About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Saturday, December 17, 2022

30 PELATIH INSPEN TERIMA SAYAP PENERBANGAN




ALOR SETAR, 17 Disember 2022 - Seramai 30 orang pelatih Kursus Asas Penerbangan Siri 83/21 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 63/21 menerima sayap Penerbangan masing-masing dalam satu upacara Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan  di Kolej Tentera Udara (KTU) Kepala Batas, Alor Setar hari ini. Upacara yang berlangsung dengan penuh istiadat ketenteraan itu telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM.



PTU dalam sidang medianya berkata, perbarisan hari ini merupakan kali pertama dapat dihadiri oleh ibu bapa dan kaum keluarga pelatih dalam fasa endemik di mana sebelum ini selama 2 tahun acara ini dilakukan secara tertutup tanpa kehadiran ahli keluarga berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara.

Seramai 23 orang pelatih juruterbang pesawat sayap kaku dari Institut Penerbangan 1 (INSPEN 1).  Mereka menggunakan PC-7 MK II sebagai platform latihan asas terbang  dan fungsi utama INSPEN 1 ialah untuk melahirkan juruterbang ATM yang berkaliber dan versatil.


Manakala 7 orang lagi  pelatih juruterbang helikopter dari Institut Penerbangan 2 (INSPEN 2). menggunakan helikopter Airbus EC 120B Colibri (Hummingbird.  Pesawat helikopter ringan buatan Perancis yang mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri, unggul dan disegani di dalam kelasnya.


Tambah PTU lagi, sistem latihan yang digunakan adalah yang terkini oleh kedua-dua Institut di mana telah mengalami penambahbaikan dengan menggunakan sistem penerbangan simulator atau flight planning device sebagai persediaan kepada pelatih sebelum menjalani latihan penerbangan sebenar sekaligus menjadikan Institut latihan ini setaraf dengan  Institut latihan penerbangan tentera luar negara.  Bagi mendepani arus perdana  TUDM dan ATM juga telah meningkatkan keperluan pengambilan juruterbang-juruterbang muda termasuklah menerusi penerimaan pelatih-pelatih penerbangan wanita ke arah peningkatan professional  TUDM dan juga ATM.


Dari kekuatan keseluruhan, 26 pelatih dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), tiga dari Tentera Darat Malaysia (TDM) dan seorang dari Tentera Laut Diraja Malaysia(TLDM). Di antara mereka-mereka ini 2 orang merupakan kemasukan dari pegawai graduan, 10 orang pegawai lepasan Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) dan 18 orang pegawai kadet 2u2i dari Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM.


Program 2u2i ini telah diperkenalkan pada tahun 2018 di mana pengambilan ini merupakan pengambilan pertama yang berjaya menamatkan program.  Program ini merangkumi 2 tahun pembelajaran di UPNM dan 2 tahun mengikuti latihan penerbangan asas dengan tujuan untuk melahirkan juruterbang TUDM pada usia yang muda.


Piala Kecemerlangan



Lima piala telah di sediakan untuk memberi perangsang kepada para pelatih dalam mengejar kecemerlangan dalam kursus iaitu Piala Panglima Tentera Udara (Pelatih Terbaik Keseluruhan Sayap Kaku), Piala Panglima Tentera Udara (Pelatih Terbaik Keseluruhan Sayap Putar), Piala Panglima Pendidikan dan Latihan Udara (Pelatih Terbaik Akademik), Piala Komandan (Pelatih Terbaik Penerbangan Sayap Kaku) dan Piala Komandan (Pelatih Terbaik Penerbangan Sayap Putar). 


Menepati kualiti dan kriteria yang ditetapkan, Leftenan Mubin Mustaza bin Iskandar TUDM, telah dinobatkan sebagai penerima Piala Panglima Tentera Udara (Pelatih Terbaik Keseluruhan Sayap Kaku) dan juga penerima Piala Panglima Pendidikan dan Latihan Udara (Terbaik Akademik).  Mustaza adalah anak kelahiran Alor Setar, Kedah merupakan graduan UPNM dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal.

 

Piala Panglima Tentera Udara (Pelatih Terbaik Keseluruhan Sayap Putar) telah dianugerahkan kepada Leftenan Muhamad Syahrull Hazizi bin Norizan TUDM.  Beliau berasal  dari Segamat Johor, merupakan graduan UPNM dalam jurusan Pengajian Strategi Pertahanan, 


Piala Komandan (Pelatih Terbaik Penerbangan Sayap Kaku) pula telah dianugerahkan kepada Pegawai Kadet Wan Muhammad Ikmal bin Wan Mohd Razali yang berasal dari Wakaf Bharu, Kelantan. Pelatih Akademi Latihan Ketenteraan UPNM di dalam jurusan Penerbangan.


Piala Komandan (Pelatih Terbaik Penerbangan Sayap Putar) menjadi milik Pegawai Kadet Wan Ilyasa bin Wan Ibrahim yang berasal dari Kuantan, Pahang.  Pelatih Akademi Latihan Ketenteraan UPNM di dalam jurusan Penerbangan.


Pesanan


PTU dalam ucapannya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pelatih yang terlibat kerana telah berjaya menjadi juruterbang ATM. Beliau  menegaskan  bahawa kursus asas penerbangan merupakan salah satu kursus yang memerlukan kekuatan fizikal dan mental pada tahap yang tinggi serta komitmen yang tidak berbelah bahagi.  Kursus ini memberi penekanan ke atas kesemua nilai teras TUDM iaitu Integriti (Integrity), Kecemerlangan (Excellence), Keberanian (Courage), Semangat Setiakawan (Esprit de Corp) dan mengutamakan perkhidmatan melebihi dari diri sendiri (Service before self).


Tegasnya lagi, pemahaman dan pematuhan terhadap nilai-nilai teras yang telah TUDM gariskan akan memastikan anda menjadi lebih peka dan perihatin terhadap tugas sedia ada serta tanggung jawab di masa hadapan. Nilai-nilai teras tersebut dapat memupuk budaya kerja yang betul serta membina sifat jati diri sebagai juruterbang ATM yang komited dan berpengetahuan.


Penghargaan


Panglima Tentera Udara di dalam ucapannya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pelatih yang telah berjaya menjadi juruterbang Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato' Zahani Bin Hj Zainal Abidin TUDM; Komandan Kolej Tentera Udara, Brigedier Jeneral Ramli bin Mohd Abd Jabar TUDM, jurulatih - jurulatih penerbangan, staf-staf dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung serta seluruh warga Kolej Tentera Udara atas komitmen dan usaha bagi menjayakan upacara pada pagi ini. Penghargaan dan terima kasih juga dizahirkan kepada ibu bapa dan keluarga di atas dorongan, motivasi, doa dan menjadi tulang belakang serta semangat yang membawa kejayaan para graduan sehingga dianugerahkan Sayap Penerbangan.


Panglima Tentera Udara dan isteri, Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan serta barisan kepimpinan TUDM turut meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra bersama para pelatih serta ibu bapa selepas selesai acara perbarisan. 


Turut hadir ke Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan Kursus Asas Penerbangan Siri 83/21 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 63/21 lalah Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Dato' Indera Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato' Mohd Shahada bin Ismail TUDM dan isteri, Datin Dr Halina binti Haron; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato' Zahani bin Zainal Abidin TUDM dan isteri, Datin Lynette binti Tan Sri Mohamed; Panglima Bantuan Udara, Mejar Jeneral Masro bin Kaliwon TUDM dan isteri, Puan Dewi Mastura binti Tumiran, pegawai-pegawai kanan TUDM, wakil dari TDM dan TLDM serta ahli keluarga para pelatih.


No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini