About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Thursday, November 1, 2018

SULTAN KEDAH KE-29 DITABAL


Oleh: Paklang Hamzah

Seluruh rakyat jelata merafak sembah tahniah serta mendoakan kesejahteraan berpanjangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah sempena Istiadat Pertabalan Kebawah DYMM Tuanku  sebagai Sultan Kedah ke 29 pada 22 Oktober 2018 yang lalu.  Baginda telah dimasyhurkan sebagai Sultan Negeri Kedah Darul Aman ke 29 pada September 2017 yang lalu berikutan kemangkatan paduka kekanda baginda Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Sesungguhnya tarikh tersebut telah tercipta satu sejarah keramat di mana kali terakhir rakyat negeri Kedah khususnya menyaksikan Istiadat Pertabalan Sultan Kedah ialah kira-kira 59 tahun yang lalu iaitu  pada tanggal 20 Februari tahun 1959, menyaksikan Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah ditabal sebagai Sultan Kedah ke 28 menggantikan ayahanda baginda Almarhum Sultan Badlishah Ibni Almarhum  Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Sebaik selesai pertabalan, baginda Sultan kini bergelar Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.  Istiadat Pertabalan berlangsung dalam suasana penuh tradisi dan adat resam Kesultanan Melayu Kedah di Balairung Seri, Istana Anak Bukit di Alor Setar.

DYMM Tuanku Sultan adalah ketua agama Islam kepada rakyat jelata, bersemayam di atas tahta kerajaan untuk terus memayungi rakyat negeri Kedah Darul Aman serta memelihara dan memperkasakan syariat  Islam yang suci untuk ke suatu tempoh yang mendatang.

Dalam konteks pertahanan, bidang ketenteraan adalah bidang yang tidak asing kepada baginda kerana baginda pernah menerima latihan ketenteraan di Akademi Ketenteraan India Dehradun pada 23 Julai 1962 hingga 30 Jun 1963.  Menyandang pangkat Leftenan semasa bertugas di Batalion ke 12 RAMD pada   Februari 1964 dan pernah terlibat dengan beberapa operasi keselamatan di kawasan sempadan Thailand.

Terkini, baginda merupakan Kolonel Yang DiPertua kepada ketumbukan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang dilantik menggantikan paduka kekanda baginda Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah ekoran kemangkatan Almarhum baginda.  Baginda turut dianugerahkan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged Para pada 13 Februari 2018 yang lalu. Kolonel Yang DiPertua merupakan satu jawatan istiadat di dalam sesebuah rejimen tentera yang mana jawatan ini disandang oleh penaung rejimen yang kebiasaannya dalam konteks Malaysia adalah dalam kalangan kerabat Diraja.

Pengiktirafan

Islam mengiktiraf  istitusi Diraja sebagai sebuah institusi yang berdaulat yang wajib ditumpahkan taat setia kepada raja.  Al-quran juga menceritakan berbagai-bagai orang yang telah diberikan kuasa pemerintahan maupun kerajaan termasuklah golongan para nabi.  Antara mereka yang diberi kekuasaan oleh Allah ialah  Nabi Sulaiman A.S.  Pada ketika itu juga terdapat sebuah negara yang diperintah oleh seorang raja perempuan dari kerajaan Saba’ sepertimana yang dinyatakan dalam Surah Al-Naml Ayat 23 yang bermaksud:  “Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan memerintah mereka dan ia telah diberikan kepadanya (serba sedikit) dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) dan ia pula mempunyai singgahsana yang besar”.

Terdapat juga kisah bagaimana Allah SWT mengiktiraf permintaan dari ketua-ketua Bani Israel untuk melantik seorang raja dalam kalangan mereka supaya mereka dapat berjuang bersama-sama dengan raja itu pada jalan Allah.  Firman Allah dalam Surah Al-baqarah Ayat 246 yang bermaksud: “Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad) tentang kisah ketua-ketua dari Bani Israel sesudah (wafatnya) Nabi Musa ketika mereka berkata kepada seorang nabi mereka: “Lantiklah seorang raja untuk kamu supaya boleh kami berperang (bersama-sama dengannya pada jalan Allah”.

Allah SWT juga memberi kuasa memerintah kepada sesiapa yang dikehendakinya.  Ini dijelaskan melalui firmannya dalam Surah Ali Imran Ayat 26 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan!, Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki.  Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang engkau kehendaki.  Dalam kekuasaan Engkau sahaja adanya segala kebaikan.  Sesungguhnya Engkau maha kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

Kesetiaan adalah rukun kepada kedaulatan raja.  Menurut Imam Al-Mawardi dalam kita Al-Ahkam AL-Sultaniah bermaksud: “Apabila pemerintah menunaikan hak rakyat (umat) maka menjadi tanggungjawab rakyat memberi ketaatan dan pertolongan kepada pemerintah”.

Kita sering dibacakan oleh para-para ulamak tentang tuntutan syariat dalam meletakkan kesetiaan kepada pemerintah berdasarkan kepada firman Allah dalam Surah An-Nisa Ayat 59, yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ‘Ulil-Amri’ yakni orang-orang yang berkuasa dalam kalangan kamu.  Kemudia jika kamu berbantah-bantah atau berselisihan dalam sesuatu perkara maka hendaklah kamu mengembalikan kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulnya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat.  Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan elok pula kesudahannya”.

Baginda Payung Negeri

Raja adalah payung kedaulatan negara dan menjalankan tanggungjawab memberi naungan yang saksama kepada setiap rakyat tanpa mengira kaum dan anutan agama.  Raja berperanan sebagai tonggak kerukunan dalam proses sosialisasi rakyat, keadilan pemerintahan dalam memastikan kestabilan negeri yang dipayunginya terus aman dan makmur yang memangkin kepada kerahmatan Ilahi.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab rakyat jelata pula memberikan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada raja pemerintah terutamanya bagi umat Islam yang telah disyariatkan supaya taat dan patuh kepada pemerintah.

Sesungguhnya perinsip keadilan, kesaksamaan dan perpaduan yang diterapkan oleh Kebawah DYMM Tuanku Sultan akan lebih menyatukan rakyat dan rakyat pula mempunyai tanggungjawab yang serupa dengan memelihara undang-undang, menjaga keselamatan pada sebilang masa serta menghormati dan menghargai institusi Diraja serta memupuk kecintaan kepada negeri.

Rakyat jelata mendoakan semoga Kebawah DYMM Tuanku Sultan dan Kebawah DYMM Tuanku Sultanah serta kerabat-kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat Ilahi, diteguhkan keimanan, dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan yang berpanjangan bagi meneruskan kesinambungan pemerintahan dalam suasana aman dan makmur serta dijauhi dari sebarang anasir jahat dan fitnah yang mencetus kepada mala petaka dan kehancuran agar ikatan ukhuwah dan kasih sayang antara rakyat sentiasa subur  berpanjangan di bawah payung pemerintahan Tuanku Raja berdaulat lagi berjiwa rakyat. DAULAT TUANKU!

Tinggalkan pesanan anda di sini