About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, August 30, 2021

UKCSG21 DI LAUT CHINA SELATAN




Oleh/Foto: Paklang Hamzah

Passage Exercise (PASSEX) antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama United Kindom Carrier Strike Group 2021 (UKCSG 21) telah diadakan di Perairan Selat Melaka pada 25 Julai lalu.

Pegawai Perhubungan Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat, Lt Kdr Haniff Husin berkata, eksesais ini bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama pertahanan dan keselamatan maritim serta meningkatkan interoperabiliti serta persefahaman di lapangan dalam kalangan unsur-unsur yang terlibat.

Eksesais ini melibatkan 3 buah aset TLDM iaitu KD LEKIU, KD JEBAT dan Helikopter Super Lynx. Ketumbukan UKCSG 21 pada kali ini pula terdiri dari 4 buah kapal tentera laut dan beberapa buah pesawat daripada tiga buah negara iaitu United Kingdom, Amerika Syarikat (AS) dan Belanda. Kapal perang terlibat adalah HMS QUEEN ELIZABETH, HMS KENT, USS THE SULLIVANS dan HNLMS EVERTSEN. 

HMS QUEEN ELIZABETH juga dijangkakan akan mengambil bahagian di dalam Latihan laut dan udara iaitu Ex- Bersama Gold di bawah Five Power Defence Arrangement (FPDA) semasa pelayaran pulang pada bulan Oktober nanti. Negara-negara FPDA adalah terdiri dari Malaysia,  Singapura, United Kindom, Australia dan New Zealand.

Apakah Misi Sebenar?

Menurut Reuters, pelayaran sulung kapal pengangkut pesawat HMS QUEEN ELIZABETH di rantau ini dengan mengatur gerak lapan buah pesawat tempur F-35B Inggeris dan sepuluh jet tempur F-35AS serta 250 orang askar marin AS di samping 1,700 kru kapal induk tersebut serta membawa kapal perang AS dan kapal perang Belanda bersamanya.  Walau apa pun misi sebenar keberadaan HMS QUEEN ELIZABETH dan kumpulan surface attack grup (SAG) ini di laluan antarabangsa Laut China Selatan telah menzahirkan kebimbangan dan komentar banyak pihak.

Meski pun pelayaran ini disebut sebagai Operasi Kebebasan Navigasi, namun pemerhati-pemerhati  pertahanan berpendapat, misi pelayaran Ketumbukan UKCSG 21 ke rantau ini pada kali ini adalah bagi mempamerkan kuasa barat dalam usaha untuk  menunjukkan kekuatan militerinya kepada China.  Ini adalah ekoran penglibatan China dalam menguasai sebahagian daripada wilayah-wilayah tuntutan bertindih di Laut China Selatan sehingga meresahkan negara-negara serantau yang terlibat. Akibat daripada tindakan ini, negara-negara Asean mula menguatkan angkatan laut masing-masing di samping memperkukuhkan hubungan dua hala dengan AS.




Kata mereka lagi, meski pun sebelum ini Amerika Syarikat ‘dilihat’ membuat pelbagai cara untuk menunjukkan kuasa militeri kepada China namun, tidak menampakan kegusaran kepada China.  Justeru, kehadiran Ketumbukan UKCSG 21 pula dilihat sebagai penglibatan elemen North Atlantic Treaty Organization (NATO) bagi memberi sedikit tekanan kepada China.  

India turut mengumumkan telah menghantar empat buah kapal perangnya ke LCS dalam misi selama dua bulan dalam rangka latihan bersama AS, Jepun dan Australia di samping Jeman juga dilaporkan telah menghantar kapal perangnya bagi menunjukkan kehadiran di perairan ini.

Menulis di media negara China, Wu Shicun Penyelidik Institut National China untuk kajian Laut China Selatan menggambarkan kemunculan Ketumbukan UKCSG 21 ini adalah sebagai usaha untuk ‘menghidupkan kembali zaman kegemilangan empayar Inggeris’.  

Menurut Wu lagi, pelayaran terbaharu kapal induk Britain ini bukan sekadar yang disebut London sebagai penyeberangan perairan Laut China Selatan sesuai dengan undang-undang antarabangsa, tetapi merupakan muslihat yang dirancang dengan teliti untuk pelbagai tujuan.  Bukan rahsia lagi bahawa Inggeris telah bertindak dalam hubungannya dengan AS dalam isu Laut China Selatan mengikut arahannya dan menari selaras dengannya.

Dalam perkembangan lain, siaran akhbar armada   ke-7 AS mengatakan ketika Ketumbukan UKCSG 21 bergerak melalui LCS, buat pertama kalinya angkatan Laut AS menyatukan dua kelas kapal perangnya iaitu kapal tempur kecil USS TULSA dan kapal pemusnah peluru berpandu USS KID melintasi Selat Taiwan dengan membentuk kumpulan aksi permukaan (SAG).  #


Sunday, August 1, 2021

TLDM PAMER KEUPAYAAN DI LAUT CHINA SELATAN

 

Oleh: Paklang Hamzah

Foto: PRTLDM


Perlaksanaan eksesais Taming Sari Siri 20/21 pada 12 Ogos lalu adalah merupakan kemuncak kepada penglibatan armada  Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam melaksanakan peningkatan keupayaan, kesiagaan dan kompetensi warga armada di samping menguji keupayaan aset dan kuasa tempur di laut di dalam mengesan, menjejak serta menguji kefungsian dan ketepatan sistem pelancar misil bagi kapal dan kapal selam TLDM dengan mewujudkan suasana peperangan maritim yang sebenar dalam aspek perancangan dan pelaksanaan.


Sebelum itu TLDM telah mengaturgerakkan aset-aset dalam Operational Sea Training Exercise Siri 27/21 (OSTEX 27/21) di perairan Laut China Selatan (LCS) dengan menumpukan kepada dimensi latihan peperangan, evolusi ilmu kelautan, kawalan kerosakan dan melawan kebakaran, navigasi, komunikasi bahkan lebih menitikberatkan integrasi dan interoperabiliti di antara kapal dan pesawat udara dalam pelaksanaan operasi bersama.


OSTEX 27/21 telah berlangsung selama 6 hari dengan melibatkan seramai 1,080 orang dalam kalangan warga armada yang mana kemuncaknya adalah penembakan misil oleh KD LEKIR, KD LEKIU dan kapal selam KD TUN RAZAK dalam EX TAMING SARI 20/21.  Aset-aset lain yang turut diatur gerak dalam latihan ini ialah KD JEBAT,  KD MAHAWANGSA, KD GAGAH SAMUDERA, KD LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL, KD GANYANG, KD KINABALU, KD SUNDANG dan Fast Combat Boat (FCB).


Penembakan taktikal (Coordinated Missile Firing) telah menyaksikan peluru berpandu EXOCET MM40 dari platform KD LEKIR dan KD LEKIU tepat mengenai sasaran yang berada di jarak 30 batu nautika atau 55 kilometer. Manakala peluru berpandu EXOCET SM39  dari platform KD TUN RAZAK telah ditembak dari jarak 20 batu nautika atau 37 kilometer dari sasaran juga tepat mengenai sasaran.


 Ketumbukan EKS TAMING SARI 20/21 terdiri daripada 9 buah kapal, 5 buah Fast Combat Boat (FCB), sebuah kapal selam, 2 buah Super Lynx TLDM.  Turut dibantu oleh  pesawat TUDM iaitu B200T, EC 725, F/A 18D Hornet  dan 2 buah pesawat APMM iaitu AS365 N3 DAUPHIN  dan AW139. 


Timbalan Perdana Menteri Merangkap Menteri Pertahanan Malaysia dalam sidang media di Markas Wilayah Laut 1 berkata, kejayaan penembakan kesemua peluru berpandu ini mengenai sasaran jelas membuktikan sikap profesionalisme, keupayaan dan ketersediaan warga TLDM dalam mengendalikan aset pertahanan negara. Apabila nilai-nilai ini tersemat pada setiap warga TLDM, hasil yang akan dikecapi pastinya adalah kejayaan, walaupun kita sedia maklum sebilangan aset-aset TLDM ini telah menjangkau usia melebihi 40 tahun. 


Tambah beliau lagi, dalam usaha meningkatkan interoperabiliti dan tahap kompetensi aset-aset TLDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), keseragaman sistem pengurusan logistik bersepadu yang berteknologi terkini perlu diwujudkan. Ini amat penting dalam memastikan keperluan untuk operasi, latihan dan keperluan kecemasan dapat dipenuhi serta capaian di hujung jari serta saling melengkapi di antara ATM. Beliau juga mengucapkan penghargaan yang tak terhingga kepada TLDM dan wira-wira negara di atas pengorbanan mereka berjauhan dengan ahli keluarga, bertugas sepanjang masa dan berminggu-minggu di laut demi memelihara kedaulatan dan keamanan tanah air tercinta. #


Tinggalkan pesanan anda di sini