Bersiap sedialah bagi menghadapi mereka (yakni musuh-musuh) dengan segala kekuatan yang termampu kamu sediakan dari pasukan berkuda yang lengkap sedia untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh lain selain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedangkan Allah mengetahui-Al Anfal Ayat 60
About Me
- Minda Pertahanan
- Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.
Pages
Wednesday, September 13, 2023
Diari Pejuang Siri 2
Wednesday, August 10, 2022
HARI PAHLAWAN DAN VETERAN BANGKIT PASCA RU6622
Tanggal 31 Julai setiap tahun adalah hari mengenang jasa dan pengorbanan pahlawan. Pahlawan dalam konteks pejuang-pejuang yang memperjuang serta memperhambakan diri dalam usaha untuk membebaskan tanahair dari dijajah atau diganggu-gugat oleh anasir-anasir yang sengaja memporak-porandakan keamanan dan keselamatan negara sejak era pra merdeka, pasca merdeka, insurgensi dan dalam peristiwa era moden di dalam dan luar negara.
Bagi memperingati jasa dan pengorbanan yang dimaksudkan, negara mengangkat setiap 31 Julai sebagai Hari Pahlawan yang menjadi agenda tetap dalam kalender penting negara. Tahun ini Istiadat sambutan Hari Pahlawan telah diadakan di Dataran Pahlawan Negara Putrajaya. Selain Istiadat Perbarisan Kawalan Kehormatan oleh Pasukan Keselamatan, acara-acara yang berunsurkan patriotik seperti deklamasi sajak, pentomin dipertontonkan yang menggamik nostalgia perjuangan pejuang-pejuang terdahulu.
Bagi yang menghayati erti jerih payah perjuangan sudah pasti ada yang tidak berdaya menahan sebak. Juraian air mata tidak dapat disembunyikan samada yang sedang menyaksikan di dataran malah yang menyaksikan siaran langsung di televisyen.
Suasana ini memang suatu hakikat bagi menggambarkan persetujuan dan perakuan setiap diri yang bergelar rakyat jelata yang mengerti bahawa keamanan dan kemakmuran yang dikecapi hari ini adalah hasil keringat dan darah pejuang terdahulu dari individu, tentera malah juga polis. Apatah lagi yang menonton itu Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlibat secara langsung, balu serta anak-anak yang telah kehilangan tempat bergantung dan menumpang kasih sayang.
Perasaan kepada yang bergelar Veteran ATM maupun yang hanya boleh dipanggil Bekas Tentera bercampur-baur bukan sahaja kerana dibawa mengenang kisah-kisah lama yang menyayat hati malah di samping itu ada korelasi pertembungan sejarah perjuangan yang telah menghasilkan keamanan dengan kesinambungan penghidupan pejuang itu sendiri yang rata-rata mampu melihat ‘kesenangan’ generasi yang lahir dalam kemakmuran sedangkan mereka sendiri masih terkial-kial untuk mencukupkan belanja kehidupan seharian.
Sebilangan kecil yang ‘bertuah’ yang telah dianugerah pingat-pingat keberanian boleh menarik nafas lega kerana kelompok mereka sentiasa diberi perhatian. Tidak dinafikan, Veteran yang cacat serta daif yang tidak mampu bekerja turut diberi saraan dengan kadar tertentu setiap bulan oleh pihak kerajaan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) malah juga sentiasa berada dalam radar pemantauan Persatuan-persatuan Veteran jika individu tersebut menjadi ahli persatuan.
Namun ada lagi kelompok Veteran dan Bekas Tentera yang menamatkan perkhidmatan sebelum tahun 2004 sememangnya agak kurang bernasib baik meskipun bukan semua yang berada dalam kalangan Bottom 40 (B40), keperluan mereka tidak diberi perhatian sewajarnya dalam konteks sebagai mengenang jasa dan pengorbanan mereka.
Pada dasarnya mereka dinasihatkan dan digalakkan menyertai persatuan kerana dengan berpesatuan selain dapat menyambung silaturrahim, jika berlaku musibah atau sakit demam, ada juga orang persatuan datang mengambil cakna. Namun begitu, persatuan tidak mampu untuk ‘memberi’ sepanjang masa kerana persatuan tiada pendapatan tetap selain geran peruntukan daripada JHEV yang tidak cukup untuk memberi manfaat kepada semua ahli.
Oleh kerana itu, lebih ramai Veteran/Bekas Tentera mengambil sikap independen dan tidak berminat untuk menyertai persatuan terutamanya bagi mereka yang berpencen selepas tahun tahun 2014 kerana pencen mereka agak lumayan dan merasakan tidak perlu lagi mengharap dan menagih simpati persatuan.
Tabung Rayuan Hari Pahlawan
Penulis tidak pasti adakah tahun ini Kempen Kutipan Tabung Rayuan Hari Pahlawan (TRHP) dilancar atau tidak. Ada atau tidak, ianya mempunyai persepsi yang pelbagai dalam kalangan masyarakat sebelum ini. Yang bagusnya, tabung ini sekurang-kurangnya dapat membantu sedikit sebanyak pihak JHEV maupun persatuan-persatuan Veteran mengambil cakna terhadap Veteran-veteran yang berada dalam sasaran yang memerlukan bantuan berterusan. Bukan sedikit perbelanjaan bagi memenuhi keperluan ini.
Namun begitu, tidak kurang juga dalam kalangan masyarakat yang mengkritik mengatakan Tabung Rayuan Pahlawan ini sudah tiba masanya dihentikan rayuan atau dengan kata lain pihak persatuan-persatuan Veteran tidak perlu lagi menjaja tabung meraih simpati orang ramai di merata-rata tempat. Kata mereka, tindakan menjaja tabung rayuan ini memalukan Institusi Veteran itu sendiri. Kata mereka lagi, sepatutnya keperluan menyantuni Veteran ini disediakan melalui dana khas yang disediakan oleh kerajaan yang mungkin juga subsidiary sebagai contoh: dari Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sesuai dengan jasa dan pengorbanan mereka yang sebelum ini juga adalah pencarum tetap sepanjang perkhidmatan mereka yang secara langsung telah ‘mengkaya’ LTAT itu sendiri melalui pelaburan-pelaburan yang dibuat.
Sebagai timbal balas, LTAT sepatutnya boleh membimbing dengan menjadikan Persatuan-persatuan Veteran yang ada sebagai anak syarikat bagi mengurus segala kepentingan LTAT yang mana Veteran-veteran itu sendiri mampu mengendalikannya secara kolektif dan sekaligus memberi peluang pekerjaan secara langsung sebagai kerjaya kedua kepada Veteran yang masih mendambakan kerja. Sebagai contoh: Persatuan Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) boleh diamanahkan untuk mengoperasikan Dockyard dan lain-lain bidang yang berkait dengan profesionalisme mereka.
Rasionalnya di dalam syarikat Boustead Naval Shipyard itu sendiri sebagai contoh, sebahagian perkerjanya dari CEO, pegawai-pegawai executive hinggalah teknisyen adalah ramai dari kalangan Veteran TLDM juga. Demikian juga firma-firma anak syarikat LTAT yang lain yang mengendalikan aset-aset tentera darat dan udara apa salahnya kalau dilantik persatuan-persatuan berkaitan mengendalikannya. Guballah polisi apa pun supaya kaedah boleh diguna pakai dan direalisasikan untuk tujuan yang baik.
Secara tak langsung pengaliran keuntungan syarikat dapat dimanfaat terus kepada Veteran yang bekerja dan sedikit keuntungan disalur kepada tabung/koperasi yang boleh dimanfaatkan kepada ahli-ahli lain sekaligus mengurangkan beban kerajaan untuk menanggungnya.
Ada yang mengesyorkan, pada sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos nanti supaya para Veteran melalui Persatuan-persatuan tidak lagi diminta berbaris sebagai kontinjen kerana kekuatan mereka untuk berjalan jauh tidak lagi sesuai. Veteran ATM maupun PDRM sewajarnya ditempatkan di bawah Pavillion atau pentas khas bersebelahan dengan pentas utama orang kenamaan. Masanya untuk mereka pula melihat deretan perbarisan anak-anak warisan mereka dari atas pentas, bukan masanya untuk mereka sendiri berbaris berkawad bersama anak-anak sehinggakan ada yang tercicir dari barisan kerana masalah kesihatan.
Skeptikal
Bila sebut pejuang, ada orang atau segolongan yang merasa jengkel dan skeptikal dengan perkataan ini kerana bagi mereka pejuang hanya layak digelar kepada individu atau pasukan era zaman dahulu yang sering bertempur di hutan dan seumpamanya. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) era 1990an adalah tentera ‘makan tidur’ kata mereka. Mereka berfikir negara sudah tiada ancaman. Tentera yang ada hanya menjalani kehidupan seperti orang awam yang lain, bekerja dari jam 8 hingga 5 sahaja. Bila tiada pertempuran, ramai yang menganggap tentera sudah tidak ada kerja.
Kerja tentera tidak seperti mana kerja orang awam biasa. Walau pun kita nampak tentera berada di dalam kem memakai baju bersih keluar masuk pejabat tetapi sebenarnya tentera mempunyai rutin kerja yang membahagikan kehidupan mereka dalam fasa-fasa tertentu iaitu fasa kritikal yakni fasa peperangan sebenar dan fasa aman. Meski pun negara berada dalam keadaan aman namun anggota tentera tidak berada dalam keadaan aman sepenuhnya kerana persediaan perang sentiasa dikemaskini melalui latihan-latihan dalaman dan luaran yang mana memerlukan komitmen seperti mana perang sebenar.
Masa aman, negara masih lagi bergelut dengan masalah serta aktiviti-aktiviti penyeludupan, pemerdagangan manusia dan lain-lain jenayah rentas sempadan yang masih berleluasa yang tidak mampu ditangani oleh Agensi-agensi Penguatkuasaan bersendirian. Justeru kolaborasi anggota ATM dan Agensi-agensi terbabit merupakan sinergi mapan bagi membendung aktiviti tersebut di samping melaksanakan misi-misi kemanusiaan di dalam dan luar negara.
Jiwa seseorang anggota tentera tidak sahaja boleh terkorban melalui tembakan musuh fizikal yang berada di hadapan yang telah diistihar dalam peperangan. Nyawa mereka boleh terkorban beramai-ramai melalui latihan jika Standard Operating Prosedur (SOP) latihan tidak dipatuhi dengan ketat atau dalam bahasa yang selalu orang guna ialah ‘kalau silap-silap haribulan. Ini bagi menggambarkan latihan ketenteraan sentiasa berdepan dengan musibah. Anggota PARA atau komando yang membuat latihan penerjunan boleh terkorban jika paracutnya tidak terbuka, anggota penyelam ranjau boleh terkorban dalam selaman rutin mereka, pemandu-pemandu pesawat bila-bila masa sahaja boleh terkorban jika berlaku failure ke atas jentera mereka. Pendek kata sebagai seorang tentera, mereka harus waspada sentiasa kerana musibah untuk mereka boleh datang dalam pelbagai dimensi yang menuntut kepada kewaspadaan yang tinggi meski pun bukan dalam peperangan sebenar.
Latihan berterusan adalah sebahagian daripada rutin kehidupan anggota tentera. Orang nampak anggota tentera bekerja selama 8 jam sehari tetapi hakikat sebenar kaki mereka ‘dirantai’ oleh perkhidmatan selama 24 jam sehari. Oleh kerana itu perkhidmatan kritikal anggota Lain-lain Pangkat (LLP) ATM dihadkan cuma 22 tahun.
Veteran Bangkit Dan RU6622
Bila soal kebajikan tidak ditangani dengan baik, lama-kelamaan rasa tidak puas hati menjadi barah, maka tidak hairanlah jika Veteran/Bekas Tentera mula bangkit menuntut hak-hak mereka yang ‘dikatakan’ telah diselewengkan atau dimanipulasikan dengan tidak meletakkan hak-hak itu kepada yang berhak seperti mana yang tertulis di dalam Perlembagaan.
Selama bertahun-tahun samada secara individu maupun melalui persatuan memohon kepada kerajaan mempertimbangkan beberapa tuntutan yang dikira perlu selaras dengan peruntukkan-peruntukan yang sedia ada namun pihak kerajaan nampak agak sukar untuk mempertimbangkan di samping kerap memberi alasan-alasan untuk mengkaji, mengkaji dan mengkaji yang akhirnya ‘berselindung’ di sebalik implikasi kewangan kerajaan.
Itulah punca sebenar Veteran Bangkit mengadakan himpunan aman yang dinamakan Re-union Bekas Perajurit pada tarikh 6.6.2022 (RU6622) lalu bagi menzahirkan kekuatan dimana Veteran/Bekas Tentera mampu menjadi kumpulan pendesak yang boleh mencorak geopolitik negara bila keadaan memerlukan mereka berbuat demikian. Walau pun pelbagai rintangan dan halangan yang dilalui oleh Jawatankuasa Veteran Bangkit, akhirnya terlaksana jua apa yang dirancang. Dikatakan lebih dua ribu orang Veteran ATM dari pelbagai kategori pangkat dari seluruh pelusuk negara telah hadir berhimpun secara aman di Tugu Negara menyuarakan tentang beberapa perkara yang berkaitan dengan kebajikan Veteran ATM. Fenomena bermula di Tugu Negara dan siri-siri berikutnya diadakan di Shah Alam, Kuala Kangsar, Kuantan dan bakal diteruskan di bandar-bandar seluruh negara sehingga apa yang dituntut dilayani dengan sewajarnya oleh pihak kerajaan.
Banyak tuntutan yang telah disenaraikan oleh individu dan persatuan-persatuan sejak beberapa tahun lalu namun yang terkini tuntutan oleh gerakan Veteran Bangkit RU6622 telah disenarai pendekkan kepada 3 saja iaitu:
a. Memohon supaya mahkamah yang mulia mengarah Majlis Angkatan Tentera (MAT) melaksana segala kuasanya menurut undang-undang untuk selaraskan pencen bagi Veteran yang bersara sebelum tahun 2004, 2013 mengikut kuasa yang ada pada MAT berdasarkan Perkara 137 Perlembagaan Persekutuan, kuasa kebelakangan yang ada pada MAT di Seksyen 187, Seksyen 206 dan Seksyen 207 Akta Angkatan Tentera dan Peraturan-peraturan Pencen dan Faedah-faedah Lain di bawahnya.
b. Memohon supaya mahkamah yang mulia mengarahkan MAT memberi pertimbangan berdasarkan kuasa Perkara 137 Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 15, Seksyen 36, Seksyen 187, Seksyen 206 dan Seksyen 207 Akta Angkatan Tentera supaya anggota tentera, anggota sukarela yang dikerahkan dan Veteran diberi hak yang seakan serupa secara kebelakangan yang di nikmati oleh semua penjawat awam dimana mereka boleh diberi pencen setelah berkhidmat sekurang-kurangnya 10 tahun perkhidmatan seperti yang di peruntukkan di dalam Seksyen 9,10,11 dan 12 Akta Pencen 1980; dan seperti juga Ahli Parlimen dan ADUN yang hanya perlu berkhidmat 36 bulan sahaja boleh dapat pencen.
c. Memohon supaya mahkamah yang mulia mengarahkan MAT menubuhkan satu Lembaga Pengampunan menurut kuasanya di Perkara 4(1), Perkara 4(2) dan Perkara 137(1) Perlembagaan Persekutuan dimana Yang DiPertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum, termasuk meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman berkenaan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan oleh pegawai atasan, bagi mereka yang layak, supaya mereka yang tidak layak digelar sebagai Veteran oleh Akta Veteran 2012 boleh diterima balik sebagai Veteran dan mereka, suami/isteri dan anak-anak yang layak boleh mendapat kemudahan kebajikan seperti Veteran yang lain.
Sejurus selepas kejayaan mengadakan RU6622, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein Menteri Pertahanan Malaysia, tampil memberi bayangan satu berita baik yang akan diumumkan secara rasmi nanti bahawa kerajaan setuju untuk mempertimbangkan dua tuntutan yang dibuat oleh Jawatankuasa Khas Persatuan Veteran ATM (PVATM) iaitu pemberian Pencen Terbitan kepada balu/duda Veteran ATM. Serentak dengan pengumuman tersebut pihak JHEV telah berjaya menyelesaikan bayaran tunggakan kepada 25 orang dan proses pembayaran pencen terbitan ini kepada 10 orang lagi dalam masa terdekat. Pengumuman kedua berkaitan Panel Penasihat Pengiktirafan Veteran ATM dimana seramai 28 orang Bekas Tentera telah dikenal pasti dan dipilih oleh pihak JHEV untuk diberi pertimbangan tersebut. Meskipun Menhan menyebut pertimbangan kerajaan ini adalah berdasarkan perbincangan bersama Jawatankuasa Khas PVATM, namun ramai yang berpendapat bahawa ianya bertitik-tolak dari hasil dari gerakan RU6622 juga.
Hasil dari sokongan Veteran/Bekas Tentera melalui gerakan RU6622, dua Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) baharu berjaya ditubuhkan bagi tujuan membuka akaun bagi mengumpul dana untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang dirancang.
Pertubuhan Suara Patriotik Rakyat Malaysia (PSPRM) yang diketuai oleh Mej Haji Mior Rosli bin Haji Mior Mohd Jaafar TUDM (Bersara) yang akan membawa tuntutan ini ke Mahkamah Tinggi.
Pertubuhan Pembela Pejuang Negara (PPPM) yang diketuai oleh Dato’ Abd Rahman bin Husain TLDM (Bersara) yang akan mewakili 14,000 Veteran/Bekas Tentera yang telah mengisi borang petisten ke Mahkamah Tribunal Timbangtara.
Sebelum itu beberapa pertubuhan NGO yang diasaskan oleh Veteran ATM sudah pun diwujudkan dan bergerak melaksanakan misi masing-masing dalam skala yang kecil dan tidak agresif. Di antaranya ialah Pertubuhan Gerakan Reformasi Veteran ATM (GRVATM) yang diketuai oleh Sdr Azizan Salleh (Azizan Memali), Pertubuhan Media Tentera Rakyat (MTR) yang digerakkan oleh Sdr Ali Baharom, Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) yang digerakkan oleh Sdr Rani Kulup, Pertubuhan PAHLAWAN yang diketuai oleh Sdr Asri KDO. Terkini, penubuhan NGO yang berasaskan Veteran ATM yang mula diwar-warkan melalui media sosial ialah Pertubuhan WIRA RAKYAT NEGARA (WIRAN).
Kedengaran juga desas-desus yang mengatakan Veteran ATM juga sedang berusaha untuk menubuhkan sebuah Parti Politik bagi tujuan untuk memperjuangkan hak-hak istimewa Veteran ATM melalui Parlimen ekoran Ahli-ahli Parlimen yang ada tidak begitu bersungguh-sungguh untuk membantu Veteran ATM. Parti ini dijangka akan menyertai PRU15 jika diluluskan penubuhannya nanti. Di antara perkara lain yang menjadi agenda parti Veteran sepertimana yang diviralkan ialah untuk membenteras rasuah yang berleluasa dalam negara ketika ini.
Kembalikan Roh Perjuangan Dan Solidariti
Natijah kepada perbincangan ini, tentera sebenarnya mempunyai roh perjuangan yang kuat, sebati dalam diri mereka. Semangat perjuangan yang ditanam sedari awal penyertaan seseorang di dalam perkhidmatan tentera sebenarnya tidak luntur meski pun tempoh perkhidmatannya tidak bertahan lama disebabkan beberapa perkara.
Tentera adalah institusi dimana sesebuah kerajaan bergantung harap sehingga kepada saat akhir nyawa sesebuah kerajaan demokrasi boleh bertahan dalam suatu pemerintahan. Apa jua bentuk pencerobohan dari dalam dan luar, tentera menjadi galang ganti nya.
Institusi ketenteraan ATM khususnya adalah sebuah kerajaan dalam kerajaan. Jika kerajaan yang dibentuk secara demokrasi gagal mentadbir, tenteralah yang akan ambil alih sebagai kerajaan interim. Tentera mempunyai kemampuan untuk memerintah kerana tentera mempunyai kemahiran melalui jabatan yang telah disusun untuk menerajui negara supaya sistem kenegaraan boleh berjalan seperti biasa jika berlaku rusuhan atau darurat.
Patriotisme Veteran ATM adalah denyut nadi yang masih berkait rapat di dalam struktur utama ATM. Meski pun ianya kelihatan di luar perkhidmatan namun denyut nadinya adalah sebahagian daripada perkhidmatan. Sebab itu di dalam ATM, Veteran dijaga khas oleh oleh jabatan di bawah Kementerian Pertahanan iaitu JHEV.
Penulis yakin sekuat mana alun yang berkocak atau ada tangan-tangan ghaib yang berusaha dan mengambil kesempatan untuk merungkai solidariti dalam kalangan Veteran/Bekas Tentera melalui NGO maupun badan politik akan berakhir dengan kegagalan bila mana roh perjuangan Angkatan Tentera Malaysia ditiup kembali ke dalam jiwa warga ATM yang mempunyai keluarga besar dan yang paling penting kerajaan mesti mempunyai roh yang sama dengan warga ATM dan sentiasa mendengar rintihan dan keluhannya.
Sunday, June 5, 2022
VETERAN BANGKIT MENUNTUT HAK
Di kebanyakan negara terutamanya negara-negara barat, penggunaan istilah veteran adalah biasanya dikhususkan kepada entiti peperangan yakni bekas-bekas tentera mereka.
Di Malaysia, istilah Veteran juga turut dikhususkan kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui pewartaan Rang Undang-undang Veteran 2012 yang membawa maksud warganegara Malaysia yang telah berkhidmat sepenuh masa dan tidak pernah dibersarakan atau diberhentikan daripada perkhidmatan atas alasan salah laku dalam mana-mana Angkatan Tetap ATM, Angkatan Sukarela yang dikerah sepenuh masa oleh ATM tanpa mengira tempoh perkhidmatan, Force 136, Tentera British yang telah berkhidmat di Malaya, Malaysia atau Singapura dan Sarawak Rangers. Selari dengan itu juga satu badan yang dikenali sebagai Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) telah ditubuhkan bagi mencapai maksud Akta ini.
Namun begitu setakat ini di Malaysia, banyak didapati tulisan-tulisan malah juga ucapan-ucapan yang menggunakan perkataan Veteran oleh jabatan atau badan-badan lain bagi menggambarkan entiti dari badan-badan tersebut yang sudah bersara, berusia dan matang di mana keadaan ini tidak ‘dibendung’ penggunaannya yang menyebabkan penyalahgunaan perkataan Veteran ini tidak nampak menjadi suatu ‘kesalahan’ atau penyalahgunaan istilah.
Di sini boleh disimpulkan bahawa Veteran ATM ini agak 'istimewa' berbanding entiti lain dalam kalangan penjawat awam yang lain. Istimewa dalam ertikata ianya berada di dalam kelumpok yang sangat ‘dijaga’ dan diberi perhatian oleh pihak pemerintah melalui Akta ATM 1972, Akta Veteran 2012 (Akta 740) dan perlembagaan khusus Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) di bawah Kementerian Pertahanan.
Terdapat sedikit perbezaan maksud di antara Veteran ATM dan Bekas ATM di mana Veteran ATM adalah kelumpok yang diiktiraf melalui pewartaan RUU Veteran 2012 yang tersebut di atas dan Bekas ATM adalah mereka yang pernah sama-sama berkhidmat dalam angkatan yang sama tetapi telah diberhentikan di bawah klausa-klausa tertentu Akta ATM 1972 sebelum tamat tempoh perkhidmatan.
Veteran ATM Mula Bangkit
Namun begitu, bila dibuat perbandingan pengorbanan getir masa lalu Veteran ATM yang meletakan keadaan negara yang aman pada hari ini sedangkan kehidupan Veteran itu sendiri sebenarnya tidak begitu kondusif. Malah hasil keamanan yang diraih dengan air mata darah oleh warga tentera yang kini bergelar Veteran/Bekas Tentera telah dikecapi nikmat keamanannya oleh semua warganegara malah turut dirasai oleh warga asing yang berpusu-pusu mencari rezeki di negara bertuah dan berdaulat yang bernama Malaysia ini.
Majoriti Veteran yang bersara sebelum 2014 malah juga yang menamatkan perkhidmatan tanpa bayaran pencen hidup di bawah paras kemiskinan (B40). Meskipun bukan semua, kerana ada Veteran yang sangat berjaya mencapai pendapatan aras pertengahan dan tinggi namun bilangannya sangat kecil dan keberjayaan mereka itu atas daya usaha mereka sendiri dengan pelbagai dorongan serta ruang dan peluang.
Kekecewaan sangat dirasakan bila mana bekas-bekas tentera yang diberhentikan kerana melakukan kesalahan melanggar tatatertib semasa di dalam perkhidmatan dinafikan dari menerima keistimewaan sebagai Veteran ATM serta dijatuhkan hukuman seumur hidup meskipun kesalahan yang dilakukan itu tidak sebesar mana berbanding Ahli-ahli Parlimen terpalit dengan hukuman penjara tetapi masih boleh kembali menjadi menteri atau ketua negara dan menikmati ganjaran lumayan dari kerajaan.
Tidak dinafikan banyak aspek kebajikan telah diberi perhatian oleh pihak kerajaan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) sejak dari dahulu lagi namun ianya tertumpu kepada kelumpok kecil yang tidak menyeluruh dan masih terdapat lompang yang masih belum diisi di mana ada beberapa tuntutan yang masih diberi status ‘kajian’ oleh pihak kerajaan di atas pelbagai alasan.
Bertitik tolak dari situasi ini veteran yang ‘arif’ mula mencari dan menggali apa-apa bukti yang terkandung di dalam perlembagaan dan mula merasakan bahawa kerajaan tidak begitu serius dalam memperjuangkan nasib Veteran ATM berdasarkan penemuan klausa-klausa tertentu tentang hak-hak keistimewaan yang diperuntukkan kepada Veteran ATM yang selama ini didakwa telah ‘dikesampingkan’ oleh pihak pemerintah. Justeru, apa jua alasan yang pihak kerajaan berikan untuk tidak menunaikan tuntutan dalam masa terdekat tidak lagi menjadi pengubat bagi menahan kesabaran mereka.
Apa Yang Dituntut?
Sebenarnya terdapat beberapa usaha yang telah diperjuangkan oleh Persatuan-persatuan Veteran ATM melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) bagi tujuan manfaat Veteran ATM. Di antara perkara-perkara kebajikan yang dituntut semuanya berkisar kepada penambahbaikan kepada perubahan sosio ekonomi bekas ATM dan juga untuk mengembalikan status ‘keistimewaan’ Veteran ATM itu sendiri kepada haknya. Di antara perkara-perkara yang menjadi agenda tuntutan ialah:
-Memohon bayaran Elaun Kenangan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada bekas ATM yang berkhidmat sebelum perletakan senjata oleh Parti Komunis Malaya dan Parti Komunis Kalimantan pada tahun 1989/1990.
-Merapatkan Jurang Pencen Veteran ATM yang menamatkan perkhidmatan sebelum 2014 kerana golongan ini menerima pencen bulanan yang sangat rendah berbanding Veteran yang bersara selepas 2014 walaupun pangkat yang setaraf atau lebih rendah.
-Memohon Elaun Sara Hidup dengan kadar munasabah untuk Veteran ATM Tidak Berpencen. sebagai mengenang jasa dan pengorbanan mereka yang pernah berkhidmat melebihi 10 tahun.
-Memohon diberi pengiktirafan kepada bekas tentera yang diberhentikan kerana salah laku sebagai Veteran ATM.
-Penambahbaikan Elaun Veteran Kurang Upaya.
-Memanjangkan pemberian Pencen Terbitan kepada isteri yang dikahwini setelah bersara.
Mutakhir ini, bila mana semua tuntutan-tuntutan yang tersebut di atas tidak diberi perhatian dan ‘layanan’ yang setimpal maka wujudlah individu, kumpulan-kumpulan dari kalangan Veteran/Bekas Tentera yang tidak berpuas hati tampil dari masa ke semasa untuk menagih perhatian dari pihak kerajaan khususnya secara lebih serius. Di antara mereka yang bangkit telah menubuhkan Jawatankuasa masing-masing bagi melicinkan apa-apa tindakan susulan yang mereka akan lakukan.
