi International Maritime and Aerospace 2023 (LIMA ‘23) petang tadi di Resorts World Langkawi.


Ketibaan YAB Perdana Menteri dan dif-dif kehormat disambut Panglima Tentera Laut, Laksamana Abdul Rahman bin Ayob dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Sabri bin Zali selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Segmen Maritim LIMA ‘23.


Gimik


Satu penyusupan oleh penyelam menggunakan jet ski dengan membawa kompas perasmian ke hadapan pentas untuk diaktifkan oleh Perdana Menteri menjadi gimik perasmian dan disusuli oleh sebuah demonstrasi bot maritim.


Demonstrasi tersebut mempamerkan pergerakan atau manuvra taktikal aset-aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia.


Sebuah lagi demonstrasi keupayaan maritim turut diperlihatkan dengan konsep Inter-Agency Coordinated Rescue Mission (demonstrasi menyelamatkan tebusan) yang mempamerkan aksi dan kepakaran gabungan Pasukan Khas Laut (PASKAL) TLDM, Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR) APMM, Unit Gempur Marin PDRM dan Jabatan Laut Malaysia bersama aset permukaan dan udara.


Adegan terakhir adalah Fly-Past atau terbang lintas hormat dan Sail-Past yang melibatkan aset udara dan permukaan yang terlibat sepanjang sesi demonstrasi sebagai penghormatan kepada para tetamu di pentas utama yang hadir.


SEGMEN MARITIM DI LIMA'23 PERCUMA UNTUK SEMUA


Segmen Maritim untuk pameran Langkawi International Maritime and Aerospace 2023 (LIMA ’23) akan bermula pada 23 sehingga 27 Mei 2023 di Resorts World Langkawi (RWL). Segmen Maritim LIMA ’23 ini dibuka kepada orang ramai secara percuma sepanjang pameran berlangsung.

Acara Gracing Ceremony menjadi pembuka tirai di Segmen Maritim dan diikuti dengan Fleet Review LIMA ‘23 yang akan diadakan pada 23 Mei. Fleet Review merupakan satu pemeriksaan kapal di laut, satu acara tradisi tentera laut seluruh dunia.


Pada hari yang sama, TLDM turut menganjurkan Chiefs of Navy Roundtable Talk di Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC) yang dirasmikan oleh Menteri Pertahanan Malaysia, YB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad bin Hj Hasan. Pada 24 Mei, Menteri Pertahanan akan merasmikan Langkawi Maritime Conference di PARKROYAL Langkawi Resort.


Buat julung kalinya, TLDM akan menganjurkan Naval Engineering Conference pada 25 Mei yang akan dirasmikan oleh Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Sabri bin Zali. 


Program seperti ini adalah platform terbaik untuk bertukar pendapat dan berkongsi ilmu, di samping dapat mengeratkan lagi hubungan baik TLDM dengan angkatan laut negara lain yang hadir menjayakan edisi LIMA ’23 ini.


Penyertaan


Seramai 26 orang delegasi antarabangsa yang hadir menjayakan Segmen Maritim LIMA ’23 iaitu 11 orang Panglima Tentera Laut negara sahabat dan 15 wakil Panglima Tentera Laut negara sahabat.

Sebanyak 14 buah kapal dari 12 negara sahabat. Kapal-kapal tersebut ialah  Itali 1 x ITS FRANCESCO MOROSINI, Jepun 1x JS KUMANO, Brunei 1xKDB DARULEHSAN, Korea Selatan 1 x ROKS NO JEOK BONG, Indonesia menhantar 3 buah kpal iaitu KRI GOLOK, KRI HALASAN,KRI KERAMBIT. Vietnam 1x VPNS 20, Singapura x1 RSS STEADFAST, Thailand 1x HTMS PRACHUAP KHIRI KHAN, 1x China 1 CNS ZHANJIAN,. India 1x INS KA, VARATTIPakistan 1x PNS SHAH JAHAN, Amerika Syarikat 1x USS MOBILE.


Penyertaan kapal dari Malaysia sebanyak 26 buah mengikut agensi iaitu TLDM 20 buah iaitu KD MAHAWANGSA, KD SRI INDERA SAKTI, KD LEKIU, KD JEBAT, KD LEKIR, KD, LAKSAMANA HANG NADIM, KD KERIS, KD RENCONG, KD GAGAH SAMUDERA, KD TEGUH SAMUDERA, KLD TUNAS SAMUDERA, KD PERAK, KD SELANGOR, KD TERENGGANU, KD PERKASA, KD TODAK, KD GANAS, KD MAHAMIRU, KD TUNKU ABDUL RAHMAN MV MEGA BAKTI, Agensi Penguatkuasaan, Maritim Malaysia (APMM) 3x KM BAGAN DATUK, KM ARAU, KM TOK BALI, Universiti Malaysia Terengganu 1x RV DISCOVERY, Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2x MV POLARIS dan PT 2.


Pameran Dan Demonstrasi


Secara keseluruhannya, Segmen Maritim LIMA ‘23 dibahagi dua kepada Pameran Statik dan Demonstrasi Maritim. Pameran Statik Segmen Maritim mempunyai booth pameran yang melibatkan enam agensi iaitu TLDM, APMM, Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan PDRM.


Setiap agensi yang terlibat turut mempamerkan peralatan/kenderaan yang sering digunakan bagi merealisasikan tanggungjawab yang diamanahkan mengikut agensi masing-masing.


Demonstrasi Maritim LIMA ‘23 akan dilaksanakan pada 23 hingga 27 Mei 2023 melibatkan demonstrasi tunggal setiap agensi terlibat iaitu TLDM, PDRM,APMM, BOMBA, Jabatan Laut,Kastam dan Jabatan Perikanan Malaysia. Segmen ini juga akan diserikan dengan demonstrasi gabungan melibatkan pasukan khas yang terlibat yang akan dilaksanakan pada sesi petang bermula jam 4 hingga 6 petang.


Perkhidmatan feri penumpang disediakan secara percuma untuk pelawat yang berminat untuk melihat dan mengenali kapal perang dengan lebih dekat yangb ersauh di laut.


PAMERAN MARITIM & AEROANGKASA ANTARABANGSA LANGKAWI 2023 (LIMA ’23) DIBUKA DENGAN RASMI

Pameran (LIMA 2023) dibuka secara rasmi hari ini dengan gimik pertunjukan udara oleh aset dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Hasan telah merasmikan majlis tersebut. Turut terlibat ialah Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke Siew Fook, Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor dan 
 pempamer-pempamer utama seperti THALES, MAST, ACS dan SAAB, yang turut mempamerkan produk-produk teknologi pertahanan terkini. 
 
Sebanyak tiga puluh enam (36) aset udara dari
 Tentera Udara Malaysia (TUDM), Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Pasukan Khas Tentera Udara (PASKAU) terlibat dengan gimik pembukaan. 

 Aset udara yang terlibat adalah seperti berikut:
 3 x F/A – 18D
 4 x helang 108/208
 4 x SU30MKM
 9 x PC-7Mk II
 3 x C-130H
 1 x A400M
 4 x EC-725AP
 3 x AW 139
 Tentera Darat Malaysia;
 2 x AW 109
 3 x MD530G

 Turut hadir pada majlis itu ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri
 Hj Affendi Buang TUDM, wakil kementerian serta pempamer dan perwakilan.

Sunday, May 21, 2023

BILA KAPAL TLDM ‘DIKENTUT’ OLEH BUDAK TIKTOK



Kredit foto:wikipedia

Ketika ini agak viral dengan kelaku budak Tiktok dan rakan-rakannya yang menjadikan platform KAPAL DIRAJA (KD) SELANGOR  sebagai sasaran dalam usaha untuk menaikkan rating akaun Tiktoknya yang membolehkan beliau mendapat bayaran yang tinggi berdasarkan viewer pengikut-pengikutnya.

Pada mereka, video content ini hanya lakonan suka-suka yang berunsur lawak semata-mata, namun mungkin mereka tidak terfikir kesannya amat tinggi dari sudut perspektif masyarakat tentang imej Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) keseluruhannya.

Penulis yakin kejadian ini berlaku pada hari tidak bekerja dan juga bukan berlaku pada hari kapal dibuka kepada orang ramai kerana tidak nampak kelibat orang ramai  dalam video tersebut.

