sumber: Majalah Perajurit Edisi Ogos 2006Oleh: Hamzah h.d
PENDAHULUAN
Jawatan atau tugas pengawal keselamatan di Malaysia bukanlah satu jawatan baru malah ianya sudah lama bertapak sejak zaman penubuhan Malaysia lagi atau mungkin lebih awal daripada itu. Istilah lain ialah ‘jaga’ nama atau jawatan yang cukup melekat sebati di kalangan masyarakat di Malaysia yang pada asalnya jawatan ini memang wujud dalam jabatan perkhidmatan awam. Dengan penampilan yang tidak menarik dipadankan dengan pakaian seragam kuning ala ‘bush jacket’ dan jawatan yang paling bawah dalam sektor awam yang layak dipohon oleh golongan yang tercicir akademik dan juga pesara tentera. Di antara jabatan kerajaan yang menggunakan perkhidmatan ini ialah hospital, sekolah dan lain-lain.
Walaupun gred gaji atau jawatannya seangkatan dengan Pembantu Am Rendah, Pemandu atau atendan namun kerendahan taraf Pengawal Keselamatan nampak lebih ketara kerana jawatan ini terpaksa memakai uniform dan berada di Pos-pos kawalan dan tidak banyak melakukan gerak kerja sekali gus mempamirkan aksi-aksi yang pasif seperi tertidur semasa bertugas dan tidak pandai berkomunikasi dengan pelanggan. Majoriti orang yang menyarung pakaian seragam yang tidak lengkap ini akan terikut-terikut penampilan yang tidak kemas yang mungkin tiada pengawasan dari pihak atasan sesuatu jabatan. Walaupun sikap sebegini tidak mewakili semua Pengawal Keselamatan pada masa itu tetapi jelas seekor kerbau membawa lumpur, semua terpalit atau kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
TUJUAN
Fenomena sekarang banyak mempamirkan perubahan dari segi pengaplikasian kawalan Keselamatan ini. Jika diperhatikan terdapat 3 saluran perkhidmatan yang sedang dilaksanakan iaitu menerusi Jabatan Perkhidmatan awam, anak-anak syarikat atau konsortium di syarikat-syarikat besar atau badan berkanun dan melalui syarikat-syarikat Perkhidmatan Kawalan Keselamatan. Kawalan keselamatan secara ‘in house’ di jabatan kerajaan dan badan-badan berkanun atau swasta adalah tertumpu kepada menjaga kepentingan masing-masing. Ketrampilan pengawal-pengawal ini memang boleh dibanggakan. Ini adalah kerana pengurusan anggota dan perlantikan anggota-anggota pengawal itu sendiri dari kalangan yang terpilih serta kursus asas dan peningkatan dititikberatkan. Sebagai contoh, pengawal keselamatan di Pusat-pusat Serenti, Bank Simpanan Nasional yang mana telah dinaikkan taraf sebagai Polis Bantuan yang mana membawa identiti Polis yang sebenar dan pengawal di IPTA segak dengan skim pakaian mereka dan diterjemahkan dengan perkhidmatan yang diberi secara tak langsung mengliberalisasikan pandangan kurang senang masyarakat.
Sejak pengkorperatan Malaysia diperkenalkan banyak premis-premis kerajaan tidak lagi menggunakan perkhidmatan kawalan keselamatan atau ‘jaga’ dari JPA seperti sekolah dan sebagainya. Adalah difahamkan bahawa jawatan ‘jaga’ ini sudah dimansuhkan dan anggota-anggotanya diserap sebagai PAR di jabatan-jabatan terlibat. Di samping peningkatan jenayah dan pencerobohan premis-premis oleh penjenayah, permintaan firma-firma atau orang-orang perseorangan untuk menjaga kepentingan mereka cukup tinggi. Di antara perkhidmatan-perkhidmatan yang tinggi permintaannya ialah seperti:
1. Kawalan Statik tanpa senjata (unarmed guard)
2. Kawalan Statik bersenjata (armed guard)
3. Membawa atau memindah wang dari satu tempat ke satu tempat (CIT).
4. Mengiringi kargo-kargo barang dari kilang ke tempat penghantaran (escort).Justeru itu kemunculan syarikat-syarikat Perkhidmatan Kawalan Keselamatan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Mengikut satistik yang dipetik dari sumber laman web PPKKM, sehingga kini syarikat-syarikat Perkhidmatan Kawalan Keselamatan yang berdaftar dengan Persatuan
Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) adalah sebanyak 256 buah syarikat di seluruh negara. Jika ditinjau di pelusuk daerah di Malaysia, perkhidmatan kawalan keselamatan sudah mengambil tempat samada di premis-premis kerajaan dan firma-firma swasta.
Iklan-iklan jawatan kosong saban hari keluar di media-media cetak. Ini menunjukkan bahawa keperluan organisasi-organisasi di Malaysia kepada perkhidmatan kawalan keselamatan amat tinggi dan sekali gus menuntut kualiti dan kuantiti perkhidmatan kawalan yang dilanggan. Persoalannya sudahkah Syarikat-syarikat Pembekal Perkhidmatan Kawalan ini sudah bersedia untuk memberi perkhidmatan yang berkualiti?.
PERBINCANGAN
Persepsi masyarakatKenapa khalayak memandang rendah dan sesetengah orang berani mengatakan kerjaya sebagai pengawal keselamatan ini memualkan. Banyak perbincangan di dalam forum-forum media cetak dan elektronik memperkatakan tentang kredibiliti dan ketrampilan pengawal-pengawal keselamatan yang sedang bertugas. Di antara kelemahan-kelemahan yang khalayak nampak secara terang-terangan ialah:
1. Penampilan imej pengawal-pengawal seperti:
a. Uniform yang tidak menarik dari segi potongan (pattern), jenis dan warna fabrik.
b. Pengawal tidak berpakaian kemas. Baju tak bergosok, memakai seluar, stokin dan kasut yang tidak ada dalam skim pakaian.
2. Kurang kepekaan terhadap pengetahuan asas di tempat tugas yang menjurus kepada persepsi khalayak tentang ‘knowledge’ seseorang pengawal semasa berintraksi dengan pelanggan.
3. Persepsi spontan khalayak bahawa orang yang menjadi pengawal adalah dari golongan kelas bawahan dan orang-orang yang tercicir akademik yang mana tiada pilihan lain untuk bekerja.
4. Mempamirkan sikap pasif terhadap tugas seperti tidur dan tidak berdisiplin. Ini boleh dibuat andaian bahawa pengawal-pengawal yang bersikap sebegini adalah kerana tidak diberi didikan atau penyediaan diri atau dengan kata lain tiada kursus asas atau kursus peningkatan diberi oleh syarikat-syarikat yang terbabit.
Kekosongan jawatan
Dalam sektor ini buat masa sekarang banyak kekosongan sebagai pengawal biasa yang ditawarkan di seluruh negara tapi masalahnya sambutan dari belia-belia atau pesara-pesara ATM yang masih belum mempunyai pekerjaan amat dingin. Jika ditanya kepada pengawal-pengawal yang sedang bertugas pun mereka akan berkata “berkerja hanya untuk sementara dapat kerja lain”.
Ini memberi kesan kepada pihak pengurusan syarikat untuk mengambil tindakan tegas kepada pengawal-pengawal yang tidak berdisiplin atau individu yang tidak memenuhi spesifikasi yang diperlukan. Maka lahirlah fenomena tangkap muat dalam usaha untuk memenuhi keperluan modal insan untuk menjana perkhidmatan. Fenomena ini amat ketara dan sangat memeningkan kepala pengurus-pengurus syarikat-syarikat kawalan keselamatan. Persoalan sekarang kenapa jadi begitu?
Setelah membuat tinjauan terhadap beberapa responden, telah sepakat menyatakan elemen-elemen di bawah menjadi faktor penyumbang kepada persoalan di atas:
1. Gaji harian yang terlalu rendah (kurang dari RM 1.50 sejam) pada sesetengah tempat.
2. Jumlah masa bekerja yang tidak fleksibel (8+4 jam sehari).
3. Tiada tarikan atau teladan dari segi pakaian atau penampilan yang boleh dibanggakan seperti mana yang dibincang di atas.
4. Bagi pesara tentera, turut merasakan imbuhan yang diberi tidak setimpal dengan pengalaman dan keistimewaan yang mereka miliki jika dibandingkan dengan anggota awam yang tiada pengalaman langsung. Walaupun pada hakikatnya telah ramai pesara tentera telah mencebur diri dalam bidang ini tanpa memperdulikan alasan-alasan di atas kerana terpaksa bekerja demi kelangsungan hidup.
Kumpulan Sasaran
Untuk mengisi kekosongan perjawatan, penulis suka mensasarkan golongan pesara tentera yang mana amat sinonim dengan dengan jawatan di semua peringkat dalam perkhidmatan kawalan keselamatan. Kebanyakan pesara tentera yang menamatkan perkhidmatan 22 tahun mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan boleh menghadapi situasi tegang dan mampu mengambil tindakan dan membuat keputusan rasional dalam menangani sesuatu masalah di tempat kerja. Ini adalah kerana mereka telah lulus berbagai-bagai kursus dan pendedahan situasi sebenar semasa perkhidmatan terdahulu. Jika menjadi pengawal biasa pun, mereka-mereka ini tidak akan memberi banyak masalah kepada syarikat dalam konteks disiplin dan ketrampilan.
Kumpulan sasar kedua ialah para belia yang tercicir akademik dan menganggur juga mempunyai prospek yang tinggi sebagai modal insan yang merupakan aset asas sesebuah perniagaan berasaskan perkhidmatan kawalan keselamatan
Kumpulan sasar ketiga ialah bekas-bekas pelatih Pusat Serenti yang mana sudah dikenal pasti atau mendapat sokongan dari Pengurusan Pusat Serenti tentang rekod baik pelatih-pelatih terbabit. Mereka-mereka ini boleh dikatakan sudah tidak diterima oleh masyarakat apatah lagi untuk diambil bekerja. Kumpulan ini jika tidak diberi peluang (setelah melalui tapisan dan jaminan) bekerja sudah pasti mereka akan kembali kepada tabiat lalu. Secara langsung segala usaha kerajaan untuk mensifarkan atau meminimumkan penagih-penagih akan menemui jalan buntu. Jika dibuat seleksi yang terperinci, ramai di antara mereka-mereka ini yang mempunyai potensi yang baik dalam membantu menjana kejayaan sesebuah organisasi.
Cadangan
Saya pun tak begitu arif siapa yang lebih khusus untuk menangani persoalan ini. KDN sebagai kementerian Induk, PPKKM sebagai persatuan induk atau badan-badan yang boleh mempengaruhi seperti Jabatan Hal Ehwal Perajurit (JHEV), Persatuan Bekas Polis yang mana sebagai badan yang menjaga kebajikan ahli-ahlinya yang banyak terlibat. Kalau boleh, badan-badan ini cuba mengkoordinasikan perbincangan serius untuk membuat penambahbaikan.
Setelah mengambil kira semua fakto-faktor di atas telah membuat rumusan atau kesimpulan bahawa sektor Kawalan keselamatan boleh dan sangat perlu dimertabatkan dengan segera dan yang terpenting ianya akan menjadi satu jalan keluar kepada masalah kekurangan pekerjaan di Malaysia jika perkara-perkara yang membuatkan sektor ini dipandang rendah diperbaiki dan di atasi dengan sebaik mungkin.
Cadangan saya ialah dalam konteks berikut:
1. Elemen-elemen yang mempengaruhi gaji.- Kerajaan sepatutnya mengeluarkan satu arahan menghadkan tender minima untuk satu-satu perkhidmatan yang akan dibuat oleh syarikat di semua premis-premis kerajaan di seluruh Malaysia. Ini adalah disebabkan oleh sistem tender terbuka untuk sesuatu perkhidmatan menjurus kepada pertandingan harga yang paling murah. Sehinggakan syarikat-syarikat sanggup membida dengan harga yang paling rendah dan akhirnya mempengaruhi gaji harian pengawal.Untuk syarikat-syarikat kecil swasta atau orang perseorangan juga harus ada makanisma dan tanda aras harga upah yang patut dikenakan untuk sesuatu perkhidmatan yang diberi dalam usaha untuk menentukan pengawal-pengawal yang bertugas mendapat imbuhan yang sepadan.
2. Peraturan/syarat serta kontrak perkhidmatan. Selaraskan semua Peraturan/syarat serta kontrak perkhidmatan seseorang pengawal/pekerja di semua syarikat kawalan keselamatan supaya penghijrahan pekerja dapat dibendung. Jika tidak pengawal akan dipengaruhi dengan tawaran perkhidmatan atau gaji yang lebih baik dan menyukarkan pengoperasian sesebuah syarikat kerana pengawal adalah modal insan yang terpenting.
3. Latihan. Semua pengawal dimestikan menghadiri kursus asas sebelum memulakan tugas. Pengenalan tertentu dalam bentuk lencana boleh membezakan samada seseorang itu telah menghadiri kursus atau tidak. Kursus asas ini mestilah dikendalikan oleh PPKKM secara professional ala kepolisan atau ketenteraan kerana perkhidmatannya menjurus kepada keselamatan dan harta benda awam juga kecekapan mengendalikan senjata api. Disiplin dan kecekapan modal insan ini mesti menjadi perkiraan utama jika kita mahu melihat perkhidmatan kawalan keselamatan ini dihormati oleh pelanggan dan masyarakat di Malaysia. Jika perlu, buat kajian semula terhadap modiul latihan sedia ada supaya produktiviti perkhidmatan seiring dengan keperluan masa kini. Pengagihan pengendali kursus kepada syarikat-syarikat besar atau Perhebat kepada bakal-bakal pesara ATM boleh dipraktikkan tetapi mestilah mempunyai ‘syllabus’ yang selaras.Garis panduan untuk penganjur kursus telah pun dikeluarkan oleh PPKKM dan boleh diperolehi melalui laman web PPKKM.
Tapisan keselamatan tidak boleh dikompromi semasa pengambilan anggota-anggota baru. Kursus induksi perlu di beri kepada pengawal-pengawal yang mencapai satu jangkamasa yang difikirkan sesuai untuk pembanguan modal insan yang mana akan membawa impak baik kepada syarikat.
4. Pangkat Selaraskan tanda pangkat yang dipamirkan. Susun atur lencana-lencana atau lambang kemegahan atau anugerah dari perkhidmatan yang diiktiraf seperti ATM atau polis dan lain-lain.
5. Tangga Gaji Selaraskan sistem tangga gaji. Walau dari syarikat mana sekali pun skim gaji mestilah mengguna pakai pekeliling yang sama dalam menentukan tangga gaji dan sistem kenaikan gaji. Testimonial tempat tugas lama boleh diguna pakai untuk membezakan pekerja baru dengan pekerja yang berpengalaman.
Berikut adalah kadar harga baru yang dipamirkan melalui Laman Web oleh Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia ( PPKKM ) bagi Perkhidmatan Kawalan Bersenjata dan Tanpa Senjata berkuatkuasa mulai 1 April 2005.
KawasanPerkhidmatan Kawalan Bersenjata ( minima )Perkhidmatan Tanpa Senjata ( minima )
a. Wilayah Persekutuan & Lembah Kelang, Johor Bahru & Pasir Gudang Butterworth & Pulau PinangRM 15.00 ( seorang sejam )RM 6.00 ( seorang sejam )
b. Lain - lain KawasanRM 12.00 ( seorang sejam )RM 4.00 ( seorang sejam )
c. Sabah & SarawakRM 12.00( seorang sejam )RM 4.00 ( seorang sejam )
6. Skim pakaian Selaraskan supaya semua syarikat memakai pakaian dan eksesori yang sama dan boleh dibezakan oleh lencana syarikat masing-masing. Pengenalan khusus sebagai pengiktirafan kepada bekas Tentera atau Polis dan lain-lain perkhidmatan beruniform boleh disematkan pada uniform. 7. Jangka masa bertugas. Masa bertugas adalah 8 jam iaitu dengan 3 shift selama 24 jam. Kerja lebih masa boleh dibuat untuk menggantikan kawan-kawan yang bercuti atau kecemasan. Dengan kaedah ini masalah anggota ‘standby’ yang terpaksa menggantikan pos-pos yang tiada pengawal akan dapat diatasi. Kaedah ini lebih baik dan praktikal daripada menugaskan anggota pengganti yang jahil dengan keadaan sesuatu tempat dan keperluan tugas dan tanggong jawabnya. Apa yang sering berlaku ialah pengawal pengganti selalunya tidak memberi komitmen sepenuhnya dan dikuatiri juga akan berlaku pecah amanah dan sebagainya.Juga harus diingatkan bahawa di antara keburukan bekerja berterusan selama 12 jam ialah:
a. Badan menjadi terlalu letih yang akan mengakibatkan hilangtumpuan kepada tugas. Tambahan lagi kepada pengawal-pengawal yang sudah berumur melebihi 45 tahun.
b. Sebagai manusia, mereka-mereka ini harus mengimbangi antara duniawi dan ukhrawi. Boleh dikatakan tiada ruang langsung untuk mendalami ilmu-ilmu agama dengan menghadiri kuliah-kuliah di mesjid.
Ulasan
Jika meneliti laporan aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan dari Buletin/majalah Senada Pekesma yang merupakan media rasmi PPKKM, boleh diambil kesimpulan bahawa pembangunan modal insan amat dititikberatkan dalam konteks PPKKM tapi adakah ianya menyeluruh kepada kumpulan sasar di akar umbi (ahli-ahli). Buletin ini juga harus disebarkan kepada ahli-ahli di akar umbi supaya maklumat dan aktiviti yang dijalankan dapat dikongsi bersama. Portal PPKKM yang telah diwujudkan boleh dipertingkatkan dengan menyediakan ruangan forum untuk warga yang berkait dengan pengawalan keselamatan atau masyarakat berbincang secara sihat bagaimana untuk mempertingkatkan kualiti dan produktiviti perkhidmatan.
Jika sistem masa kerja di selaras dengan betul, mungkin aktiviti-aktiviti yang seumpama dapat dimanafaatkan juga kepada pengawal-pengawal agar satu nanti di kalangan pengawal-pengawal keselamatan juga lahir modal insan yang berminda kelas pertama. Yang paling penting ialah bila satu hari nanti masyarakat sudah memandang kerjaya ini boleh diadaptasikan sebagai kerjaya tetap maka tapisan, penguatkuasaan ke atas pengawal-pengawal yang tidak berdisiplin boleh diambil dengan tegas oleh pihak pengurusan syarikat tanpa merasa ragu-ragu dan bimbang tentang kehilangan pekerja-pekerja kerana ramai lagi individu yang berkualiti sedang menunggu untuk mengambil tempat.
PENUTUP
Sebagai ahli masyarakat yang berada dalam golongan sasar artikel ini saya merasa teruja untuk memberi pandangan ekoran rungutan dan cadangan yang tidak sampai kepengetahuan atasan. Saya juga merasa bertanggungjawab untuk sama-sama berkongsi idea dengan hasrat membantu usaha kerajaan dalam menjana Negara untuk mencapai status Negara maju menjelang 2020.Justeru itu saya memohon maaf jika dalam penulisan ini saya terkasar bahasa dan jika ada kandungan yang tidak menepati fakta yang merupakan kelemahan peribadi saya.