About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Friday, December 30, 2022

TAN PUSMAH DILANGGAR KETIKA BERTAMBAT

Video insiden yang menjadi tular di medsos


Lumut 30 Disember 2022, Satu insiden pelanggaran kecil telah berlaku ketika melakukan demonstrasi manuvra dalam usaha memintas bot mencurigakan di jeti Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut sempena Hari Terbuka Armada 2022 (HTA22)


Jurucakap Markas Pemerintahan Armada Barat dalam satu kenyataan berkata,  sebuah Bot Tempur TLDM telah hilang kawalan dan terlanggar KD LAKSAMANA TAN PUSMAH yang sedang merapat di dermaga Air Cetek. 


Insiden tersebut telah mengakibatkan tepian kapal KD LAKSAMANA TAN PUSMAH terkoyak sepanjang 2 x 1m dan Bot Tempur kemek di bahagian haluan. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan akibat insiden ini. 


Insiden juga tidak menjejaskan perjalanan HTA22 yang akan diteruskan mengikut atur cara yang telah ditetapkan.


Kata jurucakap itu lagi, satu Lembaga Siasatan telah ditubuhkan bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian.


Kesan berlubang di tepian KD TAN PUSMAH

 


Saturday, December 24, 2022

PATI TERUS DIBURU



BUKIT KAYU HITAM, 24 Dis 2022 - Pasukan operasi dari Briged Keenam Infantri Tentera Darat Malaysia telah menahan 4 orang Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang cuba masuk ke Malaysia menggunakan laluan yang tidak sah di sempadan Malaysia-Thailand pada hari ini. 

Hasil pemeriksaan, mendapati 4 orang awam yang berumur 22 hingga 31 tahun tersebut merupakan PATI lelaki warganegara Myanmar dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. 

Menurut Pegawai Perhubungan Awam 2 Div, kejadian tersebut berlaku di sektor OP BENTENG Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd) pada 24 Dis 2022 jam 0800H.  

Turut dirampas adalah 2 keping passport Myanmar yang sudah tamat tempoh, 4 kad pengenalan Myanmar, 2 kad vaksin COVID19, 4 buah telefon bimbit, sebuah powerbank, seutas jam tangan dan wang tunai dalam matawang Malaysia, Thailand dan Myanmar dengan nilai anggaran keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM 2,229.66. 

Kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.




Thursday, December 22, 2022

KAPAL LAYAR HANYUT DITEMUKAN

Kapal Layar Puteri Mahsuri

Lumut 22 Dis - KD LEKIU Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menemukan Kapal Layar PUTERI MAHSURI yang dilaporkan hanyut dan hilang di perairan Langkawi sejak 19 Disember 2022  lalu. Turut ditemukan ialah Nahkoda bersama empat orang kru warganegara Myanmar  kira-kira jam 1 tengah hari semalam semuanya dalam keadaan selamat.

Berdasarkan maklumat dari Maritime Rescue Sub-Center (MRSC) Langkawi  melalui rakan pemilik kapal layar tersebut iaitu Captain William Foo pada jam 8 pagi,  satu  Operasi CARILAMAT telah diaktifkan pada jam 10.30 pagi oleh Markas Wilayah Laut 3 TLDM. 


Posisi terakhir Kapal Layar PUTERI MAHSURI sebelum insiden adalah di posisi 14 Batu Nautika, Barat Pulau Rebak, Langkawi dan dipercayai telah hanyut akibat rantai sauhnya terputus sewaktu bersauh di perairan tersebut.


Bertindak pantas menerusi maklumat yang disalurkan, KD LEKIU yang berada di lapangan telah diatur gerakkan ke lokasi bersama pesawat FENNEC TLDM untuk pencarian  dan berjaya mengesan posisi kapal layar tersebut di posisi 37.5 Batu Nautika, Barat Laut Pulau Perak. 


Setiba di lokasi, KD LEKIU seterusnya melaksanakan pemeriksaan kesihatan dan bantuan awal terhadap kesemua kru Kapal Layar PUTERI MAHSURI sebelum bantuan lanjut tiba untuk membawa pulang kapal tersebut ke Langkawi yang mengalami kerosakan jentera. 


Sumber dari Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat (MPAB) berkata, Kapal Layar PUTERI MAHSURI yang telah hanyut kira-kira dua hari berjaya dijumpai selepas empat jam Operasi CARILAMAT diaktifkan membuktikan kerjasama bersepadu dan tindakan pantas daripada kesemua agensi yang terlibat. 



Kesemua krew yang dijumpai selamat

Tim Bantuan KD LEKIU merapat

Monday, December 19, 2022

OPS MURNI - 2 DIV INFANTRI MALAYSIA MELAKSANAKAN MISI MEMBANTU MANGSA BANJIR DI KELANTAN DAN TERENGGANU



Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) menerusi Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Bgd) dan briged-briged lain di bawah pemerintahan sentiasa komited dan bersiap siaga melaksanakan tugas sekunder bagi membantu pihak berkuasa awam dalam membantu mangsa-mangsa yang terkesan akibat bencana banjir.


Seramai 14 pegawai dan 325 anggota Lain-lain Pangkat Tentera Darat Malaysia (TDM) di bawah naungan KTJ 8 Bgd telah diatur gerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas banjir bagi melaksanakan tugas-tugas bantuan menyelamat dan memindahkan mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu selain membantu di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB). 


Pada masa kini, pasukan-pasukan sedang giat memberikan bantuan memindahkan mangsa-mangsa banjir melibatkan Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja (21 RAMD) di sekitar Pasir Mas, Tumpat dan Kota Bharu, Batalion Ke-16 Rejimen Askar Melayu Diraja (16 RAMD) di Kuala Krai, Gua Musang dan Machang, Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD (PARA)) di Hulu Terengganu, Marang dan Dungun, Rejimen Ke-5 Artileri Diraja (5 RAD) di Pasir Puteh, Besut dan Setiu, Rejimen 506 Askar Wataniah (502 AW) di Bachok dan Rejimen 512 Askar Wataniah (512 AW) di Kuala Terengganu.


8 Bgd juga telah mengatur gerakan aset-aset seperti trak 3 tan, Land Rover dan bot tempur ke lokasi yang terjejas banjir. Sehingga kini, seramai 574 mangsa banjir telah berjaya dipindahkan ke Pusat-pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang telah ditetapkan.


2 Divisyen sentiasa meletakkan anggota dan asetnya pada tahap kesiagaan yang tinggi bagi membantu Pihak Berkuasa Awam dan agensi-agensi keselamatan yang lain dalam melaksanakan misi menyelamat dan memindahkan mangsa-mangsa yang terjejas akibat banjir ke tempat selamat.













Sunday, December 18, 2022

SARIPATI RINGKAS

 


 SIRI 83/21 INSTITUT PENERBANGAN 1, KOLEJ TENTERA UDARA


Pelatih Kursus Asas Penerbangan Siri 83/21 telah memulakan perjalanan karier mereka sebagai Juruterbang selepas menamatkan Kursus Ilmu Asas Penerbangan (KIPA). Seramal 23 orang pelatih telah dipilih menjalani Kursus Asas Penerbangan di Institut Penerbangan 1 (INSPEN 1) dengan menggunakan pesawat Pilatus PC-7 Mk II. Kursus Asas Penerbangan Intl terbahagi kepada 2 fasa, iaitu Fasa Penerbangan Asas dan Fasa Penerbangan Lanjutan


Seramai 23 pelatih telah berjaya mengharungi fasa latihan awal dan meneruskan kursus sehingga Basic Handling Test (BHT) dan Instrument Rating Test (IRT). Seterusnya, kesemua pelatih telah meneruskan kursus dalam fasa Penerbangan Asas Navigasi sehingga Basic Navigation Test (BNT)


Setelah berhempas pulas dengan penuh kesungguhan dan keazaman yang tekad normal 23 orang pelatih telah menamatkan penerbangan Final Navigation Test (FNT) serta Final Handling Text (FHT) dan seterusnya berjaya menamatkan Penerbangan mereka pada penghujung bulan November 2022.  Kesemua  mereka ini layak dianugerahkan Sayap Penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia.



SIRI 63/21 INSTITUT PENERBANGAN 2, KOLEJ TENTERA UDARA


Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 63/21 adalah merupakan Fasa Asas Penerbangan untuk pelatih helikopter Sin ini merupakan sini yang ke-enam menggunakan Konsep Direct ke setelah menamatkan Kursus Ilmu Penerbangan Asas (KIPA). Seramai 7 orang pelatih yang telah menamatkan KIPA di INSPEN 1 telah terpilih untuk meneruskan cita-cita sebagai seorang juruterbang helikopter di INSPEN 2 mulai 4 Jul 21, Kursus Asas Penerbangan Helkopter ini terbahagi kepada 3 fasa, iaitu Fasa Akademik, Fasa Penerbangan Asas dan Fasa Penerbangan Lanjutan


Pada 13 Ogos 21, semua pelatih telah berjaya menamatkan Fasa Akademik dengan memperoleh keputusan yang cemerlang, Fasa Penerbangan Asas telah bermula pada 24 Ogos 21 dengan menggunakan pesawat Eurocopter EC 1208 Colibri. Seramai 7 pelatih telah berjaya dam Fasa Penerbangan Asas dan Fasa Penerbangan Lanjutan setelah menduduki Basic Handling Test (BHT), Instrument Flying Test (IFT), Final Navigation Test (FNT), dan Final Handling Test (FHT)


Setelah mengharungi segala cabaran dan rintangan, pelatih-pelatih Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 63/21 telah berjaya menamatkan latihan dengan cemerlang pada 31 Okt 22 dan melayakkan mereka untuk dianugerahkan Sayap Penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia.



Anugerah Pelatih-pelatih Terbaik


PIALA PANGLIMA PENDIDIKAN DAN LATIHAN UDARA (PELATIH TERBAIK AKADEMIK)


Lt Mubin Mustaza bin Iskandar TUDM (375485) dilahirkan pada 18 Okt 96. Berasal dari Alor Setar, Kedah. Merupakan anak bongsu daripada tiga orang adik beradik. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Mutiara Kota Kinabalu pada tahun 2003 dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai Sepang Putra, Sepang, Selangor pada tahun 2009 sehingga PMR pada tahun 2011. Seterusnya meneruskan pelajaran di Maktab Tentera Diraja sehingga tamat SPM pada tahun 2013. Lantaran minat yang mendalam untuk menjadi seorang pegawai TUDM amnya dan Juruterbang TUDM khasnya sejak dari kecil lagi, beliau menyertai TUDM pada 6 Mei 2014 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bermula sebagai Pegawai Kadet. Beliau telah mengikuti Kursus Pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal selama 4 tahun. Setelah berjaya menerima segulung ijazah dengan keputusan yang sangat cemerlang, beliau telah ditauliahkan sebagai Lt M TUDM pada 1 Feb 20 dan seterusnya dinaikkan ke pangkat Lt TUDM pada 18 Feb 21. 


Seterusnya beliau telah terpilih untuk mengikuti Kursus Ilmu Penerbangan Asas (KIPA) di INSPEN 1 pada 18 Feb 21. Sepanjang menjalani kursus ini, beliau telah menunjukkan prestasi akademik dan disiplin yang tinggi. Beliau meneruskan kursus di INSPEN 1 untuk mengikuti Kursus Asas Penerbangan Sayap Kaku menggunakan pesawat Pilatus PC7-MKII. Sikap, ketekunan serta pencapaian cemerlang beliau sepanjang kursus ini telah melayakkan beliau menerima Anugerah Terbaik Akademik.



PIALA KOMANDAN

(PELATIH TERBAIK PENERBANGAN SAYAP PUTAR)


375948 PK Wan Ilyasa bin Wan Ibrahim dilahirkan pada 4 Feb 99. Berasal dari Kuantan, Pahang. Merupakan anak kedua daripada 5 orang adik beradik. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Padang Mokkan pada tahun 2006 dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Long Gafar pada tahun 2012 sehingga tamat SPM pada tahun 2016 dengan keputusan yang cemerlang. Lantaran minat yang mendalam untuk menjadi Juruterbang TUDM khasnya sejak dari kecil lagi, beliau menyertai TUDM pada 13 Jul 18 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bermula sebagai Pegawai Kadet. Beliau telah mengikuti Pengajian Ijazah Sarjana Muda Penerbangan selama 4 tahun iaitu 2 tahun di Universiti dan 2 tahun latihan di industri. Kemudiannya beliau telah terpilih untuk mengikuti Kursus Ilmu Penerbangan Asas (KIPA) di INSPEN 1 pada 8 Feb 21.


Setelah tamat mengikuti Kursus Ilmu Penerbangan Asas, beliau meneruskan kursus di INSPEN 2 untuk mengikuti Kursus Asas Penerbangan Helikopter menggunakan pesawat EC 120B. Sepanjang menjalani latihan, beliau telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan dalam kedua-dua fasa iaitu Fasa Kajian Bawah dan Fasa Penerbangan. Selain dari aspek penerbangan dan pembelajaran, beliau juga telah menunjukkan sikap kepimpinan yang tinggi serta berkebolehan sebagai seorang pemimpin dikalangan rakan-rakan. Beliau juga mempamerkan tingkah laku sebagai seorang bakal pegawai TUDM yangBir berkualiti tinggi. Sikap keterampilan yang beliau tunjukkan di sepanjang kursus amatlah disenangi rakan-rakan dan para jurulatih. Disebabkan oleh prestasi yang dipamerkan sepanjang kursus, beliau telah dipilih untuk menerima Anugerah Pelatih Terbaik Penerbangan Helikopter.



PIALA KOMANDAN 

(PELATIH TERBAIK PENERBANGAN SAYAP KAKU)


375950 PK Wan Muhammad Ikmal Bin Wan Mohd Razali dilahirkan pada 4 Mac 99. Berasal dari Wakaf Bharu, Kelantan. Merupakan anak sulung daripada 5 orang adik beradik. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Desa Tun Hussein Onn pada tahun 2006 dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Mahmud Mahyiddin pada tahun 2012 sehingga tamat SPM pada tahun 2016 dengan keputusan yang sangat cemerlang. Lantaran minat yang mendalam untuk menjadi seorang pegawai TUDM amnya dan Juruterbang TUDM khasnya sejak dari kecil lagi, beliau menyertai TUDM pada 13 Jul 18 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bermula sebagai Pegawai Kadet. Beliau telah mengikuti Pengajian Ijazah Sarjana Muda Penerbangan selama 4 tahun iaitu 2 tahun di Universiti dan 2 tahun latihan industri. 


Kemudiannya beliau telah terpilih untuk mengikuti Kursus Ilmu Penerbangan Asas (KIPA) di INSPEN 1 pada 08 Feb 21 dan meneruskan latihan penerbangan dengan pesawat Pilatus PC-7 MKII dalam fasa penerbangan asas dan lanjutan. Sepanjang menjalani latihan, beliau telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan dalam kedua-dua fasa iaitu Fasa Akademik dan Fasa Penerbangan. Selain daripada aspek penerbangan dan pembelajaran, beliau juga telah menunjukkan sikap kepimpinan yang tinggi serta berkebolehan sebagai seorang pemimpin dikalangan rakan-rakan. Beliau juga mempamerkan tingkah laku sebagai seorang pegawai TUDM yang berkualiti tinggi. Sikap dan keterampilan yang beliau tunjukkan di sepanjang kursus amatlah disenangi rakan-rakan dan para jurulatih. Disebabkan oleh prestasi yang dipamerkan sepanjang kursus, PK Wan Muhammad Ikmal Bin Wan Mohd Razali telah terpilih untuk menerima Anugerah Pelatih Terbaik Penerbangan Sayap Kaku.



PIALA PANGLIMA TENTERA UDARA

(PELATIH TERBAIK KESELURUHAN SAYAP KAKU)


Lt Mubin Mustaza bin Iskandar TUDM (375485) Berasal dari Alor Setar, Kedah dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal ini sekali lagi telah membuktikan bahawa pencapaian cemerlang bidang akademik ini tidak berhenti begitu sahaja malahan beliau telah menunjukkan prestasi yang cemerlang sepanjang fasa latihan penerbangan di INSPEN 1. Sepanjang beliau mengikuti Kursus Asas Penerbangan Sayap Kaku menggunakan pesawat Pilatus PC7-MKII, beliau telah membuktikan bahawa berjaya mendapatkan High Average sebanyak tiga kali iaitu Instrument Rating Test (IRT), Final Navigation Test (FNT) dan Final Handling Test (FHT). Tidak ketinggalan juga beliau aktif dalam bidang sukan dan mewakili INSPEN 1 dalam beberapa perlawanan sukan antara seksyen iaitu Polo Air dan juga Road Relay.


Beliau juga menunjukkan sifat kepimpinan yang tinggi sebagai seorang pegawai TUDM dan dilantik menjadi Ketua Kursus Asas Penerbangan Siri 83/21. Hasil daripada sikap kesungguhan yang tinggi dan tidak mudah berputus asa, dan berkat daripada kedua ibubapa, beliau sekali lagi berjaya merangkul Anugerah Terbaik Keseluruhan Sayap Kaku .


PIALA PANGLIMA TENTERA UDARA 

(PELATIH TERBAIK KESELURUHAN SAYAP PUTAR)


Lt Muhamad Syahrull Hazizi bin Norizan TUDM (375676) dilahirkan pada 7 Mac 97. Berasal dari Segamat, Johor. Merupakan anak sulung daripada 3 orang adik beradik. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bandar Putra Segamat pada tahun 2004 dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Bentara Dalam, Segamat pada tahun 2010 sehingga PMR pada tahun 2012. Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Sains Batu Pahat sehingga tamat SPM pada tahun 2014. Lantaran minat yang mendalam untuk menjadi Juruterbang TUDM khasnya sejak dari kecil lagi, beliau menyertai TUDM pada 5 Ogos 16 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bermula sebagai Pegawai Kadet. Beliau telah mengikuti Kursus Pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Strategi Pertahanan selama 3 tahun. Setelah berjaya menerima segulung ijazah dengan keputusan yang sangat cemerlang, beliau telah ditauliahkan sebagai Lt M TUDM pada 18 Jul 20 dan seterusnya dinaikkan ke pangkat Lt TUDM pada 18 Feb 21.


Seterusnya beliau telah terpilih untuk mengikuti Kursus Ilmu Penerbangan Asas (KIPA) di INSPEN 1 pada 18 Feb 21. Sepanjang menjalani kursus ini, beliau telah menunjukkan disiplin yang tinggi. Setelah tamat mengikuti Kursus Ilmu Penerbangan Asas, beliau meneruskan kursus di INSPEN 2 untuk mengikuti Kursus Asas Penerbangan Helikopter menggunakan pesawat EC 120B. Sikap, ketekunan serta pencapaian cemerlang beliau sepanjang kursus ini telah melayakkan beliau menerima Anugerah Terbaik Keseluruhan Helikopter.






Saturday, December 17, 2022

OP BENTENG – 12 PATI DITAHAN KETIKA MEMASUKI SEMPADAN MALAYSIA



TANAH MERAH, 17 Disember - 12 orang Pendatang Tanpa Izin ( PATI ) warganegara Myanmar ditahan dalam satu operasi di sektor OP BENTENG Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd).


Kenyataan dari Pegawai Perhubungan 2 Div berkata, serbuan dibuat oleh pasukan ronda  di Kampung Renap ketika  sekumpulan suspek  tersebut cuba memasuki Malaysia melalui Sungai Golok dengan menggunakan sampan. 

Hasil pemeriksaan, mendapati 8 orang lelaki dan 4 orang  wanita yang berumur antara 18 hingga 37 tahun tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. 

Turut dirampas adalah seutas jam tangan, sebuah beg tangan, 11 buah telefon bimbit, wang tunai dalam matawang Malaysia berjumlah  RM 130.00 dan matawang Myanmar berjumlah 28,200 Kyats serta 11 buah beg pakaian dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM 8739.40. 

Kesemua PATI diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah, Kelantan untuk siasatan dan tindakan lanjut. 

30 PELATIH INSPEN TERIMA SAYAP PENERBANGAN




ALOR SETAR, 17 Disember 2022 - Seramai 30 orang pelatih Kursus Asas Penerbangan Siri 83/21 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 63/21 menerima sayap Penerbangan masing-masing dalam satu upacara Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan  di Kolej Tentera Udara (KTU) Kepala Batas, Alor Setar hari ini. Upacara yang berlangsung dengan penuh istiadat ketenteraan itu telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM.



PTU dalam sidang medianya berkata, perbarisan hari ini merupakan kali pertama dapat dihadiri oleh ibu bapa dan kaum keluarga pelatih dalam fasa endemik di mana sebelum ini selama 2 tahun acara ini dilakukan secara tertutup tanpa kehadiran ahli keluarga berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara.

Seramai 23 orang pelatih juruterbang pesawat sayap kaku dari Institut Penerbangan 1 (INSPEN 1).  Mereka menggunakan PC-7 MK II sebagai platform latihan asas terbang  dan fungsi utama INSPEN 1 ialah untuk melahirkan juruterbang ATM yang berkaliber dan versatil.


Manakala 7 orang lagi  pelatih juruterbang helikopter dari Institut Penerbangan 2 (INSPEN 2). menggunakan helikopter Airbus EC 120B Colibri (Hummingbird.  Pesawat helikopter ringan buatan Perancis yang mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri, unggul dan disegani di dalam kelasnya.


Tambah PTU lagi, sistem latihan yang digunakan adalah yang terkini oleh kedua-dua Institut di mana telah mengalami penambahbaikan dengan menggunakan sistem penerbangan simulator atau flight planning device sebagai persediaan kepada pelatih sebelum menjalani latihan penerbangan sebenar sekaligus menjadikan Institut latihan ini setaraf dengan  Institut latihan penerbangan tentera luar negara.  Bagi mendepani arus perdana  TUDM dan ATM juga telah meningkatkan keperluan pengambilan juruterbang-juruterbang muda termasuklah menerusi penerimaan pelatih-pelatih penerbangan wanita ke arah peningkatan professional  TUDM dan juga ATM.


Dari kekuatan keseluruhan, 26 pelatih dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), tiga dari Tentera Darat Malaysia (TDM) dan seorang dari Tentera Laut Diraja Malaysia(TLDM). Di antara mereka-mereka ini 2 orang merupakan kemasukan dari pegawai graduan, 10 orang pegawai lepasan Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) dan 18 orang pegawai kadet 2u2i dari Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM.


Program 2u2i ini telah diperkenalkan pada tahun 2018 di mana pengambilan ini merupakan pengambilan pertama yang berjaya menamatkan program.  Program ini merangkumi 2 tahun pembelajaran di UPNM dan 2 tahun mengikuti latihan penerbangan asas dengan tujuan untuk melahirkan juruterbang TUDM pada usia yang muda.


Piala Kecemerlangan



Lima piala telah di sediakan untuk memberi perangsang kepada para pelatih dalam mengejar kecemerlangan dalam kursus iaitu Piala Panglima Tentera Udara (Pelatih Terbaik Keseluruhan Sayap Kaku), Piala Panglima Tentera Udara (Pelatih Terbaik Keseluruhan Sayap Putar), Piala Panglima Pendidikan dan Latihan Udara (Pelatih Terbaik Akademik), Piala Komandan (Pelatih Terbaik Penerbangan Sayap Kaku) dan Piala Komandan (Pelatih Terbaik Penerbangan Sayap Putar). 


Menepati kualiti dan kriteria yang ditetapkan, Leftenan Mubin Mustaza bin Iskandar TUDM, telah dinobatkan sebagai penerima Piala Panglima Tentera Udara (Pelatih Terbaik Keseluruhan Sayap Kaku) dan juga penerima Piala Panglima Pendidikan dan Latihan Udara (Terbaik Akademik).  Mustaza adalah anak kelahiran Alor Setar, Kedah merupakan graduan UPNM dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal.

 

Piala Panglima Tentera Udara (Pelatih Terbaik Keseluruhan Sayap Putar) telah dianugerahkan kepada Leftenan Muhamad Syahrull Hazizi bin Norizan TUDM.  Beliau berasal  dari Segamat Johor, merupakan graduan UPNM dalam jurusan Pengajian Strategi Pertahanan, 


Piala Komandan (Pelatih Terbaik Penerbangan Sayap Kaku) pula telah dianugerahkan kepada Pegawai Kadet Wan Muhammad Ikmal bin Wan Mohd Razali yang berasal dari Wakaf Bharu, Kelantan. Pelatih Akademi Latihan Ketenteraan UPNM di dalam jurusan Penerbangan.


Piala Komandan (Pelatih Terbaik Penerbangan Sayap Putar) menjadi milik Pegawai Kadet Wan Ilyasa bin Wan Ibrahim yang berasal dari Kuantan, Pahang.  Pelatih Akademi Latihan Ketenteraan UPNM di dalam jurusan Penerbangan.


Pesanan


PTU dalam ucapannya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pelatih yang terlibat kerana telah berjaya menjadi juruterbang ATM. Beliau  menegaskan  bahawa kursus asas penerbangan merupakan salah satu kursus yang memerlukan kekuatan fizikal dan mental pada tahap yang tinggi serta komitmen yang tidak berbelah bahagi.  Kursus ini memberi penekanan ke atas kesemua nilai teras TUDM iaitu Integriti (Integrity), Kecemerlangan (Excellence), Keberanian (Courage), Semangat Setiakawan (Esprit de Corp) dan mengutamakan perkhidmatan melebihi dari diri sendiri (Service before self).


Tegasnya lagi, pemahaman dan pematuhan terhadap nilai-nilai teras yang telah TUDM gariskan akan memastikan anda menjadi lebih peka dan perihatin terhadap tugas sedia ada serta tanggung jawab di masa hadapan. Nilai-nilai teras tersebut dapat memupuk budaya kerja yang betul serta membina sifat jati diri sebagai juruterbang ATM yang komited dan berpengetahuan.


Penghargaan


Panglima Tentera Udara di dalam ucapannya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pelatih yang telah berjaya menjadi juruterbang Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato' Zahani Bin Hj Zainal Abidin TUDM; Komandan Kolej Tentera Udara, Brigedier Jeneral Ramli bin Mohd Abd Jabar TUDM, jurulatih - jurulatih penerbangan, staf-staf dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung serta seluruh warga Kolej Tentera Udara atas komitmen dan usaha bagi menjayakan upacara pada pagi ini. Penghargaan dan terima kasih juga dizahirkan kepada ibu bapa dan keluarga di atas dorongan, motivasi, doa dan menjadi tulang belakang serta semangat yang membawa kejayaan para graduan sehingga dianugerahkan Sayap Penerbangan.


Panglima Tentera Udara dan isteri, Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan serta barisan kepimpinan TUDM turut meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra bersama para pelatih serta ibu bapa selepas selesai acara perbarisan. 


Turut hadir ke Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan Kursus Asas Penerbangan Siri 83/21 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 63/21 lalah Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Dato' Indera Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato' Mohd Shahada bin Ismail TUDM dan isteri, Datin Dr Halina binti Haron; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato' Zahani bin Zainal Abidin TUDM dan isteri, Datin Lynette binti Tan Sri Mohamed; Panglima Bantuan Udara, Mejar Jeneral Masro bin Kaliwon TUDM dan isteri, Puan Dewi Mastura binti Tumiran, pegawai-pegawai kanan TUDM, wakil dari TDM dan TLDM serta ahli keluarga para pelatih.


Friday, December 16, 2022

PRESERVING THE LEGACY- 25 TAHUN NO 18 SKUADRON MENGGEMPUR MEMINTAS DEMI PERTAHANKAN KEDAULATAN NEGARA

 



Oleh: Mej Salamah

Foto: TUDM


Butterworth, 16 Dis 22- No 18 Skuadron hari ini telah melaksanakan Sambutan Ulang Tahun Ke-25 atau Jubli Perak bertempat di Hangar No 18 Skuadron. Majlis sambutan telah dirasmikan oleh Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM, Panglima Tentera Udara. Majlis turut dihadiri oleh Leftenan Jeneral Dato’ Indera Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM, Timbalan Panglima Tentera Udara; Leftenan Jeneral Dato’ Indera Hj Yazid bin Hj Arshad TUDM, mantan Panglima Angkatan Bersama; Leftenan Jeneral Dato’ Zahani bin Hj Zainal Abidin TUDM, Panglima Pendidikan dan Latihan Udara; Komander Pangkalan Udara Butterworth, Brigedier Jeneral Norli Hisham bin Alwi TUDM serta warga dan alumni No 18 Skuadron melibatkan kira-kira 500 jemputan.



No 18 Skuadron yang telah mula beroperasi semenjak Julai 1997 kini telah genap mencapai usia 25 tahun perkhidmatannya di dalam organisasi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam menjaga kedaulatan ruang udara negara. Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Tahun 2022 berslogankan "Preserving the Legacy” yang membawa maksud No 18 Skuadron memelihara legasi untuk masa hadapan yang lebih baik.


Panglima Tentera Udara di dalam ucapannya berbangga dengan No 18 Skuadron yang mencapai usia 25 tahun telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam menjaga kedaulatan ruang udara negara serta membuktikan kemampuan warganya di peringkat anak kapal, juruteknik dan pentadbiran.

Sejak ketibaan pesawat F/A-18D Hornet pada tahun 1997 sehinggalah ke hari ini, pesawat ini masih berdiri megah dalam menonjolkan kemampuan di tahap yang maksimum demi mempertahankan ruang udara negara. Bagi menempatkan pesawat ini sejajar dengan keperluan operasi dan perkembangan teknologi masa kini, pihak TUDM telah mengambil inisiatif dalam melaksanakan program naik taraf pesawat iaitu ke tahap ‘SCS 25X' yang merupakan satu upgrade programme yang dilancarkan pada tahun 2014. Ini membuktikan bahawa pucuk pimpinan begitu serius terhadap keupayaan aset udara TUDM amnya dan pesawat F/A-18D Hornet khususnya, sebagaimana aspirasi pelan pembangunan keupayaan TUDM (CAP55). TUDM berharap program naiktaraf berikutnya iaitu 'SCS 29C' berjalan seperti yang dirancang bagi meningkatkan lagi kemampuan pesawat F/A-18D ini selari dengan kemampuan pesawat hornet dari negara lain.


Menurut Panglima Tentera Udara lagi, jasa semua peringkat warga No 18 Skuadron sejak skuadron ditubuhkan amatlah dikagumi. Komitmen yang tinggi serta semangat “service before self” dalam diri warga No 18 Skuadron seiring dengan keupayaan pesawat F/A-18D dalam menjadikannya sebagai antara tonggak utama pertahanan udara di negara Malaysia yang tercinta.  


Kejayaan No 18 Skuadron dalam misi ‘Ops Daulat’ pada tahun 2013 telah membuktikan keupayaan pesawat ini dalam menyekat pencerobohan pemberontak Sulu di tanah air. Selain daripada itu, kemampuan sistem pesawat ini juga membolehkan skuadron ini terpilih untuk melaksanakan pelbagai misi dan latihan, sama ada di dalam mahupun luar negara. Antaranya eksesais Pitch Black pada tahun 2008 dan 2018, selain penglibatan di pertunjukan udara Pameran Langkawi International Maritime and Aerospace (LIMA), sambutan Hari Ulang Tahun ATM, Hari Kebangsaan dan lain-lain. Semua kejayaan tersebut adalah hasil dari komitmen tinggi warga No 18 Skuadron dalam melakar kenangan manis sepanjang dalam perkhidmatan. Setiap anugerah dan pencapaian No 18 Skuadron selama 25 tahun perkhidmatannya merupakan satu penanda aras pengorbanan dan perjuangan yang ditunjukkan oleh seluruh warga No 18 Skuadron dalam memastikan kejayaan dalam setiap operasi menjadi tonggak utama yang mengekalkan keutuhan skuadron ini.

Panglima Tentera Udara turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua mantan Pegawai Memerintah No 18 Skuadron sepanjang tempoh 25 tahun kerana telah bertungkus-lumus dalam memastikan No 18 Skuadron sentiasa menjadi skuadron yang disegani di dalam TUDM dan segala jasa warga skuadron tidak akan TUDM lupakan.




Istimewa sebagai simbolik sambutan Jubli Perak No 18 Skuadron, upacara Pelancaran Pesawat disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara dengan memasukkan mission card ke dalam slot yang disediakan sebagai simbolik pelancaran dan pesawat F/A-18D Hornet iaitu M45-01 yang diwarnakan dengan skema warna tema sambutan dan lakaran logo sambutan ulang tahun yang ke-25 diperkenalkan buat julung kalinya di majlis ini diikuti dengan menandatangani plak perasmian.


Bagi mengabadikan momen indah, Panglima Tentera Udara, Timbalan Panglima Tentera Udara, Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Komander Pangkalan Udara Butterworth bersama-sama mantan-mantan Pegawai Memerintah dan Pegawai Memerintah No 18 Skuadron memeriahkan acara memotong kek. Sambutan diserikan dengan terbang lintas hormat dua (2) pesawat pejuang F/A-18D Hornet dan berakhir dengan sesi bergambar kenangan bersama semua yang hadir sebelum menunaikan Solat Jumaat di Surau Salahuddin Al-Ayyubi.


Selamat Hari Ulang Tahun Ke-25 kepada No 18 Skuadron. 

“Menggempur Memintas”

“Preserving The Legacy”.


#KuasaUdaraPerisaiKedaulatanNegara

#No18Skn


Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini