About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Thursday, August 6, 2020

PjM U TAMAT LATIHAN DALAM SUASANA NORMA BAHARU

 Oleh: Paklang Hamzah/foto PRO TUDM


IPOH, 5 Ogos 2020 - Meski pun penularan Pandemik COVID-19 masih melanda negara, Perbarisan Tamat Latihan  pelatih lelaki Perajurit Muda Udara (PjM U ) telah dilaksanakan dengan jayanya.

Latihan asas PjM U siri 22/60 telah memulakan latihan pada tanggal 1 Jan 20 sehingga 21 Ogos 20, berlarutan selama 32 minggu berbanding 24 minggu bagi siri-siri yang lepas telah berdepan dengan pandemik COVID-19. Latihan yang dilaksanakan terpaksa  mengikut SOP yang ditetapkan.

Istiadat perbarisan ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM yang diadakan di Padang Kawad, Akademi Tentera Udara, Ipoh.

Perbarisan yang dilaksanakan secara statik hari ini terdiri daripada 315 PjM U serta diiringi gabungan Pancaragam Akademi Tentera Udara dan Kolej Tentera Udara diketuai oleh Lt Muhamad Haniff bin Che Razak TUDM. 

Setiap pelatih telah dibahagikan kepada 3 flait dan menjalani latihan dalam tiga (3) fasa iaitu fasa satu iaitu latihan asas ketenteraan, fasa kedua iaitu pelajaran serta akademik dan fasa ketiga iaitu latihan, ujian praktikal serta pembentukan sahsiah setiap pelatih.

Pada Istiadat Perbarisan PjM Udara kali ini, PjM U Amirul Faris bin Ahmad Kamal telah dipilih sebagai penerima Anugerah PjM U Terbaik Keseluruhan. Ianya berdasarkan penilaian keseluruhan di dalam fasa-fasa yang ditempuhi oleh setiap pelatih. Bagi Anugerah PjM U Akademik Terbaik pula telah disandang oleh PjM U Muhammad Hafizuddin bin Abdul Halim manakala Anugerah Penembak Terbaik telah disandang oleh PjM U Nik Muhaimin bin Nik Sazali.

Panglima Tentera Udara di dalam ucapan di perbarisan pada pagi ini telah menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada semua PjM U yang berjaya menamatkan latihan kerana mereka juga diperlukan untuk meneruskan perjuangan dalam usaha membentuk angkatan udara yang unggul dan berwibawa di rantau ini. 

"Asas yang telah diperolehi ini sewajarnya menjadi dokongan dalam menempuhi pengalaman agar Visi dan Misi TUDM dapat direalisasikan" ujar Panglima Tentera Udara. 

Ianya selari dengan Perintah Ulung Panglima Tentera Udara, dalam Teras Ketujuh, Budaya Kerja dan Chief of Air Force Ground Rules iaitu memperkukuhkan kerjasama berpasukan dengan membudayakan positive mindset di kalangan seluruh warga TUDM. 

Beliau juga menzahirkan terima kasih kepada para jurulatih dan staf pusat latihan serta tidak terkecuali ibu bapa dan keluarga yang telah memberikan dorongan dan semangat kepada PjM U yang mengharungi latihan dengan jayanya. 

Meskipun tanpa kehadiran ibu bapa dan keluarga tercinta pada istiadat perbarisan kali ini berikutan kekangan pandemik COVID-19, para PjM U tetap memberikan komitmen penuh menjayakan momen bersejarah mereka pada hari ini. Kesemua PjM U ini seterusnya akan ditempatkan di pasukan-pasukan yang telah ditetapkan dan mereka kemudiannya akan menghadiri kursus asas ketukangan bagi memantapkan pengetahuan mengikut ketukangan masing-masing. 


Turut hadir ke istiadat perbarisan adalah Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato' Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM, Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Lt Jen Dato' Roshaimi bin Zakaria TUDM serta beberapa Pegawai Kanan TUDM. MP

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini