About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Tuesday, June 15, 2021

PASSEX – KD LEKIR VS FS SURCOUF

 

Telah diterbitkan dalam Majalah Perajurit edisi Mei/Jul 2021



Oleh: Paklang Hamzah/Foto: BKS MPAB

Passage Exercise (PASSEX) adalah latihan bilateral antara tentera laut dua buah negara di mana biasanya dilakukan di perairan laut tuan rumah negara-negara yang dilawati sebagai ‘pemanasan’ sewaktu menyambut atau mengiringi tetamu yang bertandang.  Tidak terkecuali budaya tradisi tentera laut ini sering menjadi amalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) setiap kali meraikan rakan-rakan tentera laut dunia yang bertandang atau yang hanya melalui perairan negara untuk ke destinasi lain sebagai tanda hubungan diplomatik yang baik dengan negara-negara tersebut.

Pada 3 Jun yang lalu, sempena kehadiran sebuah kapal perang Tentera Laut negara Perancis, FS SURCOUF  yang sedang dalam program pelayaran Mission Jeanne D’Arc 2021 dari Perancis menuju ke Jepun, telah mengadakan PASSEX dengan sebuah kapal TLDM KD LEKIR (FFG 26) di sekitar Selat Melaka Utara.

Sebelum itu, FS SURCOUF (FFG 711) telah singgah berlabuh di jeti Awana Porto Malai, Langkawi pada 29 Mei hingga 1 Jun 21 bagi mengisi keperluan logistik sebelum meneruskan pelayaran ke destinasi seterusnya.  FS SURCOUF ialah sebuah kapal Frigat Pembawa Misil kelas La Fayette yang dibina pada 6 Julai 1992 dan dilancarkan pada Julai 1993 dan ditauliahkan di dalam perkhidmatan tentera laut Perancis pada 1997.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat,  Lt Kdr Haniff TLDM, PASSEX kali ini merupakan salah satu inisiatif pihak TLDM dan Tentera Laut Perancis bagi mengeratkan hubungan diplomatik antara kedua buah negara serta meningkatkan kebolehupayaan bersama. Latihan ini juga bertujuan untuk menguji dan memastikan kedua-dua kapal mampu berkomunikasi dan bekerjasama dengan baik di laut. Kejayaan latihan tersebut hasil daripada komitmen di antara kedua-dua buah pihak iaitu KD LEKIR dan FS SURCOUF dalam mewujudkan hubungan strategik dua hala.

Katanya lagi, bagi memenuhi objektif latihan tersebut, beberapa jenis latihan telah dilaksanakan iaitu Penembakan Sasaran Permukaan - Tactical Firing dalam Formasi Oscar dengan kedua-dua buah kapal menembak 10 butir peluru pada jarak 4 batu nautika dengan menggunakkan sasaran Killer Tomato. Selain itu, latihan Replinishment at Sea (RAS) Approach merupakan evolusi yang dilaksanakan secara bergilir bagi memberi peluang kepada kedua-buah kapal menghampiri (approach) dengan jarak terhampir semasa merapat iaitu dengan jarak 40 meter.

Selain dari itu turut dilaksanakan ialah latihan Manuvra  Pegawai Bertugas Anjungan  (OOW Manoeuvre) dengan 7 formasi taktikal telah berjaya dilaksanakan.  Bot Marlin 1 milik KD LEKIR telah diturunkan bagi melaksanakan pertukaran cenderahati dalam slot Latihan Boat Operation.  Latihan Sail Pass and Breakaway di mana FS SURCOUF telah melaksanakan Sail Pass di lambung sebelah kanan KD LEKIR sebelum latihan PASSEX tersebut selesai. Penggambaran dari udara melalui pesawat FENNEC milik TLDM.  Secara keseluruhan, semua latihan yang dirancang telah berjaya dilaksanakan dan mencapai objektif bagi menguji kemampuan aset TLDM ketika beroperasi bersama aset-aset dari negara lain sekali gus membuktikan visi TLDM untuk menjadi Tentera Laut bertaraf dunia tidak mustahil untuk dicapai berdasarkan kemampuan dan kebolehan sedia ada.

Karakteristik Kapal Terlibat


(Sumber: Wikipedia)

 

FS SURCOUF (FFG 711)

KD LEKIR (FFG 26)

Kelas/Jenis

Frigat (Kelas La Fayette)

FS1500 Korvet (Kelas Kasturi)

Berat (muatan penuh)

3200 ton

1850 ton

Panjang

125m

98m

Lebar

15.4m

11.5m

Kedalaman

4.8m

3.5m

Propulsi

4 diesel SEMT Pielstick 12PA6V280 STC2, 21000 hp (15 400 kW)

4 × MTU 20V 1163 TB92 diesels 23,460 bhp (17,490 kW) 2 shafts

Kelajuan

25 knots

28 knots

Jarak

7,000 nm at 15 knots, 9000 nm at 12 knots

5,000 nm at 14 knots

Komplimen

12 officers, 68 non-comm officers, 61 men

124

Penderia

Air/Surface DRBV 15C sentry radar

Firing control radar for the100mm gun

DRBN34 navigation radar

DRBN34 landing radar

BlueWatcher sonar

TACTICOS Combat Management System

Thales Link Y Mk 2.5

DA-08 search radar

WM-22 fire control radar

DSQS-24C sonar

Peperangan Elektronik dan Decoy

-Saïgon ARBG 1 radio interceptor

-ARBR 21 radar interceptor

-Dagaie Mk2 chaff launcher

-AN/SLQ-25 Nixie tugged noise maker

-Prairie-Masker noise reduction system

-Syracuse II

-Inmarsat

DR3000S ESM suite

Scimitar jammers

SKWS decoys

 

Persenjataan

-Anti-ship;

8 × Exocet MM40 block II anti-ship missiles

-Guns;

 100 mm TR automatic gun

2 × 20 mm modèle F2 guns

-Anti-aircraft;

1 × Crotale CN2 launcher (8 missiles on the launcher with 16 reload)

Guns: 1 × Bofors 57 mm gun

2 × MSI DS30M 30 mm cannon

Anti-air: MANPAD SAM

Anti-ship: 8 × Exocet MM40 Block 2

Anti-submarine: 2 × triple  Eurotorp B515 with A244-S  ASW torpedoes

 

Helikopter

1 × helicopter (Panther or NH90)

1 x Super  LYNX 100

#



ATM KOMITED BANTU NEGARA TANGANI PENULARAN PANDEMIK COVID-19

 Telah diterbitkan dalam Majalah Perajurit edisi Mei/Jun 2021


Oleh: Paklang hamzah

Foto: Bahagian Hal Ehwal Awam Markas ATM


Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah membuat pendekatan positif membantu negara secara aktif dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19 yang semakin mendadak ketika ini. Selain terlibat secara aktif di dalam aspek kawalan keselamatan persempadanan negara menerusi OP BENTENG dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi OP PENAWAR, ATM juga terlibat secara aktif di dalam memberikan bantuan kesihatan melalui Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera (PKAT).

Dalam usaha ini, PKAT telah membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di dalam beberapa aspek preventif dengan melaksanakan ujian saringan di zon-zon merah serta di lapangan terbang dan pintu-pintu masuk negara.

Sebelum ini PKAT juga turut melaksanakan pembinaan dan pengoperasian Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang(MAEPS), Makeshift Treatment Centre di Pokok Sena, Kedah, Hospital Medan ATM Tawau, Sabah dan Hospital Medan ATM Kapit, Sarawak.

ICU Medan Kepala Batas

 


Terkini, ATM mengaturgerak ICU Medan ke Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang yang mampu menempatkan 24 pesakit kritikal COVID-19. Sistem ICU Medan ini merupakan satu sistem Hybrid yang menggunakan kombinasi Modul Kontena dan Kompleks Khemah Utilis dan akan dilengkapi peralatan perubatan yang diperlukan. Konsep Pengoperasian Multi-Agensi akan di gunapakai bagi operasi ini.

 

Aturgerak anggota dan aset serta kerja-kerja pemasangan telah dikoordinasikan oleh pasukan Batalion Kedua Perubatan (2 Bn Ubat) yang berpangkalan di Kluang, Johor serta bantuan dari Kompeni B,  2 Bn Ubat yang berpangkalan di Sungai Petani Kedah. Kerja pemasangan ini telah bermula pada 18 Mei 2021 dengan bantuan khidmat nasihat teknikal daripada Cawangan Kesihatan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div).

Fasa awal ICU Medan ini telah beroperasi sepenuhnya dan menerima pesakit pada 25 Mei 2021. Panglima Briged Ke-6 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Khairul Anuar Abd Aziz diletakkan sebagai  Pemerintah Operasi dan Leftenan Kolonel (Dr) Zamri bin Derahman, Pegawai Memerintah 2 Bn Ubat merupakan Komander yang dipertanggungjawabkan dalam aspek pengurusan dan pengoperasian ICU medan berkenaan. 

Seramai 3 orang pegawai dan 30 anggota lain-lain pangkat (LLP) dari 2 Bn Ubat, 2 Pakar Bius daripada Hospital Angkatan Tentera Tuaku Mizan (HATM) dan 2 Pakar Teknikal Operasi Hospital Medan yang merupakan petugas tetap di ICU medan Kepala Batas ini. Manakala peralatan dan kelengkapan  yang ditempatkan di sini ialah  3 Modul ICU, 1 Modul X-Ray, 3 Khemah Uitilis TM 54, 7 Khemah Utilis TM 26, aset-aset perubatan dan logistik am.

Lawatan

Sebelum itu, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakaria bin Hj Yadi telah berkesempatan mengadakan lawatan teknikal bagi meninjau pengoperasian dan kesiagaan ICU Medan ATM yang didirikan di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang ini.

Lawatan ini turut diringi oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Dato’ (Dr) Zulkeffeli bin Mat Jusoh dan Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk ArmanRumaizi bin Hj. Ahmad.

 

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri DatoSeri Dr. Noor Hisham bin Abdullah  dan KSU KKM Datuk Mohd Shafiq bin Abdullah.

Menurut Lt. Jen. Datuk Mohd Zakaria, ATM melalui PKAT bersedia digerakkan ke kawasan kritikal bagi membantu membendung gelombang ketiga pandemik COVID-19. Walau bagaimanapun, ia tertakluk kepada kemampuan sedia ada setelah penilaian rapi dilaksanakan berdasarkan keperluan yang dikemukakan oleh KKM. Setiap keperluan di lapangan akan dinilai secara teliti kerana ATM perlu mempunyai simpanan untuk kegunaan kecemasan bagi memastikan aset perubatan mencukupi bagi menyokong operasi ATM apabila diperlukan.

Katanya lagi, ATM akan sentiasa bersiap sedia membantu agensi-agensi awam dan akan sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan di seluruh negara sebagai salah satu daripada pelaksanaan tugas-tugas sekunder atau dalam konsep Military Operation Other Than War (MOOTW). Usaha ATM ini juga adalah sebahagian dari implimentasi Pelan Strategik Kementerian Pertahanan iaitu Pengukuhan Kerjasama Awam -Tentera (Civil Military Cooperation – CIMIC) demi Pertahanan Menyeluruh (HANRUH). #



ULASAN BUKU : SOMALIA BELANG HARIMAU BESI

 Diterbitkan dalam majalah Perajurit edisi Jun/Jul 2021

 


Oleh: Paklang Hamzah

Foto: PRTDM

Pada 26 Mac 2021 yang lalu telah berlangsung satu Majlis Pelancaran Buku tentang sejarah perjuangan  Tentera Darat Malaysia (TDM) khususnya Batalion  Ke-19  Rejimen  Askar  Melayu  Diraja  Mekanize (19 RAMD Mek) yang diadakan di Dewan Zainal, Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani.  Telah dirasmikan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain bersama Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin bin Abg. Shokeran. Sebuah karya yang  ditulis oleh YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Mohd Halim Khalid PGB (DMH) berdasarkan kisah benar perjuangan pahlawan negara demi keamanan sejagat.

DMH yang kini merupakan Panglima 5 Divisyen berasal dari Simpang Pulai Ipoh Perak dilahirkan pada 05 Jan 1963 telah ditauliahkan ke RAMD pada tahun 1982.  Pernah diaturgerak ke 3 RAMD sebelum ke 19 RAMD Mek.  Sepanjang perkhidmatan, beliau pernah memegang  jawatan sebagai Pegawai Staf di Markas TDM dan Markas ATM.  Di peringkat antarabangsa beliau pernah ditugaskan sebagai Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao dan Penasihat Pertahanan di Abu Dhabi.  DMH telah dikurniakan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) pada 4 Jun 1994. Pingat PGB merupakan pingat keberanian kedua tertinggi dalam senarai pingat-pingat keberanian persekutuan.

Ulasan Buku

Buku setebal 202 muka surat (termasuk indek)ini mengandungi 10 bab yang sarat dengan penceritaan tentang penglibatan DMH bersama rakan sepasukannya dalam  operasi khas bersama Malaysia Battalion (MALBATT).  Dengan gaya bahasa dan susunan plot  penceritaan yang mudah difahami diselit dengan perkataan-perkataan yang agak puitis yang menggambarkan DMH seorang yang berjiwa seni.  

Penceritaan yang diiringi dengan paparan imej yang relevan dengan peristiwa semasa namun imej hitam putih yang dipaparkan, pada pendapat peribadi penulis agak kurang terserlah.  Mungkin DMH mempunyai alasannya yang tersendiri kenapa paparan imen dibuat dalam bentuk hitam putih. Namun begitu, karya ini sangat menarik dan sesuai untuk dibaca oleh semua golongan terutamanya bagi mereka yang gemar mengumpul kisah-kisah sebenar sejarah perjuangan pasukan keselamatan negara yang mempertaruhkan keringat, darah dan nyawa mereka sebagai galang ganti. 

Malah naskah perjuangan karya DMH ini sangat wajar jika dijadikan buku teks bagi pelajar aliran sastera sekolah menengah dalam usaha memberi kefahaman kepada generasi muda  tentang perjuangan dan pencapaian pasukan keselamatan negara amnya.

DMH memulakan penulisannya dengan Prakata dan di antara bait-bait yang menjadi  hala tuju dan  komitmen beliau untuk menulis.  “……Buku ini juga merupakan manifestasi kekaguman dan penghormatan saya kepada para sahabat yang sama-sama bergadai nyawa sewaktu misi di Somalia.    Sedaya upaya, saya berusaha untuk memastikan bahawa tiada sekecil zarah rakaman sejarah ini tertinggal semasa proses pengkaryaannya disempurnakan……”

DMH bertekad untuk membetulkan fakta sejarah yang diketahui dan dipegang oleh banyak orang di seluruh dunia  yang telah diputarbelitkan oleh pihak tertentu untuk kepentingan peribadi mereka.  Maka lahirlah Somalia Belang Harimau Besi pada hari ini.

DMH memulakan coretan dalam Bab 1 dengan rangkapan Sumpah Perwira yang menjadi nadi perjuangan 19 RAMD.

…..  “Kami Semua Sedia Berbakti, Untuk Bangsa Ibu Pertiwi, Setiap Masa Taat Setia dan Itulah Sumpah Perwira”………

Menurutnya, 19 RAMD ditubuhkan pada 01 Januari 1977 di Kem Imphal, Kuala Lumpur dan dipindahkan ke Kem Lapangan Terbang Sungai Petani Kedah bagi memenuhi keperluan semasa.  Pasukan ini telah banyak menabur bakti terutamanya di kawasan utara semenanjung Malaysia dalam Operasi Melawan Insurgensi,  Misi-misi Kemanusiaan dan Projek Jiwa Murni bersama masyarakat setempat.  Sesuai dengan penstrukturan semula TDM terhadap pasukan di bawah naungannya, 19 RAMD diberi peranan baharu sebagai Batalion Mekanis pada 01 Januari 1987 selepas hampir 2 dekad penubuhannya. 

Peralihan ini sangat bermakna buat DMH dalam menempuhi liku kerjaya sebagai perwira pasukan infantri.  Jiwanya yang begitu bersemangat apabila diberi kesempatan untuk menyumbang khidmat bakti bagi bersama-sama membangunkan pasukan mekanis pertama dalam sejarah ketenteraan negara.  Logo yang dizahirkan melalui harimau belang yang berlatarbelakangkan warna jingga menjadi mascot rasmi pasukan yang menjadi simbol semangat keberanian dan kekuatan Batalion Infantri Mekanis.

…..  “Hidup sebagai anggota tentera, nafasnya sentiasa bersatu dengan semangat yang bernyala dalam jiwa.  Ikrar perjuangannya bergema di jagat tanah air….” 

Operasi menghapuskan pengganas komunis merupakan detik perjuangan yang memberi  bekas yang sangat mendalam kepada  pasukan infantri TD tidak terkecuali bagi pasukan 19 RAMD Mek sendiri.  Operasi ini telah banyak mengorbankan nyawa dan telah mencederakan 40 anggota dalam pasukan akibat pertempuran dan bencana periuk api.

Dalam bab ini juga DMH mencoretkan kenangan beliau semasa beroperasi di Malaysia Timur bersama pasukan 3RAMD pada tahun 1980. Dalam satu operasi, mereka diarahkan mengepung pengganas komunis.  Dalam pertempuran tersebut seorang perajurit telah gugur ditembak musuh.

Penceritaan beliau seterusnya ialah berkisar kepada pemilihan 19 RAMD MEK untuk berbakti di bawah Panji-panji Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan menjadi komponen utama MALBATT 1 yang akan bertugas di Somalia di bawah ketumbukan United nation Operation in Somalia II(UNOSOM II).  Arahan dikeluarkan pada 06 disember 1992 bagi persediaan melaksanakan misi pada 1993.  Permohonan beliau untuk menyertai misi ini diperkenan oleh pucuk pimpinan TD kerana pada waktu itu beliau sedang bertugas sebagai jurulatih di Maktab Tentera Diraja.  Dari pemilihan pegawai dan anggota  serta pengumpulan maklumat misi diceritakan dalam bab ini.

 

Somalia Bumi Bergolak

Dalam bab 2 dan 3 DMH menggambarkan secara jelas kepada pembaca tentang Somalia dalam konteks geografi, politik, kaum dan perebutan kuasa yang menjurus kepada  pergolakan perang saudara.  Bencana ini mendapat reaksi dunia yang memaksa campurtangan PBB melalui pemeteraian United Nation Security Council Resolution (UNSCR) yang mempersetujui agar embargo senjata terhadap Somalia dan gencatan senjata antara puak bertelagah dimulakan serta merta dan penghantaran bantuan kemanusiaan segera dilaksanakan.

Berasaskan kegagalan misi bantuan ini PBB melalui UNSCR 794 pada 3 Disember 1992 telah mengaturgerakkan United Task Force (UNITAF) dengan 35 ribu anggota tentera pelbagai negara bagi mewujudkan persekitaran selamat untuk misi kemanusiaan sampai kepada sasaran.

Pada 06 Jun 1993, PBB menubuhkan UNOSOM II bagi menggantikan UNITAF di mana UNOSOM ll tidak lagi bertindak sebagai pemerhati keamanan seperti dalam misi PBB terdahulu tetapi sebagai penguatkuasa keamanan.  Resolusi ini mengizinkan penguatkuasa menggunakan kekerasan dalam perlaksanaan tugas jika perlu.

Pasukan UNOSOM ll dibentuk dengan kekuatan 28 ribu anggota polis, tentera dan awam di peringkat antarabangsa dan tempatan.  Kerajaan Malaysia mengemukakan hasrat kepada PBB untuk menyumbang  kontinjen tentera dalam misi UNOSOM ll. Jemaah Menteri Malaysia telah bersetuju mengaturgerakkan ATM menyertai UNOSOM ll pada 18 Mac 1993 setelah dipersetujui oleh PBB bersama negara Australia, Bangladesh, Belgium, Botswana, Kanada, Mesir, Perancis, Jerman, Ghana, Greece, India, Indonesia,Ireland, Itali, Kuwait, Maghribi, Nepal, Belanda , New Zealand, Nigeria, Norway, Pakistan, Filipina, Republik Korea, Romania, Arab Saudi, Sweden, Turnisia, Turki, Emiriah Arab Bersatu, USA, Zambia dan Zimbabwe.

Sepanjang penugasan, seramai 154 orang penguatkuasa keamanan dari pelbagai negara telah terkorban iaitu 149 orang anggota tentera termasuk seorang anggota ATM yang terkorban dalam pertempuran Pasar Bakara. Tiga orang kakitangan antarabangsa dan 2 orang kaktangan tempatan.

MALBATT 1 Diaturgerak

Dalam Bab 4, DMH menceritakan komposisi MALBATT 1 di mana 19 RAMD Mek sebagai pasukan induk. Kontijen ATM yang terlibat berkekuatan 850 orang yang terdiri dari elemen pemerintah dan elemen tempur diaturgerak setelah melakukan persiapan selama 4 bulan dalam konteks latihan dan pengumpulan kelengkapan logistik.

DMH bertindak sebagai Penolong Ketua Kompeni bergerak bersama kumpulan pendahuluan yang diketuai oleh Kolonel Abdul Latif Ahmad selaku Komander MALBATT 1 berserta 18 orang pegawai dan 32 orang anggota LLP berlepas ke Somalia pada 18 Jun 1993 dengan menaiki pesawat C130 TUDM.  Berdasarkan perkhidmatan cemerlang  yang ditunjukkan pasukan MALBATT terdahulu maka MALBATT 1 diberi penghormatan sebagai pasukan simpanan Pemerintah Ketumbukan Tentera UNOSOM ll dan Pasukan Tindak Cepat kepada Markas UNOSOM ll yang ditempatkan di kawasan Lapangan Terbang Mogadishu.

“…..hidup di sini adalah perjuangan.  Somalia bukanlah tanah yang makmur lagi tenang. Jauh terpinggir dari syurga dunia.  Di sini semua kering kontang. Panas membahang.  Usah bermimpi untuk memiliki pendingin hawa atau kipas, kurang makanan segar  dan kebanyakan menunya makanan dalam tin dan roti untuk sarapan pagi yang dibekalkan oleh kontraktor tempatan…..”

Dalam Bab 5 DMH menceritakan kejadian yang dialami oleh warga MALBATT 1 ialah pertempuran berhampiran Pasar Medina ketika melakukan rondaan.  Platun 1 dari Kompeni A yang diketuai oleh Lt. Kamal Idris Johari diserang hendap oleh militia Aideed pada 26 Julai 1993.  Serangan ini berpunca dari salah faham pihak militia yang mengganggap platun MALBATT 1 itu adalah tentera Amerika berdasarkan bendera Malaysia yang seakan bendera US.  Serangan kedua yang dirakam oleh DMH ialah pada 25 ogos 1993.  Platun ke-6 dari Kompeni B diserang hendap oleh puak militia.  pertempuran jam 8.45 pagi itu turut dibantu oleh helikopter tempur US.

Dalam Bab 6 penceritaan tentang penglibatan MALBATT 1 dalam siri-siri operasi kepung dan geledah bagi mencari kelengkapan terlarang seperti bom, peluru dan persenjataan  di dalam sesuatu bangunan yang disyaki.

Dalam Bab 7 DMH menggambarkan bagaimana operasi menyelamatkan 4 orang wartawan CNN dan 3 orang wartawan Itali di Hotel Safi.  Mej Ab Aziz Ab Latif memimpin Kompeni A bersama-sama Platun Kedua yang diketuai oleh Lt. Kamal Idris Johari telah berjaya menyelesaikan misi dengan jayanya.

DMH sendiri yang ketika itu berpangkat Kapten  telah mengetuai Platun Ke-6 dari Kompeni A dalam pertempuran dengan puak militia di mahkamah Agung Benadir dalam usaha melindungi dan menyelamatkan 3 orang pegawai perundangan UNOSOM ll.  Dalam adegan 27 Sep 1993 yang penuh dramatik itu tim DMH berjaya menamatkan misi dengan cemerlang.  Misi yang menjadi penyebab DMH dianugerah pingat PGB.

Dalam Bab 8,  peristiwa di Pasar Bakara yang diceritakan oleh DMH. “………. Halim! siapkan kompeni dan bergerak ke pelabuhan seberapa segera serta tunggu di sana untuk arahan lanjut….” Lt Kol Rozi memberi arahan setelah menerima arahan daripada Mej Jen. Thomas M. Montgomery, Timb. Pemerintah Angkatan Pengaman UNOSOM ll meminta bantuan bagi melaksanakan operasi menyelamat tentera Amerika yang terperangkap di Pasar Bakara. 

Dalam bab ini penceritaan menyeluruh DMH dari kejadian awal operasi tentera Amerika untuk menangkap Menteri Luar, Penasihat Politik dan Ketua Propaganda  Jeneral Farah Aideed yang sedang bermesyuarat pada petang 3 Oktober 1993 di Hotel Olimpik dalam kawasan Pasar Bakara menemui kecelakaan.

DMH menyusun babak demi babak kejadian dengan baik sekali dengan berkongsi perasaan cuak dan cemas serta komitmen dan semangat juang yang ditunjukkan oleh anggota MALBATT 1 kepada pembaca dalam misi menyelamat Pasukan Petugas Renjer Amerika.

Babak-babak yang digarap turut  diselitkan dengan perkongsian pengalaman yang dilalui oleh rakan-rakannya yang lain. Lt Zunaidi Hassan, Ketua Platun Ke-4 menulis…. “Platunnya telah dibedil bertubi-tubi oleh militia Somalia dengan senjata automatik, tembakan mesingan, RPG, mortar dan roket dari bangunan kiri dan kanan jalan….”

“…… tentangan sengit daripada tembakan militia ini kami sambut dengan memuntahkan peluru mesingan di KPA masing-masing ke arah sasaran yang dikenal pasti….”

Dari Lkpl Nayan…. “Helo 21 di sini 21 Alpha bertempur, tunggu…. kami terperangkap dalam serang hendap dan membalas tembakan musuh, habis…..”

“Kenderaan bergegar, terlonjak kearah kanan, berbau benda terbakar dan saya rasa semuanya gelap dan tidak boleh berfikir”. Pbt Rizal pemandu KPA berkongsi rasa ketika kenderaannya dihentam roket militia.

“Peluh sejuk mula mengalir ke dahi saya apabila melihat satu tembakan RPG dilancarkan tepat mengenai kenderaan Pbt Rizal.  Saya kemudian nampak seorang Somalia keluar dari rumah lalu melancarkan roket ke arah hadapan kenderaan kami.  Keluar! keluar! keluar! RPG!...” jerit Pbt Sabri sambil merebahkan kerusi pemandu……

Penutup

Pengkisahan babak pertempuran yang sangat dramatik plot demi plot penglibatan watak-watak penting digambarkan. Penulis pun terpaksa menyeka air mata berkali-kali ketika menghayati babak-babak yang digambarkan oleh DMH dalam bab 8 yang penulis ulas hanya sedikit sahaja untuk memberi peluang seluasnya kepada pembaca menghayati sepenuhnya babak-babak yang pada hemat penulis sangat menyayat hati melihat pengorbanan rakan-rakan penulis yang berhadapan dengan situasi tersebut.

Kisah ini telah digambarkan menerusi filem Black Hawk Down yang ditayangkan kepada masyarakat dunia pada 2001 yang tidak menyebut dan memberi fokus tentang penglibatan MALBATT 1 apatah lagi untuk menghargai keheroan pahlawan Melayu dalam misi tersebut melalui komentar yang dizahirkan oleh akhbar arus perdana.  Namun begitu, dengan kenyataan Mej. Jen. Thomas M. Montgomery, Timb. Pemerintah Angkatan Pengaman UNOSOM ll pernah berkata…. “Sebagai seorang perajurit, saya hendak semua tahu bahawa saya sanggup pergi ke mana-mana sahaja serta dalam apa-apa jua keadaan bersama-sama perajurit Malaysia….”  telah menghapuskan tohmahan yang dibuat dari jauh tanpa mengetahui jalan cerita yang sebenar.

Sama-sama kita tunggu garapan Andrian Teh dalam filem BAKARA yang dijangka akan menemui penonton pada bulan Ogos 2021.  Penerbitan filem BAKARA ini adalah kerjasama TDM dengan syarikat Art 2 pictures Sdn Bhd dan Adaza 88 Studio Sdn Bhd.  Semuga gambaran sebenar peristiwa Pasar Bakara dan keberanian  yang telah ditunjukkan oleh wira-wira TDM dapat penilaian semula oleh penduduk dunia.

Tinggalkan pesanan anda di sini