About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.
Showing posts with label Wataniah. Show all posts
Showing posts with label Wataniah. Show all posts

Sunday, November 20, 2011

ASKAR WATANIAH – BUKAN SEKADAR SIMPANAN

Sumber: Majalah Perajurit Edisi November 2011
Oleh Hamzah hd



Kewujudan Rejimen Askar Wataniah (RAW) dalam konteks Pertahanan Menyeluruh (HANRUH), merupakan satu unsur yang amat penting. Setiap negeri akan mengadakan Pasukan Sukarelawan dalam membantu ganti serta mengimbangi dengan kekuatan anggota tetap demi untuk mempertahankan kepentingan strategik dan kedaulatan negara di masa darurat atau perang.

Dalam hal ini rakyat Malaysia tidak mengira kaum digesa untuk menjadikan AW sebagai satu platform bagi meningkatkan dan mengenal potensi diri di samping mewujudkan jaringan kerja di antara satu sama lain di dalam masyarakat.
Menyertai AW mencerminkan kesanggupan individu masyarakat memikul tanggung jawab bersama membantu mempertahankan negara dengan berbekalkan semangat, disiplin dan komitmen yang telah ada dalam diri masing-masing sekali gus menyumbang kepada keharmornian dan kestabilan negara.

Justeru dengan semangat dan komponen jati diri seumpama itu sepatutnya dijadikan sebagai satu warisan untuk semua kerana mempertahankan negara bukanlah hanya terletak di atas bahu pihak tentera sahaja tapi adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia.

Sejajar dengan Key Performance Indicator (KPI) Menteri Pertahanan, yang mensasarkan penubuhan satu kompeni AW bagi setiap kawasan Parlimen. Sehingga kini hanya negeri Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang masih belum dilancarkan sepenuhnya. Sehingga kini sudah 202 kawasan telah dilancarkan dan berbaki 20 kawasan lagi dijangka dapat disempurnakan sepenuhnya sebelum penghujung tahun 2011.

Penubuhan Jawatan Kuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) adalah selaras dengan konsep menganakangkatkan pasukan Angkatan Sukarela oleh kerajaan negeri di mana jawatan kuasa ini akan merancang segala bentuk bantuan untuk membangunkan pasukan AW negeri masing-masing. Sejak jawatan kuasa ini diwujudkan, ianya secara tidak langsung dapat membantu rejimen di dalam meningkatkan paras kekuatan menerusi penglibatan setiap lapisan masyarakat di negeri masing-masing.

Ketika ini, kekuatan AW seluruh Malaysia adalah seramai 56,036 orang termasuk Platun Selebriti yang terdiri daripada penyanyi, pelakon dan pengacara tanahair yang baharu ditubuhkan baru-baru ini. Susulan daripada itu, satu lagi Platun Media telah juga direalisasikan penubuhannya sejajar dengan matlamat untuk memberi pendedahan kepada mereka tentang program aktiviti dan latihan yang sama seperti anggota tetap tentang tugas Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Mereka kemudiannya akan bertindak sebagai ejen penerangan bagi memperomosikan pasukan tersebut serta meningkatkan kesedaran kepada orang awam mengenai peranan tentera semasa perang dan semasa aman sekaligus menarik minat lebih ramai orang untuk menyertai pasukan ini terutamanya golongan belia.

Kepakaran yang dimiliki pengamal media boleh digunakan untuk mewujudkan perkongsian pintar dengan ATM kerana strategi komunikasi sangat penting ketika berlaku peperangan.

Biarpun terdapat gosip-gosip masyarakat tentang kerelevanan penglibatan golongan selebriti ini namun hakikatnya mereka berhak untuk bersama-sama berganding bahu menyumbang kepada keamanan negara dengan cara mereka bagi merealisasikan matlamat yang sama.

Sejarah Wataniah

Pasukan sukarela telah pun wujud di Tanah Melayu sejak tahun 1861 dengan penubuhan pasukan sukarela yang dinamakan Penang Volunteer. Pada tahun 1902, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (FMS) yang terdiri daripada Negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang telah mula menubuhkan unit sukarelanya yang dikenali sebagai Malay State Volunteer Rifles (MSVR). Pasukan sukarela tersebut terus berkembang dan beberapa pasukan baru telah ditubuhkan dengan gelaran Malay Federated Malay States Volunteer Force' (FMSVF), Unfederated Malay States Volunteer Force (UFMSVF) dan Straits Settlement Volunteer Force (SSVF).

Apabila tercetusnya Perang dunia Kedua, semua pasukan sukarela yang wujud telah sama-sama berganding bahu dengan angkatan tetap menentang tentera Jepun di Malaya. Selepas perang dunia kedua pasukan-pasukan sukarela yang telah wujud telah dihidupkan semula. Apabila tercetus darurat di tanah air pada tahun 1948, satu pasukan sukarela iaitu Pasukan Kawalan Kampung (Home Guard) telah ditubuhkan. Home Guard ini telah memainkan peranan yang penting sepanjang masa darurat tersebut.
Dalam tahun 1958, apabila keadaan keselamatan dalam negeri telah dapat dikawal semula Home Guard telah dibubarkan. Memandangkan ramai dari kalangan anggota Home Guard mahu terus menyumbang perkhidmatan sukarela mereka, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah mengambil keputusan untuk menghidupkan serta menyusun pasukan sukarela supaya ianya lebih berkesan dan tersusun rapi, sesuai dengan tujuan penubuhan pasukan sukarela tersebut. The Territorial Army Ordinance 1958 telah digubal. Dengan kuasa Ordinan ini pasukan sukarela yang baru dikenali dengan nama ASKAR WATANIAH telah ditubuhkan pada 1 Jun 1958.

Pengenalan

AW merupakan salah satu pasukan di dalam Angkatan Sukarela Persekutuan yang berfungsi sebagai Pasukan Simpanan Tentera Darat (TD). Terdapat pelbagai Rejimen dan Kor dalam AW yang mempunyai peranan dan tugas tersendiri. Pasukan-pasukan AW diletakkan di bawah pentadbiran Briged setempat dan di bawah kawalan teknikal Bahagian Pasukan Simpanan (BPS).
Pasukan-pasukan AW telah diorganisasikan dan distrukturkan dalam komponen-komponen berikut:
a. Elemen Tempur
b. Elemen Bantuan Tempur
c. Elemen Bantuan Perkhidmatan
d. Elemen Pakar
e. Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES).
Orang ramai yang menepati kelayakan-kelayakan asas berpeluang memilih mana-mana pasukan untuk berkhidmat terutama pasukan yang berdekatan dengan tempat tinggal.
Elemen Tempur

• Siri 500 Askar Wataniah - Elemen ini berperanan sama seperti pasukan
pasukan infantri Angkatan Tentera Tetap. Terdapat enam belas rejimen Siri 500 AW di seluruh Malaysia pada ketika ini. Setiap rejimen mempunyai tiga batalion yang ditempatkan di beberapa lokasi.

Rej 501 AW - Kem Tebrau Johor Baharu.
Rej 502 AW - Kem Sg. Buluh Selangor.
Rej 503 AW - Kem Jalan Tambun Ipoh.
Rej 504 AW - Kem Bukit Keteri Kangar.
Rej 505 AW - Kem Telok Sisek Kuantan.
Rej 506 AW - Kem Pangkalan Chepa Kota Bharu.
Rej 507 AW - Kem Bukit Perwira Kota Kinabalu.
Rej 508 AW - Kem Jalan Rasah Seremban.
Rej 509 AW - Kem Lebuhraya Peel Pulau Pinang.
Rej 510 AW - Kem Sri Rejang Sibu.
Rej 511 AW - Kem Ria Kompleks Kuching.
Rej 512 AW - Kem Padang Midin Kuala Trengganu.
Rej 513 AW - Kem Bukit Pinang Kepala Batas Kedah.
Rej 514 AW - Kem Bukit Bruang Melaka.
Rej 515 AW - Jalan Buku Lima, Ampang Kuala Lumpur.
Rej 516 AW - Kem Kukusan Tawau.
• Armor - Kor Armor Diraja telah mewujudkan Skuadron Armor AW yang diintergrasikan dalam setiap rejimennya. Skuadron-skuadron tersebut terletak di Port Dickson, Kuantan, Sungai Petani, Kuching dan Kota Belud, Sabah.
Elemen Bantuan Tempur
• Semboyan - Skuadron-skuadron Semboyan Medan AW telah ditubuhkan untuk mewujudkan barisan kedua pasukan pengendali komunikasi TD. Pasukan ini terdapat di Kuala Lumpur, Ipoh dan Sungai Besi.

• Jurutera - Mewujudkan Skuadron-skuadron Jurutera AW dengan melatih anggota Sukarela dalam aspek kejuruteraan medan. Skuadron-skuadron ini terdapat di Kuala Terengganu, Kajang, Klang dan Pulau Pinang.

• Artileri - Konsep penubuhan sama seperti Armor di mana satu Bateri Artileri AW diintegrasikan dalam Rejimen Artileri Diraja bertempat di Kota Bharu, Taiping, Melaka, Seremban dan Kuala Lumpur.

• Risik – Kompeni Perisikan Diraja AW yang diintegrasikan ke batalion KRD (Tetap). Unit ini terdapat Sungai Petani.

• Polis Tentera – Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) telah menubuhkan 4 Kompeni KPTD AW iaitu di Pulau Pinang, Kuantan, Sungai Petani dan Kuching.
Elemen Bantuan Perkhidmatan
• Kor Perkhidmatan - Terdapat lima Kompeni Angkut AW. Satu Kompeni Bekalan dan Platun Hantaran Udara, AW. Lokasi unit-unit adalah di Seremban, Kuala Lumpur manakala Platun Hantaran Udara di Taiping.

• Kor Ordnans - Terdapat satu Kumpulan Ordnan Briged AW (KOB AW) bertempat di Kuala Lumpur dan terdapat unit KOB AW diwujudkan dengan diintegrasikan kepada unit tetap di Kuching, Taiping, Melaka dan Kuantan.

• Kor Jurutera Letrik Dan Jentera - Terdapat dua wokshop JLJ AW iaitu di Ipoh dan Kuala Lumpur manakala empat Wokshop Medan AW bertempat di Taiping, Melaka, Kuantan dan Kuching.

• Kor Kesihatan - Terdapat empat Kompeni Ubat AW bertempat di Kuantan, Kluang, Sungai Petani dan Kuching.
Elemen Pakar

Elemen pakar yang terdapat dalam AW terdiri daripada 2 kor iaitu Kor semboyan dan Kor Jurutera.

Rejimen Pakar yang terdapat dalam Kor Semboyan adalah:
• Rejimen Semboyan Diraja Pakar Telekom (AW) - Unit ini khusus bagi urusan penyelenggaraan perhubungan. Keanggotaan unit pakar ini terdiri daripada kakitangan Telekom Malaysia.

• Rejimen Semboyan Diraja Medan (AW)- Keanggotaan dalam pasukan ini terbuka kepada orang awam yang memiliki kemahiran dalam bidang telekomunikasi. Lokasi kedua-dua rejimen ini terletak di Padang Tembak Kuala Lumpur.
Rejimen Pakar yang terdapat dalam Kor Jurutera adalah:
• Jurutera Pakar Pelabuhan (40 RAJD Pakar AW): Unit-unit ini ditubuhkan di pelabuhan-pelabuhan utama negara. Keanggotaan terdiri daripada kakitangan pekerja pelabuhan Kuantan, Klang, Pulau Pinang, Bintulu dan Kuching.

• Jurutera Pakar Keretapi (50 RAJD Pakar AW): Unit ini bertanggungjawab bagi menyelenggarakan KTMB semasa darurat. Keanggotaan unit ini adalah kakitangan KTMB.

• Jurutera Pakar Pengendalian Air (60 RAJD Pakar AW): Unit ini khusus untuk dianggotai oleh pekerja Bekalan Air.

• Jurutera Pakar Pengendalian Janakuasa (70 RAJD Pakar AW): Unit ini khusus untuk dianggotai oleh pekerja Tenaga Nasional Berhad.
Kesemua rejimen ini di bawah pentadbiran Markas Rejimen Askar Jurutera Diraja Senggara Perhubungan, Kem Bukit Haigate Jalan Padang Tembak Kuala Lumpur.

Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES)

PALAPES ditubuhkan di dua belas Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sebagai pusat pengeluaran pegawai graduan yang terlatih dalam ilmu ketenteraan sebagai sumber tenaga bagi Angkatan Tetap dan Simpanan. IPTA yang mempunyai unit PALAPES adalah:

• Universiti Malaya (UM)
• Universiti Kebangsaan (UKM).
• Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM)
• Universiti Sain Malaysia (USM)
• Universiti Teknologi Mara (UTM)
• Universiti Malaysia Sabah (UMS)
• Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
• Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI)
• Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP)
• Universiti Utara Malaysia (UUM)
• Universiti Tun Husin Onn (UTHO)
Pasukan AW Kerahan (Mobilisasi) - Untuk menampung keperluan anggota dalam mengawasi keselamatan negara beberapa pasukan AW telah dikerah sepenuh masa untuk menjaga keselamatan sempadan dan kawasan-kawasan strategik negara. Antara pasukan-pasukan yang masih dikerah ialah Pusat-pusat Kawalan Sasaran Penting.
Pusat Kawalan Sasaran Penting - Unit Sasaran Penting diwujudkan di tempat strategik negara dan terletak di bawah pentadbiran Markas Pemerintahan Briged yang mempunyai Pusat Kawalan Sasaran Penting ialah:
• 1 Briged
• 3 Briged
• 6 Briged
• 7 Briged
• 8 Briged
Konsep Dan Jenis Latihan
Konsep latihan yang dilaksanakan adalah berteraskan kepada latihan asas ketenteraan untuk menyediakan anggota dan pasukan yang mampu bergandingan dengan pasukan tetap sekiranya diperlukan. Latihan-latihan Askar Wataniah dilaksanakan mengikut kemampuan dan kesesuaian masa seperti hujung minggu.
• Latihan Rekrut - Setiap anggota Askar Wataniah perlu menjalani latihan rekrut selama 30 hari berterusan atau melalui latihan tempatan selama 240 jam iaitu syarat untuk pengiktirafan sebagai Prebet.
• Latihan Tempatan - Latihan ini dilaksanakan di lokasi berdekatan kediaman anggota Sukarela. Latihan dijalankan pada masa yang bersesuaian terutama pada cuti hujung minggu. Latihan dilaksanakan dalam tempoh antara 2 hingga 12 jam sehari. Jumlah latihan ini dilaksanakan tidak melebihi 240 jam setahun (pasukan bukan teknikal) dan tidak melebihi 360 jam (pasukan teknikal).
• Latihan Lanjutan - Latihan ini dijalankan secara berterusan dalam tempoh masa tidak kurang daripada 72 jam dan tdak melebihi 14 hari bagi setiap individu dalam setahun.
• Latihan Tahunan - Latihan ini dijalankan secara berterusan pada setiap tahun sebagai kemuncak aktiviti latihan. Latihan tersebut dilaksanakan tidak melebihi 15 hari setiap tahun bagi seseorang individu. latihan ini dilaksanakan secara berkelompok dengan mengaplikasikan kemahiran ilmu medan perang, muslihat dan pengendalian senjata serta latihan rejimental.
Latihan Anggota Pakar - Anggota Pakar hanya perlu mengikuti latihan kem tahunan selama 15 hari setahun.
Faedah-faedah yang diperolehi oleh setiap anggota AW akan diberi:
• Imbuhan Elaun.
• Elaun Latihan Tempatan
• Elaun Latihan Berterusan dan Kem Tahunan
• Elaun Perjalanan
• Elaun Pakaian
• Saguhati Tahunan (Bounty).
Majikan dan Aspek Perundangan Angkatan Sukarela.
Angkatan Sukarela melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM walaupun cara perlaksanaan latihan agak berbeza di antara satu sama lain namun matlamatnya adalah supaya dapat menyediakan Pasukan Simpanan yang lengkap demi untuk mendukung peranan utama yang ditetapkan iaitu membantu Angkatan Tetap dan bersiap sedia dikerah untuk berkhidmat apabila keadaan memerlukan.
Bagi menentukan peranan itu dapat direalisasikan, ATM memerlukan anggota sukarela yang komited, mampu meluangkan masa, berpandangan positif dan bersedia turun padang. Selain itu ATM juga memerlukan sokongan padu serta kerjasama majikan-majikan untuk melepaskan pekerja mereka melibatkan diri di dalam bidang ketenteraan.
Usaha majikan menggalakan serta member sokongan membenarkan pekerja-pekerja mereka melibatkan diri di dalam Angkatan Sukarela sudah tentu dapat membantu bukan sahaja kepada ATM bahkan untuk negara.
Bagi menggalakkan anggota sukarela menghadiri latihan, pindaan terhadap Akta Angkatan Tentera 1972 telah dilaksanakan. Pindaan terhadap seksyen 201B dan seksyen 201C telah dikuatkuasakan pada 15 Ogos 2005 yang mewajibkan majikan memberi pelepasan kepada pekerja-pekerja mereka menghadiri latihan dan penugasan Angkatan Sukarela.
Seksyen 201B Akta ATM 1972 menerangkan mana-mana majikan yang menghalang pekerjanya menjalani latihan Angkatan Sukarela boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM 6000.00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.
Seksyen 201C Akta ATM 1972 menerangkan mana-mana majikan yang menamatkan pekerjaan pekerjanya yang merupakan Angkatan Sukarela semata-mata kerana pekerja itu mengikuti latihan atau pertugasan, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 6000.00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.
Peraturan 41Bab C Perintah Am, 1974 telah memperuntukan cuti tanpa rekod selama 30 hari oleh Ketua Jabatan kepada seseorang pegawai atau kakitangan kerajaan yang dikehendaki menghadiri latihan atau khemah tahunan pasukan-pasukan sukarela.
Penutup
Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat. Bagi menjamin keselamatan, kestabilan dan mengekalkan kedaulatan bukan sekadar perlu kesedaran malah ianya menuntut lebih daripada itu daripada setiap individu masyarakat. Peranan dan tanggungjawab tidak hanya terhad kepada kemampuan memikul senjata dengan kekuatan fizikal di barisan hadapan sahaja malah melalui penghayatan ianya boleh diterjemah dan diaplikasikan mengikut kemampuan dan patriotisme walau di tahap mana seseorang itu berada.
Rekod negara pernah mencatatkan perkhidmatan cemerlang anggota-anggota AW (siri 300) dalam perjuangan menentang pengganas komunis di sempadan. Sekadar menyebut satu nama besar Prebet Lelias (PGB) dan ribuan kawan-kawannya yang sanggup bergadai nyawa demi tanahair tercinta menggambarkan bahawa patriotisme tidak terhad kepada pasukan mana yang sedang seseorang itu berkhidmat.
Justeru, penubuhan, peningkatan dan pembangunan AW tidak boleh diragui sebagai ketumbukan barisan kedua yang ampuh yang mampu menggerakkan jentera-jentera sokongan kepentingan awam berfungsi seperti biasa di kala negera berada dalam saat genting. Peranan Pasukan Simpanan Sukarela ATM adalah elemen cegah rintang yang terbaik dengan struktur organisasinya yang mantap dan boleh dipercayai.
Pembangunan dan perkembangannya mempunyai hala tuju yang jelas. Apa yang penting adalah komitmen individu yang telah menyahut cabaran ini jujur dan rela hati ingin berbakti kepada ibu pertiwi. Bukan kerana lain-lain maksud seperti ingin menambahkan pendapatan atau keistimewaan-keistimewaan tertentu sebagai seorang tentera yang pastinya komitmen sebegini akan menjadi longgar dan tidak kekal lama.
Realiti yang harus diterima adalah ramai dari kalangan AW ‘hangat-hangat tahi ayam’ terhadap tanggungjawab yang harus mereka lunasi sebagai anggota AW. Ada yang menganggotai Pasukan PALAPES hanya sekadar untuk memenuhi ko-korikulum universiti malah ada juga dengan niat untuk menambah wang saku. Walhasilnya setelah tamat pengajian, tauliah yang disandang dibuang entah ke mana.
Tidak dinafikan untuk berjaya di dalam perkhidmatan AW ini memerlukan komitmen yang tinggi dengan sokongan dan dorongan terutamanya majikan-majikan di mana anggota-anggota bernaung. Kekangan kerja dan birokrasi majikan terutama dalam organisasi swasta banyak membantutkan semangat dan keinginan seseorang anggota AW untuk turut cergas pada setiap aktiviti yang dilaksanakan. Untuk berada dalam situasi menang-menang apa yang perlu disemat dalam fikiran ialah ‘jika tidak boleh buat semua janganlah ditinggalkan semua’ aktiviti yang telah ditetapkan dalam skim latihan. Sebenarnya untuk memahirkan seseorang anggota AW, kerajaan telah membelanjakan jumlah wang yang banyak justeru sangat rugi sekiranya seseorang itu tidak member komitmen yang sepatutnya atau melakukan sambil lewa.
Ancaman kepada keamanan negara pasca merdeka terutamanya era millenium tidak lagi berpaksikan ancaman luaran yang ingin menjajah secara fizikal tetapi ‘kelihatan’ ia bergerak halus melalui ideologi politik yang dimainkan oleh rakyat negara sendiri yang sanggup menggadaikan kesejahteraan demi sebuah kuasa.
Institusi keselamatan negara juga tidak terlepas dari turut dipersendakan bukan sahaja dengan mendedahkan maklumat-maklumat berdarjah kepada negara luar malah memperlekehkan segala usaha pembangunan pertahanan yang dirancang. Menjadi lebih malang bila ada yang berani mempertikaikan jasa pejuang-pejuang zaman kritikal dengan menterjemah kepada fakta sejarah menjadi sebaliknya. Implikasinya amat besar terhadap sejarah kemerdekaan negara kerana jika tidak dibendung, fenomena ini akan mengelirukan pemikiran generasi terkini yang sedang diberi kefahaman tentang konsep HANRUH yang menuntut semua rakyat bersatu hati jiwa dan raga demi kesejahteraan negara tercinta. Perajurt
________________________________________
Sumber Rujukan:
http://army.mod.gov.my
Cawangan Sumber Manusia (Sel Promosi) Markas TD

PELANCARAN KOMPENI AW NEGERI KEDAH


Sumber: Majalah Perajurit Edisi November 2011
Oleh Hamzah hd

Dalam usaha kerajaan untuk menubuhkan Kompeni Askar Wataniah (AW) bagi setiap kawasan dalam negara ini hampir memenuhi matlamat. Sehingga kini sudah 202 kawasan di seluruh Malaysia telah dilancarkan dan berbaki 20 kawasan lagi dijangka dapat disempurnakan sepenuhnya sebelum penghujung tahun ini.
Negeri Kedah Darul Aman mempunyai 15 buah kawasan Parlimen, 12 Kompeni daripadanya telah dilancarkan secara berperingkat-peringkat. Pada 17 Sep 2011, tiga lagi kawasan telah dilancarkan iaitu kawasan Jerlun, Sik dan Padang Terap. Dengan pelancaran ini sempurnalah penubuhan kompeni Askar Wataniah peringkat Negeri Kedah sekali gus memberi peluang serta platform kepada rakyat negeri ini mempertahankan negara tercinta.

Sehingga kini hanya negeri Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang masih belum dilancarkan sepenuhnya. Majlis Pelancaran telah disempurnakan oleh Lt Jen. Dato’ Seri Panglima Haji Ahmad Hasbullah bin Haji Mohd Nawawi , Timbalan Panglima Tentera Darat. Turut hadir dalam majlis di Taman Tema Jitra ialah , Mej Jen Dato’ Azizan bin Md Delin, Panglima 2 Div , Mej Jen Dato’ Mohd Nor bin Daud, Ketua Staf Markas Tentera Darat , Brig Jen. Dato’ Mohd Tajeri bin Haji Alwi, Panglima 6 Briged dan Brig Jen Dato; Mahadi Abdul, Asisten Panglima Pasukan Simpanan.
Pemakaian Pangkat Mejar Kehormat di dalam Angkatan Sukarela Persekutuan kepada En Samat bin Che Noh Pengarah Urusan Inovasi Utara yang telah memberi komitmen tinggi dan bercita-cita untuk menjadi pegawai tentera.
Sejarah Askar Wataniah Negeri Kedah

Rejimen 513 AW ditubuhkan bertujuan untuk mengambil, melatih dan mentadbir anggota Sukarelawan dan Sukarelawati AW dari seluruh Negeri Kedah. Sejarah awal penubuhan pasukan sukarela di nergeri Kedah telah bermula sejak tahun 1932. Antara pasukan-pasukan sukarela yang pernah wujud di negeri ini adalah Kedah Volunteer Force (KVF), Pasukan Pertahanan Tempatan Negeri Kedah (PPT Kedah) dan Rej 504 AW.

Pada tahun 1941, semasa Tentera Jepun menyerang Malaya, pasukan KVF telah ditugaskan untuk mengawal Sungai Petani dan kemudiannya telah dibubarkan akibat pengunduran Tentera British ke Selatan tanahair. Setelah tamat Peperangan Dunia Kedua iaitu pada 1 Jan 1950, Kerajaan British telah menubuhkan PPT Kedah bagi membangkitkan semua semangat sukarelawan dalam kalangan penduduk Negeri kedah dalam usaha untuk memerangi keganasan Parti Komunis Malaya (PKM).

Akibat dari penyusunan dan pembesaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), maka pada awal 1980, PPT Kedah telah dibubarkan dan diganti dengan penubuhan Rej 504 AW pad 7 Sep 1980 yang merangkumi kawasan tanggungjawab (KTJ) negeri Kedah dan Perlis.
Susulan dari pembesaran Rejimen AW (RAW), maka pemisahan sector telah dibuat pada 14 Jun 1997. Rej 513 AW telah ditubuhkan bagi merangkumi KTJ Negeri Kedah manakala Rej 504 AW untuk KTJ Negeri Perlis.

Sejarah Pasukan

Rej 513 AW telah ditubuhkan bertujuan untuk mengambil, melatih dan mentadbir anak watan Negeri Kedah dalam menjadikan mereka seorang anggota tentera yang terlatih setanding dengan anggota tetap. Rejimen ini ditubuhkan sejajar dengan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) yang mana dalam konsep ini setiap negeri akan mengadakan pasukan sukarelawan dalam membantu ganti serta mengimbangi dengan kekuatan anggota tetap demi untuk mempertahankan kepentingan strategik dan kedaulatan negara di masa darurat atau perang.
Penubuhan ini berkuatkuasa pada 14 Jun 1997 dengan dipersetujui oleh MAT ke 353. Tahap penubuhan bagi proses penubuhan Rejimen adalah berpandukan 4 tahap seperti:
a. Tahap 1- Penubuhan Nukleas pada 28 Ogos 1997 bertempat di Kem Bukit Keteri Perlis dengan menggunakan perjawatan Bn 4/504 dan berpindah ke Kem Jalan Kolam Air pada 15 Dis 1997.
b. Tahap 2- Penubuhan Mk Rej dan Bn 1/513 di Kem Jalan Kolam Air pada 1 Jan 1998.
c. Tahap 3- Penubuhan Bn 2/513 di Kem Jalan Bukit Kulim pada 1 Jan 1999.
d. Tahap 4- Penubuhan Bn 3/513 di Kem Jalan Kolam Air pada 1 Jan 2000.
Pada 1 Apr 2010 Mk Rej dan Bn 3/513 AW telah berpindah ke Kem Bukit Pinang Kepala Batas, Kedah. Komander Rej 513 AW sekarang adalah YTM Tungku Panglima Besar Brig Jen Dato; Seri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam shah.
Ringkasan Penubuhan Kompeni AW Kawasan
Bagi melengkapkan pembangunan Rejimen Askar Wataniah (RAW), mantan Menteri Pertahanan Malaysia ketika itu iaitu YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak telah mengilhamkan Penubuhan Kompeni Askar Wataniah.
Kawasan Pekan Pahang adalah kawasan yang pertama ditubuhkan pada 15 Jul 2000. YAB Perdana Menteri sebagai Ahli Parlimen Pekan telah secara rasminya menyempurnakan pelancaran ketika itu.
Kompeni AW ini terdiri dari orang awam yang ingin menyertai perkhidmatan Sukarela AW. Tujuan penubuhan Kompeni ini adalah:
a. Untuk memupuk golongan muda sebagai aktiviti sampingan mereka dan menanam tanggungjawab dalam aspek pertahanan Negara.
b. Untuk mendapatkan satu kumpulan tentera sebagai pelindung tempatan yang terlatih dan boleh dimobilisasikan pada bila-bila masa dalam waktu kecemasan/bencana alam untuk membantu pihak berkuasa awam.
c. Untuk melibatkan serta merapatkan hubungan awam dengan tentera.
Di dalam program ini, pihak-pihak yang terlibat,adalah seperti berikut:
a. Penaung- Menteri/Timbalan Menteri
b. Pengurus-Panglima TD (PTD) dan dikawal selia oleh Asisten Panglima Pasukan Simpanan.
c. Penyelaras Program- Markas Medan TD dan dikawal selia oleh Markas Formasi Briged Infantri tempatan.
d. Agensi Pelaksana- Usahasama antara Rejimen siri 500 dengan Pejabat Ahli Parlimen tempatan.
e. Agensi Penasihat- Jawatankuasa Pendukung AW (JAKPAW) Negeri.
Semua orang tahu, pertahanan atau peperangan masa kini telah transisi terlalu jauh kepada satu paradigma secara menyeluruh yang berkonsepkan teknologi tinggi. Namun begitu kekuatan fizikal dan mental adalah faktor asas yang tidak boleh ditukar ganti walau dengan apa cara sekali pun melainkan mengadaptasikan semua sistem latihan secara semulajadi walaupun sudah bergelar askar bestari atau askar masa depan.

Bagi melindungi kepentingan negara yang menjadi teras kepada kedaulatan wilayah darat, persiapan barisan kedua tentera darat menjadi sama penting dengan ketumbukan askar tetap di barisan hadapan.
Justeru, sesuai dengan perencanaan strategik Kementerian Pertahanan, satu dasar telah digubal melalui pendekatan HANRUH iaitu dengan melibatkan semua rakyat yang patriotik mengambil bahagian dan bertanggungjawab terhadap pertahanan negara yang mana selama ini peranan ini dipikul oleh Pasukan Keselamatan seperti ATM dan PDRM namun untuk memastikan pasukan keselamatan mampu menghadapi cabaran ianya akan menjadi tanggungjawab nasional.

Meskipun keupayaan ATM sentiasa dipertingkatkan kesiagaannya namun keupayaan berdikari rakyat Malaysia dalam mempertahankan tanahair turut diberi perhatian serius. PERAJURIT.

Saturday, September 17, 2011

Pelancaran Kompeni AW Kedah

Oleh Hamzah hd.



Jitra 17 Sep- Sejajar dengan Key Performance Indicator (KPI) Menteri Pertahanan, hari ini satu lagi pelancaran Kompeni Watanaiah telah berlangsung bagi kawasan Jerlun, Sik dan Padang Terap dalam negeri Kedah.

Negeri Kedah Darul Aman mempunyai 15 buah kawasan , 12 daripadanya telah dilancarkan berperingkat-peringkat. Dengan pelancaran ini sempurnalah penubuhan kompeni Askar Wataniah peringkat Negeri Kedah sekali gus memberi peluang serta platform kepada rakyat negeri ini mempertahankan negara tercinta.

Sehingga kini hanya negeri Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang masih belum dilancarkan sepenuhnya. Sehingga kini sudah 202 kawasan telah dilancarkan dan berbaki 20 kawasan lagi dijangka dapat disempurnakan sepenuhnya sebelum penghujung tahun ini.

Majlis Pelancaran telah disempurnakan oleh Lt Jen. Dato’ Seri Panglima Haji Ahmad Hasbullah bin Haji Mohd Nawawi , Timbalan Panglima Tentera Darat. Turut hadir dalam majlis di Taman Tema Jitra ialah , Mej Jen Dato’ Azizan bin Md Delin, Panglima 2 Div , Mej Jen Dato’ Mohd Nor bin Daud, Ketua Staf Markas Tentera Darat , Brig Jen. Dato’ Mohd Tajeri bin Haji Alwi, Panglima 6 Briged dan Brig Jen Dato; Mahadi Abdul, Asisten Panglima Pasukan Simpanan.

Pemakaian Pangkat Mejar Kehormat di dalam Angkatan Sukarela Persekutuan kepada En Samat bin Che Noh Pengarah Urusan Inovasi Utara yang telah memberi komitmen tinggi dan bercita-cita untuk menjadi pegawai tentera.MP

Tuesday, August 2, 2011

23 lagi kompeni AW bakal dilancar

sumber utusan




BUTTERWORTH 28 Julai - Sebanyak 23 lagi Kompeni Askar Wataniah (AW) bagi kawasan Parlimen akan dilancarkan secara berperingkat-peringkat di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahim Mohd. Yusuff berkata, ia selaras dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mahu ia dilancarkan sebelum penghujung 2011.

Menurutnya, sehingga kini sebanyak 199 kawasan di seluruh negara memiliki Kompeni AW mereka sendiri dan hanya Kedah, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur belum dilancarkan sepenuhnya.

"Pelancaran kompeni ini adalah bagi memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan remaja di samping mempersiapkan diri bagi mempertahankan negara jika berlaku sebarang ancaman yang tidak boleh diramalkan.

"Penubuhan kompeni ini juga telah memberikan impak yang positif kepada rakyat termasuk penglibatan pelbagai lapisan masyarakat seperti selebriti, ahli sukan dan pemimpin setempat," katanya ketika berucap merasmikan pelancaran enam Kompeni AW di sini, hari ini.

Pelancaran enam Kompeni AW itu meliputi kawasan Tanjung, Jelutong, Bukit Mertajam, Permatang Pauh, Bagan dan Tasek Gelugor melibatkan 600 anggota.

Tambah Abdul Rahim, penyertaan tokoh dan selebriti dalam AW secara tidak langsung boleh mempromosikan pasukan tersebut kepada orang ramai serta meningkatkan kesedaran orang awam tentang fungsi dan tugas tentera melalui latihan, aktiviti dan program yang sama seperti anggota tetap.

Jelasnya, AW juga berupaya meniup semangat generasi baru untuk mencurahkan khidmat murni kepada negara serta menjadi penghubung antara tentera dengan rakyat jelata.

Saturday, June 18, 2011

Siti Nurhaliza dan tujuh lagi selebriti sertai Askar Wataniah

sumber utusan

KUALA LUMPUR 16 Jun — Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin dan tujuh lagi selebriti tanah air hari ini menyerahkan borang bagi menyertai Rejimen Askar Wataniah.

Yang lain ialah pelakon Shaheizy Sam, Intan Ladyana dan Kapt (B) Mohd Nor Bon, penerbit filem David Teo, penyanyi Ana Raffali dan Aizat Amdan serta Nurul Hidayah, anak sulung Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Nurul Hidayah 34, adalah pengacara rancangan Inspirasi Ramadan di RTM.

Ahmad Zahid berkata, penyertaan selebriti dalam Askar Wataniah dapat menarik minat lebih ramai individu terutamanya golongan belia.

"Matlamat kami mempelawa selebriti menyertai Askar Wataniah adalah untuk memberi pendedahan kepada mereka tentang aktiviti, latihan dan tugas Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Mereka kemudiannya boleh menterjemahkan dan menerangkan kepada orang ramai mengenai peranan tentera ketika berlaku peperangan dan juga dalam keadaan aman damai sekaligus menarik minat lebih ramai orang untuk menyertai pasukan ini,” katanya kepada pemberita selepas menerima borang itu di sini hari ini. — Bernama

Wednesday, August 11, 2010

Kesilapan manusia jadi punca

sumber utusan

Oleh HAMDEN RAMLI
pengarang@utusan.com.my


KOTA BELUD 7 Ogos – Siasatan awal mendapati kejadian dua anggota 10 Briged Para lemas ketika menjalani latihan ketenteraan di sebuah kolam di Kem Terendak, Melaka, semalam berpunca daripada kesilapan manusia.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, satu pasukan penyiasat telah ditubuhkan bagi menentukan tindakan serta memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.

“Kita bersimpati dengan keluarga mangsa dan akan memastikan kebajikan mereka diutamakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompeni Askar Wataniah Kawasan Kota Kinabalu, Kota Belud, Penampang, Tenom, Pensiangan dan Ranau di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah Sabah, Datuk Lajim Ukin dan Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Awi Suboh.

Beliau diminta mengulas kejadian yang menimpa dua anggota 10 Briged Para, Mohd Hafizullah Sohok, 19, dari Pasir Puteh, Kelantan dan Shahrul Nizam Salim, 24, dari Felda Palong 7, Negeri Sembilan yang lemas ketika mengadakan latihan ketenteraan di sebuah kolam di Kem Terendak, Sungai Udang.

Ahmad Zahid berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa memastikan segala peraturan termasuk semasa latihan dipatuhi bagi mengelak kejadian tidak diingini.

‘‘Ini bukan kita rancang tetapi kita mahu kesiagaan diletakkan pada tahap tertinggi supaya tidak ada lagi kemalangan berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berharap kejadian itu tidak akan menjejaskan semangat anggota ATM secara keseluruhannya.

Sementara itu mengulas mengenai kenyataan ATM yang mengesahkan pasukan itu tidak menggunakan bahan letupan C4 dalam perkhidmatan mereka, Ahmad Zahid berharap penjelasan itu akan menamatkan sebarang spekulasi mengenai isu tersebut.

‘‘Memang ATM tidak menggunakan C4 tetapi kita menggunakan PE4. Jadi, jika bahan letupan C4 itu diperolehi maknanya ia bukan daripada stok ATM.

‘‘Saya harap spekulasi ini bukan sahaja dihentikan tetapi jangan buat cerita mengarut yang menyebabkan kredibiliti ATM terjejas sehingga menjejaskan kebolehpercayaan rakyat kepada kita semua,” katanya.

Dalam perkembangan lain ketika berucap merasmikan Kompeni Askar Wataniah Kawasan Kota Kinabalu, Kota Belud, Penampang, Tenom, Pensiangan dan Ranau, Ahmad Zahid berkata, pasukan tersebut berupaya menjadi kuasa cegah rintang baru negara dalam menghadapi cabaran isu-isu keselamatan.

Oleh itu beliau mahu semua anggota rejimen berkenaan sentiasa komited dan menjalani latihan secara konsisten bagi menyiapkan kesiagaan diri dan pasukan.

Monday, June 7, 2010

Askar Wataniah di 50 Parlimen

Sumber utusan
Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my

KUALA KRAI 6 Jun - Kementerian Pertahanan akan memperluaskan pasukan Askar Wataniah ke 50 kawasan Parlimen tahun ini dengan melibatkan sekurang-kurangnya 5,000 sukarelawan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad berkata, pasukan tersebut adalah penghubung di antara tentera dengan rakyat di samping dapat memberi semangat kepada generasi baru mencurahkan khidmat murni kepada negara.

Beliau berkata, pihaknya juga menyasarkan untuk meningkatkan anggota Askar Wataniah dengan nisbah dua orang berbanding seorang anggota tentera menjelang 2020.

''Sambutan yang kita terima setakat ini amat baik dan ia bertujuan memastikan penglibatan semua pihak terhadap tanggungjawab bagi menjaga negara.

''Ini merupakan hasrat kita untuk 'merakyatkan tentera' dan 'mententerakan rakyat' disebabkan itu kita menyasarkan setiap Parlimen terdapat 100 anggota sukarelawan,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Kompeni Askar Wataniah Batalion 3, Rejimen 506, kawasan Parlimen Ketereh, Kubang Kerian, Kota Bharu dan Machang di Kem Sungai Durian di sini hari ini.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifeli Mohd. Zin dan Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Noor Daud.

Abdul Latif berkata, pihaknya juga sedang mengkaji untuk menaikkan elaun anggota Askar Wataniah tetapi ia bukan menjadi faktor utama untuk menarik orang awam menyertai pasukan tersebut.

''Tanpa elaun pun penglibatan orang ramai amat memberangsangkan, jadi elaun bukan menjadi faktor penarik tetapi kita sedang mengkajinya.

''Kalau Askar Wataniah mengambil kira mengenai elaun, mereka bukan lagi anggota sukarela tetapi 'askar elaun' bagaimanapun saya ucap terima kasih kepada mereka yang menyertai pasukan ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga merancang untuk menubuhkan unit komunikasi Askar Wataniah yang melibatkan pengamal media.

Katanya, kepakaran yang dimiliki pengamal media boleh digunakan untuk mewujudkan perkongsian pintar dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana ia penting ketika berlaku peperangan.

''Selepas ini, kita minta wartawan untuk menyertai Askar Wataniah disebabkan kita akan mewujudkan sebuah unit komunikasi kerana dalam peperangan strategi komunikasi amat penting.

''Pengalaman dan kepakaran yang dimiliki oleh wartawan boleh dicurahkan untuk bersama-sama Askar Wataniah secara sukarela untuk mempertahankan negara," katanya.

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini