About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.
Showing posts with label Eksesais. Show all posts
Showing posts with label Eksesais. Show all posts

Thursday, February 26, 2026

LEAD ‘26: KD LEKIR Perkukuh Kerjasama Maritim Antarabangsa


Oleh: Paklang Hamzah
Foto: MPAB

LUMUT, 2026 – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) secara rasmi memulakan misi Lekir Australia Deployment 2026 (LEAD ‘26) melalui Majlis Pelepasan Tali KD LEKIR hari ini. Misi pelayaran jarak jauh ini bakal menyaksikan penglibatan aset negara dalam siri eksesais multilateral dan aktiviti diplomasi pertahanan di peringkat antarabangsa.

​Misi 2 Bulan, 150 Wira Samudera

​Penugasan yang memakan masa lebih dua bulan ini melibatkan seramai 150 pegawai dan anggota termasuk pasukan sokongan. Diketuai oleh Pegawai Memerintah KD LEKIR, Komander Megat Mohamad Sofwan Firdaus bin Megat Mohamad Yunus TLDM, seluruh warga kapal telah menjalani latihan intensif dan persiapan teknikal yang rapi bagi memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada tahap optimum.

​Sorotan Utama Misi LEAD ‘26:

​KD LEKIR dijadualkan menyertai beberapa siri acara besar sepanjang pelayaran:

  1. International Fleet Review (IFR) 125 (Sydney: 21 Mac 2026)
    • ​Menyambut ulang tahun ke-125 Tentera Laut Diraja Australia.
    • ​Melibatkan 35 kapal dari 20 buah negara.
  2. Eksesais KAKADU 26 (22 – 30 Mac 2026)
    • ​Latihan dwitahunan yang memfokuskan kepada interoperabiliti (kebolehoperasian) dan kerjasama keselamatan maritim serantau.
  3. Circumnavigation of Australia
    • ​KD LEKIR akan mengelilingi benua Australia, merentasi kawasan mencabar seperti Great Barrier Reef dan Great Australian Bight.
    • ​Ini merupakan kali pertama TLDM melakukan pelayaran seumpama ini sejak tahun 1991 (kali terakhir dilakukan oleh KD MAHAWANGSA dan KD LEKIR).
  4. Eksesais MASTEX 26 (Perth: 14 – 20 April 2026)
    • ​Latihan dua hala antara Malaysia dan Australia (Malaysia–Australia Exercise) bagi memperkukuh koordinasi taktikal dan hubungan strategik.

​Memori MH370 dan Diplomasi Serantau

​Sebelum menamatkan misi, KD LEKIR dijadualkan mengadakan lawatan pelabuhan ke Jakarta, Indonesia pada hujung April.

​Menariknya, ketika merentasi perairan Barat Laut Australia, satu acara peringatan khas akan dilaksanakan bagi memperingati tragedi MH370. Walaupun KD LEKIR tidak terlibat secara langsung dalam misi mencari pada 2014, acara ini adalah simbolik empati dan solidariti TLDM terhadap mangsa serta menghargai pengorbanan aset-aset TLDM yang terlibat dalam misi pencarian suatu ketika dahulu.

​Kesimpulan dan Objektif

​Penglibatan dalam LEAD ‘26 adalah selari dengan Strategi Perkongsian Berwibawa oleh Kementerian Pertahanan. Selain meningkatkan keupayaan teknikal dan taktikal warga TLDM, misi ini membuktikan:

  • ​Komitmen Malaysia sebagai rakan maritim yang aktif di peringkat global.
  • ​Ketahanan fizikal dan mental anggota dalam pelayaran jarak jauh.
  • ​Kredibiliti dan profesionalisme TLDM di mata komuniti maritim antarabangsa.
Semua bahagian siap siaga untuk menyelesaikan misi


Doa dibaca mengiringi sebuah pemergian

Lambaian perpisahan, semuga pejuang selamat pergi dan selamat balik

Demi tugas, anak isteri ikut sama berkorban


Tuesday, January 21, 2025

PATKOR MALINDO) 167/25

Oleh: Paklang Hamzah/Foto: TLDM

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentara Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) terus memperkukuh kerjasama pertahanan maritim melalui Operasi Patroli Terkordinasi Malaysia-Indonesia (Op PATKOR MALINDO) 167/25 dari 19 Februari hingga 1 Mac 2025. 

Operasi berkala ini bertujuan memastikan keselamatan perairan bersama serta meningkatkan kesalingoperasian dalam menghadapi ancaman maritim.

Bagi edisi kali ini, TLDM mengatur gerak KD LAKSAMANA MUHAMMAD AMIN dan KD JERAI, manakala TNI-AL mengoperasikan KRI LEPU dan KRI KAROTANG. Keempat-empat aset ini akan menjalankan latihan meliputi rondaan maritim, perkongsian risikan serta koordinasi menangani ancaman seperti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah rentas sempadan.

Pelaksanaan Op PATKOR MALINDO 167/25 bukan sahaja mengukuhkan hubungan pertahanan TLDM dan TNI AL, tetapi juga membuktikan komitmen kedua-dua negara dalam memastikan kestabilan dan keselamatan maritim di perairan strategik yang dikongsi bersama. 

Sepanjang tahun 2024, Op PATKOR MALINDO telah mencapai kejayaan 

dalam pengesanan dan pemeriksaan aktiviti di perairan Selat Melaka. TLDM merekodkan 1,747 pengesanan, manakala TNI-AL merekodkan 490 pengesanan.

Dari segi pemeriksaan, TLDM menjalankan 131 pemeriksaan ke atas bot nelayan tempatan dan asing, sementara TNI-AL melaksanakan 153 pemeriksaan. Walaupun tiada tangkapan direkodkan, pemantauan dan pemeriksaan ketat telah memberikan 

impak positif dalam memastikan keselamatan perairan ini. Sumber: TLDM








Wednesday, May 29, 2024

RIMPAC 2024 - KD LEKIU MEMBAWA MANDAT NEGARA DI PENTAS GLOBAL



Oleh: Paklang Hamzah/Foto : MPAB

Lumut 29 Mei- TLDM melalui KD LEKIU sekali lagi membawa mandat negara bagi menyertai Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2024 di Joint Base Pearl Harbor, Hawaii.

 

RIMPAC 2024 bakal menyaksikan penyertaan lebih dari 30 negara dengan penglibatan sebanyak 40 buah kapal, empat kapal selam dan 170 pesawat. RIMPAC 2024 merupakan penglibatan ketiga TLDM dan kali kedua bagi KD LEKIU, yang mana menyertainya buat kali pertama pada tahun 2018 dan diteruskan dengan penyertaan KD LEKIR pada tahun 2022. 


Objektif eksesais kali ini adalah untuk melatih keupayaan gabungan pasukan RIMPAC dalam persekitaran maritim dinamik bagi menunjukkan kesalingoperasian berterusan merentasi spektrum penuh operasi ketenteraan. 


KD LEKIU yang diketuai oleh Pegawai Memerintah, Kepten Mahamad Nazir bin Darus TLDM akan menempuh tempoh pelayaran hampir 100 hari, merangkumi jarak pelayaran sejauh 12,730 batu nautika. Kapal juga akan melaksanakan pelbagai latihan yang dirancang, termasuk penembakan misil ke sasaran kapal sebenar. 


Penyertaan ini adalah satu kebanggaan bagi negara dan menjadi penanda aras keupayaan TLDM dalam memastikan semua asetnya berfungsi dengan cemerlang serta menjadi platform kepada anggota TLDM untuk menimba ilmu dan pengalaman baharu melalui latihan bersama di samping  memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik dan pertahanan Malaysia dengan negara-negara lain.


Majlis Pelepasan KD LEKIU telah disempurnakan oleh Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Dato' Ts. Shamsuddin bin Hj Ludin di Tambatan Pangkalan Lumut, hari ini. Pelepasan bersejarah ini turut dihadiri oleh Pegawai Kanan, Pegawai Memerintah di Armada Barat TLDM dan ahli keluarga KD LEKIU. MP


Foto sekitar pelepasan.







Sunday, September 25, 2022

EKS KAKADU 2022 - PEPERANGAN MARITIM BERTARAF TINGGI

 

Eksesais KAKADU 2022 (KA22) telah melabuhkan tirainya setelah ‘bertarung’ selama 15 yang bermula pada 12 September hingga 24 September 2022 di Darwin, Australia dan berakhir dengan jayanya.


Vicki Susan O'Halloran, Administrator of the Northern Territory mengucapkan tahniah kepada setiap negara yang terlibat semasa majlis penutupan yang dilaksanakan di Government House, Darwin, pada 24 September lalu.


KAKADU tahun ini merupakan yang ke-15 dalam sirinya. Latihan ini memberi peluang yang tidak ternilai kepada tentera laut di rantau ini untuk membina kebolehoperasian dan mengukuhkan kepercayaan dan kebersamaan dengan menekankan hubungan kerja yang baik dan kerjasama profesional dalam kalangan tentera laut yang mengambil bahagian.


KA22 telah melibatkan angkatan laut dari pelbagai negara dengan pembabitan aset yang besar. Ianya merupakan latihan dwitahunan perdana antarabangsa serantau yang dianjurkan oleh RAN. 


KA22 yang turut dibantu oleh Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) telah melibatkan seramai 3000 peserta, 16 buah kapal perang dan kapal selam serta lebih daripada 30 pesawat tempur dari 20 buah negara-negara Indo-Pasifik. Selain itu, pesawat udara  dari India, New Zealand, Germany, Singapore and Australia turut dilibatkan dalam eksesais ini.


Pelbagai aktiviti dirancang oleh pihak penganjur dalam KA22 yang bukan sahaja melibatkan latihan ketenteraan tetapi turut menekankan aspek kerjasama, kepimpinan dan persahabatan di antara negara yang terlibat melalui aktiviti sukan (KAKADU Shield Ninja Challenge) dan majlis resepsi.


Panglima Tentera Laut Australia, Vice Admiral Mark Hammond ketika berucap di Majlis Pembukaan KA22 pada 12 September lalu berkata, “Eksesais KAKADU adalah aktiviti melibatkan tentera laut di peringkat antarabangsa yang bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara negara yang mengambil bahagian. Bertemakan ‘Kerjasama (Partnership), Kepimpinan (Leadership), Persahabatan (Friendship), pada eksesais kali ini, ianya amat penting dalam pelaksanaan eksesais selama 15 hari di laut dan darat. Eksesais KAKADU menyediakan peluang yang sangat baik untuk rakan serantau menjalankan  aktiviti maritim multinasional merangkumi operasi penguatkuasaan kepada peperangan maritim bertaraf tinggi dalam persekitaran gabungan.”


Negara Dan Aset-aset Yang Terlibat


Australia - HMAS Hobart (DDG + MH-60R),HMAS Arunta (FFH+MH-60R), HMAS Perth (FFH), HMAS Stalwart (AOR), Australian Submarine (SSG) HMAS Broome (ACPB) (also ORV), aset udara 1 x P-8A, 4 x Hawks, 1 x RAYTHEON EWTS aircraft dan 4 x AIR AFFAIRS AUSTRALIA.

Fiji - RFNS Savenaca.

France (FANC) - FNS Vendemiaire + Dauphin helo.

India - INS SATPURA + Chetak Helo dan 1 x P8.

Germany - 6 Eurofighter and MRTT.

Indonesia - KRI RADEN EDI MARTADINATA.

Japan - JS KIRISAME + SH-60K.

Malaysia - KD LEKIU + Super Lynx.

Pakistan - 1 x P3.

Papua New Guinea - HMPPNGS TED DIRO.

Singapura - RSS STEADFAST + S7OB, 8 X F-15, 8 X F-16.

Thailand - HTMS BHUMIBOL ADULYADEJ.

United Kingdom - HMS SPEY.

USA - USS CHARLESTON + mh 60s and MQ-8B, 1 X P-8A.

Vanuatu - RVS TAKUARE.


Penglibatan TLDM


KD LEKIU yang sedang dalam pelayaran misi Regional Partnership Exercise 2022 (RPEX/22) selama 86 hari  bermula 23 Ogos 2022 lalu turut terlibat dengan KA22 di Darwin, Australia sebaik sahaja selesai menyempurnakan misi Eksesais Bilateral Malaysia-Indonesia Siri 26AB/22 (MALINDO JAYA 26AB/22)  29 Ogos hingga 04 September 2022 lalu.


Penglibatan armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di dalam Eksesais multilateral  bersama negara-negara rantau Indo-Pasifik ini adalah tidak asing lagi dalam kalangan negara peserta kerana penyertaan KD LEKIU dari skuadron Frigat ke-23  dalam eksesais KAKADU ini merupakan penyertaan kali kedua baginya dan kelima bagi  TLDM sejak 2001. 


Penyertaan kapal TLDM dalam KA22 anjuran RAN ini membuktikan keupayaan navy people di peringkat antarabangsa yang mana sebelum ini  KD LEKIR dari skuadron 22 Korvet juga turut dijemput  untuk menyertai Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2022 di Hawaii, Amerika Syarikat yang berakhir Ogos lalu.


Di samping KD LEKIU yang terlibat sebagai platform eksesais, KA22 turut melibatkan enam orang delegasi daripada TLDM yang diketuai Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar bin Md Ajis, Komander Shahrizan Jaszle binti Jasmin TLDM, dua orang Sea Rider, Leftenan Komander Lavendra  a/l Jayamohan TLDM dan Leftenan Komander Shahryzal bin Abu Samah TLDM serta dua orang Exercise Controller (EXCON) iaitu Leftenan Komander Arifazizi bin Azizi TLDM dan Leftenan Komander Mohd Shahril bin Abdul Ghani TLDM.


Peranan Sea Rider Dan Exercise Controller


Pegawai TLDM  yang ditugaskan sebagai Sea Rider berperanan bagi memastikan koordinasi siri latihan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik dan mengikut prosedur yang ditetapkan.  Mereka ini ditempatkan di kapal tentera laut negara asing.  Sea Rider bertanggungjawab dalam memerhati dan merekodkan prosedur latihan yang dilaksanakan serta membuat laporan sebagai rekod pelaksanaan latihan. Rekod ini akan menjadi rujukan bagi setiap negara yang terlibat dalam menambah baik prosedur pelaksanaan operasi terutama apabila terdapat keperluan operasi bersama tentera laut asing. 


Di samping Malaysia, wakil negara Filipina, Fiji, Solomon Island, New Zealand, Samoa dan Kemboja turut diberi peluang sebagai Sea Rider.  Penglibatan sebagai Sea Rider dalam eksesais kali ni menunjukkan kepercayaan RAN kepada kebolehan Pegawai TLDM dalam memastikan koordinasi siri latihan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik. 


Buat pertama kalinya, dua pegawai TLDM juga telah diberi diberi kepercayaan menjadi EXCON.  Sebagai EXCON, mereka perlu bekerja sama dalam Battle Watch yang mana setiap siri latihan diperhatikan termasuk pengurusan logistik, sumber manusia dan pentadbiran eksesais bagi memastikan latihan berjalan dengan lancar. 


Di samping itu, TLDM turut diberi kepercayaan memikul tanggungjawab sebagai pegawai perhubungan awam bersama Tentera Laut Amerika Syarikat (USN) dalam memastikan publisiti eksesais ini sampai kepada khalayak sasaran.


Kehadiran Panglima Armada Barat dalam eksesais ini membuktikan kesungguhan Malaysia dalam mengeratkan hubungan diplomasi pertahanan antara negara-negara yang terlibat. Pertemuan ini juga memberi peluang kepada Malaysia untuk bertukar maklumat semasa berkaita n keselamatan laluan serta industri maritim. 



Permainan Olah Perang


Permainan Olah Perang di laut merupakan acara utama di dalam apa jua eksesais yang dijalankan. Dalam fasa latihan, acara-acara familiarisasi seperti latihan navigasi, komunikasi, penembakan sasaran udara dan permukaan serta keterlibatan partisipasi mempertahankan diri daripada serangan udara oleh jet pejuang, serangan peluru berpandu dari pesawat peronda maritim P-8 atau dari kapal selam. Latihan familiarisasi ini merupakan asas penting kepada pengukuran kompetensi bantuan taktikal sesebuah angkatan laut.


Dalam serial GUNNEX, KD LEKIU yang ditugaskan sebagai Ketua Unit Tugas (CTU) membuktikan kemampuan warga kapal mengoperasikan meriam 30MM dan meriam 57MM dengan baik. Tembakan KD LEKIU mengenai tepat ke sasaran pada jarak 4 batu nautika. Unit Tugas (TU) di bawah perintah KD LEKIR ialah USS CHARLESTON dan HTMS BHUMIBOL ADULYADEJ.


Fasa latihan ini KD LEKIU turut diberi peranan sebagai pengendali serial (OCS) dalam beberapa acara seperti OOW Manoeuvre, Screen Exercise (SCREENEX), Over The Horizon Target (OTHT) Voice dan Air Defence Exercise (ADEX).


Fasa terakhir eksesais biasanya akan diadakan acara free play dimana partisipasi akan dibahagikan kepada dua kumpulan tugas yang agak seimbang dari segi keupayaan sistem kombat  sesebuah kapal untuk menentang antara satu sama lain dalam senario peperangan taktikal.  Mereka ‘dilepaskan’ dalam koordinat kawasan yang luas dan bergerak bebas mencari musuh yang diperuntukan.  Fasa ini sangat menguji kewibawaan dan kecekapan taktikal tim Combat Information Center (CIC) sesebuah kapal dan keupayaan peralatan  bagi membantu mengesan kedudukan dan identifikasi pihak musuh dan berusaha untuk memusnahkannya berdasarkan kemampuan yang ada melalui persefahaman taktikal dan pertukaran maklumat dalam kalangan pasukan kawan.  Dalam fasa ini slogan ‘Partnership, Leadership and Friendship’ perlu dizahirkan bagi menentukan pasukan kawan memenangi pertempuran.


Sementara itu, kumpulan petugas ketiga yang terdiri daripada bot peronda yang lebih kecil telah menjalani latihan  penggeledahan untuk menyediakan mereka bagi penguatkuasaan akta perikanan, perlindungan sempadan, misi bantuan kemanusiaan dalam bencana alam dan tugas penguatkuasaan undang-undang maritim yang lain.


Evolusi Seamanship


Menjadi budaya tentera laut, setiap kali melaksanakan eksesais berskala besar, acara Replenishment At Sea (RAS) seperti refueling dan lain-lain evolusi di laut menjadi keutamaan. KD LEKIU turut berpeluang melaksanakan evolusi refueling at sea  bersama kapal logistik RAN, HMAS STALWART sebelum memasuki perairan Darwin.  Selain daripada keperluan ulang bekal bahan bakar ini, evolusi ini turut menjadi sebahagian daripada latihan bagi menguji keupayaan anggota terlibat membiasakan diri dengan prosedur Ilmu Kelautan, peralatan dan sistem yang sedia terpasang pada setiap kapal perang bersaiz frigat ke atas.  


Misi LEKIU Belum Tamat


Misi RPEX/22 KD LEKIU diteruskan.  Dari Darwin, seterusnya KD LEKIU akan meneruskan pelayaran  ke perairan Laut China Selatan bagi menyertai Eks KERISMAS 2022 yang mana ianya merupakan eksesais berskala besar Intra-TLDM yang dianjurkan secara tahunan. Eksesais ini akan melibatkan sebanyak 27 buah aset TLDM. 


Apa yang diharapkan moral dan semangat krew KD LEKIU masih kental untuk menghabiskan pelayaran selama 86 bermula hari sejak 23 Ogos lalu. Navy People SEDIA BERKORBAN.


Wednesday, September 7, 2022

TLDM-TNI-AL PERKASA HUBUNGAN DIPLOMASI PERTAHANAN MELALUI EKSESAIS MALINDO JAYA 26AB/22

Eksesais Bilateral Malaysia-Indonesia Siri 26AB/22 (MALINDO JAYA 26AB/22)  29 Ogos hingga 04 September 2022 adalah merupakan kesinambungan kerjasama berterusan Malaysia - Indinesia dalam bidang pertahanan. 


" Eksesais ini bertujuan untuk memperkasa hubungan diplomasi pertahanan dua hala Malaysia - Indonesia yang telah lama terjalin.” Tegas Panglima Armada Barat YBhg Laksamana Madya Datuk Abu Bakar bin Md Ajis semasa menyampaikan amanat beliau kepada peserta LATMA dari TLDM dan TNI-AL di Pangkalan KOARMADA II, Surabaya, Indonesia pada 29 Ogos lalu. 


Tegas beliau lagi, latihan ini juga merupakan platform untuk kedua angkatan laut berkongsi pengalaman dan pembelajaran serta amalan-amalan baik yang bakal ditempuhi sepanjang LATMA MALINDO JAYA.


Aset kedua-dua buah negara yang terlibat dalam Eksesais ini ialah KRI RADEN EDDY MATRADINATA dan KRI TOMBAK dari TNI-AL.  Manakala partisipasi yang mewakili Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ialah KD LEKIU, KD SRI INDERA SAKTI dan pesawat Super Lynx  yang telah berlepas dari Tambatan Pangkalan Lumut (TPL) ke Surabaya  sejak 23 Ogos 2022 yang lalu.  Bagi KD LEKIU, Eksesais ini merupakan salah satu komponen latihan yang dilalui mereka dalam pelayaran Regional Partnership Exercise 2022 (RPEX22).


Panglima Komando Armada II (PANGKORMADA II) Laksamana Muda TNI T.S.N.B Hutabarat dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa eksesais ini dibahagi kepada tiga fasa iaitu fasa pelabuhan, fasa laut dan fasa penutup. Semasa fasa pelabuhan para peserta akan menjalani Command Post Exercise (CPX), Subject Matter Expert Exchange (SMEE) KOPASKA-PASKAL dan taklimat pra-pelayaran di Pangkalan KOARMADA II. Fasa laut,  unsur-unsur yang terlibat telah belayar ke perairan Laut Jawa untuk mempraktikkan pelbagai aspek dalam peperangan konvensional dan juga keselamatan maritim.dan kembali semula ke Surabaya untuk fasa penutup. 


Aktiviti Sosial


Kedua-dua angkatan laut juga telah mengukuhkan jalinan ukhwah melalui aktiviti sukan dan sosial. Antara aktiviti sukan yang dilaksanakan adalah Senaman Raksasa serta Larian MALINDO dan Sukan Bola Tampar. Aktiviti sosial yang telah dilaksanakan adalah Majlis Makan Malam Rasmi MALINDO anjuran TNI-AL dan Majlis Resepsi anjuran TLDM.


Sempena Hari Ulang Tahun (HUT) Kemerdekaan Negara ke-65, warga TLDM turut meraikan malam ambang merdeka di Dermaga Madura Tengah, KOARMADA II pada malam 30 Ogos 2022. Sambutan kemerdekaan turut diserikan dengan kejutan oleh pihak TNI-AL dengan menghadiahkan kek HUT Kemerdekaan Malaysia  dan juga makanan tradisi yang sinonim dengan perayaan iaitu “nasi tumpeng” kepada warga kapal dan delegasi TLDM. 


Penutup


Upacara penutup telah disempurnakan oleh Asisten Ketua Staf Operasi, Markas Pemerintahan Armada Barat, Kepten Shaharuddin bin Bongsu TLDM selaku Timbalan Pengarah atau WADIRLAT Eksesais pada 4 September 2022 yang lalu. 


“Eksesais MALINDO JAYA 26AB/22 telah berjaya mengeratkan hubungan silaturahim serta meningkatkan kerjasama dan kebolehoperasian TLDM dan TNI-AL seperti yang diharapkan.” Kata Kepten Shaharuddin.


Manakala KD LEKIU meneruskan misi pelayaran seterusnya ke Regional Partnership Exercise 2022 (RPEX/22) untuk menyertai Eks KAKADU 2022 di Darwin, Australia yang melibatkan angkatan laut dari pelbagai negara.


Monday, August 29, 2022

EX SEACAT- KOLABORASI TENTERA LAUT DAN AGENSI KESELAMATAN MARITIM


Pusat Operasi Armada Barat (POA Barat) melalui Sistem Sea Vision menerima maklumat berkaitan sebuah kapal yang berdaftar di luar negara iaitu MV SUNNY QUEEN sedang berada di dalam perairan Malaysia dan disyaki sedang melaksanakan aktiviti penyeludupan dadah dan kegiatan jenayah rentas sempadan. 


POA Barat seterusnya telah mengatur gerak KD LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL (LTAJ) yang sedang melakukan tugas rutin  di lapangan untuk memintas dan melaksanakan pemeriksaan ke atas kapal tersebut..


Bertindak atas penyaluran maklumat tersebut, LTAJ telah berjaya mengesan lokasi MV SUNNY QUEEN di posisi 12 Bn Tenggara Pulau Perak berpandukan kepada Sistem Sea Vision dan Automatic Identification System (AIS). 


LTAJ  seterusnya melancarkan bot dan mengatur gerak tim menggeledah untuk merapat ke kapal MV SUNNY QUEEN bagi melaksanakan Visit, Board, Search and Seizure (VBSS) yang dibantu oleh United States Coast Guard sebagai Sea Rider di atas MV SUNNY QUEEN. 


EX SEACAT 22


Kejayaan latihan VBSS oleh LTAJ membuktikan objektif pelaksanaan eksesais Eksesais South East Asia Cooperation and Training 2022 (SEACAT 22) iaitu bagi memperkasakan kerjasama serta latihan di antara Tentera Laut Amerika Syarikat (TLAS) dengan pasukan pertahanan dan agensi penguatkuasaan maritim negara serantau telah tercapai. Eksesais pada kali ini turut memfokuskan kepada penyaluran serta perkongsian maklumat bagi menangani aktiviti jenayah rentas sempadan.


 EX SEACAT 22 adalah kolaborasi multilateral yang diterajui oleh pihak TLAS bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Keselamatan Maritim dari Malaysia, Thailand, Indonesia, Brunei dan Filipina di sekitar perairan Selat Melaka. 


Menurut sumber dari Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat, Eksesais South East Asia Cooperation and Training 2022 (SEACAT 22) berkonsepkan Field Training Exercise (FTX) telah dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa pelabuhan dan fasa laut bermula pada 16  hingga 26 Ogos 2022 yang lalu. 


Fasa pelabuhan telah dilaksanakan mulai 16 Ogos hingga 21 Ogos 2022 melalui pelaksanaan seminar dan bengkel di Changi Naval Base, Singapura. Fasa ini berbentuk sesi persidangan di kalangan Subject Matter Expert (SME) bagi Maritime Domain Awareness Seminar, Bengkel Visit, Board, Search and Seizure (VBSS) dan Bengkel Unmanned Aircraft System (UAS) yang melibatkan Pasukan Menggeledah KD LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL, Pegawai Operasi Markas Pemerintahan Armada Barat dan pegawai Skuadron 601 dari TLDM.


Pelaksanaan fasa laut pula telah dilaksanakan pada 22 Ogos hingga 26 Ogos 2022 yang mana LTAJ telah mewakili TLDM bagi pelaksanaan VBSS ke atas Vessel of Interest (VOI) iaitu MV SUNNY QUEEN. 


Menurut sumber itu lagi, penglibatan aset TLDM dalam Eksesais SEACAT 22 ini amatlah penting berikutan peningkatan ancaman bukan tradisional dan jenayah rentas sempadan yang bersifat asimetrik di rantau ini. Ancaman-ancaman ini dapat dimitigasi kan melalui pengumpulan maklumat yang cekap dengan kerjasama bersepadu daripada pelbagai agensi dan angkatan laut negara sahabat. 


Selain itu, eksesais ini dapat meningkatkan tahap kebolehoperasian antara negara dan agensi keselamatan maritim yang terlibat di samping sebagai instrumen bagi menguji dan membuktikan kesiagaan dan ketersediaan aset maritim negara dalam menjaga keselamatan perairan Zon Maritim Malaysia


Sunday, August 28, 2022

SEAEX THAMAL- KERJASAMA STRATEGIK PENGUATKUASAAN MARITIM DUA NEGARA

Tanjung Gelang, 27 Ogos 2022 - Sea Exercise Thailand-Malaysia (SEAEX THAMAL) adalah merupakan eksesais bilateral di antara komponen keselamatan maritim Malaysia iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Pasukan Polis Marin Diraja Malaysia (PPM PDRM) bersama Tentera Laut Diraja Thailand (TLDT) dan agensi keselamatan maritimnya yang telah bermula di 2nd Naval Area Command (2nd NAC) Songkhla, Thailand dan berakhir di Markas Wilayah Laut 1, Pangkalan TLDM Kuantan. 


Pegawai Perhubungan Awam, Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat, Lt Kdr Haimin Mohamad berkata, “Eksesais dwi-tahunan ini bertujuan untuk memupuk persefahaman dan kebolehoperasian bersama di antara Angkatan Maritim kedua-dua negara. Selain itu, ianya juga membuktikan keupayaan dan kesiagaan angkatan serta keberkesanan perhubungan strategik di samping memperkuatkan lagi keselamatan dan keupayaan melalui perkongsian berwibawa”.


SEAEX THAMAL 66/22 dilaksanakan secara Field Training Exercise (FTX) di perairan Laut China Selatan. Eksesais ini dibahagikan kepada beberapa fasa iaitu fasa pelabuhan yang berlangsung di Songkhla Naval Base mulai 22 Ogos 2022 diikuti oleh fasa laut di perairan Laut China Selatan pada 24 Ogos 2022 sebelum diakhiri dengan fasa penutup di Pangkalan TLDM Kuantan pada 26 Ogos 2022.


Antara aset-aset pertahanan maritim negara yang terlibat adalah KD HANDALAN, KD GEMPITA dari TLDM, KM BAGAHAK dari Maritim Malaysia dan PA 6 dari PPM PDRM manakala aset-aset Thailand yang terlibat adalah HTMS KLONG-YAI, PGM 991 dan PGM 114. 


Pelbagai siri latihan telah berjaya dilaksanakan semasa fasa laut meliputi Latihan Manuvra, Flashex, Flag Hoist, Replenishment at Sea (RAS) dan Heaving Line Transfer (HLT).


Kata Haimin lagi, kejayaan pelaksanaan eksesais ini membuktikan komitmen yang jitu serta ketersediaan dan kebolehoperasian aset dari kedua-dua negara bagi memelihara kepentingan dan khazanah maritim di perairan wilayah tersebut.


Upacara Pembukaan Eksesais telah disempurnakan oleh Commander 2nd NAC TLDT iaitu Vice Admiral Suntorn Kamklai di 2nd Naval Area Command HQ, Songkhla pada 22 Ogos 2022 yang lalu.


Manakala upacara Penutup Eksesais SEAEX THAMAL 66/22 telah disempurnakan oleh Panglima Wilayah Laut 1, Yang Berbahagia Laksamana Muda Dato’ Zulhelmy bin Ithnain dan disaksikan oleh Chief of Staff 2nd Naval Area Command TLDT, Rear Admiral Thawatchai Pimmuang di Auditorium Al-Haimi, Markas Wilayah Laut 1.


Wednesday, August 24, 2022

LEKIU SERTAI REGIONAL PARTNERSHIP EXERCISE 2022



Di antara empat Teras Utama Hala Tuju Kepimpinan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ialah Memperkasa Integrasi dan Sokongan kepada Aspek Kebersamaan.  Dipertingkatkan melalui pelbagai kaedah seperti mempertingkatkan pelaksanaan eksesais.


Kelmarin, 23 Ogos 2022, di Tambatan Pangkalan Lumut (TPL),  menyaksikan upacara pelepasan tali tambatan KD LEKIU bagi memulakan misi pelayaran selama 86 hari  mulai 23 Ogos 2022 sehingga 17 November 2022 untuk menyertai empat eksesais secara berterusan iaitu Regional Partnership Exercise 2022 (RPEX/22).


KD LEKIU yang diketuai Pegawai Memerintah, Kepten Mohd Reduan bin Ayob TLDM diberi lambaian terakhir oleh Timbalan Panglima Armada Barat, YBhg Laksamana Pertama Farizal Myeor serta kaum keluarga anak-anak kapal yang turut hadir dalam majlis tersebut.


Eks MALINDO JAYA 26/22


Eksesais pertama yang akan disertai dalam pelayaran ini adalah Eks MALINDO JAYA 26/22 bersama Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) di Surabaya, Indonesia yang merupakan eksesais bilateral bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama serantau Malaysia-Indonesia dalam melaksanakan operasi bersama. Sebanyak 2 buah aset utama TLDM yang akan terlibat iaitu KD LEKIU dan KD SRI INDERA SAKTI di samping aset sokongan yang lain. Kapal TLDM yang terlibat buat julung kalinya dijangka akan memasuki pelabuhan Dermada Madura, KOARMADA II, Pangkalan Tentera Laut TNI-AL di Surabaya, Indonesia.


Eks KAKADU 2022


RPEX/22 yang mengandungi satu eksesais multilateral iaitu Eks KAKADU 2022 di Darwin, Australia yang melibatkan angkatan laut dari pelbagai negara dengan pembabitan aset yang besar. Ianya merupakan latihan dwitahunan perdana antarabangsa serantau yang dianjurkan oleh Tentera Laut Diraja Australia. Eksesais ini menyediakan peluang penglibatan kepada semua negara sahabat untuk melaksanakan aktiviti maritim secara multinasional meliputi operasi dan peperangan tahap tinggi.  


Buat pertama kali dalam eksesais yang berprestasi tinggi ini, kapal TLDM ditugaskan sebagai Commander Task Unit 628.2.2 (CTU 628.2.2)  kepada kapal dari United State Navy (USN) dan Her Thai Majesty Ship (HTMS). 


Latihan KAKADU tahun ini dijangka menjadi aktiviti maritim antarabangsa terbesar yang dianjurkan oleh Tentera Laut Diraja Australia (RAN) dalam sejarahnya. 


Eks KAKADU telah dikonsepkan pada awal tahun 1993, apabila geopolitik dan bencana alam memberikan cabaran yang kompleks. Eks KAKADU dikonseptualisasikan dalam semangat diplomasi yang membina, dengan keperluan tulen untuk membangunkan pasukan tentera laut yang mampu bekerjasama dan bertindak balas terhadap keperluan negara masing-masing.


Eks KERISMAS 2022


Dari Darwin, seterusnya KD LEKIU akan meneruskan pelayaran  ke perairan Laut China Selatan bagi menyertai Eks KERISMAS 2022 yang mana ianya merupakan eksesais berskala besar Intra-TLDM yang dianjurkan secara tahunan. Eksesais ini akan melibatkan sebanyak 27 buah aset TLDM.  Dengan jumlah penglibatan aset armada yang besar dari Armada Barat dan Armada Timur ini telah  membuktikan TLDM sentiasa konsisten dan berupaya menjaga dan memulihara aset dengan baik.  


Suasana ‘kekurangan’ aset berbisa dalam inventori armada TLDM tidak melemahkan  semangat Navy People dan sentiasa memberi komitmen yang tinggi dalam menjaga kedaulatan dan kepentingan maritim negara melalui show of force dengan memperagakan aset-aset sedia ada di Zon Maritim Malaysia. Turut terlibat semasa eksesais ini adalah Fast Combat Boat, pesawat Super Lynx, Fennec dan Helikopter Operasi Maritim (HOM) TLDM serta 6 pesawat dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai aset sokongan. 


Selepas tahun 2025 Eks KERISMAS dijangka akan lebih ‘meriah’ dengan penambahan aset-aset strategik ke dalam inventori armada TLDM bila mana perancangan perolehan melalui peruntukan RMK-12 yang bermula 2021 hingga 2025 akan menjadi kenyataan.  Di antara aset strategik yang termasuk dalam plan perolehan RMK-12 ialah Multi Roles Support Ship (MRSS), Special Force Boat (SFB), Anti-Submarine Warfare (ASW) Helicopter dan Littoral  Combat Ship (LCS) yang sedang dalam pembinaan.


Eks MALAPURA 30/22


Pada penghujung pelayaran, KD LEKIU akan menyertai satu lagi eksesais bilateral bersama Tentera Laut Republik Singapura (TLRS) iaitu Eks MALAPURA 30/22 di Changi Naval Base, Singapura. Eksesais ini bertujuan memperkukuhkan kesefahaman antara TLDM dan TLRS dalam meningkatkan kebolehoperasian bersama di samping memperkasakan kerjasama antara kedua-dua negara melalui interaksi bilateral.


Bon Voyage


Objektif penglibatan TLDM dalam pelbagai eksesais seperti ini adalah bagi membina persefahaman dan meningkatkan keupayaan kebolehoperasian bersama angkatan laut sahabat serta memperkuatkan keselamatan dan kapasiti pertahanan negara melalui perkongsian berwibawa dengan kerjasama bilateral dan multilateral bagi memupuk kestabilan serantau. Selain itu, penglibatan ini dapat mengekalkan imej dan penghormatan TLDM di pentas antarabangsa di samping meningkatkan keyakinan komuniti maritim terhadap kemampuan dan komitmen TLDM. KD LEKIU dijadualkan  kembali ke TPL pada 17 November 2022.




Thursday, August 11, 2022

TLDM PERKUKUH KERJASAMA DALAM PEPERANGAN KONVENSIONAL DAN ASIMETRIK

Eksesais bersepadu antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama tentera Laut Negara Asing dan Agensi Penguatkuasaan dalam negara mutakhir ini adalah bertujuan untuk menguji dan memperkasakan keupayaan bersama antara tentera laut serta agensi penguatkuasaan dalam melaksanakan peperangan konvensional dan asimetrik.

Sedang berlangsung ialah Eksesais SAMUDERA PERKASA BARAT Siri 5/22 yang bermula pada 7 Ogos 2022 sehingga 12 Ogos 2022 ini antara TLDM dengan Agensi Penguatkuasaan Malaysia (Maritim Malaysia) bertemakan  Penguatkuasaan Undang-Undang Maritim, Carilamat dan Pengenalan Peperangan Di Laut. 

Objektif utama eksesais pada kali ini adalah bagi meningkatkan kebolehoperasian di antara TLDM dan Maritim Malaysia dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dan menjaga keselamatan maritim negara ketika waktu aman maupun ketika menghadapi menghadapi sesuatu konflik.

Timbalan Panglima Armada Barat dalam satu kenyataan berkata, “Tema eksesais pada kali ini adalah berbeza berbanding sebelum ini kerana terdapat elemen kepada peperangan  asimetrik dan konvensional selain aspek navigasi dan ilmu kelautan serta carilamat yang masih dikekalkan. Inisiatif ini diyakini akan memperkukuhkan kesefahaman dan ketersediaan kedua-dua agensi melalui usahasama bersepadu bagi mematahkan sebarang niat jahat unsur-unsur yang melanggar undang-undang atau menceroboh perairan negara”.

Kombinasi Aset

Aset-aset terlibat dalam Eksesais ini ialah KD SRI INDERA SAKTI, KD LAKSAMANA TAN PUSMAH dan pesawat Fennec TLDM manakala KM BAGAN DATUK, KM NYALAU serta pesawat AW139 dari Maritim Malaysia turut dibantu elemen sokongan daripada kedua-dua agensi seperti Fast Combat Boat dan Pasukan Khas Laut (PASKAL) TLDM serta Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Maritim Malaysia. 

Majlis Pembukaan Eksesais telah dirasmikan oleh Timbalan Panglima Armada Barat, YBhg Laksamana Pertama Farizal Myeor di KD SRI INDERA SAKTI, Pangkalan TLDM Lumut. Turut hadir semasa majlis upacara pembukaan adalah Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, YBhg Laksamana Pertama (M) V. PannirSelvan a/l Veloo.

Eksesais MAL- PAK

Sebelum itu, TLDM telah mengukuhkan kerjasama pertahanan  dengan negara sahabat  melalui Eksesais Malaysia-Pakistan (MALPAK) siri 4/2022 bersama Tentera Laut Pakistan (TLP) di sekitar perairan Selat Melaka pada 6 Ogos lalu.


Eksesais ini bertujuan meningkatkan kesefahaman serta kebolehoperasian bersama kedua-dua angkatan laut yang melibatkan KD JEBAT dan PNS TAIMUR. 


Aset terbaharu dalam armada TLP ini telah tiba di Tambatan Pangkalan Lumut pada 2 Ogos 2022 yang lalu adalah dalam siri  Lawatan Operasi. Kapal frigate kelas TUGHRIL ini merupakan kapal kedua selepas PNS TUGHRIL. 


Menurut Pegawai Perhubungan Awam Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat, semua objektif eksesais telah direalisasikan melalui beberapa siri evolusi Peperangan Asimetrik dan Konvensional. Selain itu, perkongsian kepakaran dan ilmu kelautan turut diberi penekanan dengan pelaksanaan Personnel Exchange Programme warga kapal KD JEBAT dan PNS TAIMUR. Turut menjayakan eksesais ini adalah aset sokongan TLDM iaitu Fast Combat Boat dan pesawat Fennec TLDM. 


“Kelancaran pelaksanaan eksesais ini jelas mempamerkan tahap profesionalisme yang tinggi serta keupayaan dan ketersediaan warga kedua-dua angkatan laut dalam melaksanakan operasi bersama”. Kata pegawai itu lagi.


Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini