About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Saturday, July 1, 2017

VETERAN ATM DISANTUNI

Sumber Majalah Perajurit Julai 2017

Oleh/Foto: Paklang Hamzah

Insentif khas insurgensi adalah tanda terima kasih kerajaan kepada veteran ATM yang telah tercedera  semasa bertugas dalam tempoh darurat


Polemik tentang ketidakpuasan hati yang tidak pernah padam malah kian menyemarak dalam kalangan sebilangan veteran Angkatan Tentera Malaysia(ATM) terhadap kerajaan menggambarkan seolah-olah kerajaan langsung tidak mempedulikan nasib mereka selepas menamatkan perkhidmatan samada berpencen atau pun tidak berpencen.

Justeru, muncul pelbagai jenama persatuan-persatuan yang didasari oleh bekas anggota-anggota ATM umumnya yang kononya khusus untuk menjaga kebajikan ahli-ahlinya di samping menyambung silaturahim yang terputus.  Walaubagaimana pun niat yang baik tidak pernah menjanjikan kejayaan dan keberuntungan boleh dicapai dengan mudah tanpa bantuan dari kerajaan memerintah kerana keupayaan persatuan-persatuan adalah sangat terhad terutamanya dari segi kewangan untuk memberi kefahaman dan kepuasan kepada ahli-ahli. 

Ramai yang tidak faham atau sengaja buat tidak faham peranan sebenar persatuan yang mereka anggotai.  Mereka mendambakan pulangan atau insentif yang berupa material semata-mata setelah menganggotai persatuan walaupun kebanyakan mereka masih boleh meraih pendapatan melalui pencen bulanan dan berdikari tanpa masalah.  Bila kemahuan mereka tidak dapat dipenuhi oleh pihak persatauan, jalan yang paling mudah diambil ialah dengan mengutuk dan mengecam persatuan tanpa usul periksa.

JHEV Ditubuhkan

Bagi menangani persoalan ini dengan lebih berkesan, kerajaan mengambil pendekatan yang agak luar biasa iaitu dengan mengoperasikan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) yang bernaung di bawah kementerian pertahanan pada tahun 2001 bagi menangani segala rasa tidak puas hati veteran-veteran tentera.  Istimewanya veteran tentera di mata kerajaan ialah kerana jasa dan pengorbanan mereka kepada negara dan dengan kewujudan JHEV itu sendiri merupakan usaha kerajaan untuk menyantuni khalayak ini sehingga ke liang lahad.

Sebagaimana di dalam perkhidmatan, anggota mempunyai sistem divisional, begitulah juga di alam persaraan mereka masih mengamalkan sistem ini di mana pengarah-pengarah JHEV ditempatkan di setiap zon untuk tujuan ini.  Tidak ada penjawat awam dari mana-mana kementerian lain yang diberi sentuhan sebegini rupa waima Jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri yang juga turut bertumpah darah dalam sejarah perjuangan membina negara bangsa menentang pencerobohan dalam semua zaman.

Kalau dirujuk kepada kronologi penubuhan JHEV, penambahbaikan demi penambahbaikan sejak tahun 1970 sehingga kini sudah banyak inisiatif-inisiatif dalam menjaga kebajikan veteran tentera dan balu telah dilakukan. Sebagai tambahan kepada artikel penulis yang lalu berkaitan penambahbaikan peranan dan tanggongjawab kementerian, beberapa inisiatif baharu telah diperkenal dan dilaksanakan.

-Bermula  dari tahun 2016, Kementerian Pertahanan telah menjadikan kebajikan veteran ATM, isteri dan anak-anak mereka sebagai salah satu teras dan fokus utama dalam Hala Tuju MINDEF. -Program Jejak Veteran dan Program Jejak Kawan telah dilaksanakan bertujuan menjejaki di mana para veteran ATM tinggal, bagaimana keadaan mereka dan apa yang boleh pihak kementerian lakukan untuk terus membantu mereka.

-Program 1Malaysia Veteran Home Repair (1MVHRP) dengan peruntukan sebanyak RM4.46 juta bagi tahun 2017 untuk membina rumah baharu dan melaksanakan kerja-kerja pembaikan kecil rumah veteran ATM. Tahun 2016 sebanyak 84 buah rumah veteran ATM telah dibaik pulih dan 57 buah rumah baharu telah dibina manakala bagi tahun 2017, 170 buah rumah akan dibaik pulih dan 30 buah rumah baharu akan dibina di seluruh negara.

-Perubahan terhadap Skim Bantuan Kebajikan dan Pendidikan. Antara perubahan dan penambahbaikan ini termasuklah perluasan bantuan meliputi Bantuan Persekolahan, Bantuan Bencana Alam, Bantuan Sara Hidup dan Bantuan Kemasukan ke Universiti Awam (IPTA).

-Progaram penyediaan Rumah Mampu Milik kepada warga  dan veteran ATM sedang dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri dan syarikat-syarikat tertentu.

-Skim Baharu Untuk Veteran Tidak Berpencen sedang dalam peringkat mengkaji dan menyemak semula dan kerajaan berusaha sedaya upaya untuk memberi bantuan mengikut kemampuan yang ada dengan mengambil kira kekangan bajet kerajaan dan lain-lain kepada 174,000 orang veteran ATM yang tidak berpencen dan menilai serta membuat penambahbaikan dari masa kesemasa selepas perlaksanaan jika terdapat kekurangan dalam skim ini.

-Dalam Pembentangan Bajet 2017 oleh YAB Perdana Menteri telah memperuntukkan  sebanyak RM55 juta kepada JHEV bagi melaksanakan Bayaran Insentif Khas Insurgensi kepada veteran ATM.  Insentif Khas ini bagi mengenang dan jasa Veteran ATM yang telah tercedera sewaktu berkhidmat di zaman darurat. Bayaran ini telah mula dibayar mulai 19 Mei 2017 melibatkan seramai 2,939 orang veteran dan waris mereka. Mereka-mereka yang tersenarai masing-masing akan menerima minima RM3,465.50 dan maksima RM48,079.87 mengikut kategori kecederaan yang dialami.    
           
Realitinya, perkara-perkara yang telah dimuktamatkan di atas adalah merupakan kesinambungan daripada apa yang telah diperincikan di dalam makmal perbincangan yang dianjurkan oleh JHEV dengan kerjasama Institut Keselamatan dan Pertahanan Malaysia (MIDAS) yang turut dihadiri oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta, syarikat milik kerajaan (GLC) serta wakil Persatuan Veteran ATM pada 2015 yang lalu.  Sebanyak 10 perkara telah diperbincangkan dan insentif-insentif yang telah dinyatakan di atas adalah merupakan blueprint yang telah diluluskan dan selebihnya akan diumumkan oleh diumumkan oleh YAB Perdana dijangka pada 31 Julai 2017 nanti.

Dalam  majlis Ihya Ramadhan ATM dan Veteran ATM yang diadakan di Kem Sultan Abdul halim Muadzam Shah, Jitra pada 10 Jun 2017, kerajaan negeri Kedah turut menyumbang RM100,000.00 kepada Tabung Pahlawan Persatuan Veteran ATM (PVATM) dan geran tahunan bernilai RM50,000 kepada PVATM negeri Kedah dan turut menganjurkan majlis ini. 

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini