About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Tuesday, December 1, 2020

PENGORBANAN YANG PERLU DIBAYAR………

 Telah disiarkan di dalam majalah perajurit isu Nov/Dis2020

Oleh: Paklang Hamzah/Foto: PVATM Ketereh

 Bicara Nostalgia Perajurit  kembali  menemui pembaca setelah sekian lama ruangan ini tidak diberi fokus.  Bicara kali ini penulis ingin berkongsi dengan pembaca beberapa peristiwa yang di alami oleh perajurit- perajurit tanahair dalam usaha membebaskan negara daripada ancaman samada melalui daratan, laut dan udara.

 Ancaman pengganas komunis pra dan pasca merdeka banyak mengimbau sejarah pahit maung warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Darat Malaysia (TDM) mengharungi denai belantara dalam menjejaki dan mengekang kemaraan pengganas komunis dari Parti Komunis Malaya (PKM) yang bergerak dan bertindak agresif menentang pasukan keselamatan negara.

Mereka adalah pahlawan negara.  Generasi mereka yang kini bergelar veteran ATM mau pun PDRM meneruskan kelangsungan hidup dalam pelbagai situasi.  Selain yang telah gugur di medan perjuangan, ramai yang telah kembali ke rahmatullah kerana fitrah.  Namun masih ada lagi pahlawan-pahlawan yang masih meneruskan kelangsungan hidup dengan membawa kenangan yang tidak boleh dilupakan selagi hayat dikandung badan. 

 Meniti sisa-sisa umur yang berbaki, mereka tidak minta didendang namun sejarah telah mencatat mereka adalah pejuang negara yang sangat perlu didendang oleh generasi terkini yang  telah diwarisi oleh mereka sebuah negara yang aman dan bebas dari sebarang ancaman dalam negara selepas perletakan senjata oleh PKM dalam tahun 1989/1990.

 Program Menggamit Memori - Pengorbanan Mu Tetap Dihargai

 Satu program pengkisahan sejarah perjuangan veteran ATM telah dianjurkan oleh Persatuan Veteran ATM (PVATM) Cawangan Ketereh pada 14 Nov 2020 yang lalu adalah satu manifestasi penghargaan dari pihak persatuan kepada pejuang-pejuang era insurgensi yang masih hidup di sekitar negeri Kelantan sekali gus untuk dilihat dan difikirkan tentang keperluan kajian semula oleh pihak-pihak tertentu dalam usaha untuk memartabatkan jasa dan pengorbanan veteran-veteran pasukan keselamatan umumnya yang rata-rata berada dalam golongan B40.

Timbalan Ketua Cawangan PVATM Ketereh, PW 1 PRI Othman Md Ali (Bersara) selaku penyelaras program ini berkata, program ini adalah satu usaha mencungkil bahan-bahan sejarah perjuangan pasukan keselamatan khususnya ATM melalui ucapan-ucapan lisan veteran-veteran yang pernah mengalami pengalaman pahit getir dalam tempoh perkhidmatan mereka.  Bahan-bahan ini akan cuba dikongsi dengan masyarakat umum melalui sebaran media sedia ada bagi memberi kesedaran berterusan kepada masyarakat tentang jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan sebelum ini yang memangkin kepada keamanan negara yang mereka kecapi hari ini.

Program sehari ini telah berjaya menghimpunkan seramaI lebih 200 orang hadirin yang terdiri dari ahli-ahli PVTM Cawangan Ketereh, PVTLDM Kelantan, PVTUDM Kelantan, PVATM  Cawangan  Salor, Kelab Artileri Kelantan, Kelab VKOF Kelantan, Grup Batalion 301, PV5 RAMD, Anggota tentera Kem Desa Pahlawan, SRS Nilam Puri, Jabatan Perkhidmatan Awam Kelantan, Kelab Radio Amatur Kelantan dan Penduduk Kampung Cengal Ketereh.

Majlis telah disempurnakan oleh Tuan Haji Ahmad Tarmizi bin Haji Musa, Wakil Peribadi Ahli Parlimen Ketereh di Dewan Putera Kampung Cengal Ketereh dalam suasana norma baharu pematuhan prosedur operasi standard COVID-19.

Ahli Panel 1



31567 PW 2 RQMS Abd Rahman bin Wahid (bersara) dilahirkan pada 2 Nov 1957.  Memasuki TD pada tahun 1976 dalam Kor RAMD.  Menceritakan detik-detik cemas ketika  menyertai operasi khas di Hutan Simpan Kenaboi Durian Tipus Negri Sembilan pada 16 September 1982.
 

Beliau yang bersama platun Unit Combat Intelligence Squad (UCIS) seramai 15 orang telah diarahkan memasuki kawasan Hutan Simpan tersebut untuk meninjau kegiatan komunis hasil maklumat yang diperolehi dari Orang Asli di kawasan tersebut.  Oleh kerana maklumat dari Orang Asli yang agak samar menjadikan platun beliau tanpa disedari berada pada kedudukan yang bahaya.  Platun mereka di serang pada jarak 20 meter dan beliau sendiri dihinggapi peluru musuh sehingga  menembusi perutnya. Disebabkan kecederaan parah yang dialami, beliau menerima rawatan di hospital  besar Seremban selama 2 bulan. 

Selepas 21 tahun berkhidmat dalam TD, beliau bersara pada  bulan Oktober 1998 dan mengakhiri khidmatnya di Unit 105 Infantri di Kem Tentera  Pangkalan Chepa  Kelantan.  Di dalam perkhidmatan, beliau telah dianugerahkan Darjah Kepahlawanan ATM (BAT).

 Ahli Panel 2


29319 PW2 Nik Yahya bin Nik Husin (bersara)  lahir pada 27 Dis 1950.  Memasuki TD pada Ogos 1972 dan ditempatkan dalam Unit 14 RAMD. Menceritakan pengalamannya bertempur dengan pengganas kominis pada tahun 1980 di mana tempat beliau bertugas di Pos Bukit Berapit  kawasan Gubir diserang hendap oleh komunis selama hampir setengah jam. 

 Beberapa tahun kemudian sekali lagi beliau terlibat dengan pertempuran apabila trak mereka diserang hendap semasa menghantar ulang bekal ransum dari Kem di Pangkalan Hulu juga ke Pos Bukit Berapit. Dalam kejadian berbalas tembak tersebut dua orang rakannya meninggal dunia.

 Mengakhiri perkhidmatan beliau di Unit  13 RAMD Kem Bentong Pahang pada tahun 1994. Sejak bersara beliau mengidap penyakit kanser usus dan telah menjalani pembedahan pada tahun 2011. Bagi menampung pencen bulanan yang diterima  sebanyak lebih kurang RM1200.00 sebulan, beliau masih lagi berhempas pulas bekerja bagi menambah pendapatan. Selain pingat perkhidmatan, cuma pingat Jasa Malaysia (PJM) sahaja yang beliau terima semasa bersara. Walau pun PJM tidak berarti apa-apa, Nik Yahya tetap bersyukur dengan anugerah itu.

 Ahli Panel 3

933623 KPL Nek Ya bin Noor (Bersara)  bertugas di Kompeni Alpha Platun 1 Unit 7 RRD pula menceritakan,  memilih kerjaya menjadi anggota tentera telah mengubah kehidupan beliau menjadi seorang yang bergelar Orang Kelainan Upaya (OKU).  Nek ya dilahirkan pada 13 Mei 1954 dan memasuki TD dalam Kor Renjer pada 21 Jan 1975.

 Ops DAOYAI MUSNAH  iaitu operasi bersama tentera Malaysia –Thailand pada tahun 1976 bertujuan untuk membuat pembersihan ke atas kem komunis yang terbesar di Nathawi Sadao  selatan Thai.  Kem ini dibina dengan begitu rapi dengan menjadikan terowong sebagai laluan utama dan tempat mereka berlindung dan menjalani kehidupan seharian dan melancarkan strategi taktikal apabila diserang.  Dalam operasi tersebut beliau telah terpijak jerangkap samar yang dipasang oleh pihak musuh dan mendapat rawatan selama 3 bulan sebelum kaki kirinya terpaksa dipotong dari paras buku lali.

 Unit terakhir beliau  ialah Markas Staf Kem Desa Pahlawan dengan menamatkan perkhidmatan selama 21 tahun.  Menetap di Kok Lanas Kelantan.  Di awal persaraan Nek ya bekerja sebagai pemandu teksi untuk menambah pendapatan bagi menampung bayaran pencen yang diterima di tahap 3 angka sahaja. Oleh kerana permintaan kenaikan pencen tidak dapat ditunaikan oleh kerajaan, beliau berharap pihak Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM dapat mengkaji semula jumlah elaun hilang upaya yang diterima memandangkan kos kehidupan yang semakin meningkat.  Hingga saat ini hanya Pingat Perkhidmatan Am (PPA) saja yang pernah diterimanya meski pun pernah bersabung nyawa mengabdikan diri demi keselamatan negara. .

 Ahli Panel 4

 


551613 SJN Abd Rahman bin Yaacob (Bersara) mula berkhidmat pada 28 Feb 1973. Setamat latihan rekrut beliau ditempatkan di Kompeni Charlie 7 RRD berpangkalan di Sungai Petani Kedah.

 Dalam satu operasi di Dublin Estate Bukit Hijau Karangan Kulim pada tahun 1974, platun Rahman pernah bertempur di dalam kebun getah dan berjaya membunuh 2 orang anggota komunis.

 Rahman pernah bertempur dengan segerombolan komunis di Gunung Poi Slim River Perak pada tahun 1975 .  Beliau bersama rakan-rakan lain dari platun 7 membuat pengawasan dan kawalan di sebuah permatang sementara rakan-rakan yang lain sedang menyiapkan landing pad (LP) untuk pendaratan helikopter untuk membawa mereka pulang selesai operasi. Dalam peristiwa itu Rahman yang menggunakan senjata GPMG dan rakan-rakannya  selamat manakala di pihak komunis yang sedang bergerak pulang ke Betong itu 5 orang terbunuh termasuk seorang pegawai kanan PKM.  Semua anggota komunis yang terkorban dipikul untuk dibawa turun ke LP untuk di bawa pulang bersama.

 Pada tahun  1976, menyertai Ops DAOYAI MUSNAH 1 di Sadao Thailand. Jam 4 petang platun beliau diserang  oleh komunis semasa rondaan di kebun buah-buahan. Seorang Sarjan cedera parah dan seorang lagi rakannya terkorban terkena tembakan di dada dan beliau sendiri terkena tembakan di betis. Walau bagaimanapun kem tersebut beserta 4 orang anggota komunis dapat di tawan oleh pihak keselamatan.

Unit terakhir beliau ialah di Bn Infantri 105 (AW) sebagai ketua kerani  sebelum menamat kan perkhidmatan pada  27 Feb 1994. Selain pingat dalam perkhidmatan, tiada apa-apa pingat yang diterima selepas itu untuk dibanggakan kepada anak-anak cucu.

 Ahli Panel 5


803783 PW1 JGN (bersara) Abd Wahab
adalah salah seorang daripada krew KD SRI PERAK (KDSP) yang terselamat  dalam tragedi kapal karam pada tahun 1984.  Pada masa itu Wahab yang berpangkat  Bintara Muda adalah Juragan di dalam kapal tersebut.

 Menceritakan kisah pelayaran beliau bersama 28 anak-anak kapal KDSP pada 06 Jan 1984 dari Pangkalan TLDM Lumut konvoi bersama KD SRI TRENGGANU (KDST) dan KD HANG TUAH (KDHT) ke Labuan bagi siri latihan untuk pegawai kadet baru TLDM dalam suasana cuaca buruk. Ketika berada di Laut China Selatan iaitu antara Semenanjung dan Sabah, Sarawak,  KDST yang berada di belakang KDHT menghadapi masalah teknikal menyebabkan konvoi berpecah dua. 

KDSP yang berada paling belakang diarah menuju ke Labuan secara sendirian sementara KDHT terpaksa mengiringi KDST untuk menghulurkan bantuan. Ketika itu ombak kuat menghempas kapal hingga anak-anak kapal susah untuk beristirehat atau tidur serta jarak pemandangan yang terhad. Detik cemas dipercayai bermula apabila kapal  dihempas ombak yang terlalu kuat dan dipercayai hatch atau penutup keselamatan atas geladak hadapan kapal renggang menyebabkan air laut memasuki kapal sedikit demi sedikit.

Menyedari air laut yang memasuki kapal berukuran kira-kira 30 meter panjang itu sudah tidak boleh dikawal dan mula tenggelam walau pun pelbagai usaha dilakukan oleh anak-anak kapal bagi menyelamatkan keadaan termasuk menghubungi kapal induk dan Markas namun tidak berhasil.

Kejadian berlaku terlalu pantas memaksa semua krew terjun ke laut menyelamatkan diri. Pelampung penyelamat yang dicampakkan ke laut terbuka dengan baik dan mereka terus  berenang menuju ke pelampung dan sempat melihat kapal itu tenggelam sepenuhnya di tengah lautan pada kira-kira jam 1700H 8 Januari 1984. 

Setelah terapung di lautan selama 4 hari di dalam rakit keselamatan, kedudukan mereka dapat di kesan oleh sebuah pesawat jenis AP-3C ORION milik Tentera Udara Australia yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat KDSP. Satu jam kemudian iaitu lebih kurang 1700H, sebuah kapal dagang MV Thunderhead yang berada tidak jauh tiba untuk mengambil kesemua yang terselamat. Tiga krew kapal tidak dapat diselamatkan. Pada 12 Jan, dua buah helikopter Nuri TUDM membawa mereka ke Kuching sebelum menaiki pesawat Hercules C130 TUDM menerbangkan mereka ke Ipoh.

 Renungan

 Rata-rata jika ditanya pendapat veteran-veteran pasukan keselamatan, mereka bersyukur kerana ditakdirkan berkhidmat sebagai anggota tentera.  Mereka ikhlas berkhidmat untuk negara di kala negara berdepan dengan ancaman PKM meski pun mereka tahu memasuki tentera waktu itu nyawa ibarat telur di hujung tanduk.  Mereka tidak pernah memikirkan tentang berapa banyak gaji yang dibayar  waktu itu.  Asalkan dapat sedikit wang untuk dititipkan kepada ayah bonda dan anak isteri di kampung.

Mereka akur, setiap perjuangan akan berdepan dengan musibah.  Ada yang menemui ajal di tempat kejadian di hutan belantara dan lautan, ada yang ajal di dalam perjalanan, ada yang cedera parah dan ramai yang masih hidup bergelar OKU, tanpa kaki, tanpa tangan malah penglihatan dan pendengaran.

Meneruskan kelangsungan hidup dalam dunia yang semakin mencabar, mereka membina keluarga, membesarkan anak-anak dalam kepayahan dan serba kekurangan.  Kepada siapa harus mereka mengadu?.  Mereka ada jabatan dan persatuan yang bertungkus lumus berjuang mencaknai kebajikan mereka namun jabatan dan persatuan tidak mempunyai apa-apa kuasa. Mereka didendang dengan  pingat dan penghargaan sebagai penyedap hati kerana tak semua pingat berisi wang.  Sehinggakan ada yang berkata….”Kami sebenarnya bukan wira kepada negara ini kerana perjuangan dan pengorbanan kami di hutan belantara malah di samudera raya tidak pernah ditonton orang.  Wira negara  sebenar adalah warga yang menghasilkan emas untuk negara di medan olimpik dan seumpamanya”.  Sampai bila mereka akan dilagukan dengan janji-janji kosong…..

No comments:

Tinggalkan pesanan anda di sini