About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Sunday, February 22, 2009

Lebih percaya warga Nepal berbanding rakyat sendiri

Sumber:Utusan online

KUALA LUMPUR 21 Feb. - Masyarakat negara ini lebih rela meletakkan keselamatan diri dan harta benda di tangan warga asing berbanding rakyat tempatan sendiri.

Itulah puncanya mengapa permintaan pengawal keselamatan warga Nepal jauh lebih tinggi berbanding pengawal keselamatan tempatan.

Menjadi satu persepsi pengawal warga Nepal lebih setia, amanah dan rajin. Pengawal tempatan pula dianggap tidak mempunyai komitmen kerja sebaik pengawal dari rantau Asia Selatan itu.

Presiden Persatuan Kawalan Keselamatan Malaysia, Shaheen Mirza Habib berkata, hampir setiap pelanggan mahukan pengawal Nepal dan lebih menarik, mereka bersedia membayar berapa sahaja harga yang ditetapkan.

Harga tidak menjadi isu, tetapi apa yang lebih penting bagi kebanyakan pelanggan, katanya, pengawal yang menjaga harta benda dan keselamatan mereka mestilah warga Nepal.

"Kalau kita katakan kita ada pengawal keselamatan warga tempatan bekas tentera pun, mereka (pelanggan) tetap mahukan pengawal Nepal," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Shaheen berkata, latar belakang ketenteraan di negara asal menyebabkan rakyat tempatan lebih yakin terhadap pengawal keselamatan dari Nepal.

Rakyat Nepal umumnya menjalani program khidmat negara yang melatih mereka menjadi tentera selama beberapa tahun.

Sementara itu, pengawal keselamatan yang diambil bekerja di negara ini pula disyaratkan memiliki minimum lima tahun pengalaman sebagai tentera di negara mereka.

Jumlah keseluruhan pengawal warga Nepal yang memiliki kebenaran daripada Kementerian Dalam Negeri kini adalah seramai 5,400 orang, tetapi jumlah itu belum mampu memenuhi permintaan rakyat tempatan.

"Kalau digandakan jumlah itu pun belum dapat menampung bilangan permintaan yang kami terima," katanya.

Pengawal warga tempatan adalah seramai hampir 85,000 orang.
Katanya, gaji yang diterima pengawal Nepal adakalanya mencecah hingga RM1,500 sebulan, melebihi pengawal tempatan.

Justeru, soal pembayaran gaji rendah atau tinggi dalam kalangan pengawal asing dan tempatan tidak wujud.

Siapa yang rajin bekerja akan membawa pulangan yang lebih.
Kehadiran pengawal warga Nepal lebih terarah kepada memenuhi permintaan rakyat tempatan dan memenuhi kekurangan pengawal keselamatan.

Jelas beliau, walaupun memiliki asas ketenteraan yang kukuh, tetapi pengawal keselamatan warga Nepal bukan satu ancaman di negara ini.

Katanya, ia adalah kerana bilangan mereka terlalu kecil dan mereka hanya bersikap datang kerja, kumpul duit dan pulang selepas beberapa tahun.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar kelmarin bimbang dengan kehadiran 300,000 warga Nepal di negara ini mampu menimbulkan masalah keselamatan.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini