Teks/foto: PR 2 Div
GERIK, PERAK, 12 Ogos 2026 – Eksesais LAND THAMAL Siri 29/2026 yang melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Royal Thai Army (RTA) melabuhkan tirainya hari ini selepas berlangsung di Gerik, Perak dengan pelaksanaan latihan yang merangkumi aspek taktikal, kerjasama ketenteraan dan hubungan bersama komuniti setempat.
LAND THAMAL merupakan eksesais bilateral tahunan antara TDM dan RTA yang dilaksanakan secara pergiliran antara kedua-dua negara di bawah kerangka kerjasama General Border Committee (GBC).
Bagi Siri 29/2026, Malaysia bertindak sebagai tuan rumah dengan Batalion Ke-4 Rejimen Sempadan (4 RS) sebagai pasukan penganjur dan pelaku utama.
Dalam majlis tersebut, 5th Infantry Brigade Commander menegaskan bahawa LAND THAMAL bukan sahaja berperanan memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan Thailand, malah meningkatkan keupayaan kedua-dua negara menghadapi pelbagai cabaran termasuk bencana alam, ancaman keselamatan, konflik serta isu keselamatan serantau menerusi kerjasama erat
dan tahap persefahaman yang tinggi.
Sepanjang pelaksanaannya, eksesais ini memberi penekanan kepada usaha melatih dan meningkatkan pengetahuan serta perkongsian keupayaan taktikal melalui pertukaran idea dan pengalaman, memperkukuh kerjasama serta kefahaman terhadap prosedur taktikal dan mengeratkan hubungan kerja melalui semangat kerjasama serta komunikasi antara kedua-dua angkatan.
Fasa Latihan
LAND THAMAL Siri 29/2026 dilaksanakan menerusi tiga fasa utama iaitu Cross Training Exercise (CTX), Field Training Exercise (FTX) dan Combined Military Civil Action (CMCA).
Pelaksanaan latihan medan memberi pendedahan kepada anggota kedua-dua negara dalam pelbagai aspek taktikal termasuk prosedur tempur, merentas halangan, berpangkalan, rondaan, serang hendap serta serangan ke atas kem musuh.
Pada masa yang sama, pelaksanaan CMCA menerusi Program Jiwa Murni menyerlahkan dimensi hubungan tentera dengan masyarakat apabila anggota kedua-dua negara berganding bahu melaksanakan aktiviti kemasyarakatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Idris Shah II, Gerik.
![]() |
| Program CMCA melaksanakan aktiviti kemasyarakatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Idris Shah 11, Gerik |
Program berkenaan merangkumi aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekolah, mengecat, menebang pokok serta menceriakan kawasan sekolah.
Eksesais kali ini menghimpunkan 252 pegawai dan anggota yang terdiri daripada 197 warga TDM dan 55 warga RTA, sekali gus menyediakan ruang kepada kedua-dua angkatan untuk meningkatkan tahap interoperabiliti, berkongsi pengetahuan serta pengalaman dan memperkukuh kefahaman terhadap prosedur taktikal bersama.
Kemuncak eksesais menyaksikan pelaksanaan serangan akhir kem musuh (Final Attack Enemy Camp) di kawasan latihan Kampung Ayer Ganda, Gerik yang turut disaksikan oleh Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Zamsari bin Abu Hasan bersama Commander 5th Infantry Division, Royal Thai Army, Mejar Jeneral Aphinan Jamjang.
| Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Zamsari bin Abu Hasan bersama Commander 5th Infantry Division, RTA, Mejar Jeneral Aphinan Jamjang |
Serangan akhir tersebut menjadi medan kepada pasukan gabungan untuk mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran taktikal dan prosedur yang telah dipelajari serta diselaraskan sepanjang eksesais.
Majlis Penutup
Selesai pelaksanaan serangan akhir, Majlis Penutup Eksesais LAND THAMAL Siri 29/2026 telah dilaksanakan dengan acara merangkumi nyanyian lagu kebangsaan Malaysia dan Thailand, upacara menanggalkan Toha, ucapan penutup oleh Panglima 2 Divisyen, pertukaran cenderamata serta sesi bergambar.
Kejayaan LAND THAMAL Siri 29/2026 mencerminkan tahap hubungan profesional dan persefahaman yang kukuh antara TDM dan RTA. Eksesais ini bukan sahaja meningkatkan interoperabiliti dan kesiagaan operasi, malah menyediakan ruang kepada anggota kedua-dua negara untuk membina kepercayaan, berkongsi pengalaman serta memahami kaedah operasi masing-masing.
Penganjuran LAND THAMAL akan terus menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan pertahanan Malaysia–Thailand, sekali gus menyumbang kepada usaha bersama dalam memelihara keselamatan sempadan serta keamanan dan kestabilan serantau.