Penglibatan

Pada pemerhatian penulis, pemilik akaun Tiktok @zuraida_nasir yang merupakan pelaku utama dalam video tersebut tidak keseorangan dalam pembikinan adegan tersebut kerana sudah tentu sekurang-kurangnya ada seseorang bersama beliau yang bertindak sebagai juru video.  Juga berdasarkan aksi dua orang anggota TLDM yang ‘seolah-olah’ sedang  bekerja telah menunjukkan aksi respon bila terdengar sesuatu bunyi yang menjijikan keluar dari corong main broadcast kapal dari geladak luar.  Ini menggambarkan ada persekongkolan di antara pelaku dengan staf kapal.

Kedua, jika tiada seseorang yang arif tentang kapal tersebut mengajar, mana mungkin si pelaku boleh tahu butang yang ditekan dan volume yang di pusing itu adalah main broadcast kapal.  Penulis juga yakin bahawa kentut yang bukan asli yang di skripkan dalam adegan tersebut sebenarnya tidak berbunyi menerusi main broadcast kerana pada mikrofon itu sendiri ada butang push to talk.

Namun begitu skrip yang diolah menjadi suatu lakonan spontan wanita yang berlagak poyo itu sebenarnya telah mencemarkan imej dan nama baik TLDM keseluruhannya kerana masyarakat umumnya akan memberi tafsiran yang pelbagai terutamanya dari segi kawalan keselamatan.

Persepsi Kepada Tahap Keselamatan Kapal

Persepsi masyarakat, bila seorang wanita yang berpakaian preman secara berseorangan boleh menaiki gangway, berjalan menuju dan masuk ke Anjungan yang merupakan kawasan larangan dalam sesebuah kapal perang melakukan perkara tidak baik dengan aman tanpa diiringi oleh petugas kapal, ia telah menggambarkan tahap keselamatan di kapal ini khasnya adalah longgar.  

Malah ianya akan memberi konotasi tidak baik dalam kalangan masyarakat yang mengharapkan kesiagaan armada dalam menjaga keselamatan perairan negara.

Hakikatnya, yang melonggarkan dan yang mengizinkan kejadian ini berlaku adalah mungkin dari kenalan atau saudara mara yang ada pertalian dengan staf kapal itu sendiri yang tidak peka dan mengambil sikap sambil lewa dengan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak kapal.

Maka wajarlah jika pihak pentadbir TLDM di semua peringkat memandang serius tentang perlakuan anak-anak kapal dalam konteks memuat naik content berkaitan informasi, peralatan strategik kapal ke  media sosial.  Membawa kenalan dan saudara mara naik ke kapal semestinya dengan pengawasan yang ketat dan memaklumkan perkara DOs & DONT semasa berada di atas kapal yang dilawati. 

Jika benar ada anggota sendiri ang terlibat, saya pasti mereka sudah pun di beri ' ganjaran' oleh pihak kapal. Apa pun wanita poyo itu juga patut diberi 'ganjaran' sewajarnya sebagai pengajaran kepada orang lain supaya tahu bahawa KAPAL DIRAJA bukanlah tempatnya untuk bermain-main. 



TDM SERKAP 4 PATI MYANMAR DAN THAILAND DALAM OPERASI BERASINGAN




KUALA NERANG 20 Mei - Pasukan Briged Ke-6 Infanteri Tentera Darat Malaysia (TDM) telah menahan 2 orang Pendatang Tanpa Izin (PATI) warga negara Myanmar berumur 26 dan 27 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dalam cubaan memasuki ke Malaysia melalui kawasan hutan sempadan Malaysia -Thai 19 Mei lalu.  Dalam serkapan tersebut, pasukan telah merampas 2 buah telefon bimbit.





Sementara 2 orang lagi PATI warganegara Thailand telah ditangkap oleh pasukan yang sama dalam operasi yang berasingan pada 16 Mei lalu  di sempadan Malaysia-Thai  semasa melaksanakan rondaan Ops Benteng Darat.


Turut dirampas dari PATI berusia 19 dan 30 tahun itu ialah 2 buah motosikal Honda Wave 125cc dan 110cc, sebuah telefon bimbit dan sebuah powerbank dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM 6,330.00.


Kesemua PATI dan barang rampasan diserahkan kepada Balai Polis Kuala Nerang untuk siasatan dan tindakan lanjut.


Wednesday, May 17, 2023

TLDM PENUHI ASPIRASI PERTAHANAN NEGARA DALAM EKSESAIS BERSAMA SHIELD 2023 MESKI PUN DALAM SUASANA KEKURANGAN ASET KOMBATAN


Penglibatan Kapal Diraja (KD) LEKIR dan KD GEMPITA dalam Eksesais BERSAMA SHIELD 2023 pada 27 Apr hingga 12 Mei di Changi Naval Base, Singapura dan perairan Laut China Selatan adalah sebahagian daripada sumbangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi mendokong aspirasi pertahanan negara dalam aspek kebersamaan (jointness).

Eksesais gabungan di antara negara-negara Five Power Defence Arragement (FPDA) ini terus menjadi platform untuk menguji kebolehoperasian aset TLDM bersama Tentera Laut United Kingdom, Australia, New Zealand dan Singapura. 


Selari dengan asas kesepakatan FPDA yang termeterai sejak 1971, iaitu untuk pertahanan Malaysia dan Singapura, dari ancaman luar, kerjasama dan kesalingoperasian aset TLDM dengan angkatan laut sahabat amatlah penting. 

Bagi merealisasikannya, pelbagai latihan Field Training Exercise (FTX) telah dilaksanakan oleh KD LEKIR dan KD GEMPITA bersama Her Majesty’s Australian Ship (HMAS) ANZAC dan Republic Singapore Ship (RSS) VIGILANCE. 

Fasa Pelabuhan

Di dalam meningkatkan persefahaman di antara kapal-kapal terlibat, eksesais dimulakan dengan fasa pelabuhan bagi membolehkan semua perancangan fasa laut dibincangkan oleh tim pemerintah dan dilaksanakan secara table-top. 

Di samping itu beberapa latihan seperti Visit, Board, Search and Seizure (VBSS) dan simulasi peperangan juga dilaksanakan di pelabuhan bagi menentukan segala prosedur difahami oleh semua yang terlibat. 

Fasa Laut 

Fasa eksesais di laut dimulakan dengan intensiti yang rendah pada permulaannya di mana hanya melibatkan latihan navigasi dan ilmu kelautan. 

Seterusnya intensiti ditingkatkan dengan latihan peperangan anti udara di mana melibatkan 20 pesawat pejuang, tiga pesawat peronda maritim dan sebuah helikopter Airborne Early Warning (AEW) angkatan udara FPDA dalam melakukan serangan terhadap konvoi kapal perang secara serentak. 


Peserta BERSAMA SHIELD juga berpeluang melaksanakan latihan berbentuk high end warfare yang kompleks melibatkan peperangan atas dan bawah permukaan. Eksesais ini membuktikan bahawa element jointness dan gabungan dilaksanakan dengan baik. 


Siri Latihan Naval Gunfire Support (NGS) yang dilakukan di Pulau Aur membuktikan keupayaan TLDM di dalam melaksanakan penembakan sokongan dari kapal bagi operasi amfibi di kawasan persisiran pantai di mana ianya membuktikan koordinasi yang jitu di antara kapal FPDA dan pemerhati hadapan dari Malaysia dan United Kingdom di Pulau Aur. 


Selain itu, TLDM bersama Tentera Laut Diraja United Kingdom juga telah berjaya di dalam memastikan keselamatan aset dan ruang udara eksesais melalui penglibatan dua anggota Osprey Safety dari Royal Navy yang ditempatkan di KD LEKIR sepanjang eksesaisb erlangsung.

Meskipun BERSAMA SHIELD bersifat komprehensif melalui pelbagai siri latihan yang dilaksanakan, isu keusangan aset terus membelenggu TLDM dalam memenuhi komitmennya. 

TLDM Hanya Libatkan 2 Buah  Kapal  Usang

Penugasan KD LEKIR dan KD GEMPITA yang telah menjangkau usia hampir separuh abad 

menunjukkan bahawa TLDM semakin kekurangan aset kombatan bagi memenuhi komitmen eksesais berkonsepkan peperangan konvensional sebegini. 

Kepentingan mengekalkan strong military-to-military ties dan komitmen TLDM terhadap FPDA yang telah memberi manfaat kepada kestabilan di perairan ini sejak 40 tahun yang lalu haruslah dipelihara. 

Peribahasa Latin ada menyebut, “Si vis pacem, para bellum” yang bermaksud “Jika mahukan keamanan, bersedialah untuk berperang”. 

Kesiapsiagaan pertahanan adalah jaminan terbaik untuk keamanan sesebuah negara. Perolehan Littoral Mission Ship (LMS) Batch-2 yang mempunyai keupayaan kombatan perlulah segera direalisasikan agar keupayaan dan kesiagaan Armada TLDM dapat dipertingkatkan bagi memenuhi komitmen ini.

Tuesday, May 16, 2023

SAREX LIMA ’23 RANCANGAN RAPI LIBATKAN USAHASAMA BERSEPADU TUDM DAN CAAM BERSAMA AGENSI PASUKAN PERTAHANAN DAN KESELAMATAN

Sumber: PRTUDM

Eksesais Mencari dan Menyelamat Pameran Antarabangsa Maritim dan AeroangkasaL Langkawi 2023 atau Search and Rescue Exercise Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition 2023 (SAREX LIMA`23) telah dilaksanakan pada bermula 9 hingga 12 Mei 2023 bertempat di Pulau Langkawi. 

SAREX LIMA ’23 dilaksanakan sebagai persediaan bagi menghadapi segala kemungkinan insiden yang boleh terjadi ketika pameran berlangsung bagi memberikan gambaran kepada semua pihak yang terlibat berhubung Prosedur Operasi Standard (Standard Operating Procedure) atau SOP serta tindakan segera yang efektif dan efisien. Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia atau Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) bertindak sebagai penganjur bersama eksesais.

Melalui SAREX, eksesais ini bagi meningkatkan keupayaan dan kesiagaan di dalam menangani sebarang kemungkinan kemalangan udara, maritim dan darat sepanjang LIMA ‘23. Eksesais ini memfokuskan lima (5) objektif utama iaitu menguji keberkesanan proses koordinasi dan komunikasi semasa Search and Rescue (SAR), memastikan keberkesanan proses koordinasi dan komunikasi plan kecemasan lapangan terbang, mengenal pasti kebolehgunaan dan keserasian pelbagai arahan pentadbiran dan prosedur tetap yang 

digunakan semasa situasi kecemasan, memperkasakan tindakan pihak berkuasa tempatan dan keberkesanan bantuan sokongan serta mengukuhkan keberkesanan sokongan logistik untuk misi SAR dan memperkasakan konsep “Joint Rescue Sub Center” (JRSC).

Pelaksanaan SAREX LIMA ’23 melibatkan dua peringkat iaitu Peringkat Air (Water SAREX) yang dilaksanakan di kawasan perairan berhampiran Resort World Langkawi pada 10 Mei 23 dan Peringkat Darat (Land SAREX) pada 11 Mei 23 dilaksanakan di sekitar kawasanLapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

WATER SAREX LIMA ‘23

Water SAREX LIMA ’23 dilaksanakan dengan simulasi kemalangan pesawat penumpang komersial terhempas di kawasan perairan Pulau Langkawi. Simulasi eksesais bermula dengan senario insiden sebuah pesawat penumpang komersial terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di atas permukaan laut selepas bertembung dengan sebuah pesawat pejuang yang hilang kawalan akibat daripadakerosakan enjin. Seramai 67 pelakon 

sebagai mangsa kemalangan pesawat yang terdiri daripada agensi-agensi penerbangan dan kerajaan telah dilepaskan di laut dilengkapi dengan “lifevest” dan “liferaft”.

Sejurus amaran kecemasan diaktifkan, Joint Rescue Sub Center (JRSC) telah bertindak mengatur gerak aset-aset daripada pelbagai agensi bagi tujuan mencari dan menyelamat mangsa kemalangan pesawat tersebut. Aset -aset diaturgerak daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM) yang turut merangkumi aset sokongan sebagai jaringan keselamatan (safety net).

Selain daripada itu, eksesais sampingan SAREX LIMA ‘23 iaitu “Latihan Suai Kenal Pencarian Kotak Hitam Pesawat” atau “Black Box Search Familiarisation” di laut juga telah dipraktikkan untuk peserta dari TLDM, Bomba dan Biro Siasatan Kemalangan Udara, 

Kementerian Pengangkutan Malaysia (AAIB MOT). Ianya dilaksanakan secara seiring dengan latihan menyelamat “survivors” di laut. Latihan ini berobjektif untuk memahirkan keupayaan anggota penyelam TLDM, JBPM serta agensi penyelamat lain di dalam usaha pencarian korak hitam pesawat di dasar laut.

LAND SAREX LIMA ‘23

Land SAREX LIMA ’23 telah dilaksanakan di Sekitar kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Berikutan daripada senario Water SAREX, susulan kemalangan pesawat penumpang komersial terhempas di perairan Langkawi, eksesais peringkat darat dilaksanakan berdasarkan senario pesawat pejuang yang mengalami kerosakan enjin.

Setelah mengalami kegagalan enjin, juruterbang bertindak menghalakan pesawat ke arah Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi untuk melakukan pendaratan kecemasan di atas landasan. Walau bagaimanapun, pesawat pejuang tersebut hilang kawalan di saat akhir sebelum pendaratan dilakukan. 

Seorang juruterbang dan seorang jurusensor senjata telah melakukan lentingan keluar daripada pesawat pejuang tersebut dan telah berjaya mendarat menggunakan payung terjun daripada kerusi injal (ejection seat). Namun, situasi berubah menjadi malapetaka apabila pesawat pejuang yang hilang kawalan tersebut terhempas di kawasan pameran dan telah menyebabkan kemalangan besar kepada pengunjung yang hadir. 

Joint Rescue Sub Center (JRSC) ditubuhkan dengan serta-merta sejurus amaran kecemasan diaktifkan. JRSC bertindak mengatur gerak aset-aset keselamatan daripada pelbagai agensi sebagai “Rapid Medical Response” kepada kemalangan tersebut. Antara aset-aset terlibat adalah daripada Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS), Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), TUDM, PDRM, APMM, JBPM dan APM.


SAREX LIMA ’23 yang dilaksanakan telah berlangsung dengan baik mengikut perancangan. Eksesais ini yang melibatkan anggaran 1,000 peserta yang turut melibatkan lebih kurang 33 daripada pelbagai kementerian, jabatan, pasukan penguatkuasa, pasukan keselamatan, pasukan pertahanan, agensi awam dan swasta membuktikan kesungguhan komitmen, kerjasama bersepadu dan dedikasi semua pihak terlibat di dalam memastikan acara berprestij Pameran LIMA ‘23 yang bakal berlangsung pada 23 hingga 27 Mei 2023 berjalan dengan lancar.

Wednesday, May 10, 2023

KD LEKIU DUTA KECIL MALAYSIA DI AIME 2023


Tonggak Ke-3 Strategi Pertahanan Negara iaitu Perkongsian Berwibawa melalui aktiviti diplomasi pertahanan. Kapal Diraja (KD) LEKIU diberi peranan penting dalam mendokong usaha ini dengan menyertai ASEAN-India Maritime Exercise (AIME) 2023 yang dianjurkan secara bersama oleh Tentera Laut Republik Singapura (TLRS) dan Tentera Laut India (TLI) di Changi Naval Base (CNB), Singapura dan perairan Laut China Selatan pada 2 hingga 8 Mei 2023. 

Eksesais multilateral yang julung kali dianjurkan ini adalah hasil dari kesepakatan semasa ASEAN Defence Ministers Meeting (ADMM) Ke-16 di Phnom Penh, Kemboja pada 22 Jun 2022 lalu.


Eksesais kali ini turut diadakan seiring dengan penganjuran International Maritime Defence Exhibition (IMDEX) oleh Singapura pada 3 hingga 5 Mei. IMDEX merupakan pameran maritim antarabangsa yang diadakan sejak 1997 dan telah melibatkan 22 buah kapal, enam pesawat dan 1,800 peserta dari pelbagai negara.

