About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Sunday, August 1, 2021

TLDM PAMER KEUPAYAAN DI LAUT CHINA SELATAN

 

Oleh: Paklang Hamzah

Foto: PRTLDM


Perlaksanaan eksesais Taming Sari Siri 20/21 pada 12 Ogos lalu adalah merupakan kemuncak kepada penglibatan armada  Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam melaksanakan peningkatan keupayaan, kesiagaan dan kompetensi warga armada di samping menguji keupayaan aset dan kuasa tempur di laut di dalam mengesan, menjejak serta menguji kefungsian dan ketepatan sistem pelancar misil bagi kapal dan kapal selam TLDM dengan mewujudkan suasana peperangan maritim yang sebenar dalam aspek perancangan dan pelaksanaan.


Sebelum itu TLDM telah mengaturgerakkan aset-aset dalam Operational Sea Training Exercise Siri 27/21 (OSTEX 27/21) di perairan Laut China Selatan (LCS) dengan menumpukan kepada dimensi latihan peperangan, evolusi ilmu kelautan, kawalan kerosakan dan melawan kebakaran, navigasi, komunikasi bahkan lebih menitikberatkan integrasi dan interoperabiliti di antara kapal dan pesawat udara dalam pelaksanaan operasi bersama.


OSTEX 27/21 telah berlangsung selama 6 hari dengan melibatkan seramai 1,080 orang dalam kalangan warga armada yang mana kemuncaknya adalah penembakan misil oleh KD LEKIR, KD LEKIU dan kapal selam KD TUN RAZAK dalam EX TAMING SARI 20/21.  Aset-aset lain yang turut diatur gerak dalam latihan ini ialah KD JEBAT,  KD MAHAWANGSA, KD GAGAH SAMUDERA, KD LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL, KD GANYANG, KD KINABALU, KD SUNDANG dan Fast Combat Boat (FCB).


Penembakan taktikal (Coordinated Missile Firing) telah menyaksikan peluru berpandu EXOCET MM40 dari platform KD LEKIR dan KD LEKIU tepat mengenai sasaran yang berada di jarak 30 batu nautika atau 55 kilometer. Manakala peluru berpandu EXOCET SM39  dari platform KD TUN RAZAK telah ditembak dari jarak 20 batu nautika atau 37 kilometer dari sasaran juga tepat mengenai sasaran.


 Ketumbukan EKS TAMING SARI 20/21 terdiri daripada 9 buah kapal, 5 buah Fast Combat Boat (FCB), sebuah kapal selam, 2 buah Super Lynx TLDM.  Turut dibantu oleh  pesawat TUDM iaitu B200T, EC 725, F/A 18D Hornet  dan 2 buah pesawat APMM iaitu AS365 N3 DAUPHIN  dan AW139. 


Timbalan Perdana Menteri Merangkap Menteri Pertahanan Malaysia dalam sidang media di Markas Wilayah Laut 1 berkata, kejayaan penembakan kesemua peluru berpandu ini mengenai sasaran jelas membuktikan sikap profesionalisme, keupayaan dan ketersediaan warga TLDM dalam mengendalikan aset pertahanan negara. Apabila nilai-nilai ini tersemat pada setiap warga TLDM, hasil yang akan dikecapi pastinya adalah kejayaan, walaupun kita sedia maklum sebilangan aset-aset TLDM ini telah menjangkau usia melebihi 40 tahun. 


Tambah beliau lagi, dalam usaha meningkatkan interoperabiliti dan tahap kompetensi aset-aset TLDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), keseragaman sistem pengurusan logistik bersepadu yang berteknologi terkini perlu diwujudkan. Ini amat penting dalam memastikan keperluan untuk operasi, latihan dan keperluan kecemasan dapat dipenuhi serta capaian di hujung jari serta saling melengkapi di antara ATM. Beliau juga mengucapkan penghargaan yang tak terhingga kepada TLDM dan wira-wira negara di atas pengorbanan mereka berjauhan dengan ahli keluarga, bertugas sepanjang masa dan berminggu-minggu di laut demi memelihara kedaulatan dan keamanan tanah air tercinta. #


No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini