Sumber: Teks/Foto TUDM
ALOR SETAR, 21 Jun 2025 - Istiadat Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan Siri 86/24 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 66/24 telah diadakan bertempat di Kolej Tentera Udara (KTU), Kepala Batas, Alor Setar.
Penyampaian Sayap Penerbangan ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM kepada 26 pelatih Institut Penerbangan 1 (INSPEN 1) dan Institut Penerbangan 2 (INSPEN 2) yang terdiri daripada 12 orang calon juruterbang pesawat sayap kaku dan 15 calon juruterbang helikopter.
Istiadat Perbarisan
Acara dimulakan dengan perbarisan masuk medan yang terdiri daripada komposisi satu (1) Flait Graduan dan tiga (3) Flait Bantuan yang diketuai oleh Leftenan Asryl bin Haron TUDM selaku Ketua Perbarisan.
Perbarisan diiringi oleh Pancaragam Gabungan Kolej Tentera Udara, Alor Setar dan Akademi Tentera Udara, Ipoh di bawah pimpinan Leftenan Hanif bin Che Razak TUDM.
Sebaik ketibaan di medan perbarisan, Panglima Tentera Udara telah menerima tabik hormat dan seterusnya memeriksa perbarisan. Mengakhiri acara, kontinjen berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat serta diiringi dengan penerbangan pesawat helikopter EC 120B dan pesawat PC-7 MK II serta diakhiri dengan Terbang Lintas Hormat pesawat PC-7 MK II semasa Hormat Panglima sebelum perbarisan keluar medan.
Pemenang
Lima (5) piala telah dipertandingkan bagi menggalakkan persaingan sihat di antara para pelatih iaitu Piala Panglima Tentera Udara (Terbaik Keseluruhan Sayap Kaku) dimenangi oleh Leftenan Muhammad Irfan Bin Salmi TUDM.
Piala Panglima Tentera Udara (Terbaik Keseluruhan Sayap Putar) dimenangi oleh Leftenan Abdul Rani bin Abdul Salim TUDM.
Piala Panglima Pendidikan dan Latihan Udara (Terbaik Akademik) disandang oleh Leftenan Asryl bin Haron TUDM.
Piala Komandan (Pelatih Terbaik Penerbangan Sayap Kaku) dimenangi oleh Leftenan Nik Zulhisam bin Nik Samsudin TUDM.
Piala Komandan (Pelatih Terbaik Penerbangan Sayap Putar) dimenangi oleh Leftenan Muhammad Ezzlan bin Nor Azam TUDM.
Pelatih Juruterbang Sayap Kaku Siri 86/24
Pelatih Kursus Asas Penerbangan Siri 86/24 telah memulakan perjalanan kerjaya mereka sebagai Pelatih Juruterbang selepas menamatkan Kursus Ilmu Asas Penerbangan (KIPA).
Seramai 13 orang pelatih telah terpilih menjalani Kursus Asas Penerbangan di Institut Penerbangan 1 (INSPEN 1) dengan menggunakan pesawat Pilatus PC-7 Mk II.
Kursus Asas Penerbangan ini terbahagi kepada 3 fasa, iaitu Fasa Akademik, Fasa Penerbangan Asas dan Fasa Penerbangan Lanjutan.
Seramai 13 orang pelatih telah berjaya mengharungi fasa latihan awal dan meneruskan kursus sehingga Basic Handling Test (BHT) dan Instrument Rating Test (IRT).
Seterusnya, 12 orang pelatih berjaya meneruskan kursus dalam fasa Penerbangan Asas Navigasi sehingga Basic Navigation Test (BNT).
Siri ini merupakan siri pertama yang mengunakan silibus penerbangan yang baharu dengan profil penerbangan yang lebih padat dan intensif.
Kesemua 12 orang pelatih telah menamatkan penerbangan Final Navigation Test (FNT) serta Final Handling Test (FHT) dan seterusnya berjaya menamatkan Kursus Asas Penerbangan mereka pada 17 Mei 2025. Walaupun dengan silibus yang lebih mencabar kesemua mereka berjaya mengharungi segala rintangan dan melayakkan mereka dianugerahkan Sayap Penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia.
Pelatih Juruterbang Sayap Putar Siri 66/24
Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 66/24 adalah merupakan Fasa Asas Penerbangan untuk pelatih sebelum memulakan kerjaya sebagai seorang Pelatih Juruterbang Helikopter. Siri ini merupakan siri yang kesembilan menggunakan konsep Direct Intake setelah berjaya menamatkan Kursus Ilmu Penerbangan Asas (KIPA) di Institut Penerbangan 1 (INSPEN 1).
Seramai 15 orang pelatih telah terpilih untuk meneruskan latihan asas penerbangan helikopter di Institut Penerbangan 2 (INSPEN 2). Kursus Asas Penerbangan Helikopter terbahagi kepada 3 fasa, iaitu Fasa Akademik, Fasa Penerbangan Asas dan Fasa Penerbangan Lanjutan. Kesemuanya telah berjaya menamatkan Fasa Akademik dan telah meneruskan Fasa Penerbangan yang bermula pada 9 Jul 24 dengan menggunakan pesawat Airbus EC 120B Colibri.
Mereka meneruskan Fasa Penerbangan Asas dan Fasa Penerbangan Lanjutan dengan menduduki beberapa ujian antaranya Basic Handling Test (BHT), Instrument Flying Test (IFT), Final Navigation Test (FNT) dan Final Handling Test (FHT).
Kesemua pelatih Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 66/24 telah berjaya menamatkan latihan dengan cemerlang pada 18 Apr 25 dan melayakkan mereka untuk dianugerahkan Sayap Penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia.
Turut Hadir
Turut hadir ke perbarisan ini Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Masro bin Kaliwon TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Nur Hafis bin Abdul Karim TUDM serta Panglima Bantuan Udara, Mejar Jeneral Dato’ Ahmad Khusairi bin Ahmad Fadli TUDM.
Turut serta dalam majlis pagi ini adalah ibu bapa dan keluarga para pelatih yang sentiasa memberi sokongan padu kepada anak-anak mereka yang kini mengorak langkah menjadi juruterbang dan generasi penerus juruterbang di dalam TUDM.
No comments:
Post a Comment