About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Tuesday, June 15, 2021

ATM KOMITED BANTU NEGARA TANGANI PENULARAN PANDEMIK COVID-19

 Telah diterbitkan dalam Majalah Perajurit edisi Mei/Jun 2021


Oleh: Paklang hamzah

Foto: Bahagian Hal Ehwal Awam Markas ATM


Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah membuat pendekatan positif membantu negara secara aktif dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19 yang semakin mendadak ketika ini. Selain terlibat secara aktif di dalam aspek kawalan keselamatan persempadanan negara menerusi OP BENTENG dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi OP PENAWAR, ATM juga terlibat secara aktif di dalam memberikan bantuan kesihatan melalui Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera (PKAT).

Dalam usaha ini, PKAT telah membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di dalam beberapa aspek preventif dengan melaksanakan ujian saringan di zon-zon merah serta di lapangan terbang dan pintu-pintu masuk negara.

Sebelum ini PKAT juga turut melaksanakan pembinaan dan pengoperasian Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang(MAEPS), Makeshift Treatment Centre di Pokok Sena, Kedah, Hospital Medan ATM Tawau, Sabah dan Hospital Medan ATM Kapit, Sarawak.

ICU Medan Kepala Batas

 


Terkini, ATM mengaturgerak ICU Medan ke Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang yang mampu menempatkan 24 pesakit kritikal COVID-19. Sistem ICU Medan ini merupakan satu sistem Hybrid yang menggunakan kombinasi Modul Kontena dan Kompleks Khemah Utilis dan akan dilengkapi peralatan perubatan yang diperlukan. Konsep Pengoperasian Multi-Agensi akan di gunapakai bagi operasi ini.

 

Aturgerak anggota dan aset serta kerja-kerja pemasangan telah dikoordinasikan oleh pasukan Batalion Kedua Perubatan (2 Bn Ubat) yang berpangkalan di Kluang, Johor serta bantuan dari Kompeni B,  2 Bn Ubat yang berpangkalan di Sungai Petani Kedah. Kerja pemasangan ini telah bermula pada 18 Mei 2021 dengan bantuan khidmat nasihat teknikal daripada Cawangan Kesihatan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div).

Fasa awal ICU Medan ini telah beroperasi sepenuhnya dan menerima pesakit pada 25 Mei 2021. Panglima Briged Ke-6 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Khairul Anuar Abd Aziz diletakkan sebagai  Pemerintah Operasi dan Leftenan Kolonel (Dr) Zamri bin Derahman, Pegawai Memerintah 2 Bn Ubat merupakan Komander yang dipertanggungjawabkan dalam aspek pengurusan dan pengoperasian ICU medan berkenaan. 

Seramai 3 orang pegawai dan 30 anggota lain-lain pangkat (LLP) dari 2 Bn Ubat, 2 Pakar Bius daripada Hospital Angkatan Tentera Tuaku Mizan (HATM) dan 2 Pakar Teknikal Operasi Hospital Medan yang merupakan petugas tetap di ICU medan Kepala Batas ini. Manakala peralatan dan kelengkapan  yang ditempatkan di sini ialah  3 Modul ICU, 1 Modul X-Ray, 3 Khemah Uitilis TM 54, 7 Khemah Utilis TM 26, aset-aset perubatan dan logistik am.

Lawatan

Sebelum itu, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakaria bin Hj Yadi telah berkesempatan mengadakan lawatan teknikal bagi meninjau pengoperasian dan kesiagaan ICU Medan ATM yang didirikan di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang ini.

Lawatan ini turut diringi oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Dato’ (Dr) Zulkeffeli bin Mat Jusoh dan Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk ArmanRumaizi bin Hj. Ahmad.

 

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri DatoSeri Dr. Noor Hisham bin Abdullah  dan KSU KKM Datuk Mohd Shafiq bin Abdullah.

Menurut Lt. Jen. Datuk Mohd Zakaria, ATM melalui PKAT bersedia digerakkan ke kawasan kritikal bagi membantu membendung gelombang ketiga pandemik COVID-19. Walau bagaimanapun, ia tertakluk kepada kemampuan sedia ada setelah penilaian rapi dilaksanakan berdasarkan keperluan yang dikemukakan oleh KKM. Setiap keperluan di lapangan akan dinilai secara teliti kerana ATM perlu mempunyai simpanan untuk kegunaan kecemasan bagi memastikan aset perubatan mencukupi bagi menyokong operasi ATM apabila diperlukan.

Katanya lagi, ATM akan sentiasa bersiap sedia membantu agensi-agensi awam dan akan sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan di seluruh negara sebagai salah satu daripada pelaksanaan tugas-tugas sekunder atau dalam konsep Military Operation Other Than War (MOOTW). Usaha ATM ini juga adalah sebahagian dari implimentasi Pelan Strategik Kementerian Pertahanan iaitu Pengukuhan Kerjasama Awam -Tentera (Civil Military Cooperation – CIMIC) demi Pertahanan Menyeluruh (HANRUH). #



No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini