About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, August 10, 2022

HARI PAHLAWAN DAN VETERAN BANGKIT PASCA RU6622

Tanggal 31 Julai setiap tahun adalah hari mengenang jasa dan pengorbanan pahlawan.  Pahlawan dalam konteks pejuang-pejuang yang memperjuang serta memperhambakan diri dalam usaha untuk membebaskan tanahair dari dijajah atau diganggu-gugat oleh anasir-anasir yang sengaja memporak-porandakan keamanan dan keselamatan negara sejak era pra merdeka, pasca merdeka, insurgensi dan dalam peristiwa era moden di dalam dan luar negara. 


Bagi memperingati jasa dan pengorbanan yang dimaksudkan, negara mengangkat setiap 31 Julai sebagai Hari Pahlawan yang menjadi agenda tetap dalam kalender penting negara. Tahun ini  Istiadat sambutan Hari Pahlawan telah diadakan di Dataran Pahlawan Negara Putrajaya.  Selain Istiadat Perbarisan Kawalan Kehormatan oleh Pasukan Keselamatan, acara-acara yang berunsurkan patriotik seperti deklamasi sajak, pentomin dipertontonkan yang menggamik nostalgia perjuangan pejuang-pejuang terdahulu.  


Bagi yang menghayati erti jerih payah perjuangan sudah pasti ada yang tidak berdaya menahan sebak.  Juraian air mata tidak dapat disembunyikan samada yang sedang menyaksikan di dataran malah yang menyaksikan siaran langsung di televisyen. 


Suasana ini memang suatu hakikat bagi menggambarkan persetujuan dan perakuan setiap diri yang bergelar rakyat jelata yang mengerti bahawa keamanan dan kemakmuran yang dikecapi hari ini adalah hasil keringat dan darah pejuang terdahulu dari individu, tentera malah juga polis. Apatah lagi yang menonton itu Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlibat secara langsung, balu serta anak-anak yang telah kehilangan tempat bergantung dan menumpang kasih sayang. 


Perasaan kepada yang bergelar Veteran ATM maupun yang hanya boleh dipanggil Bekas Tentera bercampur-baur bukan sahaja kerana dibawa mengenang kisah-kisah lama yang menyayat hati malah di samping itu ada korelasi pertembungan sejarah perjuangan yang telah menghasilkan keamanan dengan kesinambungan penghidupan pejuang itu sendiri yang rata-rata mampu melihat ‘kesenangan’ generasi yang lahir dalam kemakmuran sedangkan mereka sendiri masih terkial-kial untuk mencukupkan belanja kehidupan seharian.  


Sebilangan kecil yang ‘bertuah’ yang telah dianugerah pingat-pingat keberanian boleh menarik nafas lega kerana kelompok mereka sentiasa diberi perhatian.  Tidak dinafikan, Veteran yang cacat serta daif yang tidak mampu bekerja turut diberi saraan dengan kadar tertentu setiap bulan oleh pihak kerajaan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) malah juga sentiasa berada dalam radar pemantauan Persatuan-persatuan Veteran jika individu tersebut menjadi ahli persatuan.


Namun ada lagi kelompok Veteran dan Bekas Tentera yang menamatkan perkhidmatan sebelum tahun 2004 sememangnya agak kurang  bernasib baik meskipun bukan semua yang berada dalam kalangan Bottom 40 (B40), keperluan mereka tidak diberi perhatian sewajarnya dalam konteks sebagai mengenang jasa dan pengorbanan mereka. 


Pada dasarnya mereka dinasihatkan dan digalakkan menyertai persatuan kerana dengan berpesatuan selain dapat menyambung silaturrahim, jika berlaku musibah atau sakit demam, ada juga orang persatuan datang mengambil cakna. Namun begitu, persatuan tidak mampu untuk ‘memberi’ sepanjang masa kerana persatuan tiada pendapatan tetap selain geran peruntukan daripada JHEV yang tidak cukup untuk memberi manfaat kepada semua ahli. 


Oleh kerana itu, lebih ramai Veteran/Bekas Tentera mengambil sikap independen dan tidak berminat untuk menyertai persatuan terutamanya bagi mereka yang berpencen selepas tahun tahun 2014 kerana pencen mereka agak lumayan dan merasakan tidak perlu lagi mengharap dan menagih simpati persatuan.


 Tabung Rayuan Hari Pahlawan


Penulis tidak pasti adakah tahun ini Kempen Kutipan Tabung Rayuan Hari Pahlawan (TRHP)  dilancar atau tidak.  Ada atau tidak, ianya mempunyai persepsi yang pelbagai dalam kalangan masyarakat sebelum ini.  Yang bagusnya, tabung ini sekurang-kurangnya dapat membantu sedikit sebanyak pihak JHEV maupun persatuan-persatuan Veteran mengambil cakna terhadap Veteran-veteran yang berada dalam sasaran yang memerlukan bantuan berterusan.  Bukan sedikit perbelanjaan bagi memenuhi keperluan ini.  


Namun begitu, tidak kurang juga dalam kalangan masyarakat yang mengkritik mengatakan  Tabung Rayuan Pahlawan ini sudah tiba masanya dihentikan rayuan atau dengan kata lain pihak persatuan-persatuan Veteran tidak perlu lagi menjaja tabung meraih simpati orang ramai di merata-rata tempat.  Kata mereka, tindakan menjaja tabung rayuan ini memalukan Institusi Veteran itu sendiri.  Kata mereka lagi, sepatutnya keperluan menyantuni Veteran ini disediakan melalui dana khas yang disediakan oleh kerajaan yang mungkin juga subsidiary sebagai contoh: dari Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)   sesuai dengan jasa dan pengorbanan mereka yang sebelum ini juga adalah pencarum tetap sepanjang perkhidmatan mereka yang secara langsung telah ‘mengkaya’ LTAT itu sendiri melalui pelaburan-pelaburan yang dibuat.


Sebagai timbal balas, LTAT sepatutnya boleh membimbing dengan menjadikan Persatuan-persatuan Veteran yang ada sebagai anak syarikat bagi mengurus segala kepentingan LTAT yang mana Veteran-veteran itu sendiri mampu mengendalikannya secara kolektif dan sekaligus memberi peluang pekerjaan secara langsung sebagai kerjaya kedua kepada Veteran yang masih mendambakan kerja.  Sebagai contoh: Persatuan Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) boleh diamanahkan untuk mengoperasikan Dockyard dan lain-lain bidang yang berkait dengan profesionalisme mereka.

  

Rasionalnya di dalam  syarikat Boustead Naval Shipyard itu sendiri sebagai contoh, sebahagian perkerjanya dari  CEO, pegawai-pegawai executive hinggalah teknisyen adalah ramai dari kalangan Veteran TLDM juga.  Demikian juga firma-firma anak syarikat LTAT yang lain yang mengendalikan aset-aset tentera darat dan udara apa salahnya kalau dilantik persatuan-persatuan berkaitan mengendalikannya.  Guballah polisi apa pun supaya kaedah boleh diguna pakai dan direalisasikan untuk tujuan yang baik.


Secara tak langsung pengaliran keuntungan syarikat dapat dimanfaat terus kepada Veteran yang bekerja dan sedikit keuntungan disalur kepada tabung/koperasi yang boleh dimanfaatkan kepada ahli-ahli lain sekaligus mengurangkan beban kerajaan untuk menanggungnya.


Ada yang mengesyorkan, pada sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos nanti supaya para Veteran melalui Persatuan-persatuan tidak lagi diminta berbaris sebagai kontinjen kerana kekuatan mereka untuk berjalan jauh tidak lagi sesuai.  Veteran ATM maupun PDRM sewajarnya ditempatkan di bawah Pavillion atau pentas khas bersebelahan dengan pentas utama orang kenamaan.  Masanya untuk mereka pula melihat deretan perbarisan anak-anak warisan mereka dari atas pentas, bukan masanya untuk mereka sendiri berbaris berkawad  bersama anak-anak sehinggakan ada yang tercicir dari barisan kerana masalah kesihatan.


Skeptikal


Bila sebut pejuang, ada orang atau segolongan yang merasa jengkel dan skeptikal dengan perkataan ini kerana bagi mereka pejuang hanya layak digelar kepada individu atau pasukan era zaman dahulu yang sering bertempur di hutan dan seumpamanya. Angkatan Tentera Malaysia (ATM)  era 1990an adalah tentera ‘makan tidur’ kata mereka.  Mereka berfikir negara sudah tiada ancaman.  Tentera yang ada hanya menjalani kehidupan seperti orang awam yang lain, bekerja dari jam 8 hingga 5 sahaja.  Bila tiada pertempuran, ramai yang menganggap tentera  sudah tidak ada kerja.


Kerja tentera tidak seperti mana kerja orang awam biasa.  Walau pun kita nampak tentera berada di dalam kem memakai baju bersih keluar masuk pejabat tetapi sebenarnya tentera mempunyai rutin kerja yang membahagikan kehidupan mereka dalam fasa-fasa tertentu iaitu fasa kritikal yakni fasa peperangan sebenar dan fasa aman.  Meski pun negara berada dalam keadaan aman namun anggota tentera tidak berada dalam keadaan aman sepenuhnya kerana persediaan perang sentiasa dikemaskini melalui latihan-latihan dalaman dan luaran yang mana memerlukan komitmen seperti mana perang sebenar.  


Masa aman, negara masih lagi bergelut dengan masalah serta aktiviti-aktiviti penyeludupan,  pemerdagangan manusia dan lain-lain jenayah rentas sempadan yang masih berleluasa yang tidak mampu ditangani oleh Agensi-agensi Penguatkuasaan bersendirian.  Justeru kolaborasi anggota ATM dan Agensi-agensi terbabit merupakan sinergi mapan bagi membendung aktiviti tersebut di samping melaksanakan misi-misi kemanusiaan di dalam dan luar negara.


Jiwa seseorang anggota tentera tidak sahaja boleh terkorban melalui tembakan musuh fizikal yang berada di hadapan yang telah diistihar dalam peperangan. Nyawa mereka boleh terkorban beramai-ramai melalui latihan jika Standard Operating Prosedur (SOP) latihan tidak dipatuhi dengan ketat atau dalam bahasa yang selalu orang guna ialah ‘kalau silap-silap haribulan.  Ini bagi menggambarkan latihan ketenteraan sentiasa berdepan dengan musibah.  Anggota PARA atau komando yang membuat latihan penerjunan boleh terkorban jika paracutnya tidak terbuka, anggota penyelam ranjau boleh terkorban dalam selaman rutin mereka, pemandu-pemandu pesawat bila-bila masa sahaja boleh terkorban jika berlaku failure ke atas jentera mereka. Pendek kata sebagai seorang tentera, mereka harus waspada sentiasa kerana musibah untuk mereka boleh datang dalam  pelbagai dimensi yang menuntut kepada kewaspadaan yang tinggi meski pun bukan dalam peperangan sebenar.


Latihan berterusan adalah sebahagian daripada rutin kehidupan anggota tentera.  Orang nampak anggota tentera bekerja selama 8 jam sehari tetapi hakikat sebenar kaki mereka ‘dirantai’ oleh perkhidmatan selama 24 jam sehari.  Oleh kerana itu perkhidmatan kritikal anggota Lain-lain Pangkat (LLP) ATM dihadkan cuma 22 tahun. 


Veteran Bangkit Dan RU6622


Bila soal kebajikan tidak ditangani dengan baik, lama-kelamaan rasa tidak puas hati menjadi barah, maka tidak hairanlah jika  Veteran/Bekas Tentera mula bangkit menuntut hak-hak mereka yang ‘dikatakan’ telah diselewengkan  atau dimanipulasikan dengan tidak meletakkan hak-hak itu kepada yang berhak seperti mana yang tertulis di dalam Perlembagaan.  


Selama bertahun-tahun samada secara  individu maupun melalui persatuan memohon kepada kerajaan mempertimbangkan beberapa tuntutan yang dikira perlu selaras dengan peruntukkan-peruntukan yang sedia ada namun pihak kerajaan nampak agak sukar untuk mempertimbangkan di samping kerap memberi alasan-alasan untuk mengkaji, mengkaji dan mengkaji yang akhirnya ‘berselindung’ di sebalik implikasi kewangan kerajaan.


Itulah punca sebenar Veteran Bangkit mengadakan himpunan aman yang dinamakan Re-union Bekas Perajurit pada tarikh 6.6.2022 (RU6622) lalu bagi menzahirkan kekuatan dimana Veteran/Bekas Tentera   mampu menjadi kumpulan pendesak yang boleh mencorak geopolitik negara bila keadaan memerlukan mereka berbuat demikian. Walau pun pelbagai rintangan dan halangan yang dilalui oleh Jawatankuasa Veteran Bangkit, akhirnya terlaksana jua apa yang dirancang. Dikatakan lebih dua ribu orang  Veteran ATM dari pelbagai kategori pangkat dari seluruh pelusuk negara telah hadir berhimpun secara aman di Tugu Negara menyuarakan tentang beberapa perkara yang berkaitan dengan kebajikan Veteran ATM.  Fenomena bermula di Tugu Negara dan siri-siri berikutnya diadakan di Shah Alam, Kuala Kangsar, Kuantan dan bakal diteruskan di bandar-bandar seluruh negara sehingga apa yang dituntut dilayani dengan sewajarnya oleh pihak kerajaan.


Banyak  tuntutan yang telah disenaraikan oleh individu dan persatuan-persatuan sejak beberapa tahun lalu namun yang terkini tuntutan oleh gerakan Veteran Bangkit RU6622  telah disenarai pendekkan kepada 3 saja iaitu:


a. Memohon supaya mahkamah yang mulia mengarah Majlis Angkatan Tentera (MAT) melaksana segala kuasanya menurut undang-undang untuk selaraskan pencen bagi Veteran yang bersara sebelum tahun 2004, 2013 mengikut kuasa yang ada pada MAT berdasarkan Perkara 137 Perlembagaan Persekutuan, kuasa kebelakangan yang ada pada MAT di Seksyen 187, Seksyen 206 dan Seksyen 207 Akta Angkatan Tentera dan Peraturan-peraturan Pencen dan Faedah-faedah Lain di bawahnya. 


b. Memohon supaya mahkamah yang mulia mengarahkan MAT memberi pertimbangan berdasarkan kuasa  Perkara 137 Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 15, Seksyen 36, Seksyen 187, Seksyen 206 dan Seksyen 207 Akta Angkatan Tentera supaya anggota tentera, anggota sukarela yang dikerahkan dan Veteran diberi hak yang seakan serupa secara kebelakangan yang di nikmati oleh semua penjawat awam dimana mereka boleh diberi pencen setelah berkhidmat sekurang-kurangnya 10 tahun perkhidmatan seperti yang di peruntukkan di dalam Seksyen 9,10,11 dan 12 Akta Pencen 1980; dan seperti juga Ahli Parlimen dan ADUN yang hanya perlu berkhidmat 36 bulan sahaja boleh  dapat pencen. 


c. Memohon supaya mahkamah yang mulia mengarahkan MAT menubuhkan satu Lembaga Pengampunan menurut kuasanya di Perkara 4(1), Perkara 4(2) dan Perkara 137(1) Perlembagaan Persekutuan dimana Yang DiPertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum, termasuk  meremitkan,  menggantung atau meringankan hukuman berkenaan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan oleh pegawai atasan, bagi mereka yang layak, supaya mereka yang tidak layak digelar sebagai Veteran oleh Akta Veteran 2012 boleh diterima balik sebagai Veteran dan mereka, suami/isteri dan anak-anak yang layak boleh mendapat kemudahan kebajikan seperti Veteran yang lain. 


Sejurus selepas kejayaan mengadakan RU6622, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein Menteri Pertahanan Malaysia, tampil memberi bayangan satu berita baik yang akan diumumkan secara rasmi nanti bahawa kerajaan setuju untuk mempertimbangkan dua tuntutan yang dibuat oleh Jawatankuasa Khas Persatuan Veteran ATM (PVATM)  iaitu pemberian Pencen Terbitan kepada balu/duda Veteran ATM.  Serentak dengan pengumuman tersebut pihak JHEV telah berjaya menyelesaikan bayaran tunggakan kepada 25 orang dan proses pembayaran pencen terbitan ini kepada 10 orang lagi dalam masa terdekat. Pengumuman kedua berkaitan Panel Penasihat Pengiktirafan Veteran ATM dimana seramai 28 orang Bekas Tentera telah dikenal pasti dan dipilih oleh pihak JHEV untuk diberi pertimbangan tersebut.  Meskipun Menhan menyebut pertimbangan kerajaan ini adalah berdasarkan perbincangan bersama Jawatankuasa  Khas PVATM, namun ramai yang berpendapat bahawa ianya bertitik-tolak dari hasil dari gerakan RU6622 juga. 


Hasil dari sokongan Veteran/Bekas Tentera melalui gerakan RU6622, dua Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) baharu berjaya ditubuhkan bagi tujuan membuka akaun bagi mengumpul dana untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang dirancang.


Pertubuhan Suara Patriotik Rakyat Malaysia (PSPRM) yang diketuai oleh Mej Haji Mior Rosli bin Haji Mior Mohd Jaafar TUDM (Bersara) yang akan membawa tuntutan ini ke Mahkamah Tinggi. 


Pertubuhan Pembela Pejuang Negara (PPPM) yang diketuai oleh Dato’ Abd Rahman bin Husain  TLDM (Bersara) yang akan mewakili 14,000 Veteran/Bekas Tentera yang telah mengisi borang petisten ke Mahkamah Tribunal Timbangtara. 


Sebelum itu beberapa pertubuhan NGO yang diasaskan oleh Veteran ATM sudah pun diwujudkan dan bergerak melaksanakan misi masing-masing dalam skala yang kecil dan tidak agresif.  Di antaranya ialah Pertubuhan Gerakan Reformasi Veteran ATM (GRVATM) yang diketuai oleh Sdr Azizan Salleh (Azizan  Memali), Pertubuhan Media Tentera Rakyat (MTR) yang digerakkan oleh Sdr Ali Baharom, Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) yang digerakkan oleh Sdr Rani Kulup, Pertubuhan PAHLAWAN yang diketuai oleh Sdr Asri KDO. Terkini, penubuhan NGO yang berasaskan Veteran ATM yang mula diwar-warkan melalui media sosial ialah Pertubuhan WIRA RAKYAT NEGARA (WIRAN). 


Kedengaran juga desas-desus yang mengatakan Veteran ATM juga sedang berusaha untuk menubuhkan sebuah Parti Politik bagi tujuan untuk memperjuangkan hak-hak istimewa Veteran ATM melalui Parlimen ekoran Ahli-ahli Parlimen yang ada tidak begitu bersungguh-sungguh untuk membantu Veteran ATM.  Parti ini dijangka akan menyertai PRU15 jika diluluskan penubuhannya nanti. Di antara perkara lain yang menjadi agenda parti Veteran sepertimana yang diviralkan ialah untuk membenteras rasuah yang berleluasa dalam negara ketika ini. 


Kembalikan Roh Perjuangan Dan Solidariti


Natijah kepada perbincangan ini, tentera sebenarnya mempunyai roh perjuangan yang kuat, sebati dalam diri mereka. Semangat perjuangan yang ditanam sedari awal penyertaan seseorang di dalam perkhidmatan tentera sebenarnya tidak luntur meski pun tempoh perkhidmatannya tidak bertahan lama disebabkan beberapa perkara.


Tentera adalah institusi dimana sesebuah kerajaan bergantung harap sehingga kepada saat akhir nyawa sesebuah kerajaan demokrasi boleh bertahan dalam suatu pemerintahan. Apa jua bentuk pencerobohan dari dalam dan luar, tentera menjadi galang ganti nya.


Institusi ketenteraan ATM khususnya adalah sebuah kerajaan dalam kerajaan. Jika kerajaan yang dibentuk secara demokrasi gagal mentadbir, tenteralah yang akan ambil alih sebagai kerajaan interim.  Tentera mempunyai kemampuan untuk memerintah kerana tentera mempunyai kemahiran melalui jabatan yang  telah disusun untuk menerajui negara supaya sistem kenegaraan boleh berjalan seperti biasa jika berlaku rusuhan atau darurat. 


Patriotisme Veteran ATM adalah denyut nadi yang masih berkait rapat di dalam struktur utama ATM. Meski pun ianya kelihatan di luar perkhidmatan namun denyut nadinya adalah sebahagian daripada perkhidmatan. Sebab itu di dalam ATM, Veteran dijaga khas oleh oleh jabatan di bawah Kementerian Pertahanan iaitu JHEV.


Penulis yakin sekuat mana alun yang berkocak atau ada  tangan-tangan ghaib yang berusaha dan mengambil kesempatan untuk merungkai solidariti dalam kalangan Veteran/Bekas Tentera melalui NGO maupun  badan politik akan berakhir dengan kegagalan bila mana roh perjuangan Angkatan Tentera Malaysia ditiup kembali ke dalam jiwa warga ATM yang mempunyai keluarga besar dan yang paling penting kerajaan mesti mempunyai roh yang sama dengan warga ATM dan sentiasa mendengar rintihan dan keluhannya.


No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini