About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, August 12, 2026

LAND EX THAMAL SIRI 29/2026 PERKUKUH INTEROPERABILITI TENTERA DARAT MALAYSIA DAN ROYAL THAI ARMY

 


Teks/foto: PR 2 Div

GERIK, PERAK, 12 Ogos 2026 – Eksesais LAND THAMAL Siri 29/2026 yang melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Royal Thai Army (RTA) melabuhkan tirainya hari ini selepas berlangsung di Gerik, Perak dengan pelaksanaan latihan yang merangkumi aspek taktikal, kerjasama ketenteraan dan hubungan bersama komuniti setempat.

LAND THAMAL merupakan eksesais bilateral tahunan antara TDM dan RTA yang dilaksanakan secara pergiliran antara kedua-dua negara di bawah kerangka kerjasama General Border Committee (GBC). 

Bagi Siri 29/2026, Malaysia bertindak sebagai tuan rumah dengan Batalion Ke-4 Rejimen Sempadan (4 RS) sebagai pasukan penganjur dan pelaku utama.



Majlis Perasmian Pembukaan di Airstrip Gerik, Perak yang disempurnakan bersama 
oleh Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, 
Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini bin Haji Hashim 
dan 5th Infantry Brigade Commander, Senior Colonel Taweeporn Kanatong.




Eksesais LAND THAMAL Siri 29/2026 secara rasminya dibuka pada 5 Ogos 2026 menerusi Majlis Perasmian Pembukaan di Airstrip Gerik, Perak yang disempurnakan bersama oleh Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini bin Haji Hashim dan 5th Infantry Brigade Commander, Senior Colonel Taweeporn Kanatong. 

Dalam majlis tersebut, 5th Infantry Brigade Commander menegaskan bahawa LAND THAMAL bukan sahaja berperanan memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan Thailand, malah meningkatkan keupayaan kedua-dua negara menghadapi pelbagai cabaran termasuk bencana alam, ancaman keselamatan, konflik serta isu keselamatan serantau menerusi kerjasama erat 

dan tahap persefahaman yang tinggi.


Sepanjang pelaksanaannya, eksesais ini memberi penekanan kepada usaha melatih dan meningkatkan pengetahuan serta perkongsian keupayaan taktikal melalui pertukaran idea dan pengalaman, memperkukuh kerjasama serta kefahaman terhadap prosedur taktikal dan mengeratkan hubungan kerja melalui semangat kerjasama serta komunikasi antara kedua-dua angkatan.


Fasa Latihan


LAND THAMAL Siri 29/2026 dilaksanakan menerusi tiga fasa utama iaitu Cross Training Exercise (CTX), Field Training Exercise (FTX) dan Combined Military Civil Action (CMCA). 


Pelaksanaan latihan medan memberi pendedahan kepada anggota kedua-dua negara dalam pelbagai aspek taktikal termasuk prosedur tempur, merentas halangan, berpangkalan, rondaan, serang hendap serta serangan ke atas kem musuh.


Pada masa yang sama, pelaksanaan CMCA menerusi Program Jiwa Murni menyerlahkan dimensi hubungan tentera dengan masyarakat apabila anggota kedua-dua negara berganding bahu melaksanakan aktiviti kemasyarakatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Idris Shah II, Gerik. 


Program CMCA melaksanakan aktiviti kemasyarakatan
di Sekolah Menengah Kebangsaan  Sultan Idris Shah 11, Gerik


Program berkenaan merangkumi aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekolah, mengecat, menebang pokok serta menceriakan kawasan sekolah.


Eksesais kali ini menghimpunkan 252 pegawai dan anggota yang terdiri daripada 197 warga TDM dan 55 warga RTA, sekali gus menyediakan ruang kepada kedua-dua angkatan untuk meningkatkan tahap interoperabiliti, berkongsi pengetahuan serta pengalaman dan memperkukuh kefahaman terhadap prosedur taktikal bersama.


Kemuncak eksesais  menyaksikan pelaksanaan serangan akhir kem musuh (Final Attack Enemy Camp) di kawasan latihan Kampung Ayer Ganda, Gerik yang turut disaksikan oleh Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Zamsari bin Abu Hasan bersama Commander 5th Infantry Division, Royal Thai Army, Mejar Jeneral Aphinan Jamjang. 

Panglima 2 Divisyen,  Mejar Jeneral Zamsari bin Abu Hasan bersama
Commander 5th Infantry Division, RTA, Mejar Jeneral Aphinan Jamjang


Serangan akhir tersebut menjadi medan kepada pasukan gabungan untuk mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran taktikal dan prosedur yang telah dipelajari serta diselaraskan sepanjang eksesais. 


Majlis Penutup


Selesai pelaksanaan serangan akhir, Majlis Penutup Eksesais LAND THAMAL Siri 29/2026 telah dilaksanakan dengan acara merangkumi nyanyian lagu kebangsaan Malaysia dan Thailand, upacara menanggalkan Toha, ucapan penutup oleh Panglima 2 Divisyen, pertukaran cenderamata serta sesi bergambar.


Kejayaan LAND THAMAL Siri 29/2026 mencerminkan tahap hubungan profesional dan persefahaman yang kukuh antara TDM dan RTA. Eksesais ini bukan sahaja meningkatkan interoperabiliti dan kesiagaan operasi, malah menyediakan ruang kepada anggota kedua-dua negara untuk membina kepercayaan, berkongsi pengalaman serta memahami kaedah operasi masing-masing.


Penganjuran LAND THAMAL akan terus menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan pertahanan Malaysia–Thailand, sekali gus menyumbang kepada usaha bersama dalam memelihara keselamatan sempadan serta keamanan dan kestabilan serantau.


Thursday, February 26, 2026

LEAD ‘26: KD LEKIR Perkukuh Kerjasama Maritim Antarabangsa


Oleh: Paklang Hamzah
Foto: MPAB

LUMUT, 2026 – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) secara rasmi memulakan misi Lekir Australia Deployment 2026 (LEAD ‘26) melalui Majlis Pelepasan Tali KD LEKIR hari ini. Misi pelayaran jarak jauh ini bakal menyaksikan penglibatan aset negara dalam siri eksesais multilateral dan aktiviti diplomasi pertahanan di peringkat antarabangsa.

​Misi 2 Bulan, 150 Wira Samudera

​Penugasan yang memakan masa lebih dua bulan ini melibatkan seramai 150 pegawai dan anggota termasuk pasukan sokongan. Diketuai oleh Pegawai Memerintah KD LEKIR, Komander Megat Mohamad Sofwan Firdaus bin Megat Mohamad Yunus TLDM, seluruh warga kapal telah menjalani latihan intensif dan persiapan teknikal yang rapi bagi memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada tahap optimum.

​Sorotan Utama Misi LEAD ‘26:

​KD LEKIR dijadualkan menyertai beberapa siri acara besar sepanjang pelayaran:

  1. International Fleet Review (IFR) 125 (Sydney: 21 Mac 2026)
    • ​Menyambut ulang tahun ke-125 Tentera Laut Diraja Australia.
    • ​Melibatkan 35 kapal dari 20 buah negara.
  2. Eksesais KAKADU 26 (22 – 30 Mac 2026)
    • ​Latihan dwitahunan yang memfokuskan kepada interoperabiliti (kebolehoperasian) dan kerjasama keselamatan maritim serantau.
  3. Circumnavigation of Australia
    • ​KD LEKIR akan mengelilingi benua Australia, merentasi kawasan mencabar seperti Great Barrier Reef dan Great Australian Bight.
    • ​Ini merupakan kali pertama TLDM melakukan pelayaran seumpama ini sejak tahun 1991 (kali terakhir dilakukan oleh KD MAHAWANGSA dan KD LEKIR).
  4. Eksesais MASTEX 26 (Perth: 14 – 20 April 2026)
    • ​Latihan dua hala antara Malaysia dan Australia (Malaysia–Australia Exercise) bagi memperkukuh koordinasi taktikal dan hubungan strategik.

​Memori MH370 dan Diplomasi Serantau

​Sebelum menamatkan misi, KD LEKIR dijadualkan mengadakan lawatan pelabuhan ke Jakarta, Indonesia pada hujung April.

​Menariknya, ketika merentasi perairan Barat Laut Australia, satu acara peringatan khas akan dilaksanakan bagi memperingati tragedi MH370. Walaupun KD LEKIR tidak terlibat secara langsung dalam misi mencari pada 2014, acara ini adalah simbolik empati dan solidariti TLDM terhadap mangsa serta menghargai pengorbanan aset-aset TLDM yang terlibat dalam misi pencarian suatu ketika dahulu.

​Kesimpulan dan Objektif

​Penglibatan dalam LEAD ‘26 adalah selari dengan Strategi Perkongsian Berwibawa oleh Kementerian Pertahanan. Selain meningkatkan keupayaan teknikal dan taktikal warga TLDM, misi ini membuktikan:

  • ​Komitmen Malaysia sebagai rakan maritim yang aktif di peringkat global.
  • ​Ketahanan fizikal dan mental anggota dalam pelayaran jarak jauh.
  • ​Kredibiliti dan profesionalisme TLDM di mata komuniti maritim antarabangsa.
Semua bahagian siap siaga untuk menyelesaikan misi


Doa dibaca mengiringi sebuah pemergian

Lambaian perpisahan, semuga pejuang selamat pergi dan selamat balik

Demi tugas, anak isteri ikut sama berkorban


Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini