About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.
Showing posts with label APMM. Show all posts
Showing posts with label APMM. Show all posts

Wednesday, March 12, 2025

DYMM AGONG KURNIA BOT LAJU KEPADA TLDM DAN MARITIM

Oleh: Paklang Hamzah/Foto: TLDM

Bot Ibrahim Class IC 1170cc direka khas sebagai bot pemintas berkelajuan tinggi yang mampu beroperasi dalam perairan tropika. 

Dibangunkan oleh Royal Boat Hangar Johor, bot ini diperbuat daripada aluminium marin berkualiti tinggi dan mempunyai ciri-ciri reka bentuk yang menekankan ketahanan serta kestabilan. 

Dengan panjang keseluruhan 12.60 meter dan lebar maksimum 3.50 meter, bot ini dikuasakan oleh tiga enjin Mercury OBM berkapasiti 400 kuasa kuda setiap satu, 

membolehkannya mencapai kelajuan maksimum sehingga 65 batu nautika sejam (knot)

manakala kelajuan pelayaran optimum adalah 45 knot. 

Bot ini turut dilengkapi dengan sistem navigasi yang komprehensif, komunikasi moden serta sistem radio yang canggih bagi memastikan pengendalian bot adalah mudah dan efektif dalam melaksanakan operasi.

Bot kurniaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ini akan ditempatkan di bawah naungan Markas Pemerintahan Armada Barat dan akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh TLDM untuk mempertingkatkan keupayaan rondaan persisiran dan sebagainya. 

Selain TLDM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) turut menerima bot yang sama, sekali gus menandakan satu langkah penting dalam usaha meningkatkan keupayaan pertahanan maritim negara.






Thursday, February 2, 2017

APMM TUBUH PASUKAN SIMPANAN

Artikel ini telah disiarkan di dalam Majalah Perajurit isu feb 2017

Oleh Paklang Hamzah


Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) atau lebih sinonim dengan panggilan Maritim Malaysia terus mara melunaskankan agenda yang digagaskan sebelum ini di dalam Plan Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040 (PPSMM2040) untuk memperkasakan kekuatan sumber manusia kepada angka lebih 5,000 orang anggota dan pegawai dalam Fasa ke 3 (2016-2020) PPSMM2040. 

Meski pun kekuatan terkini belum mencapai sasaran tersebut, usaha merencanakan penubuhan Pasukan Sukarelawan Simpanan Maritim Malaysia (PSSMM) adalah suatu usaha yang patut dipuji dan dinamik kepada pembangunan sumber manusia MM. Sebagai langkah pertama, seramai 125 orang awam yang terdiri daripada enam pegawai dan 119 pegawai lain-lain pangkat telah dilantik dalam PSSMM  sempena pelancaran penubuhan PSSMM di peringkat negeri Perlis pada 15 Januari 2017 yang lalu.

PSSMM merupakan sebuah Pasukan Sukarela yang ditubuhkan di atas kelulusan Jemaah menteri yang berperanan membantu anggota tetap MM dalam usaha mengejar visi untuk menjadi antara agensi penguatkuasaan maritim terbaik di arena antarabangsa yang bertunjangkan beberapa strategi dalam peningkatan kesedaran kawasan kekuasaan maritim, Perlaksanaan pencegahan, sentiasa menunjukkan kehadiran di kawasan tanggungjawab serta menjalin kerjasama dengan komuniti maritim.
Justeru, perlantikan di Perlis ini adalah merupakan penubuhan PSSMM perintis dan dijangka menjadi pemangkin kepada pertambahan kekuatan anggota MM menjelang akhir Fasa ke 3 PPSMM2040 melalui penubuhan pasukan simpanan di lain-lain negeri selepas ini secara berperingkat-peringkat sesuai dengan kemampuan kerajaan sekali gus akan mencapai sasaran kekuatan anggota yang diperlukan.

Penubuhan ini pada dasarnya sangat penting dan tepat pada masanya kepada pembangunan keupayaan tenaga kerja dan aset MM dalam menghadapi cabaran semasa dan mendatang dalam konteks penguatkuasaan undang-undang serta tugas mencari dan menyelamat dalam persekitaran maritim yang semakin kompleks dan tidak menentu.

Penubuhan ini juga akan memberi pendedahan kepada orang awam tentang sebahagian aktiviti, latihan dan tugas-tugas MM. Pendedahan ini akan meningkatkan kefahaman tentang tugas sebenar MM, serta mewujudkan persefahaman dan kerjasama antara komuniti maritim dengan MM melalui interaksi atau saluran dua hala yang berkesan secara berterusan dengan harapan konsep ini benar-benar menjurus kepada impak terhadap operasi sebenar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim dalam ucapan perasmian menegaskan bahawa penubuhan PSSMM ini merupakan strategi serampang dua mata dengan menjadikan komuniti maritim sebagai mata dan telinga kepada MM dalam konteks penyaluran maklumat dalam usaha MM menangani isu keselamatan di perairan negara termasuk ancaman pengganas, pendatang tanpa izin, pelarian, lanun dan jenayah maritim rentas sempadan.

Bagi merealisasikan hasrat ini, latihan-latihan seperti perbarisan, ceramah, renang dan selam, menyelamat, pengendalian dan penyelenggaraan kapal/bot, rondaan dan pemeriksaan kapal dagang di laut akan sentiasa diberikan bagi meningkatkan nilai tambah kemahiran individu dalam memastikan MM dapat melahirkan anggota PSSMM yang efisien dan terlatih.

Pasukan Kadet Maritim Malaysia

Menurut beliau, selain PSSMM, Pasukan Kadet Maritim Malaysia (PASKAM) juga diwujudkan di sekolah-sekolah menengah dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang mana penubuhan ini merupakan perkongsian strategik dengan universiti tempatan agar kepakaran tertentu akan dapat dimanfaat bersama.

Kewujudan PASKAM dijangka dapat membentuk sahsiah dan jati diri serta personaliti unggul para pelajar, disiplin serta bertanggungjawab di samping memberi pendedahan supaya remaja hari ini dapat menyumbang kepada pembangunan negara terutamanya dalam menjaga kesejahteraan dan keselamatan Maritim.

Tanggungjawab memastikan perairan negara sentiasa dalam keadaan selamat bukan hanya terletak di bahu anggota penguatkuasa semata-mata, tetapi ianya memerlukan sinergi daripada semua golongan sama ada pihak kerajaan, swasta serta seluruh masyarakat tanpa mengira usia, keturunan, agama dan ideologi politik.

Natijah penubuhan PSSMM dan PASKAM ini juga secara tidak langsung membuka peluang kepada generasi Y Malaysia beralih perhatian kepada aktiviti-aktiviti yang lebih berfaedah di samping menjana pendapatan sampingan. 

Tuesday, March 17, 2015

Penyertaan APMM di LIMA’15




Lawatan Perdana Menteri ke kapal KM PERWIRA di Jeti Resort World
Langkawi 17 Mac- Sempena Pameran Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA’15), beberapa aktiviti yang akan disertai oleh Maritim Malaysia yang merupakan penyertaan kali ke-6  Maritim Malaysia (MM) di LIMA Langkawi. 

Sejumlah 9 aset laut agensi ini yang terlibat iaitu KM PERWIRA, KM MARLIN, KM SIAGIN, KM TENGGOL,  BOT  PENGGALANG 26, BOT  PENGGALANG 27, BOT  PENGGALANG 40, BOT PENYELAMAT 5 dan BOT KILAT 6.

Sementara 3 aset udara MM iaitu pesawat Bombardier, helicopter, Augusta dan Dauphin. Seramai 150 pegawai dan anggota lain-lain pangkat (LLP) penguatkuasa MM turut terlibat.
Antara aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh MM ialah:

1.       Pameran di dua lokasi iaitudi MIEC dan pameran kerjaya di Pavilion TLDM di Resort World yang dibuka setiap hari.
2.       Pameran di MIEC dibuka kepada pengunjung pada 20 dan 21 Mac 2015 (Jumaat dan Sabtu).
3.       Lawatan Perdana Menteri ke kapal KM PERWIRA di Jeti Resort World pada 17 Mac.
4.       Lawatan Timbalan Perdana Menteri ke kapal KM PERWIRA di Jeti Resort World pada 18 Mac.
5.       Demonstrasi yang melibatkan 3 aset MM iaitu CLB415 dan 2 helikopter Dauphine dari 17 hingga 21 Mac 2015 di Resort World Langkawi.
6.       Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) perkongsian strategi  MM dengan Petronas. MP

Sunday, June 9, 2013

APMM 8 TAHUN- MENGAWAL MELINDUNGI MENYELAMAT

Diterbitkan dalam majalah perajurit edisi mei 2013
Oleh Hamzah hd

Bombardier 415MP

Setelah 42 tahun merdeka, dikatakan sektor penguatkuasaan maritim negara masih lagi berada di tahap lemah dan perlu penambahbaikan drastik dalam usaha mencari suatu kaedah yang lebih dinamik dalam bidang penguatkuasaan di laut.  Berdasarkan suatu kajian, telah mendedahkan bahawa penguatkuasaan maritim tidak boleh bergerak lancar antara penyebabnya adalah kerana terdapat pertindihan fungsi, pertindihan bidang kuasa dalam kalangan penguatkuasa-penguatkuasa maritim yang sedia ada seperti Polis marin, Jabatan Kastam, Jabatan Laut, Jabatan Perikanan, Imigresen dan lain-lain sekali gus telah mencetus kepada kehilangan sumber ekonomi negara yang sangat banyak serta menzahirkan imej negatif terhadap pentadbiran negara yang disebabkan kelemahan menanganinya.

Agensi-agensi penguatkuasa yang ada masing-masing mempunyai akta yang tersendiri bagi menangani skop tugas yang telah diamanahkan.  Namun begitu skop penguatkuasaan yang dimiliki adalah sangat terhad dari segi fungsi, aset dan kemampuan yang mana pastinya banyak membazirkan tenaga dan sumber manusia kerana jangkauan perlaksanaan penguatkuasaan yang sepatutnya lebih meluas tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan. 

Banyak ruang dan lompang yang ditinggalkan yang mana jika dapat dijangkau secara menyeluruh bukan sahaja boleh menjadikan zon maritim negara lebih kondusif dan menjanjikan  rasa selamat  kepada pengguna dengan adanya pemantauan rapi dalam usaha menjaga dan memelihara keselamatan, keamanan dan kedaulatan yang berterusan malah dalam satu keadaan lain boleh menjana keuntungan hasil cukai yang berlebihan serta kutipan denda kepada pesalah-pesalah persekitaran maritim.

Justeru, sebagai langkah penambahbaikan, tim kajian bagi penubuhan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) atau dengan panggilan mudahnya Maritim Malaysia (MM) mula dibentuk pada April 1999.  Berikut adalah kronologi peristiwa yang mencetus ke arah pembentukan APMM:

21 Ogos 2002- tim kajian telah membentangkan hasil kajian ke kabinet untuk kelulusan.
16 April 2003- pembentukan komiti Pemandu Kebangsaan dan Tim Nukleas.
15 Februari 2005 - Akta APMM (Act 633) dikuatkuasakan ke dalam perkhidmatan MM.
10 Oktober 2005 – Majlis memperkenalkan APMM (soft launch).
30 Oktober 2005 - melancarkan pengoperasian MM dan pada 21 Mac 2006, MM dengan rasminya dilancarkan.

Maritim Malaysia berfungsi bagi menjaga dan memelihara keselamatan, keamanan dan kedaulatan negara di Zon MM serta menyelamat nyawa dan harta benda semasa kecemasan di laut seperti mana yang termaktub di dalam Akta APMM 2004 (Akta 633).  Di samping itu, Seksyen 6(3) [Akta 633] memperuntukan bahawa MM bertanggung jawab mencari dan menyelamat, mengawal dan mencegah pencemaran, menyekat pelanunan, pengedaran dadah di lautan lepas dan Maritim Malaysia juga dikehendaki memberi bantuan dalam apa-apa perkara jenayah atas permintaan negara asing sebagaimana yang diperuntukkan  di bawah Akta Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah 2002 (Akta 621).  Kabinet juga telah memutuskan bahawa Maritim Malaysia dijadikan sebagai agensi penguatkuasaan maritim tunggal mulai Ogos 2011 sejajar dengan keputusan kerajaan terdahulu semasa penubuhan APMM.

Keseluruhannya pengoperasian MM di bawah naungan Jabatan Perdana Menteri sewaktu negara berada dalam keadaan aman, namun begitu ianya dikehendaki membantu ATM semasa negara di dalam keadaan perang.  Kejadian terbaharu yang dapat kita saksikan ialah insiden pencerobohan bangsa Suluk di Lahad Datu Sabah yang mana telah membawa kepada penglibatan MM secara langsung dalam mengawal perairan negara yang mana telah mencetus kepada pengoperasian MM di kawasan ESSCOM di bawah kawalan Kementerian Pertahanan.

Pada peringkat awal penggunaan sumber manusia adalah dari proses tukar lantik secara sukarela yang melibatkan lebih daripada 1000 orang anggota TLDM yang merupakan tulang belakang kekuatan MM ketika ini.  Di samping itu, tawaran juga dibuat kepada agensi-agensi maritim yang lain seperti Polis marin, Kastam, Perikanan, Imigresen dan lain-lain agensi yang terlibat dalam konteks ini. Penambahan perjawatan yang diluluskan adalah secara berperingkat daripada 4,030 kepada 9,077 anggota.

Kekuatan semasa sumber manusia MM pada masa ini ialah lebih daripada 5000 orang pegawai, anggota Lain-lain Pangkat dan Gunasama yang mana telah mencapai sasaran semasa keanggotaan bagi Fasa ke-2 Pelan Perancangan Strategik MM dalam konteks kekuatan sumber manusia yang mensasarkan sejumlah 5167 orang menjelang tahun 2014 sejajar dengan perjawatan MM yang telah diluluskan. 

Program tranformasi MMM akan meneruskan perolehan dan penggantian aset bagi memperkasakan keupayaan penguatkuasaan dan carilamat. Hampir 90 peratus aset termasuk kelengkapan dan 100 peratus keperluan sumber manusia dijangka akan dapat dicapai selepas tahun 2016.

Senarai Aset MM Dan Sejarah Perolehan

Pelan Jangka Pendek yang dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9) melalui Fasa 1 (2006-2010) Pelan Perancangan Strategik MM memberi keutamaan kepada perolehan aset, pengambilan dan pembangunan sumber manusia  yang diperlukan bagi menyokong tugas dan aktiviti serta merta.

Penyenaraian aset-aset operasi yang berupa bot, kapal permukaan dan pesawat udara yang merupakan peralihan serah milik dari agensi-agensi lain dan juga perolehan baharu.

Dalam fasa ini juga MM telah membuat perolehan 2 buah pesawat Bombardier 415MP, 3 buah pesawat light medium helicopter Agusta AW139 dan 3 buah pesawat medium lift helicopter Dauphin AS 365 N3. 

Manakala perolehan baharu aset permukaan ialah KM MARLIN merupakan sebuah kapal latihan yang telah dihadiahkan oleh The Nippon Foundation Jepun kepada MM. Kapal telah dilancarkan pada 30 Jan 2006 dan telah siap pembinaannya pada Mac 2006.  Kapal telah belayar dari Naha, Jepun pada 4 Apr 2006 dan tiba di pelabuhan Klang pada 14 April 2006. Upacara penamaan dan penerimaan KM MARLIN telah diadakan di Pusat Hidrografi Nasional pada 1 Jun 2006 dan diletakan dibawah pengawasan Pusat Latihan APMM yang berpangkalan di Kuantan, Pahang.

12 x Bot Kelas Penggalang - dibina oleh Destination Marine Services di Pelabuhan Klang.  Maritim Malaysia telah membuat tempahan sebanyak 2 buah untuk digunakan sebagai bot pemintas dalam operasi-operasi khas yang memerlukan kepantasan untuk tiba ke lokasi yang dikehendaki.  Penyerahan bot ini telah dilakukan  pada 10 Sep 2007. Penggalang 1 ditempatkan di DM4 (Pelabuhan Klang) dan Penggalang 2 ditempatkan di DM6 (Johor Baharu) untuk tugas-tugas operasi.  Manakala 10 buah lagi dari jenis ONUK MRTP 16 yang dibina oleh BYO Marine dengan kerjasama Bousted Heavy Industry Corporation (BHIC) dan mula diserah kepada Maritim Malaysia secara berperingkat sejak 5 Disember 2011.

Bot Kelas PETIR


38 x Bot KILAT (RHIB) - telah dibina oleh MSET Shipbuilding Trengganu untuk tempahan Maritim Malaysia sebanyak 38 buah.  Bot-bot ini dibina dalam 2 kategori iaitu 13 buah (open type) dan 25 buah (semi carbin).  Bot ini juga ditugaskan di dalam operasi-operasi khas yang memerlukan kepantasan untuk tiba ke lokasi yang dikehendaki.  Bot-bot ini telah diserahkan kepada MM secara berperingkat mulai bulan Jan 2006 dan ditempatkan di semua Wilayah MM.

10 x Bot Kelas PETIR.- Bot ini disumbang oleh TELEKOM MALAYSIA sebanyak 2 buah manakala 8 buah lagi telah dibina di DMC Batu Pahat.  Mula beroperasi pada tahun 2010 selepas diserahkan kepada  MM.

10 x Bot Kelas Pengawal (ex-GRP) telah mula berkhidmat di dalam perkhidmatan Jabatan Laut pada awal tahun 1999 sebagai bot pemantau dan penandaan laluan kapal-kapal yang menggunakan  perairan negara.  Berkhidmat selama 8 tahun  di dalam perkhidmatan Jabatan Laut seterusnya diserahkan kepada MM pada bulan Jan 2006.

2 x Kapal Kelas NUSA (ex-RAJAWALI) berada di dalam perkhidmatan Jabatan Laut pada awal 1993 dan telah berkhidmat selama 15 tahun. Kapal- kapal ini  telah ditukar milik untuk kegunaan Maritim Malaysia  pada Apr 2006.

1 x Kapal Kelas SEMBILANG (ex- SIRI100) telah mula berkhidmat dalam Jabatan Perikanan pada awal tahun 1986.  Ditugaskan untuk membuat pemantauan kepada nelayan-nelayan tempatan laut dalam.  Setelah berkhidmat selama 20 tahun di dalam perkhidmatan Perikanan, pada Jun 2006 kapal ini telah diserahkan kepada MM.

1 x Bot Kelas PENINJAU (ex-SIRI300) telah mula berkhidmat didalam perkhidmatan Jabatan Perikanan  pada awal tahun 1990. Ditugaskan untuk membuat pemantauan terhadap nelayan-nelayan tempatan persisir pantai dan sangkar-sangkar ikan yang dibina di pantai negara. Telah berkhidmat selama 16 tahun didalam perkhidmatan Jabatan Perikanan sebelum diserah kepada MM pada bulan Jun  2006.

4 x Bot Kelas PENYELAMAT (ex SAR) telah mula berkhidmat didalam perkhidmatan Jabatan Laut pada awal tahun 1998.  Digunakan  untuk operasi mencari dan menyelamat serta memberi bantuan kecemasan sekiranya berlaku bencana di laut. Berkhidmat selama 9 tahun di dalam perkhidmatan Jabatan Laut sebelum diserahkan sepenuhnya kepada MM pada bulan Jan 2006.
5 x Kapal Kelas RAMUNIA (ex BAHTERA) berada di dalam perkhidmatan KASTAM sejak tahun 1983 dan telah berkhidmat berkhidmat selama 23 tahun sebelum diserahkan kepada MM pada Jun 2005.

1 x Kapal Kelas RHU (ex SIRI 200) telah mula berkhidmat didalam perkhidmatan Jabatan Perikanan  pada awal tahun 1990. Diserahkan kepada MM pada Jun 2006 setelah berkhidmat selama 16 tahun dengan Jabatan Perikanan..

4 x Kapal Kelas MALAWALI (ex BINTANG) telah memasuki perkhidamatan Jabatan Laut  pada awal tahun 1999 dan telah berkhidamat selama 8 tahun.  Pada April 2006 kapal-kapal ini diserahkan sepenuhnya kepada Maritim Malaysia.

15 x Kapal Kelas TUGAU (ex - PA) telah beroperasi dalam perkhidmatan PDRM hampir 10 tahun dan  menyerahkan kepada MM pada 2011.

1 x Kapal Kelas LANGKAWI (ex-KD MARIKH)  adalah kapal ronda pesisir pantai (OPV) yang memasuki perkhidmatan TLDM pada tahun 1987.  Kapal ini telah diserahkan kepada MM pada 23 Jun 2006.  Walau bagaimanapun pengoperasian kapal ini adalah di bawah Pusat Kawalan Maritim Putrajaya.

15 x Kapal Kelas GAGAH (ex PZ) merupakan kapal peronda kelas PZ yang telah memasuki perkhidmatam Pasukan Polis Marin pada tahun 1980. Kapal tersebut telah berkhidmat selama 26 tahun di dalam Pasukan Polis Merin. Kapal telah diserahkan kepada MM secara berperingkat mula pada Jun 2005 hingga Jun 2006.

15 x Kelas SIPADAN (ex PC) merupakan kapal peronda yang telah memasuki perkhidmatam TLDM pada tahun mulai tahun 1964.  hingga tahun 1968. Kapal tersebut telah berkhidmat selama 42 tahun didalam TLDM. Kapal telah diserahkan kepada MM secara berperingkat mula pada Jun 2005 hingga Jun 2006.

Fasa ke 2 Pelan Perancangan Strategik MM (2011-2015)
Sejajar dengan pengiktirafan sebagai Agensi Penguatkuasaan Maritim Tunggal pada bulan Ogos 2011, MM telah berjaya menghadapi pelbagai cabaran termasuk pengambilalihan tugas penguatkuasaan undang-undang maritim negara secara holistik dari lain-lain agensi penguatkuasaan maritim dengan meletakkan keutamaan untuk mengukuhkan kemampuan memberi perkhidmatan dan respon yang drastik kepada apa jua bentuk pelanggaran undang-undang maritim dan kecemasan di laut.

Sejajar dengan rancangan pembangunan RMK 10, MM akan meneruskan program-program mempertingkatkan keupayaan penguatkuasaan dan carilamat, memperkasakan tim STAR, melengkapkan prasarana dan kemudahan latihan di Pusat Latihan di samping membina kemampuan untuk bantuan melawan kebakaran dan bantuan kemanusiaan di laut.

Turut mensasarkan perolehan penambahan aset udara dan permukaan yakni perlaksanaan projek Perolehan Penambahan 2 buah pesawat amphibious, 6 buah helikopter medium lift, 2 buah kapal latihan, 2 buah kapal peronda saiz besar dan 8 buah kapal saiz sederhana, 25 buah bot pemintas, 8 buah lifeboat dan 50 buah bot kecil/RHIB dan juga penambahbaikan kepada sistem pengawasan laut.

Perolehan Baharu- 2 medium range maritime surveillance aircraft, 2 multi purpose command craft, 2 hovercraft dan 3 fire tender.

Sementara itu program melanjutkan tempoh perkhidmatan kapal(SLEP) dilaksanakan untuk 1 kapal peronda saiz besar dan 13 kapal saiz sederhana.

Fasa 2 akan meneruskan pengutamaan kepada penambahbaikan sistem C31 APMM (Fasa 2 dan 3), sistem pengawasan laut di perairan Sabah, utara Selat Melaka dan Pantai Timur Semenanjung dan penambahbaikan kepada sistem carilamat seperti perolehan peralatan pancaran kecemasan peralatan GMDSS melaui COSPAS-SARSAT, peralatan SAR planning computer aided software dan penambahan stesyen pantai untuk memperluaskan liputan GMDSS-DSC.

Fasa 2 juga turut memberi keutamaan pembinaan prasarana Ibu Pejabat Wilayah Selatan, Wilayah Utara dan Wilayah Sabah. di samping pembinaan prasarana untuk 8 daerah maritim yang kini hanya di Sedili, Kuala Terengganu dan Sandakan, 4 pangkalan maritim dan 3 stesyen udara yang kini hanya satu di Subang.  Pembinaan stesen udara dan pangkalan pos hadapan Maritim Malaysia, akan meningkatkan keupayaan pemantauan, operasi penguatkuasaan dan carilamat maritim menerusi respon yang pantas. Projek SWASLA di Sabah iaitu di Pulau Balambangan, Pulau Mantanani Kechil dan Pulau Gaya telah pun siap pada Dis 2011.

Fasa 2 ini juga memberi keutamaan dalam melengkapkan kekuatan anggota MM seperti yang diluluskan di dalam perjawatan Maritim Malaysia. Pengambilan anggota seramai 5,167 orang bagi keseluruhan fasa ini dan seramai 3,879 orang dilaksanakan secara berperingkat dari tahun 2011 hingga 2013.

 Selebihnya 1,288 orang bagi tahun 2014.   Pengambilan dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu 500 orang bagi anggota baharu pegawai dan LLP, 603 orang bagi anggota mahir pegawai dan LLP dan 190 orang untuk pengambilan anggota gunasama setiap tahun.

Mengikuti perkembangan semasa kemajuan MM terhadap penambahan dan perolehan baharu aset seperti yang dirancang dalam Fasa Kedua ini, sehingga 2013 tidak nampak apa-apa perubahan yang menonjol bagi menyakinkan bahawa perancangan ini akan berjaya direalisasikan menjelang tahun 2015 nanti. 

Bertolak daripada krisis pencerobohan Lahad Datu sejak Februari lalu dengan penglibatan MM membantu ATM dalam menangani krisis ini dari arah laut sepatutnya menjadikan LIMA’13 sebagai medan kerajaan bagi memaklumkan penambahan dan perolehan baharu seperti yang dirancang Maritim Malaysia.

Meskipun ianya tidak semestinya berlaku sebegitu, sekurang-kurangnya pemerhatian umum tentang perkembangan ini memberi sedikit keyakinan bahawa peracangan ini sedang berjalan seperti yang dirancang.  Walau bagaimanapun kenyataan terbaharu kerajaan yang dinyatakan dalam manifesto PRU’13 bahawa pasukan keselamatan termasuk MM akan ditingkatkan keupayaan telah memberi sedikit keyakinan semuga sesuatu yang positif akan berlaku sedikit masa lagi sejajar dengan Pelan Strategik MM mengikut fasa-fasa tertentu.

Kejayaan Dan Pencapaian

Berkat perancangan dan kesungguhan warga Maritim Malaysia, kadar jenayah maritim di seluruh negara telah dapat dikurangkan.  Mengikut statistik yang dikeluarkan melalui Laporan Tahunan MM berakhir 2011, penurunan kadar jenayah sebanyak 16 peratus dalam masa 5 tahun iaitu daripada 20.20 peratus pada  2006 kepada 4.22 peratus pada tahun 2011. Kadar ini berdasarkan kepada 66,678 kali pemeriksaan dan 4,832 penahanan bagi pelbagai kes. Peningkatan jumlah pemeriksaan dan penurunan jumlah penahanan menunjukkan penguatkuasaan yang berkesan berjaya memupuk kesedaran undang-undang dan keselamatan dalam kalangan komuniti maritim.

Operasi penguatkuasaan MM telah memperlihatkan banyak kes-kes berprofil tinggi berjaya ditangani dan dibawa ke muka pengadilan. Antara kejayaan-kejayaan yang dibanggakan pada tahun 2011 ialah penangkapan dan pendakwaan ke atas tiga kumpulan penjenayah yang terlibat dalam dua kes merompak di atas kapal dan satu kes cubaan merampas bot nelayan. Penemuan semula bot tunda Marina 26 dan Marine Power 3301 yang dirampas di Miri iaitu selepas empat bulan ianya dirampas di Pulau Tioman dan menyelamatkan kapal MT Nautika Johor Bharu daripada dirampas keluar ke negara jiran.

Bagi semua kes penyeludupan khasnya kes pemerdagangan orang, PATI, dadah, ganja, rokok, arak, pasir, kayu balak, bakau, barang kawalan dan diesel bersubsidi adalah antara sasaran MM dalam memerangi satu lagi bentuk jenayah rentas sempadan. Berdasarkan statistik tahun 2006 hingga Disember 2011, sebanyak 794 pelbagai kes penyeludupan telah dikendalikan yang mana ia turut mengecilkan jurang kerugian ekonomi di samping dapat mengekang imej negatif negara.

Dalam kes pencerobohan bot nelayan asing, sebanyak 517 tangkapan telah berjaya dilakukan dengan mengutip kira-kira RM236 juta hasil menerusi denda nelayan asing, pelupusan vesel, kompaun dan lelongan ikan pada tahun 2007 hingga 2011. Penguatkuasaan yang berkesan ini turut mempengaruhi peningkatan statistik pendaratan hasil laut iaitu RM4.02 bilion setahun kepada RM6.32 bilion setahun pada 2009.

Dari sudut menyediakan perkhidmatan bantuan Mencari dan Menyelamat(Carilamat) di laut, MM sentiasa berusaha meningkatkan tahap responsif agar rakyat berasa selamat dan mendapat bantuan yang diperlukan dengan segera. Berdasarkan 2,747 operasi, jumlah nyawa yang berjaya diselamatkan ialah 2,182 atau 79 peratus. Manakala, nilai harta benda yang berjaya diselamatkan ialah RM274 juta bersamaan 89 peratus.

Dalam senario geografi politik dan situasi keselamatan maritim dalam negara yang semakin mencabar dan terdedah kepada kepelbagaian aktiviti yang memerlukan banyak pengawasan dan penguatkuasaan, kemunculan MM adalah sangat bertepatan dengan keperluan semasa.

Kawasan maritim negara yang merangkumi Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) seluas 614,000 km persegi dan 148,307 km persegi Perairan Wilayah Malaysia (PWM) dengan persisiran pantai sepanjang 4,490 km adalah sangat luas dan memerlukan komitmen yang sangat tinggi untuk MM menangani cabaran terutamanya ZEE Selat Melaka, ZEE Laut China Selatan (LCS) di sepanjang Pantai Timur Semenanjong, perairan ZEE LCS di Sabah dan Sarawak serta Laut Sulu dan Laut Sulawesi sepanjang Pantai Timur Sabah. Dengan perkongsian sempadan maritim dengan beberapa negara serantau serta perairan yang kaya dengan sumber asli di samping menjadi laluan utama Sea line of communications (SLOC) yang menghubungkan LCS dan Lautan Hindi menjadikan perairan Malaysia  menjadi dimensi yang sangat penting demi survival negara.


Dalam usia 8 tahun penubuhan,  MM telah menunjukan suatu pencapaian yang sangat membanggakan tentunya hasil dari perancangan dan kerja kuat pimpinan dan seluruh warga kerja bagi memacu MM ke arah kecemerlangan ini.  PERAJURIT

Thursday, April 19, 2012

kesiapsiagaan maritim malaysia

Sumber utusan online
Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
rafie.azimi@utusan.com.my




NAMA Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang baru tujuh tahun ditubuhkan perlu diakui masih belum 'mekar' di ingatan rakyat negara ini.

Ramai yang masih menganggap keselamatan dan kedaulatan perairan negara hanya menjadi tanggungjawab Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Marin semata-mata.

Namun perkara itu tampak tidak langsung mematahkan semangat lebih 4000 anggota Maritim Malaysia di seluruh negara dan ia dibuktikan melalui kesiap-siagaan tinggi dalam operasi serta beberapa latihan dijalankan.

Terbaru, Mega berpeluang mengikuti Eksesais Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Wilayah Maritim Selatan yang berlangsung selama dua hari bermula 4 April lalu.

Diketuai Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan Dan Eksesais Maritim Malaysia, Komander Hamid Mohd. Amin selaku pegawai pengendali, latihan yang dijalankan di sekitar perairan Johor itu tampak berjaya mencapai objektif yang antaranya untuk menguji keupayaan logistik dalam mendokong operasi bersama antara aset wilayah selatan.

Bermula tepat pukul 9.30 pagi Rabu lalu, lima kapal Maritim Malaysia iaitu KM Ramunia, KM Manjung, KM Kukup, KM Sibuan dan KM Mulia dengan diiringi dua bot, Penggalang 32 dan Pengawal 19 meninggalkan Jeti Setulang Laut, Tanjung Puteri Johor Bahru bagi memulakan latihan.

Sambil diekori beberapa bot marin negara jiran yang seolah-olah bimbang dengan pergerakan besar itu, siri eksesais dimulakan dengan navigasi terang gelap di mana bot bergerak dalam formasi ditetapkan untuk keluar dari Selat Tebrau.

Sesudah itu, kira-kira pukul 2 petang, KM Sibuan keluar dari formasi dan memecut sebelum hilang dari pandangan.

Sejam kemudian, laporan dihantar KM Sibuan kepada empat kapal lain memaklumkan terdapat 'mangsa' yang perlu diselamatkan di satu lokasi berhampiran.

Lantas keempat-empat kapal berpecah mencari mangsa. Kelajuan KM Mulia yang dinaiki Mega turut bertambah daripada hanya 10 knot kepada 15 knot menuju ke lokasi pencarian.

Dalam lingkungan tertentu, pencarian dilakukan secara zig-zag'. Akhirnya, setengah jam kemudian, KM Ramunia menghantar laporan bahawa 'mangsa' ditinggalkan KM Sibuan telah ditemui dan selamat dibawa naik ke atas kapal.

Lalu, kesemua kapal kembali bertemu di tengah laut. Tetapi KM Ramunia tampak enggan 'berdamai' dan mengarahkan KM Mulia untuk berhenti bagi digeledah.

Secara tangkas dan pantas, lapan anggota Maritim Malaysia dari KM Ramunia melompat ke atas KM Mulia sebelum melakukan penggeledahan. Hasilnya, sepucuk pistol ditemui disorokkan tekong kapal di dalam laci.

Lantas, tekong kapal ditahan dan semua 'awak-awak' dibawa ke hadapan kapal dan digari. Setelah segalanya selesai, Komander Hamid lalu memberi teguran terhadap perkara tertentu yang perlu diperbaiki dalam teknik serbuan dan penggeledahan.

Keadaan tenang bagaimanapun tidak kekal lama. Secara tiba-tiba KM Mulia dikejutkan dengan jeritan anak kapal yang mengesan kebocoran di dasar kapal menyebabkan ia dimasuki air.

Lantas anak kapal yang berjumlah 30 orang bergegas bekerjasama mengepam air itu keluar sambil sebahagian daripada mereka bekerja keras menutup kebocoran.

Tidak sampai 15 minit, jeritan 'api, api, api' pula kedengaran. Kebanyakan anak kapal yang tadinya berada di bahagian belakang, bergerak ke hadapan memadam kebakaran menggunakan air laut dan pemadam api disediakan.

Selesai segalanya, kira-kira pukul 6 petang, kesemua kapal berlabuh berhampiran Pulau Sibu untuk anak-anak kapal berehat setelah melalui hari yang panjang buat mereka.

Keesokan paginya, kapal-kapal itu bergerak ke Pulau Yu untuk menjalani latihan penembakan. Terlebih dahulu pulau itu dikelilingi bagi memastikan ia tidak didiami sebarang hidupan atau menjadi persinggahan nelayan.

Lalu, kedengaran dentuman pertama dilepaskan meriam 40L/70mm milik KM Mulia diikuti kira-kira 16 dentuman berikutnya dari KM Kukup dan Ramunia sebelum ditutup dengan 11 lagi tembakan KM Mulia.

Sewaktu perjalanan pulang, kesemua kapal itu bergerak dalam pelbagai formasi bagi melengkapkan eksesais terakhir iaitu manuvra taktikal. Kapal-kapal itu kemudiannya kembali berlabuh di Jeti Setulang Laut pada pukul 7 petang.

Mengulas latihan itu, Hamid menyifatkannya sebagai mencapai objektif memandangkan kebanyakan anggota yang menyertainya masih baru dalam perkhidmatan.

"Dalam latihan ini, kami menekankan penglibatan anggota baru dan muda. Buat pengetahuan anda, kebanyakan mereka yang menjayakan penembakan itu pun pertama kali melakukannya.

"Semua itu demi memberi pendedahan. Kami mahu memastikan segala aset termasuk anggota maritim berada di tahap kesiap-siagaan tinggi bagi menghadapi apa jua cabaran di tengah lautan," katanya.

Wednesday, March 7, 2012

Tujuh tahun pencapaian Maritim malaysia

sumber utusan



Maritim berintegriti, negara dihormati" merupakan tema Hari Ulang Tahun Ketujuh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tahun ini yang disambut di Pusat Latihan dan Akademi Maritim Malaysia, Gebeng, Kuantan pada 16 Februari lalu.

Bagi warga Maritim Malaysia, ia pasti mempunyai pelbagai pengertian kerana mereka menggalas tanggungjawab agensi itu untuk terus mengukuhkan iltizam dalam melaksanakan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat demi kesejahteraan rakyat.

Sebagai pasukan beruniform, sudah pasti masyarakat terutamanya komuniti maritim melihat Maritim Malaysia sebagai sebuah organisasi yang masih baru memandangkan ia ditubuhkan pada 15 Februari 2005.

Kini, Maritim Malaysia mengorak langkah ke arah transformasi sebagai sebuah agensi penguatkuasaan maritim tunggal.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Amdan Kurish berkata, tema "Maritim Berintegriti, Negara Dihormati" bertujuan meneruskan kecemerlangan Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan perairan negara ke arah jenayah maritim sifar dengan warganya yang berintegriti, berdisiplin, berketrampilan, berkemahiran dan berpengetahuan tinggi.

"Saya percaya agensi ini akan terus mampu memberi keyakinan kepada semua pihak bahawa keselamatan perairan negara sentiasa terjamin," katanya.

Pelbagai acara menarik diadakan sempena ulang tahun itu, antaranya majlis tahlil dan doa selamat, upacara perbarisan, pameran kerjaya, penyerahan sijil MS ISO 9001:2008 dan pelancaran buku sejarah penubuhan Maritim Malaysia.

Pameran kerjaya atau Job Fair turut diadakan oleh Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia yang melibatkan penyertaan 20 agensi kerajaan dan swasta bermula pukul 11 pagi hingga 5 petang.

Ia juga bertujuan menarik minat golongan remaja menceburi dan menerokai pelbagai bidang kerja di dalam perkhidmatan yang ada termasuk Maritim Malaysia, selain didedahkan tentang peranan dan fungsi pasukan itu sebagai agensi tunggal dalam menguatkuasakan undang-undang maritim dan menjaga keselamatan nyawa dan harta benda di perairan negara.

pencapaian

Selain itu, sambutan hari ulang tahun tersebut juga melambangkan pencapaian yang dikecapi Maritim Malaysia yang membuktikan kredibiliti dan hala tujunya sebagai sebuah agensi yang mendukung misi dan visi kerajaan.

Menurut Mohd. Amdan, agensi itu telah mencapai beberapa pencapaian yang boleh dibanggakan iaitu pengiktirafan kerajaan terhadapnya sebagai agensi penguatkuasaan maritim tunggal pada Ogos 2011.

"Ekoran itu Maritim Malaysia telah mengambil alih aset agensi-agensi lain dan menerima tambahan sejumlah 91 buah bot dan kapal daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), mengambil alih perjawatan sebanyak 1,065 dan tawaran opsyen, lima pangkalan dan pejabat.

"Agensi turut mencatat pencapaian operasi penguatkuasaan meliputi pemeriksaan dan penahanan, jumlah kes-kes berprofil tinggi dan operasi 'carilamat.' Sejak memulakan operasinya pada 2006 sehingga Disember 2011, hasil pemeriksaan yang kerap telah menunjukkan pengurangan peratus jenayah maritim iaitu 20.20 peratus pada 2006 kepada 4.22 peratus pada tahun lalu.

"Berdasarkan rekod International Maritime Bureau (IMB), kejadian pelanunan dan rompakan yang melibatkan kapal dagang di perairan negara jelas telah menurun. Tiada kes dilaporkan berlaku pada 2009 hingga 2010, manakala pada 2011 hanya dua kes saja yang dikesan berlaku.

"Pada awal tahun ini pula, agensi berjaya menggagalkan kes-kes seperti penyeludupan imigran, penyeludupan pendatang asing tanpa asing dan penyeludupan kayu bakau,'' katanya.

Menurutnya, semua kes penyeludupan khasnya kes pemerdagangan orang, PATI, dadah, ganja, rokok, arak, pasir, kayu balak, bakau, barang kawalan dan diesel bersubsidi adalah antara sasaran Maritim Malaysia dalam memerangi satu lagi bentuk jenayah rentas sempadan.

Berdasarkan statistik tahun 2006 hingga Januari 2012 sebanyak 794 pelbagai kes penyeludupan telah dikendalikan yang turut mengecilkan jurang kerugian ekonomi di samping dapat mengekang imej negatif negara.

Dalam kes pencerobohan bot nelayan asing pula, sebanyak 517 tangkapan telah berjaya dilakukan dengan mengutip kira-kira RM236 juta hasil menerusi denda nelayan asing, pelupusan vesel, kompaun dan lelongan ikan pada 2007 hingga 2011.

Penguatkuasaan yang berkesan itu turut mempengaruhi peningkatan statistik pendaratan hasil laut iaitu RM4.02 bilion setahun kepada RM6.32 bilion setahun pada 2009.

Selain itu, salah satu tugas teras agensi itu ialah memberi bantuan kecemasan di laut. Agensi tersebut telah mengambil alih tugas daripada Jabatan Laut sebagai Penyelaras Operasi Mencari dan Menyelamat Maritim Kebangsaan pada Jun 2006.

Statistik Januari 2006 hingga Disember 2011 menunjukkan jumlah mangsa diselamatkan ialah 2,182 (79 peratus) daripada jumlah keseluruhan mangsa iaitu 2,747 orang. Manakala, nilai harta benda yang diselamatkan ialah RM274 juta bersamaan 89 peratus.

Bukan itu sahaja, penyelarasan talian 999 kepada Maritim Malaysia telah mula dilaksanakan dan ia akan mempercepatkan maklumat atau aduan dilaporkan ke pangkalan-pangkalannya yang ada di seluruh negara.

Aset Maritim Malaysia telah dapat digerakkan ke lokasi kejadian dengan lebih pantas sama ada untuk mencegah atau membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang ataupun memberi bantuan kecemasan kepada mangsa di laut dengan adanya talian itu.

Wednesday, February 1, 2012

OPS BERSEPADU PENGUATKUASA MARITIM MEMUKAU



Berada di abad ke 21 ini, Malaysia tidak terkecuali dari menghadapi pelbagai cabaran di dalam persekitaran geopolitik, ekonomi, kedaulatan persempadanan dan keganasan dalam negara dan serantau. Kepentingan laut kepada sebuah negara maritim telah memberi banyak peningkatan kemakmuran kepada penghuninya dan terus memain peranan utama dalam perhubungan, perdagangan, industri perkapalan, perikanan, sumber minyak dan gas asli, pelancongan pulau dan pesisir pantai yang berkait rapat dengan pengembangan ekonomi dunia semasa dan akan datang.

Cabaran-cabaran ini membawa kepada implikasi dan keselamatan sektor maritim yang penggunaannya semakin meluas dan pelbagai. Perdagangan antarabangsa secara langsung akan meningkatkan penggunaan pelabuhan dan laluan perkapalan. Bot-bot kecil tempatan yang menjalankan aktiviti perikanan dan pelancongan turut menjana ekonomi domestik yang sememangnya menjadi sasaran utama penjenayah yang menjalankan modus operandi rompakan, tawanan sebagai tebusan dan sebagainya.

Justeru perkembangan pesat di dalam persekitaran maritim ini telah membuka banyak peluang dan sasaran kepada penjenayah untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang bertentangan dengan perundangan negara. Jenayah pelanunan, rentas sempadan, rompakan, penerokaan sumber-sumber laut secara haram, penyeludupan narkotik, pemerdagangan orang dan migran menjadi cabaran utama kepada agensi-agensi penguatkuasaan maritim negara seperti Polis, Kastam, Imigresen, Tentera Laut dan sebagainya.

Namun pada 21 Ogos 2002 kerajaan mengambil keputusan strategik dengan memfokuskan penguatkuasaan undang-undang maritim dengan mewujudkan agensi tunggal penguatkuasaan dengan menggabungkan elemen-elemen sedia ada menjadi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) atau lebih dikenali dengan panggilan Maritim Malaysia. Selari dengan kehendak negara bagi menyediakan sesuatu yang terbaik sebagai persediaan sebagai sebuah negara maju, peranan dan cabaran penguatkuasaan maritim menjadi lebih mencabar. Namun begitu, tidak bermakna sesuatu tindakan penguatkuasaan, pencegahan dan tindakan hanya terpikul di atas bahu Maritim Malaysia sahaja malah operasi bersepadu dan terkoordinasi masih menjadi amalan di antara satu sama lain bagi menentukan keselamatan perairan negara terpelihara.

Terbaru kerjasama bersepadu di antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan APMM dalam menjaga keselamatan perairan negara telah berjaya menyelamatkan bot nelayan tempatan daripada ditawan dan dirampas oleh penjenayah laut hasil dari maklumat pihak pengusaha nelayan setempat. Kejayaan operasi bersepadu membanteras insiden ini secara tidak langsung telah meningkatkan lagi kepercayaan serta keyakinan komuniti maritim terhadap agensi-agensi penguatkuasaan maritim,

Ops Bersepadu Melawan Penjenayah

Akhir-akhir ini perairan Malaysia terutamanya Selat Melaka sering dicerobohi oleh lanun yang menjalankan aktiviti jenayah rompakan di laut. Modus operandi mereka ialah melakukan rompakan bersenjata dengan mensasarkan feri penumpang, bot-bot nelayan tempatan dan bot-bot leisure milik pelancong yang sedang menikmati percutian di perairan Malaysia. Mereka akan merapat dan menggeledah bot-bot mangsa dengan seberapa pantas dan terus melarikan diri dari sempadan negara atau melepasi Zon Maritim Malaysia dengan hasil rompakan yang dilakukan.

Baru-baru ini penulis secara kebetulan diberi peluang mengikuti satu operasi bersepadu agensi-agensi penguatkuasa maritim membenteras keganasan di laut dan sempat merakam detik-detik cemas dalam satu kejadian rompakan yang berlaku pada 7 Disember lalu terhadap sebuah feri penumpang yang sedang dalam pelayaran dari Pelabuhan Pulau Pinang menuju ke Pulau Langkawi.

Kejadian berlaku semasa feri tersebut melintasi Pulau Ular yang tidak berpenghuni, tiba-tiba feri tersebut dipintas dan dipaksa berhenti oleh sekumpulan orang bertopeng bersenjata api yang menaiki 2 buah bot laju dipercayai kumpulan lanun dari negara asing berdasarkan pertuturan mereka. Menyedari feri mereka sedang dirompak, jurumudi sempat menghubungi pihak berkuasa Maritim yang berpangkalan di Bukit Malut tentang kejadian yang dialaminya melalui frekuensi radio perhubungan yang sedia ada.
Berdasarkan maklumat, pihak berkuasa Maritim Pulau Langkawi telah menugaskan sebuah helikopter miliknya (Dauphin AS 365-N3) menyiasat di lokasi yang dilaporkan dan mendapati memang benar terdapat sebuah feri penumpang sedang digeledah oleh penjenayah. Justeru, TLDM, PDRM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) turut dimaklumkan tentang kejadian ini.

Bagi pihak penguatkuasa, sebaik mendapat pengesahan tentang kejadian oleh juruterbang, Pelan Kontijensi Operasi Bersepadu terus diaktifkan. Elemen-elemen di bawah agensi masing-masing telah digerakkan ke lokasi:

Elemen APMM - 2 x Dauphin AS 365-N3, 1 x Bot Petir Class.
Elemen TLDM - 1x helicopter Super Lynx, 1 x Bot CB 90 dan 1x RHIB.
Elemen PDRM – 1 x helicopter Ecureuil AS 355, 1x bot watercat 1 x RHIB
Elemen JBPM – 1 x fire bot, 2 x Jet Ski dan 1 x Kavlar RHIB.

Menyedari kehadiran Tim Penguatkuasa, lanun yang bersiaga di dalam kedua-dua bot tersebut melarikan diri untuk bersembunyi ke pulau-pulau berhampiran. Walaubagaimana pun sekumpulan lagi perompak yang berada di dalam feri terperangkap dan tidak sempat melarikan diri telah menawan penumpang-penumpang dan menjadikan mereka sebagai tebusan dan perisai untuk berhadapan dengan pihak berkuasa dan mengancam untuk membunuh semua penumpang jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Anggota dalam Bot Petir diarahkan untuk mengawasi dan melakukan perbincangan dengan pihak penjenayah yang terperangkap di dalam feri. Sementara itu anggota-anggota CB 90 diarahkan supaya mengejar dan menangkap penjenayah yang cuba melarikan diri dengan sebuah bot. Manakala RHIB PDRM ditugaskan mengejar bot penjenayah yang satu lagi. Walaubagaimana pun kedua-dua bot penjenayah sempat melarikan diri dan bersembunyi di sebuah pulau yang berkemungkinan menjadi tempat persembunyian mereka bila terdesak.

Berdasarkan maklumat perisikan TLDM yang dapat menghidu tempat persembunyian penjenayah yang malarikan diri, Tim Elit Bersepadu yang terdiri daripada Pasukan Khas Laut (PASKAL), Unit Operasi Khas (Komando 69) dan Unit Gerakan Marin (UNGERIN) PDRM digerakkan melalui udara dan permukaan dengan menggunakan helikopter dan bot dalam misi menangkap penjenayah dan memusnahkan tempat persembunyian mereka.
Komando 69 menggunakan kaedah fast ropping dan PASKAL melaksanakan kaedah fast jump ke dalam laut dari helikopter. Sementara Tim UNGERIN mendarat ke pantai dengan menggunakan Watercat. Mereka bergerak dan membuat penyusupan taktikal dalam usaha untuk menawan dan memusnahkan tempat persembunyian musuh. Pertempuran tidak dapat dielakkan kerana penjenayah tidak mahu menyerah diri.

Serangan pantas 3 penjuru dari Tim Bersepadu Penguatkuasa tidak sukar untuk melumpuhkan pertahanan kumpulan penjenayah. Operasi mereka berjaya di mana di dalam drama serbuan tersebut 6 orang lanun telah terbunuh dan tempat persembunyian mereka dimusnahkan. Super Lnyx TLDM dan Ecureuil AS 355 PDRM mengeluarkan Pasukan Khas masing-masing dari kawasan operasi dengan kaedah Spie Rig sebaik selesai tugas.
Sementara itu, penjenayah yang berada di dalam feri merasa terdesak dan bertindak menggunakan penumpang sebagai tebusan dalam usaha untuk melarikan diri. Helikopter yang membawa penembak tepat memantau gerak geri penjenayah serta tebusan melalui udara.
Penembak tepat juga bertindak sebagai penyampai maklumat-maklumat yang berkaitan kepada Tim Penggempur sebelum melaksanakan operasi menyelamat tebusan.
Sebuah pesawat helikopter dan RHIB yang membawa PASKAL dan Special Task And Rescue (STAR) APMM telah merapat untuk melaksanakan teknik fast ropping dan special ship boarding ke atas feri yang dirampas.

Semasa tim penggempur di dalam gerakan merapat ke sasaran, penembak tepat dari pesawat helikopter akan sentiasa mengawal tembakan dari pengawal musuh. Bagi memulakan serangan, penembak tepat akan mengawal musuh yang berada di luar sasaran untuk memudahkan tim penggempur menyerbu masuk ke dalam feri dan seterusnya menyelamat tebusan yang telah ditawan oleh lanun. Setelah semua lanun/penjenayah di dalam feri ditewaskan, tebusan yang telah diselamatkan diasingkan dan dibawa keluar dari sasaran untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut. Misi menyelamat tebusan juga telah berjaya.

Feri terbabit, semasa meneruskan perjalanan ke Jeti Kuah tiba-tiba meletup dan terbakar. Beberapa orang kru feri tercampak ke laut. Jabatan Bomba dan Penyelamat bergegas ke tempat kejadian untuk memberikan bantuan. Tim penyelamat yang menggunakan Jet Ski berusaha menyelamatkan orang jatuh laut dengan menggunakan towing stretcher sementara fire boat menggunakan water jet dan water spray untuk memadamkan kebakaran. Kevlar boat digunakan untuk mencari dan menyelamat mangsa-mangsa lemas berasaskan kemampuan mobiliti dan kelajuannya dan kemampuan bertindak di dalam cuaca buruk dan arus deras.

Kru feri yang tercedera teruk di angkat (vertically winched) ke dalam helikopter Dauphin. Perenang penyelamat diturunkan ke dalam air bagi membantu mangsa lemas dengan mengikat mangsa bersamanya dan kembali dinaikan ke dalam helikopter dan terus di bawa ke hospital untuk rawatan kecemasan.

Operasi Berjaya

Sebenarnya aksi-aksi lasak dalam operasi bersepadu membebaskan tebusan dalam demonstrasi di atas telah mempamirkan suatu kerjasama berpasukan yang memerlukan kepantasan, ketepatan dan keberanian luar biasa pemain-pemain untuk menentukan keberhasilan sesuatu tindakan ke tahap maksima namun dalam masa yang sama kecelakaan sifar bagi pihak kawan. Bagi menyokong keberkesanan operasi lasak sebegini, sudah tentu mesen yang digunakan juga mesti yang tahan lasak.

Pelaburan negara dalam menyediakan Pasukan Khusus samada dari unit-unit Tentera Darat, Laut, Udara, Polis, Maritim dikira sangat berbaloi berdasarkan prestasi yang telah dicapai selama ini melalui penglibatan mereka dalam kejadian-kejadian sebenar dalam dan luar negara. Menyedari kepentingan pasukan ini kepada kesejahteraan negara, rakyat Malaysia yang patriotik seharusnya menyokong segala usaha mempertingkatkan keupayaan mereka ini samada dalam bentuk peralatan/mesen sokongan kerja maupun insentif kepada individu tanpa prejudis. PERAJURIT

Pelan Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040

Sumber utusan




Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) atau lebih dikenali dengan panggilan Maritim Malaysia (MM) baru-baru ini telah melancarkan buku Pelan Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040 (PPSMM 2040) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri sempena LIMA’11. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan buku setebal 98 muka surat yang merupakan pelan induk yang mensasarkan perancangan dan tindakan MM ke arah kecemerlangan sehingga tahun 2040.

Dalam buku tersebut, MM memperincikan 7 bab yang mengandungi agenda-agenda bagi tempoh jangka pendek dan jangka panjang bagi memacu keberkesanan MM melaksanakan misi yang ditetapkan kerajaan iaitu:
Bab 1- Pengenalan PPSMM 2040
Bab 2- Orgnisasi MM
Bab 3- Persekitaran Strategik Malaysia dan Penilaian Ancaman
Bab 4- Strategi bantuan Pertahanan dan Konsep Operasi MM
Bab 5- Pelan Perancangan strategik MM Mengikut Fasa
Bab 6- Implementasi Pelan Perancangan Strategik MM
Bab 7- Sistem Pengurusan Prestasi MM

Di antara intipati yang menarik untuk dikupas ialah Pelan Jangka Pendek dan Jangka Panjang yang digubal bagi menentukan hala tuju MM mencapai kecemerlangan organisasi di samping merealisasikan visi yang ditetapkan.

Pelan Jangka Pendek memberi keutamaan kepada perolehan aset, pengambilan dan pembangunan sumber manusia yang diperlukan bagi menyokong tugas dan aktiviti serta merta penguatkuasaan dan carilamat maritim.

Pelan Jangka Panjang meliputi perolehan dan penggantian aset bagi mengekalkan dan melengkapkan kekuatan angkatan MM yang dihasratkan. Pelan perlaksanaan juga diatur mengikut fasa iaitu :

Fasa 1(Tahun 2006-2010)- Fasa ini telah dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK 9) dengan memberi keutamaan di dalam membina keupayaan dan penguatkuasaan dan carilamat maritim khususnya bagi membentuk MM daripada APMM yang serba kekurangan kepada agensi yang unggul menjelang 2011. Ciri-ciri fasa 1 ialah membangunkan aset udara, laut, sistem-sistem penguasaan laut, sistem pemerintahan, kawalan dan perisikan dan sensor-sensor yang berkaitan, dan aset asas Tim Special Task And Rescue (STAR) sebagai persediaan ke arah menjadikan MM sebagai agensi tunggal penguatkuasaan maritim negara sebelum September 2011.
Fasa 2 (Tahun 2011-2015) – Fasa ini selari dengan rancangan pembangunan RMK 10 dengan melaksanakan dua perkara penting seperti yang telah dirancang iaitu kewujudan MM sebagai agensi penguatkuasaan maritim yang tunggal menjelang bulan Ogos 2011 dan pengambilalihan tugas penguatkuasaan undang-undang maritim negara secara keseluruhan dari lain-lain agensi penguatkuasaan maritim. Di samping itu juga dalam fasa 2 ini mensasarkan perolehan penambahan aset udara dan permukaan dan juga penambahbaikan kepada sistem pengawasan laut.
Fasa 3(Tahun 2016-2020) – Selari dengan pembangunan RMK 11, fasa ini akan meneruskan perolehan, penggantian dan program memanjang jangka hayat (SLEP) aset dan juga penambahbaikan terhadap sistem pengawasan dan perhubungan bagi memperkasakan keupayaan penguatkuasaan dan carilamat. Di samping meneruskan pembinaan prasarana, ibu pejabat wilayah, pangkalan maritim dan stesen udara. Menjelang akhir fasa ini MM menjangkakan hampir 90 peratus aset termasuk kelengkapan dan 100 peratus keperluan sumber manusia dapat dipenuhi.

Fasa 4(Tahun 2021-2025) – Selari dengan pembangunan RMK12, fasa ini diteruskan dengan program-program memperkasakan MM dengan perolehan pesawat udara Maritime Patrol Aircraft (MPA), SLEP kepada kapal-kapal yang menjangkau 20 tahun, pembinaan pangkalan maritim yang tidak dapat dilaksanakan semasa RMK 10/11 dan melaksanakan penambahbaikan peranti sistem SWASLA dan C4ISR sesuai dengan teknologi semasa.
Fasa 5,6,& 7 (Tahun 2026-2030, 2031-2035, 2036-2040) – Fasa ini selari dengan pembangunan RMK 13, 14 dan 15 dengan meneruskan program-program perolehan penggantian dan penambahan aset, penambahbaikan sistem dan SLEP bagi mengekalkan keupayaan angkatan MM seperti yang dihasratkan bagi merealisasikan visi dan misi 2040 MM.

Rumusan

PPSM 2040 turut menggariskan 5 matlamat strategik dan 10 objektif strategik dalam usaha menjadikan MM sebagai penguatkuasa tunggal yang versatil dengan imperatif operasinya berkisar kepada menjalinkan kerjasama dengan komuniti maritim bagi mewujudkan suasana maritim yang kondusif dan rasa aman sekali gus dapat mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan harta benda di laut.
Adalah dijangkakan dalam tempoh ini MM akan dilengkapi dengan perjawatan dan sumber manusia aset udara, aset laut, sistem pengawasan, sistem pemerintahan kawalan dan perisikan yang dapat melaksanakan tugas penguatkuasaan carilamat, bantuan melawan kebakaran dan pencemaran maritim yang menyeluruh dan berkesan.
Dalam tempoh ini juga MM dijangka dapat mengekalkan sebanyak 116 kapal ronda iaitu 96 buah bersaiz sederhana dan 20 buah bersaiz besar. 228 bot saiz 20 meter ke bawah (95 bot pemintas, 133 RHIB/RIB) dan sebanyak 15 pesawat helikopter, 12 buah pesawat kepak kaku, sistem pengawasan perairan yang meliputi seluruh perairan negara yang juga merangkumi teknologi penggunaan satelit, sistem C4ISR yang lengkap berteraskan teknologi satelit. 34 unit stesen udara, pangkalan MM yang dilengkapi dengan kemudahan dan insfrastruktur terkini. Kekuatan sumber manusia untuk mengoperasikan aset-aset MM ialah dijangka berjumlah 9,414 orang menjelang tahun 2040.
Berdasarkan satistik kejayaan MM, dalam tempoh 6 bulan pertama 2011, sebanyak 8,135 kapal dan bot telah dibuat pemeriksaan dan dari jumlah berkenaan sebanyak 393 di antaranya telah ditahan di atas pelbagai kesalahan. Kejayaan menumpaskan 2 kumpulan perompak di selatan Johor pada bulan Mac lalu telah memberi impak cegah rintang yang melahirkan rasa konfiden oleh komuniti maritim setempat dan serantau.
Satu kelebihan juga kepada negara di mana di bawah peruntukan seksyen 17 akta maritim, ianya boleh dijadikan aset pertahanan jika sekiranya negara diistiharkan darurat, krisis khas atau perang. Optimis dengan kejayaan semasa, dinamika dan iltizam barisan pimpinan pengurusan yang berpengalaman dan profesional di arena maritim dan penguatkuasaan, PPSMM 2040 akan menjadi check of list dan penanda aras kecemerlangan Maritim Malaysia di masa hadapan. PERAJURIT

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini