About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Sunday, June 26, 2022

RAS LEKIR DAN HENRY J. KAISER BERJAYA



Sumber/foto: TLDM Page

HAWAII, 26 Jun - KD LEKIR telah berjaya menjalankan pengisian semula (UNREP) di laut bersama USNS HENRY J. KAISER di perairan Hawaii, Amerika Syarikat.

Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertemu dengan kapal minyak Amerika di perairan Hawaii di luar Pulau Oahu petang tadi, selepas hampir dua minggu belayar tanpa henti di Lautan Pasifik.

USNS HENRY J. KAISER melalui hari-hari  yang sibuk melayani kapal-kapal dari negara-negara luar  termasuk Malaysia mengisi minyak sebelum menuju ke Pangkalan Bersama Pearl Harbor-Hickam untuk menyertai latihan Rim of the Pacific (RIMPAC) 2022.

KD LEKIR ialah wakil kedua Malaysia dalam RIMPAC selepas KD LEKIU mengambil bahagian pada 2018.

Diketuai oleh Pegawai Memerintah Komander Mohd Asri bin Dasman TLDM, korvet kelas Kasturi yang mempunyai 132 kekuatan akan melakukan tembakan peluru berpandu semasa fasa laut RIMPAC tahun ini.

Sebanyak 26 buah negara menyertai dengan menghadirkan 38 buah kapal perang, empat buah kapal selam, lebih 170 pesawat udara dan 25,000 kakitangan menyertai RIMPAC dari 29 Jun hingga 4 Ogos di dalam dan sekitar Kepulauan Hawaii dan California Selatan.

Latihan maritim antarabangsa terbesar di dunia, RIMPAC menyediakan peluang latihan yang unik sambil memupuk dan mengekalkan hubungan kerjasama di kalangan peserta yang penting untuk memastikan keselamatan laluan laut dan keselamatan di lautan dunia.

RIMPAC 2022 ialah latihan ke-28 dalam siri yang bermula pada tahun 1971.



Saturday, June 25, 2022

OP BENTENG – 6 BGD dan 8 BGD BERJAYA MENYERKAP 28 PATI D BUKIT KAYU HITAM DAN TANAH MERAH

24 Jun 2022 : Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) melalui 6 Bgd dan 8 Bgd telah berjaya menahan 28 Pendatang Tanpa Izin (PATI) di dua lokasi berbeza.

Dalam kejadian pertama, pada jam 0245 Tim Serang dan Tangkap (SERKAP) 8 Bgd, telah mengesan sekumpulan individu dalam keadaan mencurigakan keluar dari semak menuju ke arah jalan raya di Kg Nibong, Tanah Merah Kelantan. Hasil pemeriksaan mendapati.  kesemua 9 orang adalah PATI warganegara Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. Kesemua mereka terdiri daripada 5 lelaki dan 4 perempuan berumur di antara 17 hingga 35 tahun.


Manakala dalam kejadian kedua pada jam 0430 di KTJ 6 Bgd Bukit Kayu Hitam Kedah, pasukan beroperasi yang melaksanakan rondaan telah mengesan sekumpulan individu di kawasan semak di dalam kebun getah berhampiran jalan raya Changlun - Sintok. Hasil pemeriksaan mendapati seramai 19 orang adalah PATI warganegara Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. Mereka berumur di antara 19 hingga 44 tahun terdiri daripada 15 lelaki dan 4 perempuan. 

Turut dirampas dalam kedua-dua kejadian sebanyak 18 buah telefon bimbit dan wang tunai dalam matawang Malaysia, Myanmar dan Thailand dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM 13,380.05. Kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Nibong dan Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.




Sunday, June 19, 2022

OP BENTENG - 47 LAGI PATI DITAHAN


Foto: Markas 2 Div

BUKIT KAYU HITAM - 18 Jun.  Cubaan 47 orang Pendatang Tanpa Izin (PATI) warganegara Myanmar yang  menyelusup masuk ke Malaysia melalui lorong tikus sempadan Malaysia-Thailand  berjaya disekat oleh pihak berkuasa Malaysia.

 Menurut  Pegawai Perhubungan Awam Markas 2 Divisyen , PATI yang berumur dalam lingkungan 15 hingga 49 tahun itu terdiri daripada 40 lelaki dan 7 perempuan ditahan di kawasan ladang getah sektor OP BENTENG Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia jam 0545H pagi kelmarin.

 Tim Serang dan Tangkap (SERKAP) Bgd Ke-6 Infantri Tentera Darat   turut merampas  34 buah telefon bimbit dan wang tunai dalam matawang Thailand, Myanmar dan China dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM 27,608.40. Kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

Saturday, June 11, 2022

LAGI PATI DITAHAN DI JOHOR

Johor 11 Jun - 8 orang PATI telah ditahan di Perairan Johor Selatan.Tujuh lelaki dan seorang wanita dipercayai warga Indonesia dalam lingkungan umur 20-an hingga 50-an didakwa atas tuduhan menceroboh perairan negara melalui jalan laut yang tidak diwartakan.

Sebuah bot yang mencurigakan dikesan melalui Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) dari perairan Batam Indonesia dan disyaki  menuju ke perairan Teluk Ramunia, Johor.

Area Control Centre (ACC) Johor menyalurkan maklumat pencerobohan kepada KD GEMPITA yang sedang melakukan rutin patroli di lapangan untuk tindakan lanjut.  

FCB 1123 TLDM seterusnya diatur gerak untuk melakukan penjejakan dan pemintasan ke atas bot curiga tersebut dan berjaya menahan di lokasi 2.5 batu nautika selatan Tanjung Ayam. Kesemua PATI yang diberkas diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut. 

Wednesday, May 18, 2022

TUDM TUNAIKAN IMPIAN SEORANG 'PEJUANG MUDA'

BUTTERWORTH, 18 Mei 2022 - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menunaikan impian adik Muhammad Irfan Mikail bin Mohd Shukri, berusia 15 tahun yang menanam cita-cita untuk menjadi seorang juruterbang pesawat pejuang TUDM. 

Impiannya itu telah dizahirkan oleh pihak Friend of Childhood-Cancer Northern (FOCCAN) yang menyampaikan hasrat ibu bapanya untuk memenuhi impian anak keempat mereka yang disahkan oleh pegawai perubatan mengidap kanser leukemia ALL (Acute Lymphoblastic Leukemia). 

Atas dasar keprihatinan dan empati, TUDM melalui No 15 Skuadron, Pangkalan Udara Butterworth dan bantuan Kolej Tentera Udara telah mengkoordinasi bersama pihak FOCCAN melaksanakan tanggungjawab sosialnya bagi membantu menyampaikan hasrat dan impian seorang ‘pejuang muda’ yang berjuang melawan sakit kanser. Adik Irfan yang diiringi ibu dan bapanya, Puan Mazatul Rohana binti Saleh dan Encik Mohd Shukri bin Talib didatangkan dari kediaman mereka yang tinggal di Lorong Haji Talib, Kampung Guar Syed Alwi, Kangar Perlis ke Pangkalan Udara Butterworth. 

Ketibaan adik Irfan dan keluarga disambut oleh Pegawai Laksana Pangkalan, Kolonel Engku Faizal bin Engku Mustafa TUDM; Pegawai Memerintah No 15 Skuadron, Leftenan Kolonel Mohd Hafiz bin Hj Abu Bakar TUDM; Pegawai Perubatan Rumah Sakit Angkatan Tentera Pangkalan Udara Butterworth, Leftenan Kolonel Dr Zarina Zakiah binti Zainuddin; Pegawai Jiwa Murni Skuadron, Kapten Mohd Faiz bin Hazmi TUDM serta warga Skuadron. Turut serta hadir ialah empat (4) pegawai dari Badan Bukan Kerajaan, FOCCAN bersama seorang lagi 'pejuang kanser' yang diketuai oleh Puan Hajah Siti Salmah Salleh. 

Adik Irfan kemudiannya dibawa ke bilik persalinan dan disarungkan dengan “flying suit”. Setelah itu, taklimat lawatan dan pengenalan ringkas tentang skuadron yang mengoperasikan pesawat pejuang disampaikan oleh Pegawai Memerintah No 15 Skuadron, Leftenan Kolonel Hafiz TUDM yang mengiringi sepanjang lawatan. Sesi lawatan bermula dengan lawatan ke Hangar No 15 skuadron untuk melihat lebih dekat di samping bergambar bersama pesawat pejuang Hawk 108 dari No 15 Skuadron dan F/A18D dari No 18 Skuadron serta juruterbang dan kru pesawat. 

Sebagai meraikan tetamu istimewa TUDM ini, Adik Irfan dan keluarga turut dipersembahkan dengan pengoperasian pesawat pejuang Hawk bermula dari pemeriksaan awal pesawat sebelum terbang, melihat pesawat berlepas dan kembali mendarat. Adik Irfan kemudiannya dibawa melawat ke Pusat Simulator Pejuang dan merasai pengalaman mengendalikan simulator F/A-18D. Lawatan diakhiri dengan penyampaian cenderahati kenangan serta sumbangan kepada adik Irfan dan keluarga. 

Melihat insan kerdil yang diuji dengan masalah kesihatan yang kronik, ternyata Adik Irfan adalah seorang 'pejuang muda' dengan semangat juangnya melawan sakit kanser. Semoga tangungjawab sosial TUDM menunaikan impian adik Irfan dapat menggembirakan hatinya serta kedua ibu bapanya. Seluruh warga TUDM mendoakan agar adik Muhammad Irfan Mikail bin Mohd Shukri beroleh kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan dan meminta agar semua turut mendoakannya. 


Saturday, May 14, 2022

49 ORANG LAGI PATI DISERKAP BRIGED KEENAM

 

Foto: 6 Bgd

Tim Serang dan Tangkap (SERKAP) 6 Bgd telah menahan 49 orang lagi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) setelah cubaan masuk ke Malaysia melalui sempadan negara Malaysia/Thailand dengan menggunakan laluan yang tidak sah di daerah Padang Terap Kedah .

Kejadian pada 14 Mei jam 0930 pagi itu  berlaku di kawasan Ladang Getah sektor OP BENTENG Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.

Hasil pemeriksaan mendapati kesemuanya adalah warganegara Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan berumur di antara 15 hingga 48 tahun terdiri daripada 37 lelaki dan 12 perempuan.

Turut dirampas adalah 37 buah telefon bimbit, wang tunai dalam matawang Malaysia, Thailand dan Myanmar dan 2 beg pakaian dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM 15,878.00. Kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam.

PERAJURIT MUDA TUNJANG KEUPAYAAN TUDM HARI INI

 

PTU membalas Tabik Hormat PjM (U) semasa acara berjalan lalu

“Selama hampir 64 tahun latihan asas Perajurit Muda (PjM) telah dilaksanakan dan berjaya mewujudkan lapisan warga udara yang menjadi tunjang kepada keupayaan TUDM hingga ke hari ini” kata Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM dalam ucapannya semasa Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Udara Siri 64/2021.

Mengimbau kembali sejarah latihan Asas PjM TUDM sejak tahun 1959 di Seletar Singapura dan seramai 12 anggota yang pertama telah berjaya menamatkan latihan.  Dari permulaan itulah TUDM terus mengorak langkah memperkasa Pusat Latihan PjM di Akademi TUDM Ipoh dengan sentuhan moden sesuai dengan perkembangan semasa.

Katanya lagi, dalam tempoh itu juga pihak pengurusan latihan banyak melakukan penambahbaikan untuk mempertingkatkan keupayaan institusi ini bagi melahirkan perajurit udara yang berkemahiran dan kompeten selari dengan teknologi dan keadaan semasa.  Evolusi pemerkasaan latihan perajurit muda adalah dirangka dan memfokuskan pembangunan kapasiti warga udara agar dapat memenuhi keperluan keupayaan TUDM masa kini dan yang akan datang.

Sebagai seorang warga TUDM yang baharu melangkah ke gerbang perkhidmatan, beliau mengingatkan yang perkhidmatan ini tidak menjanjikan perjalanan yang mudah yang mana setiap individu tidak akan terlepas dari mendepani pelbagai jenis cabaran.

“Always keep and open mind and see things positively” pesan PTU kepada 365 peserta PjM udara yang menjalani perbarisan tamat latihan di Padang Kawad, Akademi Tentera Udara (ATU) Ipoh, Perak pagi tadi.

Pesannya lagi, realiti alam pekerjaan sebenar adalah berbeza daripada apa yang dipelajari di Pusat Latihan.  Prinsip growth mindset iaitu sentiasa berusaha untuk menambah baik kemahiran sedia ada dengan mempelajari perkara baharu dan menyambut baik perubahan positif.

Beliau menyeru agar PjM Udara supaya sentiasa berusaha untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kepakaran agar TUDM terus disegani dan dihormati oleh negara-negara serantau dan antarabangsa.

Turut hadir dalam Istiadat Perbarisan Tamat Latihan ini ialah Panglima Pendidikan dan Latihan Udara YBhg Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Shahada  bin Ismail dan Komandan Akademi TUDM Kolonel Junairi bin Baharom

Istiadat Perbarisan kali ini juga turut dihadiri oleh ibu bapa serta keluarga PjM setelah negara beralih kepada fasa endemik Covid-19.

PjM U siri 64/2021


Friday, May 13, 2022

6 BRIGED SERKAP 10 PATI DI DURIAN BURUNG

 

Foto: 6 Bgd

Awal pagi 13 Mei 2022, 10 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Thailand dan Myanmar telah ditahan  di sektor OP BENTENG Durian Burung Daerah Padang Terap Kedah.

Berdasarkan maklumat perisikan terdapat pergerakan masuk PATI melalui laluan  yang tidak sah di sempadan.  Tim Serang dan Tangkap (SERKAP) Briged Ke-6 Infantri telah diatutgerak ke lokasi terbabit dan berjaya menahan 2 buah motosikal yang dinaiki oleh 4 orang lelaki disusuli 6 buah motosikal yang dinaiki oleh 6 orang lelaki, 10 minit kemudiannya.

Hasil pemeriksaan mendapati 8 orang lelaki adalah warganegara Thailand dan 2 orang adalah warganegara Myanmar. Kesemua yang ditangkap adalah berumur di antara 28 hingga 50 tahun dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Turut dirampas adalah 8 buah motosikal Honda Wave (no pendaftaran Thailand), 8 buah telefon bimbit dan 2 buah beg galas dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM 44,000.00. Kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Kuala Nerang.

Sunday, May 8, 2022

OP BENTENG LAUT: TLDM TAHAN 9 PATI DI PERAIRAN JOHOR SELATAN

 



Oleh: Paklang Hamzah

Foto: TLDM


8 Mei- Sembilan orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan di perairanTeluk Ramunia Johor Selatan 9.45 malam tadi.  Keberadaan sebuah bot curiga telah dikesan oleh Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) membawa kepada penahanan 8 lelaki dan seorang wanita yang dipercayai warganegara Indonesia lingkungan umur 20-an hingga 40-an atas kesalahan menceroboh negara melalui jalan laut yang tidak diwartakan. 


Johor. Area Control Centre (ACC) Johor telah menyalurkan maklumat pencerobohan kepada kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD GANYANG yang sedang berada di lapangan untuk tindakan lanjut. KD GANYANG seterusnya telah mengkoordinasikan aset TLDM FCB 1123 dan bot pemintas RHIB LEPAU bagi memintas bot tersebut. 


PATI yang diberkas telah dibawa ke Jeti Pos Maritim Pengerang dan diserahkan kepada Tim Op MERPATI untuk soal siasat dan ujian saringan COVID-19. Kesemua PATI yang diberkas seterusnya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan siasatan lanjut.


PATI yang diberkas diserahkan kepada Tim OP MERPATI untuk siasatan lanjut



Wednesday, April 27, 2022

PTL PERAKUI ASET TLDM KEUSANGAN



PTL sedang menerima Tabik hormat daripada kontijen

Foto: TLDM

Upacara Istiadat Perbarisan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kali ke-88  telah berlangsung dengan jayanya meski pun dalam suasana warga The Navy people sedang menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadan.  Perbarisan istiadat masih lagi berlangsung dalam suasana  norma baharu dengan mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) COVID-19 meski pun kerajaan sudah mengumumkan akan memberi beberapa kelonggaran bila peralihan ke fasa endemik berkuatkuasa pada 1 Mei.

Panglima TLDM, Tan Seri Mohd Reza bin Mohd Sani dalam wawancara bersama media sebaik selesai Istiadat Perbarisan HUT menegaskan bahawa TLDM masih mengekalkan tema yang sama iaitu TLDM Siaga Kedaulatan Terpelihara yang mana selari dengan empat teras Hala Tuju TLDM yang telah beliau garapkan sejak mengambil alih tampuk pemerintahan TLDM sejak 2018.

PTL sedang memeriksa kontijen

Hala Tuju

Empat teras Hala Tuju TLDM yang dimaksudkan ialah Memberi keutamaan kepada kesiagaan Armada TLDM, Membangun semula Armada TLDM berlandaskan Program Transfomasi TLDM 15 Ke 5, Meningkatkan integrasi dan sokongan melalui aspek kebersamaan dan Menyediakan modal insan terbaik untuk memenuhi keperluan masa hadapan.

Walau bagaimana pun, Program Transfomasi TLDM 15 Ke 5  telah melalui proses rekalibrasi agar sesuai dengan perkembangan geopololitik dan strategik semasa.

Tegas beliau lagi, perkataan Siaga di sini membawa maksud bersiap sedia dari segala aspek dalam menghadapi sesuatu ancaman. Justeru tema TLDM Siaga, Kedaulatan Terpelihara memfokuskan kepada kepentingan untuk memastikan TLDM sentiasa berada di tahap kesiagaan tertinggi untuk melaksanakan misi iaitu Melindungi Kedaulatan, Integriti Wilayah dan Kepentingan Maritim Negara.

Katanya lagi, bagi memastikan kesiagaan aset TLDM berada di tahap tertinggi ia memerlukan pengorbanan, komitmen, disiplin dan profesionalisme daripada sumber manusia, manakala aset pula hendaklah dalam keadaan terbaik. 

Sebagai Panglima Tentera Laut, beliau mengakui prestasi   cemerlang yang dimiliki oleh setiap the Navy People, namun apa yang membimbangkan adalah kesiagaan aset yang digunakan oleh the Navy People dalam pelaksanaan operasi.

Kesiagaan aset-aset ini penting untuk mengawal perairan negara bagi memastikan komuniti maritim khususnya melaksanakan aktiviti ekonomi dengan aman dan bukan itu sahaja, kawalan ketat oleh TLDM di seluruh perairan negara dapat melindungi khazanah atau sumber maritim negara daripada dicabuli dan dicuri oleh anasir jahat. 

Realitinya, kira-kira 61 peratus aset yang dimiliki TLDM kini telah beroperasi menjangkau had umur asal reka bentuknya atau dalam ayat mudah adalah keusangan.

Justeru, tegasnya lagi, TLDM amat komited dengan rancangan pembangunan keupayaan atau Program Transformasi TLDM 15 ke 5. Namun, program transformasi ini perlu diubahsuai dan dibuat penjajaran semula disebabkan cabaran yang dihadapi iaitu kelewatan projek pembinaan kapal Littoral Combat Ship (LCS) dan perolehan-perolehan lain.

Keputusan kerajaan untuk menyambung semula projek perolehan LCS telah menyuntik semangat kepada Navy People. Sebegitu pun TLDM masih memerlukan banyak lagi platform baharu seperti tercatat dalam Program Transformasi TLDM 15 ke 5.

Meski pun situasi geopolitik masa kini agak kurang stabil namun TLDM perlu sentiasa siaga dan berupaya memberi respons yang dikehendaki oleh kerajaan.

Beliau amat berharap perancangan perolehan aset-aset berkenaan dapat diperolehi seperti yang dirancang sesuai dengan perkembangan pertahanan maritim serantau. 

Sementara itu, bagi menangani masalah keusangan kapal TLDM dan kelewatan projek LCS ini, TLDM telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan pembaikan ke atas kapal sedia ada namun perlu melalui proses-proses seperti Repowering, Obsolescence Programme dan Obsolescence Management.

LMS Bac 1 KD KERIS 

LMS Bac Kedua

PTL turut menyentuh berkaitan satu projek pembangunan khusus yang menjadi keutamaan TLDM iaitu projek perolehan Batch Kedua Kapal LMS (LMSB2) denganp eningkatan keupayaan tempur yang lebih baik berbanding kapal LMS kelas KERIS. Peningkatan keupayaan tempur ini amat diperlukan kerana jurang keupayaan tempur yang dihadapi TLDM telah semakin melebar dan berada ditahap yang kritikal. 

Perolehan LMSB2 berkeupayaan tempur inia dalah selari dengan rancangan transformasi TLDM 15 to 5 yang telah direkalibrasi. TLDM amat berharap agar kerajaan dapat memberip ertimbangan yang positif bagi memastikan perolehan ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat demi memelihara kepentingan dan kedaulatan negara. 

Tambah PTL lagi, walau apa pun kekurangan yang dihadapi, TLDM kekal siaga dalam memperagakan kehadiran di laut bagi menghadapi sebarang kemungkinan melalui rondaan 24 jam, 7 hari seminggu dan 365 hari setahun. 

Sesuai dengan Moto Sedia Berkorban, TLDM akan terus menggalas tanggungjawab memelihara kedaulatan dan kepentingan negara dengan ikhlas dan penuh komitmen . 

PROJEK JIWA MURNI - PEMASANGAN CB200 DI HULU TERENGGANU



Telah diterbitkan dalam majalah Perajurit edisi Mac/Apr 2022

Oleh: Paklang Hamzah

Foto: 2 Div TD


Pada 13 Mac  yang lalu, Mej Jen Dato Haji Muhammad Huzaimi bin Sabri, Panglima 2 Divisyen telah melakukan lawatan kerja ke tapak pemasangan jambatan sementara Compact Bailey CB200 (CB200) yang menghubungkan ke Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM) di kampung Jenagor, Hulu Trengganu.

Jambatan yang dipasang sepanjang 30 meter ini bertujuan untuk menggantikan jambatan sedia ada yang telah runtuh pada 27 Feb 2022 disebabkan pergerakan tanah runtuh akibat hujan yang berterusan selama seminggu. 

Menurut Pegawai Perhubungan Markas 2 Div,  pemasangan jambatan ini sangat penting bagi menghubungkan laluan keluar masuk pekerja Tenaga Nasiinal Berhad (TNB) ke kawasan penempatan SSJM yang telah terputus hubungan dan terpaksa menggunakan bot sebagai alternatif.

 Markas Rejimen Askar Jurutera (MK RAJD) 2 Div telah mengambil tanggungjawab dalam pemasangan jambatan ini yang bermula pada 12 Mac dan telah siap sepenuhnya pada 14 Mac 2022 yang lalu.

Seramai 5 orang pegawai dan 64 orang anggota dari 7 Skn RAJD Kem Desa Pahlawan dengan dibantu oleh 1 Skn RAJD dan 91 Rejimen Bantuan RAJD.

Katanya lagi, TDM sentiasa komited dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat sesuai dengan Tonggak Kelima dalam Perintah Ulung Panglima TD Ke-28 iaitu PENINGKATAN HUBUNGAN TENTERA DARAT DENGAN AWAM yang memberi fokus kepada peningkatan hubungan dan kerjasama di antara TDM dan agensi awam dalam membantu pemulihan instalasi penting negara.

Saturday, April 23, 2022

PERANG PANGKOR TINGKAT KOMPETENSI ARMADA TLDM

Oleh: Paklang Hamzah

Foto: TLDM



Latihan berkala Perang Pangkor Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah di antara siri-siri latihan perang yang diadakan bagi menentukan kompetensi warga armada TLDM serta asetnya sentiasa di tahap tertinggi.

Di antara latihan-latihan yang menjadi menu wajib dalam setiap kali latihan ini dilakukan ialah merangkumi dalam aspek manouvering tactical, evolusi, mengawal kerosakan serta kebakaran dan latihan peperangan dengan memberi tumpuan kepada penjejakan radar  dan  komunikasi taktikal untuk krew Combat Information Centre ( CIC).

Ianya turut menguji keupayaan dan kebolehgunaan peranti- peranti strategik yang dipasang pada setiap platform yang telibat supaya sentiasa berada pada tahap yang terbaik bagi memastikan armada TLDM sentiasa bersiaga pada sebilang masa. 

Latihan Perang Pangkor siri 17/22 telah melibatkan KD MAHAWANGSA, KD LEKIU serta aset sokongan iaitu Fast Combat Boat TLDM yang berlangsung di perairan Selat Melaka bermula 22 April lalu. 

Wednesday, April 20, 2022

PROJEK PEROLEHAN LCS DITERUSKAN



Kabinet sebulat suara memuktamadkan supaya projek perolehan LCS diteruskan. Dalam kenyataan media Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein Menteri Kanan Pertahanan 20 April lalu menegaskan kapal Littoral Combat Ship (LCS) sememangnya aset yang amat dimahukan dan diperlukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) demi meningkatkan kesiapsiagaan pasukan armadanya.


Katanya lagi, keputusan yang diambil oleh pihak kerajaan ini bukan sahaja bagi memenuhi perancangan pemodenan TLDM di bawah Plan Transformasi 15 to 5, malah ianya memberi nafas kepada 400 vendor yang terlibat di dalam projek ini yang mana  lebih 100 daripadanya adalah syarikat milik rakyat Malaysia dan 90% daripadanya ada hubung kait dengan veteran ATM dengan implikasi kewangan lebih RM4 billion.


Tegasnya lagi, komitmen lebih besar ialah memastikan segala isu ketirisan sebelum ini tidak berulang. Semua pihak yang terlibat kali ini khususnya BNS yang sedang diterajui pengurusan baru mesti memainkan peranan masing-masing dengan telus dan bertanggungjawab. Keputusan meneruskan projek LCS ini tidak bermakna pihak yang terlibat salah laku dalam projek sebelum ini akan terlepas begitu sahaja. MP


Monday, February 28, 2022

OP BENTENG - KEUPAYAAN FCB TLDM TERSERLAH

 



Telah diterbitkan dalam Majalah Perajurit edisi Jan/Feb 2022

Oleh:  Paklang Hamzah

Foto: TLDM


Fast Interceptor Craft (FIC)  mula memasuki inventori Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada bulan Mac 2021 dan diletakkan di bawah naungan skuadron Bot tempur Laju (FCB). Bot pemintas laju Kelas G2000 FIC yang saiznya 18 meter panjang dan 4.6 meter lebar dilengkapi persenjataan 1 x 12.7mm RCWS dan 2x 7,62mm machine gun serta didorong oleh 2 jentera utama dengan sistem dorongan Jet air (Water Jet) mampu mencapai kelajuan maksima 50 knots.  Bot berkelajuan tinggi ini telah dibina sepenuhnya oleh Gading Marine Industry (M) Sdn Bhd (GMI) di Limbungan GMI Lumut Perak.


Sebanyak 6 buah FCB pada perolehan pertama dengan setiap satunya dikendalikan oleh 5 orang kru dan mampu memuatkan sehingga 8 orang Quick Reaction Force pada satu-satu masa.  Diberi pengenalan dengan nombor 1021, 1022,1123,1124,1325 dan 1326 dan ditempatkan  di beberapa Pangkalan TLDM seluruh Malaysia untuk penugasan operasi bagi memperkukuhkan kawalan perairan negara. Pembelian FCB ini adalah sangat relevan bagi mempertingkatkan keupayaan pengawasan dan pintasan di perairan cetek dan juga bersesuaian dengan  geografi negara Malaysia yang berpulau.


Walau pun mula menyertai Ops Benteng  pada 26 Apr 2021 yang lalu, Skuadron FCB telah menunjukkan keupayaan yang sangat memberangsangkan dan telah dizahirkan melalui beberapa kejayaan yang dicapai iaitu pada 29 Apr 2021 telah membuat tangkapan penyeludup di Telok Ramunia Johor, 1 Jun 2021 telah membuat tangkapan PATI di Johor dan tangkapan nelayan Vietnam di Pulau Tioman Pahang pada 4 dan 8 Jun 2021..


Kejayaan 2022


Kejayaan terkini ialah pada pada 20 Januari lalu, bot FCB TLDM  sekali lagi membuktikan kemampuan  mematahkan satu aktiviti rentas sempadan. Kali ini melibatkan cubaan menyeludup Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). Tindakan pantas kru FCB 1123 telah berjaya menahan 21 orang PATI di perairan Johor Selatan.


Aktiviti rentas sempadan ini dikesan sekitar jam 2.51 pagi oleh Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) di mana satu kontak  berkelajuan tinggi dikesan bergerak di Selatan perairan Tanjung Penyusop, Johor dalam keadaan mencurigakan.


Area Control Centre (ACC) Johor seterusnya memaklumkan kepada , KD SRI INDERA SAKTI (KDSIS) selaku Ketua Gugus Tugas dalam operasi ini dan seterusnya  mengaturgerak task unitnya iaitu FCB 1123 untuk melaksanakan penjejakan dan pemintasan ke atas kontak tersebut. 


Menyedari kehadiran bot FCB TLDM, bot curiga telah bertindak memecut laju dan berpatah balik untuk keluar dari perairan negara. Semasa bot tersebut berusaha untuk melarikan diri dan cuba mengelak dari ditahan untuk diperiksa, ia  bertindak agresif dengan melanggar FCB 1123 yang mengakibatkan bot curiga terbalik di lokasi. 

Hasil tindakan pantas kru FCB 1123 telah berjaya menyelamatkan sejumlah 21 mangsa dipercayai PATI terdiri dari 9 lelaki serta 12 wanita dan dua darinya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri. 


Kesemua 21 orang PATI yang diselamatkan telah dibawa ke Jeti Pos Maritim Pengerang dan seterusnya diserahkan kepada Tim Op MERPATI 1 Tentera Darat Malaysia (TDM) dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk ujian saringan COVID-19 dan juga siasatan lanjut. Siasatan lanjut yang dilaksanakan ke atas mangsa yang diselamatkan mengesahkan bot curiga telah membawa seramai 27 individu dipercayai PATI semasa kejadian.


Operasi Carilamat telah diaktifkan sejurus selepas kejadian bagi mengesan baki 6 orang PATI yang masih hilang. Usaha Carilamat telah dikoordinasikan oleh Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia (APMM) dengan penglibatan aset TLDM iaitu FCB 1124, RHIB SANTI dan RHIB CERDIK di lokasi. Hasil pencarian telah menemukan 3 orang mangsa wanita di lokasi berhampiran dan meneruskan pencarian 3 mangsa lagi.


Nota Kaki


Pembukaan sektor ekonomi dalam negara dalam fasa endemik COVID-19 telah menjadi pendorong kepada peningkatan aktiviti rentas sempadan samada melalui jalan laut mau pun melalui sempadan darat.


Operasi-operasi bersepadu dalam kalangan agensi-agensi penguatkuasa dilihat mampu menangani aktiviti- aktiviti seperti ini, namun begitu pihak kerajaan seharusnya menyediakan aset-aset serta alat bantu  berprestasi tinggi kepada agensi-agensi penguatkuasa terlibat di samping membina makanisma penghadang seperti tembok di sepanjang sempadan negara. 


Aset-aset udara dan FIC perlu kepada penambahan kerana aset udara mempunyai keupayaan yang tinggi bukan sahaja dari sudut jangkauan dan kepantasan malah identifikasi terhadap kontak mencurigakan yang dikesan melalui radar dapat dikenal pasti secara visual sebelum menghantar pasukan darat atau laut untuk membuat pemintasan dan penangkapan.


Dengan cara ini bukan sahaja aktiviti pencerobohan dapat dikekang semaksima mungkin malah negara akan kembali mendapat keuntungan dari kutipan percukaian serta penyeludupan keluar barang-barang terkawal yang sentiasa mempunyai permintaan tinggi negara-negara jiran dapat dikekang penularannya.


TENTANG ORANG PELARIAN


Telah diterbitkan di Majalah Perajurit edisi Jan/Feb 2022

Oleh: Paklang Hamzah

Siapakah Orang Pelarian? Kebanyakan orang sering kali membuat tanggapan yang salah berkaitan siapa sebenarnya Orang Pelarian.  Ramai yang beranggapan bahawa mereka ini adalah dari kalangan orang yang mencari peluang-peluang pekerjaan bagi menjana ekonomi.  Definisi yang diberikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Orang Pelarian (UNHCR) tentang Orang Pelarian ialah sekumpulan manusia yang menjalani kehidupan normal  seperti orang lain di negara-negara asal mereka. Kemudian sesuatu yang buruk telah berlaku telah mengubah segalanya.  Rumah mereka dirosakkan oleh perang atau mereka menghadapi pencabulan hak asasi manusia yang serius di mana rumah-rumah mereka tidak lagi selamat untuk didiami. 

Pelarian pada maksud kata terbitan adalah suatu perjalanan yang dilakukan oleh puluhan ribu lelaki, wanita dan kanak-kanak yang telah melarikan diri ke mana sahaja termasuk Malaysia dan negara-negara lain semata-mata untuk menyelamatkan diri dari peperangan dan pencabulan hak asasi manusia.  

Bagaimana rasanya jika suatu hari anda menjadi Orang Pelarian?. Di mana anda akan kehilangan semua yang anda hargai yakni keluarga, rakan, rumah dan anda terpaksa melarikan diri untuk menyelamatkan nyawa anda dengan menempuh perjalanan sejauh berbatu-batu dengan berjalan kaki melalui hutan tebal malah dengan kapal yang bocor merentasi laut berbahaya.  Apa yang kita tahu ialah setelah mereka kehilangan segalanya, mereka mempunyai suatu keberanian dan ketekunan yang luar biasa untuk tetap tabah dan positif dalam kehendak mereka untuk terus hidup kerana mereka tidak mempunyai pilihan selain melarikan diri untuk menyelamatkan nyawa mereka dan tidak dapat pulang dengan selamat.  

Berbeza dengan istilah Pendatang di mana individu atau pun kumpulan manusia yang memasuki negara ini dengan memiliki dokumen yang sah atau digelar Pendatang Dengan Izin (PADI) atau pun sebaliknya Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah melalui jalan-jalan laut dan darat secara sembunyi semata-mata untuk mencari peluang-peluang pekerjaan bagi menjana ekonomi bagi keperluan diri serta keluarga di negara asal mereka.  Apa yang sering berlaku di Malaysia ialah PADI boleh bertukar status menjadi PATI bila mana mereka tidak kembali ke negara asal mereka dan ‘menghilangkan diri’ setelah dokumen perjalanan atau pekerjaan telah tamat tempoh yang dibenarkan berada di negara ini.  Untuk mendapat peluang bekerja di negara ini mereka sanggup membayar ribuan ringgit kepada orang tengah yang menjalankan kegiatan memperdagangkan manusia.

Catatan UNHCR

 UNHCR adalah sebuah agensi PBB yang  bekerja keras setiap hari untuk melindungi Orang Pelarian dan menolong mereka sebagaimana mereka menolong diri mereka sendiri. 

Lebih 40 tahun UNHCR telah bekerja di Malaysia dengan membantu kerajaan memberikan perlindungan dan bantuan kepada Orang Pelarian dalam negara ini.  Hari ini Program Kemanusiaan UNHCR telah melindungi dan membantu lebih 178,000 pelarian lelaki, wanita dan kanak-kanak di Malaysia.

UNHCR menyedari bahawa perlu membolehkan Orang Pelarian hidup dalam komuniti yang sah, damai tanpa gangguan bagi membolehkan mereka melaksanakan hak dan kebebasan serta membuat pilihan yang bermakna mengenai isu-isu yang mempengaruhi kehidupan mereka di samping menyumbang kepada komuniti mereka untuk hidup dengan martabat dan kemerdekaan yang lebih baik.

Orang Pelarian berhak meminta suaka untuk tidak dihantar pulang ke negara di mana nyawa atau kebebasan mereka mungkin berisiko. Walau bagaimana pun, perlindungan antarabangsa telah melibatkan lebih dari sekadar keselamatan fizikal. Orang Pelarian sekurang-kurangnya harus mendapat hak sosial dan ekonomi asas yang sama dengan orang asing lain yang merupakan penduduk sah. Sebagai balasannya, mereka diminta menghormati undang-undang dan peraturan negara suaka mereka. 

Sebagai agensi Orang Pelarian, UNHCR memberi penekanan yang besar dengan mengutamakan bantuan kepada pelarian yang paling teraniaya, sambil memberi peluang kepada kumpulan Orang Pelarian supaya lebih berdikari dan memperkuat keupayaan rakan kongsi mereka untuk melayani masyarakat Orang Pelarian dengan lebih baik.

UNHCR berkerja keras dengan memberi peluang kepada Orang Pelarian dalam menjaga diri mereka sendiri dengan lebih baik semasa berada dalam buangan. Untuk seketika, UNHCR membantu mereka mempelajari kemahiran dan peluang baharu untuk berdikari.  Sebagai contoh, memberi pekerjaan dengan masyarakat awam, sektor swasta dan dalam komuniti pelarian mereka sendiri.

Melindungi hak anak-anak pelarian bagi mendapatkan akses pendidikan dan menikmati pengalaman zaman kanak-kanak seperti kanak-kanak lain.  Bagi memenuhi keperluan pendidikan asas, UNHCR menyokong  pembinaan pusat pembelajaran dalam persekitaran yang selamat untuk menjalankan kelas, menyediakan guru dalam kalangan Orang Pelarian yang dibayar dan dilatih dan menyediakan alat pendidikan yang mencukupi untuk guru dan pelajar.

Di Malaysia, Orang Pelarian tidak mempunyai status yang sah dari segi undang-undang untuk menentukan hak mereka.  Mereka dan keluarga mereka yang tinggal di Malaysia  hidup dalam keadaan ketakutan berikutan akan ditangkap di atas kesalahan melanggar undang-undang Imigresen.

Ibubapa tidak dapat bekerja secara sah dalam sektor awam untuk menyara keluarga mereka. Mereka sering dieksploitasi dengan melakukan pekerjaan di sektor-sektor  tidak rasmi di mana pekerjaan itu kotor, berbahaya, dan sukar. Kanak-kanak tidak dapat menerima pendidikan formal dan ramai di antara mereka yang tidak dapat menerima pendidikan asas persekolahan.

Penjagaan kesihatan agak mahal kerana mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap. Sukar bagi mereka dan keluarga mereka untuk mendapatkan rawatan walau pun sebagai rawatan asas apabila ada yang jatuh sakit.

Namun begitu mereka  tetap kuat dan  bertekad untuk saling membantu sesama mereka dengan mencari jalan berdikari untuk membina kehidupan yang lebih selesa di tempat orang.  Mereka tidak hanya menunggu untuk diserahkan kepada mana-mana pihak.  Mereka berusaha mencari jalan keluar bagi menyelesaikan masalah mereka sendiri dan cuba mengatasi dengan cara yang terbaik ketika mereka berada dalam pengasingan. 

Memilih Malaysia

Mengapa mereka memilih negara Malaysia adalah bergantung kepada pelbagai faktor praktikal atau peribadi.  Ini mungkin kerana Malaysia adalah negara suaka yang agak berdekatan, mudah masuk dan mereka merasakan di Malaysia mereka akan lebih selamat.  Mungkin juga mereka mempunyai agama atau budaya yang seakan sama dengan orang-orang di negara suaka dan banyak fleksibiliti yang boleh dikongsikan.  Mereka juga mungkin sudah mengetahui melalui keluarga atau rakan-rakan lain yang telah berjaya sampai ke negara ini sebelum mereka dan mereka tahu bahawa mereka akan mendapat pertolongan ketika mereka tiba.  Malah ada sumber yang mengatakan terdapat individu yang bukan datang dari kelompok yang menjadi mangsa dalam kancah pergolakan tetapi sengaja mengambil kesempatan menempatkan diri dalam kapal yang membawa mereka semata-mata untuk mendapat ‘tiket’ perlindungan UNHCR semasa berada di negara buangan.

Di Malaysia, Orang Pelarian ini tidak mendapat apa-apa manfaat daripada program kebajikan di negara ini. Semua dana untuk program penjagaan dan bantuan kepada Orang Pelarian berasal dari negara penderma, sektor swasta, dan individu swasta.

Pada era 1970an hingga 1990an memang terdapat kem-kem penempatan di Malaysia bagi menempatkan Orang Pelarian Indochina namun selepas pemansuhan kem-kem tersebut semua Orang Pelarian tidak lagi ditempatkan di kem-kem penempatan tetapi sebaliknya  mereka  ini tinggal di bandar-bandar di seluruh Malaysia. Sebenarnya lebih daripada separuh Orang Pelarian di dunia tinggal di kawasan bandar.  Dengan harapan, komuniti Orang Pelarian ini dapat menggunakan kemahiran atau mempelajari kemahiran baharu serta mengembangkan potensi diri supaya mereka akan lebih tahan dalam menghadapi suatu kehidupan yang lebih berdaya saing di samping dapat menyumbang kepada masyarakat Malaysia dan mengatasi cabaran masa depan mereka dengan lebih baik. 

Pecahan penempatan mereka di Malaysia adalah sebanyak 56.5% mereka tinggal di zon tengah iaitu Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.  Sebanyak 21.7% mereka bertebaran di zon utara iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.  Sebanyak 11.8% mereka tinggal di zon selatan semenanjung iaitu Melaka, Johor dan Negri sembilan dan 10% mereka tinggal di zon Timur  iaitu Kelantan, Trengganu dan Pahang.

Berakhir Ogos 2020, seramai 178,140 Orang Pelarian yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia.  68% daripada mereka dari kalangan lelaki, 32%  adalah wanita dan terdapat 46,500 orang kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun.

Hakikat

Di Malaysia, Orang Pelarian Myanmar  sahaja dianggarkan mencecah ratusan ribu orang dengan mendakwa pemegang kad UNHCR. Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol Pelarian 1957 tidak memperuntukan apa-apa keistimewaan untuk mereka. Meski pun Malaysia tidak mengiktiraf Orang Pelarian dan menganggap mereka sebagai pendatang tanpa dokumen, namun atas dasar kemanusiaan, kerajaan Malaysia ‘kelihatan membiarkan’ mereka menikmati pelbagai kemudahan pergerakan, pekerjaan, berkahwin dengan warga tempatan dan tidak dihantar ke negara asal secara melulu. Ini adalah kerana Malaysia mengamalkan cara hidup  muslim yang sebenar yang sentiasa inginkan kebaikan.  Islam adalah agama yang menyeru kepada keamanan, mengajak kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan menolak kezaliman.  Justeru sejak awal lagi Malaysia sebagai negara Islam memerangi kezaliman dan mengutuk keras segala bentu kezaliman dan keganasan.  

Mereka bebas menjalankan aktiviti penjanaan ekonomi malah sudah ada yang menjadi majikan kepada buruh-buruh tempatan di pelbagai sektor.  Kita boleh lihat tanpa rasa bersalah, mereka menjalankan perniagaan di pasar-pasar di bandar-bandar besar secara bersendirian yang mana semua perlakuan seumpama ini telah menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan sendiri. Mereka turut menikmati harga subsidi barangan terkawal yang sepatutnya untuk dinikmati oleh warganegara sahaja. 

Penulis agak skeptikal dengan angka 178,140 yang dikeluarkan oleh UNHCR tentang jumlah Orang Pelarian  yang berdaftar di negara ini kerana pada anggapan penulis, pemegang kad UNHCR palsu  juga ramai berkeliaran di persekitaran negara ini.  Mereka ini adalah dari kalangan PATI yang diurus oleh sindiket-sindiket yang mengawal mereka dengan memberi perkerjaan di pelbagai sektor dan tidak mustahil mereka berselindung di sebalik kad UNHCR palsu. 

Sebagai contoh, penempatan Orang Pelarian di Bukit Malut Langkawi sedang menjadi isu terbaharu dalam negara hasil dari ‘kebaikan’ kita orang Malaysia melayani tetamu yang tidak diundang ini pada suatu ketika dahulu.  Mereka dah bergenerasi di situ membina penempatan sesuka hati mereka dan khabarnya mereka juga sudah memiliki Mykad yang sah.  Bila dilihat, penempatan tersebut tak ubah seperti rumah air di Sabah yang menjadi penempatan pendatang Filipina pada asalnya.   Tidak mustahil penempatan seperti itu menjadi transit kepada rakan-rakan baharu yang sentiasa membuat cubaan untuk masuk melalui Langkawi dengan pelbagai helah untuk mengabui mata penguatkuasa.

Penghantaran Pulang

Dalam soal membantu menyelesaikan kemelut Orang Pelarian ini bukan sahaja umat Islam, malah seluruh rakyat Malaysia perlu menyokong pendirian tegas kepimpinan negara menggesa PBB, negara-negara Asean dan negara-negara ketiga supaya turut memainkan peranan supaya mereka dapat pulang dengan selamat atau diberi kediaman baharu di negara lain dan menikmati perlindungan di negara tersebut.  

Pada Februari tahun lalu seramai 1,086 pendatang tanpa izin (PATI) dari Myanmar telah dihantar pulang.  Menurut Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Khairul Dzaimee Daud, semua PATI Myanmar itu dihantar menggunakan 3 buah kapal Tentera Laut Myanmar melalui Pangkalan TLDM Lumut Perak. JIM menegaskan bahawa semua tahanan yang dihantar pulang adalah warganegara Myanmar dan tidak membabitkan etnik Rohingya atau pencari suaka.  

Semua mereka yang dihantar pulang itu bersetuju untuk pulang secara sukarela tanpa paksaan oleh mana-mana pihak.  JIM melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Wisma Putra akan terus berusaha untuk mendapatkan persetujuan negara-negara seperti Vietnam, Indonesia, Bangladesh dan lain-lain supaya membawa pulang rakyat mereka yang kini ditahan di depoh Imigresen dalam jumlah yang besar.  

Langkah kerajaan ini dilihat sangat wajar memandangkan beban yang ditanggung oleh pihak kerajaan bagi menampung kehidupan mereka dalam tahanan Imigresen negara ini telah melibatkan kos yang tinggi yang sepatutnya perbelanjaan tersebut boleh dimanfaatkan untuk kegunaan rakyat.  Sebarang penglibatan kumpulan  Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang ‘menggangu’ usaha kerajaan ini adalah sangat tidak wajar.  

Namun persoalan yang sering diajukan oleh rakyat tempatan ialah berapa lama lagi Orang Pelarian di bawah UNHCR ini harus mendapat suaka di negara ini? Malaysia sudah terlalu sesak untuk terus menampung mereka-mereka ini yang sudah bertapak sekian lama dan mereka seharusnya dihantar pulang bukan sahaja  yang berstatus PATI malah yang bernaung di bawah UNHCR juga sepatutnya diatur jalan pulang.

 Soalan ini terbit adalah mungkin kerana rakyat sudah muak dengan berita-berita yang sering berlegar dalam media massa tentang isu-isu semasa yang berkait dengan keganasan dan masalah sosial yang boleh menggugat keselamatan dan keharmonian dalam negara.  Jika pun semua kejadian buruk tidak berpunca dari Orang Pelarian ini namun dengan jumlah mereka yang sangat ramai ini mungkin mudah dipengaruhi  dan dieksploitasi oleh PADI, PATI malah juga penjenayah dari kalangan rakyat tempatan sendiri yang juga mengambil kesempatan yang sama untuk mengaut keuntungan dari kemakmuran negara ini.

Tinggalkan pesanan anda di sini