Jawatankuasa Khas Veteran
Presiden PVATM, Kapten Datuk Sharuddin Omar (Bersara) dalam satu kenyataan kepada wartawan airtimes.my baru-baru ini berkata, Persatuan Veteran ATM (PVATM) telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Veteran (JKKV) pada 14 Februari lalu dengan melantik Leftenan Jeneral Datuk Nawi Alias (Bersara) menjadi Pengerusi JKKV berdasarkan kepada pengetahuan, pengalaman serta semangat juangnya bagi meneliti secara terperinci mengenai masalah pencen dan ganjaran anggota ATM berpandukan kepada undang-undang serta peraturan sedia ada iaitu Perlembagaan Malaysia (Artikel 137 dan 147), Akta Angkatan Tentera Tahun 1972 (Seksyen 15, 36 dan 187) serta Peraturan Pencen dan Ganjaran ATM 1982. Idea penubuhan JKKV tercetus apabila Mahkamah Rayuan membuat keputusan kenaikan tahunan pencen sebanyak 2 peratus adalah tidak sah, pada 13 Januari lalu,
Dalam pada itu, beliau turut menyedari adanya kumpulan dalam entiti Veteran yang juga memperjuangkan perkara sama dengan pendekatan berbeza, namun tiada sebarang halangan pihaknya ke atas tindakan itu oleh kerana matlamat yang akan memberi manfaat kepada veteran kelak.
Walau bagaimanapun, kata beliau, dalam usaha memperjuangkan isu kebajikan Veteran, janganlah hendaknya ada percanggahan dan perselisihan serta memperkotak-katikkan sesama sendiri yang menunjukkan perpecahan. (sumber: Airtimes.my)
Penubuhan Tribunal Arbitral Malaysia
Satu lagi usaha yang Veteran dan Bekas Tentera lakukan bagi merealisasikan tuntutan ini ialah melalui tindakan semakan kehakiman secara Class Action di Mahkamah Timbangtara bebas Malaysia melalui satu Tribunal Khas Veteran ATM bagi setiap isu kes. Mej. Hj. Mior Rosli TUDM (Bersara) yang mengetuai kaedah ini merupakan seorang peguam yang mana sebelum ini beliau bergerak secara bersendirian menuntut kepada kerajaan berkaitan perkara-perkara yang disebutkan di atas. Dalam gerakan yang terkini beliau telah menubuhkan Jawatankuasa bagi melicinkan perlaksanaan dengan sokongan ribuan Veteran dan Bekas Tentera yang mendambakan perubahan.
Semua Veteran yang menyokong tuntutan ini dan setuju menjadi plaintif dan/atau penuntut dikehendaki mendaftarkan diri menggunakan Google Form yang disertakan sebelum memfailkan tuntutan di mana memerlukan sekurang-kurangnya 10,000 orang Veteran dan Bekas ATM mendaftar. Antara asas permohonan bagi setiap Class Action adalah seperti berikut:
a. Memohon supaya mahkamah yang mulia mengarah Majlis Angkatan Tentera (MAT) melaksana segala kuasanya menurut undang-undang untuk selaraskan pencen bagi Veteran yang bersara sebelum tahun 2004, 2013 mengikut kuasa yang ada pada MAT berdasarkan Perkara 137 Perlembagaan Persekutuan, kuasa kebelakangan yang ada pada MAT di Seksyen 187, Seksyen 206 dan Seksyen 207 Akta Angkatan Tentera dan Peraturan-peraturan Pencen dan Faedah-faedah Lain di bawahnya;
b. Memohon supaya mahkamah yang mulia mengarahkan MAT memberi pertimbangan berdasarkan kuasa Perkara 137 Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 15, Seksyen 36, Seksyen 187, Seksyen 206 dan Seksyen 207 Akta Angkatan Tentera supaya anggota tentera, anggota sukarela yang dikerah dan Veteran diberi hak yang seakan serupa secara kebelakangan yang di nikmati oleh semua penjawat awam di mana mereka boleh diberi pencen setelah berkhidmat sekurang-kurangnya 10 tahun perkhidmatan seperti yg diperuntukkan dalam Seksyen 9,10,11 dan 12 Akta Pencen 1980; dan seperti juga Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hanya perlu berkhidmat 36 bulan untuk mendapatkan pencen.;
c. Memohon supaya mahkamah yang mulia mengarahkan MAT menubuhkan satu Lembaga Pengampunan menurut kuasa Yang Dipertuan Agong (YDPA) di Perkara 4(1), Perkara 4(2) dan Perkara 137(1) Perlembagaan Persekutuan di mana YDPA berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum, termasuk meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman berkenaan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan oleh pegawai atasan, bagi mereka yang layak, supaya mereka yang tidak layak digelar sebagai Veteran oleh Akta Veteran 2012 boleh diterima balik sebagai Veteran dan mereka, suami/isteri dan anak-anak yang layak boleh mendapat kemudahan kebajikan seperti Veteran yang lain.
Sebagaimana wakil rakyat boleh berkhidmat semula selepas 5 tahun jatuh hukum kesalahan berat mana sekalipun; dan menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 187 Akta Angkatan Tentera 1972 untuk memberi Pencen kepada Veteran yg telah diampunkan;
d. Memohon supaya mahkamah yang mulia mengarahkan MAT mengkaji semula kadar Pencen Hilang upaya agar Veteran yang cedera perang, cedera semasa bertugas dan cedera akibat selepas dari tugas berat dan terlampau semasa berkhidmat diberi PHU dan Layan Sentiasa seperti yang diberi oleh SOCSO dan Insuran yg ditanggung oleh kerajaan selain dari Insuran kelompok yang dibayar sendiri oleh anggota tentera;
e. Memohon supaya mahkamah yang mulia mengarahkan MAT mengkaji semula masalah-masalah yang dihadapi oleh 404 orang pegawai yang bertauliah semasa laporan gaji Sheikh Abdullah pada tahun 1972; dan
f. Memohon mahkamah yang mulia untuk mendapatkan semakan kehakiman ke atas semua isu-isu yg berbangkit seperti, kuasa YDPA di bawah Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan, isu Lembaga Tabung ATM (LTAT), kebebasan Veteran seperti orang awam yang lain menurut Perlembagaan Persekutuan dan lain-lain perkara yang akan dikemukakan kepada mahkamah yang mulia kemudian.
Mej Mior menjelaskan bahawa terdapatnya pertindihan bidang kuasa di antara MAT dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta Agensi Pusat yang tidak menyenangkan. ATM harus faham bahawa menurut undang undang JPA dan Agensi-agensi Pusat seperti Kementerian Kewangan (MOF), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Unit PenyeIaras Pelaksanaan (ICU) tidak boleh mengatasi keputusan MAT yang dibuat dengan kelulusan oleh YDPA seperti Gaji Dan Elaun, Pencen Dan Ganjaran, Syarat Perkhidmatan dan lain-lain.
Oleh kerana di dalam sistem perundangan Negara YDPA itu teratas sekali, ianya satu mitos apabila di katakan JPA atau Agensi Pusat boleh mengatasi keputusan MAT. Walau bagaimanapun adalah tidak salah MAT menerima nasihat lain tetapi tidaklah boleh pihak lain menyatakan ATM hendaklah mengikuti keputusan mereka seperti JPA dan menolak tuntutan Pelarasan Pencen yang Jawatankuasa Khas PVATM sedang tangani. Ini adalah satu isu berperlembagaan yang beliau mohon Kementerian Pertahanan rujuk kepada Peguam Negara selaku Penasihat Undang-undang YDPA membuat deklarasi bahawa ATM adalah berbeza dari Perkhidmatan Awam yang lain.
Sebagai perbandingan, beliau turut merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 11 Jan 2019 dalam kes MAT dan Mohd Nurul Ami Bin Mohd Basri Civil Appeal No: A -01(NCVC)(W)-315-09/2017. Dalam kes ini, MAT menang Rayuan ini dan Mahkamah Rayuan mengatakan yang Undang-undang Awam yang lain tidak boleh mengatasi Perkara 137 Perlembagaan Persekutuan, AAT72, PMAT, dan Peraturan-peraturan Tentera yang lain.
Kemenangan MAT adalah baik untuk ATM dan Veteran ATM sekaligus membuktikan yang skim perkhidmatan, Gaji dan Pencen bukan di bawah JPA. Dengan keputusan kes ini KEMENTAH/JPA tidak ada alasan apa-apa lagi untuk menahan tuntutan hak penyelarasan pencen Veteran ATM. Jelas Mej. Mior melalui whatsapp kepada penulis.
Tambah Mej. Mior lagi, Anggota ATM boleh dikerah bekerja pada bila-bila masa tidak kira waktu tanpa mendapat apa-apa imbuhan. Anggota ATM termaktub di bawah pengawalan disiplin yang tinggi dan mesti dipatuhi. Sewaktu berkhidmat, ada kalanya Anggota ATM berjauhan dengan keluarga dalam jangka waktu yang lama samada beroperasi di hutan atau di lautan luas. Situasi ini tak dilalui oleh Kakitangan Awam. Inilah salah satu pengorbanan yang dipikul oleh anggota ATM.
Begitu juga bagi Warga ATM yang mahu menyambung perkhidmatan bukan berlaku secara automatik dan mudah. Mereka perlu menjalani kursus yang panjang dan wajib lulus peperiksaan, perlu ada kekosongan jawatan, perlu diperakui sihat oleh Doktor ATM dan perlu mendapat sokongan dari Pegawai Bahagian dan Pegawai Memerintah.
Gaji dan pencen Warga ATM sewajarnya lebih tinggi berbanding Anggota Perkhidmatan Awam yang lain sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Antara perkara penting yang wajar diberi perhatian adalah :
a. Perkara 41. Yang DiPertuan Agong merupakan Panglima Tertinggi ATM.
b. Perkara 132. ATM merupakan Perkhidmatan Awam yang terkanan di antara semua perkhidmatan kerajaan.
c. Perkara 137. Majlis ATM bertanggungjawab kepada Yang DiPertuan Agong atas 3 perkara berikut terhadap ATM iaitu Pemerintahan, Pentadbiran, Tatatertib.
d. Perkara 139. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam tidak ada kuasa terhadap ATM. Sehubungan itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam tidak sewajarnya menyamakan gaji dan pencen Warga ATM dengan Anggota Perkhidmatan Awam. Dalam pada itu, dalam Akta Angkatan Tentera 1972 terdapat pelbagai kuasa Majlis ATM. Antaranya ialah Seksyen 157 Majlis ATM bertanggungjawab memperakui gaji Warga ATM dan Seksyen 187 Majlis ATM bertanggungjawab memperakui pencen Warga ATM.
Terdapat beberapa perintah yang dibuat oleh Majlis ATM. Antaranya, Peraturan-peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran Dan Faedah) 1982. Dalam peraturan ini kerajaan perlu selaraskan pencen Warga ATM mengikut pelarasan gaji terkini.
Natijah
Natijah kepada senario yang terbentuk dari ketidakpuasan hati para Veteran/Bekas Tentera ini, secara spontan terbentuk satu lagi Jawatankuasa bagi merancang untuk mengadakan pertemuan keluarga besar Warga Bekas Tentera dan berhimpun secara aman di ibu negara bagi membincangkan tindakan susulan yang terbaik bagi meyakinkan pihak kerajaan tentang kewajaran tuntutan-tuntutan yang sedang diusahakan.
Menurut Pemudah Cara RU 6622, Lt Kdr Rafique Ali bin Ahmad Nordin (Bersara), pada mulanya Ahli Jawatankuasa ini merancang untuk berhimpun jika petisyen yang sedang diusahakan oleh JKKV yang diketuai oleh Datuk Nawi (PVATM) gagal mencapai matlamat setelah petisyen diserahkan kepada DYMM YDPA.
Namun begitu, memandangkan petisyen yang dimaksudkan itu akan memakan masa yang agak panjang dan dijangka menemui ‘jalan buntu’ penyelesaiannya maka perhimpunan terpaksa diteruskan dan menetapkan tarikh 6 Jun 2022, bertujuan untuk menzahirkan kesepaduan, kesepakatan dan kesungguhan Veteran dan Bekas Tentera dalam memperjuangkan hak-hak istimewa Veteran dan Bekas Tentera yang sepatutnya diperolehi.
“Setelah pertama kali berjumpa pihak Polis, kami membuat keputusan untuk menamakan Re-union 6622 Bekas Perajurit dan pihak PDRM bersetuju untuk memberi laluan kepada RU 6622 bersama keluarga ini diadakan di Tugu Negara”. Ujar Rafique melalui pesanan suara.
Polis juga menjamin keselamatan Warga Bekas Tentera dan tidak akan menyekat pergerakan mana-mana Veteran secara individu atau kumpulan yang menyertai RU 6622 di Tugu Negara pada 6 Jun serta menyediakan segala kemudahan seperti tandas tambahan dan ambulan untuk keperluan peserta RU 6622 yang hadir. Polis juga turut memberi jaminan tidak akan menyekat kehadiran wartawan untuk membuat liputan berita dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak mengganggu gugat aturcara yang dijalankan di sekitar Tugu Negara.
Menurutnya lagi, RU 6622 adalah satu perjumpaan keluarga Bekas-bekas Tentera sebagaimana yang disarankan oleh Perdana Menteri bahawa kita adalah satu keluarga Malaysia. RU 6622 dijadualkan berlangsung bermula jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi.
Tuesday, December 1, 2020
PENGORBANAN YANG PERLU DIBAYAR………
Telah disiarkan di dalam majalah perajurit isu Nov/Dis2020
Oleh: Paklang Hamzah/Foto: PVATM Ketereh
Bicara Nostalgia Perajurit kembali menemui pembaca setelah sekian lama ruangan ini tidak diberi fokus. Bicara kali ini penulis ingin berkongsi dengan pembaca beberapa peristiwa yang di alami oleh perajurit- perajurit tanahair dalam usaha membebaskan negara daripada ancaman samada melalui daratan, laut dan udara.
Ancaman pengganas komunis pra dan pasca merdeka banyak mengimbau sejarah pahit maung warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Darat Malaysia (TDM) mengharungi denai belantara dalam menjejaki dan mengekang kemaraan pengganas komunis dari Parti Komunis Malaya (PKM) yang bergerak dan bertindak agresif menentang pasukan keselamatan negara.
Mereka adalah pahlawan
negara. Generasi mereka yang kini
bergelar veteran ATM mau pun PDRM meneruskan kelangsungan hidup dalam pelbagai
situasi. Selain yang telah gugur di
medan perjuangan, ramai yang telah kembali ke rahmatullah kerana fitrah. Namun masih ada lagi pahlawan-pahlawan yang
masih meneruskan kelangsungan hidup dengan membawa kenangan yang tidak boleh
dilupakan selagi hayat dikandung badan.
Meniti sisa-sisa umur yang berbaki, mereka tidak minta didendang namun sejarah telah mencatat mereka adalah pejuang negara yang sangat perlu didendang oleh generasi terkini yang telah diwarisi oleh mereka sebuah negara yang aman dan bebas dari sebarang ancaman dalam negara selepas perletakan senjata oleh PKM dalam tahun 1989/1990.
Program Menggamit Memori - Pengorbanan Mu Tetap Dihargai
Satu program pengkisahan sejarah perjuangan veteran ATM telah dianjurkan oleh Persatuan Veteran ATM (PVATM) Cawangan Ketereh pada 14 Nov 2020 yang lalu adalah satu manifestasi penghargaan dari pihak persatuan kepada pejuang-pejuang era insurgensi yang masih hidup di sekitar negeri Kelantan sekali gus untuk dilihat dan difikirkan tentang keperluan kajian semula oleh pihak-pihak tertentu dalam usaha untuk memartabatkan jasa dan pengorbanan veteran-veteran pasukan keselamatan umumnya yang rata-rata berada dalam golongan B40.
Timbalan Ketua Cawangan PVATM Ketereh, PW 1 PRI Othman Md Ali (Bersara) selaku penyelaras program ini berkata, program ini adalah satu usaha mencungkil bahan-bahan sejarah perjuangan pasukan keselamatan khususnya ATM melalui ucapan-ucapan lisan veteran-veteran yang pernah mengalami pengalaman pahit getir dalam tempoh perkhidmatan mereka. Bahan-bahan ini akan cuba dikongsi dengan masyarakat umum melalui sebaran media sedia ada bagi memberi kesedaran berterusan kepada masyarakat tentang jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan sebelum ini yang memangkin kepada keamanan negara yang mereka kecapi hari ini.
Program sehari ini telah berjaya menghimpunkan seramaI lebih 200 orang hadirin yang terdiri dari ahli-ahli PVTM Cawangan Ketereh, PVTLDM Kelantan, PVTUDM Kelantan, PVATM Cawangan Salor, Kelab Artileri Kelantan, Kelab VKOF Kelantan, Grup Batalion 301, PV5 RAMD, Anggota tentera Kem Desa Pahlawan, SRS Nilam Puri, Jabatan Perkhidmatan Awam Kelantan, Kelab Radio Amatur Kelantan dan Penduduk Kampung Cengal Ketereh.
Majlis telah disempurnakan oleh Tuan Haji Ahmad Tarmizi bin Haji Musa, Wakil Peribadi Ahli Parlimen Ketereh di Dewan Putera Kampung Cengal Ketereh dalam suasana norma baharu pematuhan prosedur operasi standard COVID-19.
Ahli Panel 1
Beliau yang bersama platun Unit Combat Intelligence Squad (UCIS) seramai 15 orang telah diarahkan memasuki kawasan Hutan Simpan tersebut untuk meninjau kegiatan komunis hasil maklumat yang diperolehi dari Orang Asli di kawasan tersebut. Oleh kerana maklumat dari Orang Asli yang agak samar menjadikan platun beliau tanpa disedari berada pada kedudukan yang bahaya. Platun mereka di serang pada jarak 20 meter dan beliau sendiri dihinggapi peluru musuh sehingga menembusi perutnya. Disebabkan kecederaan parah yang dialami, beliau menerima rawatan di hospital besar Seremban selama 2 bulan.
Selepas 21 tahun berkhidmat dalam TD,
beliau bersara pada bulan Oktober 1998 dan mengakhiri khidmatnya di Unit
105 Infantri di Kem Tentera Pangkalan Chepa Kelantan. Di dalam perkhidmatan, beliau telah
dianugerahkan Darjah Kepahlawanan ATM (BAT).
Ahli Panel 2
Beberapa tahun kemudian sekali lagi beliau terlibat dengan pertempuran apabila trak mereka diserang hendap semasa menghantar ulang bekal ransum dari Kem di Pangkalan Hulu juga ke Pos Bukit Berapit. Dalam kejadian berbalas tembak tersebut dua orang rakannya meninggal dunia.
Mengakhiri perkhidmatan beliau di Unit 13 RAMD Kem Bentong Pahang pada tahun 1994. Sejak bersara beliau mengidap penyakit kanser usus dan telah menjalani pembedahan pada tahun 2011. Bagi menampung pencen bulanan yang diterima sebanyak lebih kurang RM1200.00 sebulan, beliau masih lagi berhempas pulas bekerja bagi menambah pendapatan. Selain pingat perkhidmatan, cuma pingat Jasa Malaysia (PJM) sahaja yang beliau terima semasa bersara. Walau pun PJM tidak berarti apa-apa, Nik Yahya tetap bersyukur dengan anugerah itu.
Ahli Panel 3
933623
KPL Nek Ya bin Noor (Bersara) bertugas
di Kompeni Alpha Platun 1 Unit 7 RRD pula menceritakan, memilih kerjaya menjadi anggota tentera telah mengubah
kehidupan beliau menjadi seorang yang bergelar Orang Kelainan Upaya (OKU).
Nek ya dilahirkan pada 13 Mei 1954 dan memasuki TD dalam Kor Renjer pada 21 Jan
1975.
Ops DAOYAI MUSNAH iaitu operasi bersama tentera Malaysia –Thailand pada tahun 1976 bertujuan untuk membuat pembersihan ke atas kem komunis yang terbesar di Nathawi Sadao selatan Thai. Kem ini dibina dengan begitu rapi dengan menjadikan terowong sebagai laluan utama dan tempat mereka berlindung dan menjalani kehidupan seharian dan melancarkan strategi taktikal apabila diserang. Dalam operasi tersebut beliau telah terpijak jerangkap samar yang dipasang oleh pihak musuh dan mendapat rawatan selama 3 bulan sebelum kaki kirinya terpaksa dipotong dari paras buku lali.
Unit terakhir beliau ialah Markas Staf Kem Desa Pahlawan dengan menamatkan perkhidmatan selama 21 tahun. Menetap di Kok Lanas Kelantan. Di awal persaraan Nek ya bekerja sebagai pemandu teksi untuk menambah pendapatan bagi menampung bayaran pencen yang diterima di tahap 3 angka sahaja. Oleh kerana permintaan kenaikan pencen tidak dapat ditunaikan oleh kerajaan, beliau berharap pihak Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM dapat mengkaji semula jumlah elaun hilang upaya yang diterima memandangkan kos kehidupan yang semakin meningkat. Hingga saat ini hanya Pingat Perkhidmatan Am (PPA) saja yang pernah diterimanya meski pun pernah bersabung nyawa mengabdikan diri demi keselamatan negara. .
Ahli Panel 4
551613 SJN Abd Rahman bin Yaacob (Bersara) mula berkhidmat pada 28 Feb 1973. Setamat latihan rekrut beliau ditempatkan di Kompeni Charlie 7 RRD berpangkalan di Sungai Petani Kedah.
Dalam satu operasi di Dublin Estate Bukit Hijau Karangan Kulim pada tahun 1974, platun Rahman pernah bertempur di dalam kebun getah dan berjaya membunuh 2 orang anggota komunis.
Rahman pernah bertempur dengan segerombolan komunis di Gunung Poi Slim River Perak pada tahun 1975 . Beliau bersama rakan-rakan lain dari platun 7 membuat pengawasan dan kawalan di sebuah permatang sementara rakan-rakan yang lain sedang menyiapkan landing pad (LP) untuk pendaratan helikopter untuk membawa mereka pulang selesai operasi. Dalam peristiwa itu Rahman yang menggunakan senjata GPMG dan rakan-rakannya selamat manakala di pihak komunis yang sedang bergerak pulang ke Betong itu 5 orang terbunuh termasuk seorang pegawai kanan PKM. Semua anggota komunis yang terkorban dipikul untuk dibawa turun ke LP untuk di bawa pulang bersama.
Pada tahun 1976, menyertai Ops DAOYAI MUSNAH 1 di Sadao Thailand. Jam 4 petang platun beliau diserang oleh komunis semasa rondaan di kebun buah-buahan. Seorang Sarjan cedera parah dan seorang lagi rakannya terkorban terkena tembakan di dada dan beliau sendiri terkena tembakan di betis. Walau bagaimanapun kem tersebut beserta 4 orang anggota komunis dapat di tawan oleh pihak keselamatan.
Unit terakhir beliau ialah di Bn Infantri 105 (AW) sebagai ketua kerani sebelum menamat kan perkhidmatan pada 27 Feb 1994. Selain pingat dalam perkhidmatan, tiada apa-apa pingat yang diterima selepas itu untuk dibanggakan kepada anak-anak cucu.
Ahli Panel 5
803783 PW1 JGN (bersara) Abd Wahab adalah salah seorang daripada krew KD SRI PERAK (KDSP) yang terselamat dalam tragedi kapal karam pada tahun 1984. Pada masa itu Wahab yang berpangkat Bintara Muda adalah Juragan di dalam kapal tersebut.
Menceritakan kisah pelayaran beliau bersama 28 anak-anak kapal KDSP pada 06 Jan 1984 dari Pangkalan TLDM Lumut konvoi bersama KD SRI TRENGGANU (KDST) dan KD HANG TUAH (KDHT) ke Labuan bagi siri latihan untuk pegawai kadet baru TLDM dalam suasana cuaca buruk. Ketika berada di Laut China Selatan iaitu antara Semenanjung dan Sabah, Sarawak, KDST yang berada di belakang KDHT menghadapi masalah teknikal menyebabkan konvoi berpecah dua.
KDSP yang berada paling
belakang diarah menuju ke Labuan secara sendirian sementara KDHT terpaksa
mengiringi KDST untuk menghulurkan bantuan. Ketika itu ombak kuat menghempas
kapal hingga anak-anak kapal susah untuk beristirehat atau tidur serta jarak
pemandangan yang terhad. Detik
cemas dipercayai bermula apabila kapal
dihempas ombak yang terlalu kuat dan dipercayai hatch atau
penutup keselamatan atas geladak hadapan kapal renggang menyebabkan air laut
memasuki kapal sedikit demi sedikit.
Menyedari air laut yang memasuki kapal
berukuran kira-kira 30 meter panjang itu sudah tidak boleh dikawal dan mula
tenggelam walau pun pelbagai usaha dilakukan oleh anak-anak kapal bagi
menyelamatkan keadaan termasuk menghubungi kapal induk dan Markas namun tidak
berhasil.
Kejadian berlaku terlalu pantas memaksa semua krew terjun ke laut menyelamatkan diri. Pelampung penyelamat yang dicampakkan ke laut terbuka dengan baik dan mereka terus berenang menuju ke pelampung dan sempat melihat kapal itu tenggelam sepenuhnya di tengah lautan pada kira-kira jam 1700H 8 Januari 1984.
Setelah terapung di lautan selama 4 hari di dalam rakit keselamatan, kedudukan mereka dapat di kesan oleh sebuah pesawat jenis AP-3C ORION milik Tentera Udara Australia yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat KDSP. Satu jam kemudian iaitu lebih kurang 1700H, sebuah kapal dagang MV Thunderhead yang berada tidak jauh tiba untuk mengambil kesemua yang terselamat. Tiga krew kapal tidak dapat diselamatkan. Pada 12 Jan, dua buah helikopter Nuri TUDM membawa mereka ke Kuching sebelum menaiki pesawat Hercules C130 TUDM menerbangkan mereka ke Ipoh.
Renungan
Rata-rata jika ditanya pendapat veteran-veteran pasukan keselamatan, mereka bersyukur kerana ditakdirkan berkhidmat sebagai anggota tentera. Mereka ikhlas berkhidmat untuk negara di kala negara berdepan dengan ancaman PKM meski pun mereka tahu memasuki tentera waktu itu nyawa ibarat telur di hujung tanduk. Mereka tidak pernah memikirkan tentang berapa banyak gaji yang dibayar waktu itu. Asalkan dapat sedikit wang untuk dititipkan kepada ayah bonda dan anak isteri di kampung.
Mereka akur, setiap perjuangan akan berdepan dengan musibah. Ada yang menemui ajal di tempat kejadian di hutan belantara dan lautan, ada yang ajal di dalam perjalanan, ada yang cedera parah dan ramai yang masih hidup bergelar OKU, tanpa kaki, tanpa tangan malah penglihatan dan pendengaran.
Meneruskan kelangsungan hidup dalam dunia yang semakin mencabar, mereka membina keluarga, membesarkan anak-anak dalam kepayahan dan serba kekurangan. Kepada siapa harus mereka mengadu?. Mereka ada jabatan dan persatuan yang bertungkus lumus berjuang mencaknai kebajikan mereka namun jabatan dan persatuan tidak mempunyai apa-apa kuasa. Mereka didendang dengan pingat dan penghargaan sebagai penyedap hati kerana tak semua pingat berisi wang. Sehinggakan ada yang berkata….”Kami sebenarnya bukan wira kepada negara ini kerana perjuangan dan pengorbanan kami di hutan belantara malah di samudera raya tidak pernah ditonton orang. Wira negara sebenar adalah warga yang menghasilkan emas untuk negara di medan olimpik dan seumpamanya”. Sampai bila mereka akan dilagukan dengan janji-janji kosong…..
Labels
- Agensi Penguatkuasaan (5)
- APMM (18)
- ATM (71)
- Aviation (3)
- Ebooks (3)
- Eksesais (11)
- Exhibitions (4)
- LIMA (6)
- LIMA / DSA updated (9)
- LIMA updated (31)
- LIMA'09 updated (7)
- LIMA25 updated (8)
- Luar negara (33)
- Menhan (3)
- National Task Force (7)
- NTF (6)
- Ops Benteng (5)
- PDRM (12)
- PKPP (1)
- SAR (2)
- Sejarah (5)
- Seminar (1)
- TDM (90)
- TLDM (142)
- TUDM (56)
- Umum (54)
- Veteran (31)
- Wataniah (7)
- Wataniah/Simpanan (2)