KD LEKIU hadir di acara ini sebagai wakil dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)

Peranan KD LEKIU

Selari dengan objektif AIME, kerjasama pertahanan dan kebolehoperasian bersama angkatan laut negara ASEAN dan India dalam menangani ancaman maritim di rantau ini telah dimanifestasikan oleh KD LEKIU melalui pelaksanaan operasi maritim pelbagai dimensi dengan mempraktikkan Code for Unplanned Encounters at Sea (CUES). 


Eksesais ini juga turut menjadi medan untuk warga TLDM berinteraksi dan mengemaskini pengetahuan bersama peserta negara sahabat selain berperanan dalam meningkatkan kompetensi warga melalui pelaksanaan Field Training Exercise (FTX) yang berkonsepkan Maritime Security.

Penglibatan KD LEKIU dalam AIME dan IMDEX 2023 ini mampu mengukuhkan peranan TLDM sebagai duta kecil negara yang mempromosikan diplomasi pertahanan di samping mengerat dan memperkukuhkan kerjasama serantau. 

TLDM sebagai rakan berwibawa di rantau ini terus diiktiraf meskipun dibelenggu dengan isu-isu keusangan aset yang berpanjangan. 

Sewajarnyalah, peningkatan keupayaan aset TLDM disegerakan agar lebih berwibawa  atau sekurang-kurangnya setanding dengan angkatan laut sahabat bagi memastikan TLDM kekal releven di persada antarabangsa dan serantau.

International Maritime Security Conference

Panglima TLDM, Laksamana Datuk Rahman Ayob telah dijemput untuk menjadi salah seorang panelis dalam sesi perbicangan dengan tema "Enhancing Peace and Stability to Emerge Stronger from Uncertainty" di Singapura.

Sesi ini dianjurkan selari dengan pameran IMDEX Asia 2023. 


Persidangan Keselamatan Maritim Antarabangsa Ke-8 tahun ini telah memperkenalkan  sesi khas yang mengetuai perbincangan tentang peranan pengawal pantai dan agensi penguatkuasaan undang-undang maritim.  

Sesi khas ini telah menampilkan pengamal maritim, ahli akademik, penggubal dasar dan pihak berkepentingan yang telah berkongsi pendapat mereka sebagai komuniti maritim yang boleh bekerjasama dan muncul lebih kuat untuk mempromosikan laut yang selamat dan terjamin.



Tuesday, May 9, 2023

TENTERA TAHAN 4 PATI KETIKA RONDAAN

Tanah Merah 9 Mei - Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) melaporkan tangkapan telah dibuat ke atas 4 orang warga India yang memasuki ke negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) tersebut ditahan dalam satu rondaan di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd) ketika kempat-empat PATI tersebut sedang cuba memasuki melalui laluan yang tidak sah di sempadan Malaysia-Thailand pada 8 Mei 2023 lalu. 

Kesemua PATI yang ditahan terdiri daripada 3 lelaki dan 1 wanita yang berumur antara 25 hingga 39 tahun.

Turut dirampas adalah 3 buah telefon bimbit, wang dalam matawang Malaysia, India dan Thailand, 4 buah beg galas, dan 3 Kad Pengenalan Warganegara India dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM 4,324.48. 

Kesemua PATI yang ditahan diserahkan kepada Balai Polis Bukit Bunga untuk siasatan dan tindakan lanjut. 


Thursday, April 27, 2023

ULANG TAHUN KE-89 -TLDM SIAGA KEDAULATAN TERPELIHARA

LUMUT 27 April- Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyambut Hari Ulang Tahunnya (HUT) yang ke 89 dalam suasana mood raya.  Namun slogan Sedia Berkorban yang digalas oleh warga Navy People tidak menjadikan ianya sebagai satu alasan untuk tidak melakukan yang terbaik meskipun ramai yang tidak dapat balik berhari raya di kampung atau tidak boleh bercuti panjang.

Upacara perbarisan  penuh istiadat tradisi tentera laut  ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman bin Ayob berlangsung di Padang Kawad KD PELANDOK, Pangkalan TLDM Lumut, Perak yang melibatkan 16 kontinjen termasuk lapan (8) kontinjen panji-panji dari KD PELANDOK, KD MALAYA, KD PANGLIMA HITAM, KD SRI SANDAKAN, KD RAJAWALI, KD SRI SEMPORNA, KD DUYONG dan Skuadron Frigate Ke-23.



Seramai 61 orang Pegawai dan 812 Anggota Lain-lain Pangkat yang diketuai oleh Kdr Lim Kim Tat TLDM serta dibantu oleh Pancaragam Pusat TLDM yang dipimpin oleh Lt Kdr Mohd Shamram bin Ramli TLDM. Perbarisan kali ini turut melakar sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya melibatkan lapan (8) buah Panji-Panji Rejimen TLDM di dalam sebuah acara.


Turut menyaksikan perbarisan adalah Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Sabri bin Zali, Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Dato’ Abu Bakar bin Md Ajis, Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Ruzelme bin Hj Ahmad Fahimy dan barisan Jawatankuasa Laksamana (JLAKS) TLDM serta warga The Navy People.


Anugerah Dan Pengiktirafan


 Seperti mana kebiasaan Panglima Tentera Laut turut menyempurnakan upacara penyampaian piala dan anugerah kepada unit dan warga yang cemerlang sepanjang tahun 2022.  Tiga Piala telah diperuntukan kepada kapal-kapal yang memenuhi kriteria keunggulan dalam kategori masing-masing iaitu Piala Agong dimenangi oleh Kapal Diraja (KD) LEKIU, Piala Gonzales dimenangi oleh  Kapal Diraja (KD) KERIS dan Piala Panglima Tentera Laut dimenangi oleh Kapal Diraja (KD) SUNDANG. 

Piala Agong- Piala ini dihadiahkan oleh SPB YDPA untuk dianugerahkan kepada kapal TLDM yang menonjol serta dapat mencapai dan mengekalkan tahap tertinggi operasi sepanjang tahun.

Piala Gonzales- Piala ini dihadiahkan oleh bekas PAT Jen Tan Sri Mohd Ghazali bin Dato' Mohd Seth untuk dianugerahkan kepada kapal yang memperoleh markah tertinggi dalam Audit Kesiapsiagaan (AK) TLDM

Piala PTL - Diberikan kepada kapal yang mencapai tahap operasi yang tertinggi dalam kategori sistem persenjataan yang meliputi sistem kawalan dan senjata tidak termasuk sistem anti kapal selam.

Manakala Markas Terbaik pula dianugerahkan kepada Markas Pemerintahan Kapal Selam.


Anugerah Markas Terbaik-  Merupakan penghargaan tertinggi TLDM kepada Markas yang telah mempamerkan kecemerlangan secara menyeluruh dalam pengurusan organisasi berlandaskan kesiagaan yang menyerlah dan prestasi terbaik sepanjang tahun.

Di samping itu juga dua anugerah kecemerlangan modal insan terbaik bagi tahun 2022 ialah 831727 Bintara Muda PAP (PKL) Abdul Rahman bin Abu Hassan bagi kategori Bintara TLDM Terbaik  dan Laskar TLDM Terbaik dianugerahkan kepada 837167 Laskar Kanan TMS Tc. Shatheesrao a/l Apparao.

Bintara Terbaik

Lasykar Terbaik

Perbarisan kali ini juga menyaksikan seramai 40 orang pegawai dan anggota dianugerahkan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) sebagai pengiktirafan dan penghargaan terhadap jasa bakti anggota tentera yang terlibat dalam OP DAULAT berikutan insiden pencerobohan Lahad Datu, Sabah.


Pameran statik aset pertahanan dan sokongan turut diadakan melibatkan dua (2) buah Helikopter Operasi Maritim (HOM) dari Skuadron 503, Kota Kinabalu, Sabah, dua (2) buah Loader dan sebuah lori Bomba TLDM, dua (2) buah motor scrambler dan dua (2) buah Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) Pasukan Khas Laut (PASKAL).


Sempena suasana Syawal, Majlis Jamuan Hari Raya Peringkat TLDM turut diadakan di Auditorium M.Sidek Shahbudin, KD PELANDOK   bersama seluruh ahli keluarga The Navy People seusai Upacara Perbarisan Istiadat. 


Ternyata kemeriahan berganda ini dapat dikongsi bersama tanpa melupakan rakan seperjuangan yang sedang bertugas di perbatasan. Walaupun negara masih bergembira merayakan Aidilfitri, TLDM sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab memelihara kedaulatan perairan negara tercinta ini.


Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini