About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, December 2, 2020

38 PELATIH INSPEN TERIMA SAYAP PENERBANGAN

 Telah disiarkan di dalam majalah perajurit isu Nov/Dis 20

Oleh: Paklang Hamzah/Foto PRTUDM


ALOR SETAR, 9 Okt 2020 – Agenda pertahanan mesti diteruskan meski pun pandemik COVID-19 masih menghantui masyarakat antarabangsa. Legasi pejuang perlu disediakan sebaik mungkin bagi menentukan aset-aset strategik negara boleh dioperasikan oleh modal insan terlatih. 


Justeru, saban tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan memastikan pelapis-pelapis baharu juruterbang pesawat sayap kaku dan helikopter mesti dilahirkan bagi memenuhi keperluan pertahanan negara di masa-masa mendatang.


Dalam suasana norma baharu, Majlis Penyampaian Sayap Penerbangan bagi Kursus Asas Penerbangan Siri 81/18 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 60/18 tetap diteruskan walau pun tanpa kehadiran ibu bapa dan orang-orang yang tersayang menyaksikan majlis yang penuh bermakna ini.


Seramai 38 pelatih Institut Penerbangan 1 (INSPEN 1) dan Institut Penerbangan 2 (INSPEN 2) yang terdiri daripada 8 orang calon juruterbang pesawat pejuang, 15 orang calon juruterbang pesawat angkut dan 15 orang juruterbang helikopter yang bakal berkhidmat di dalam ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menerima Sayap Penerbangan hari ini.


Penyampaian Sayap Penerbangan ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM kepada mereka-mereka yang terlibat bertempat di Dewan Aeroangkasa, Kolej Tentera Udara (KTU), Kepala Batas, Alor Setar.


Pemenang


Bagi menghargai kecemerlangan pelatih-pelatih, 3 piala telah dianugerahkan kepada pelatih cemerlang  iaitu Piala Panglima Tentera Udara (Terbaik Keseluruhan Sayap Kaku), Piala Nuri (Terbaik Keseluruhan Helikopter) dan Piala Panglima Pendidikan dan Latihan Udara (Terbaik Akademik). 



Menepati kualiti dan kriteria yang ditetapkan, Leftenan Mohamad Faiz bin Hazmi TUDM, anak kelahiran Ipoh, Perak dan graduan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia  (UPNM) dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal telah  dinobatkan sebagai penerima Piala Panglima Tentera Udara. 


Bagi Piala Nuri (Terbaik Keseluruhan Helikopter) telah dianugerahkan kepada Leftenan  Mohamad  Izzat bin Rusli TUDM, dari Kemaman Terengganu, juga graduan UPNM dalam jurusan Sains Komputer Pertahanan. 


Bagi Piala Panglima Pendidikan dan Latihan Udara (Terbaik Akademik) pula telah dianugerahkan kepada Leftenan Sanggethiran A/L Ganesan TUDM yang berasal dari Gombak, Kuala Lumpur dan graduan UPNM di dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal.


Panglima Tentera Udara di dalam ucapannya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pelatih yang berjaya menamatkan kursus masing-masing. Meski pun segala pengorbanan dan curahan tenaga serta keringat selama ini telah terbukti, namun masih banyak dugaan dan suasana yang berbeza dan lebih mencabar yang bakal ditempuhi di masa hadapan sebagai juruterbang-juruterbang operasi yang berstatus combat ready.


PTU juga mengingatkan agar mereka semua menghadapi segala yang akan ditempuhi kelak dengan kegigihan, ketabahan, disiplin dan semangat juang yang tinggi, membudayakan nilai teras TUDM (Integriti, keberanian, kecemerlangan, Esprit De Corps atau setiakawan dan mengutamakan perkhidmatan) serta Ground Rules PTU bagi melaksanakan misi memelihara kedaulatan negara. 


Kompetensi setiap juruterbang di dalam menghadapi peperangan udara era moden yang bersifat dinamik yang mana kemampuan dan kepakaran dalam mengendalikan aset-aset yang serba moden dan berteknologi tinggi adalah satu kemestian. Faktor ini selari dengan pelan rancangan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP 55) dengan perancangan perolehan aset-aset baharu demi memastikan TUDM sebagai angkatan udara yang kekal berupaya dan bersiapsiaga mempertahankan kedaulatan ruang udara negara dan menjamin TUDM sebagai kuasa udara yang unggul.


Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Komandan Kolej Tentera Udara, Brig Jen Dato’ Muhammad Tarminzi bin Hj Mustapha TUDM serta warga KTU khususnya jurulatih INSPEN 1 dan INSPEN 2 serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak kerana KTU sekali lagi berjaya melahirkan juruterbang-juruterbang dan sekaligus perwira-perwira negara yang bakal berjuang dan mencurahkan bakti kepada agama, bangsa dan negara. 


Beliau turut mengucapkan tahniah kepada ibu bapa dan keluarga para pelatih yang telah memberikan dorongan, motivasi, doa dan menjadi tulang belakang  serta semangat di atas kejayaan para graduan sehingga dianugerahkan Sayap Penerbangan meskipun mereka tidak dapat menghadiri majlis ini berikutan langkah-langkah pencegahan pandemik COVID-19.



Turut serta di majlis bersejarah ini ialah Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Dato’  Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM; Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM;  Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Roshaimi bin Zakaria TUDM; Panglima Bantuan Udara, Mejar Jeneral Dato’ Muhamad Norazlan bin Aris TUDM;  pegawai-pegawai kanan TUDM. Turut dijemput khas mewakili TDM ialah Brigedier Jeneral Dato’ Haji Mohd Halim bin Khalid, Panglima Markas Briged Keenam Infantri Malaysia dan Laksamana Pertama Sazalee bin Shoib, Panglima Udara TLDM, Markas Udara TLDM mewakili TLDM. Majlis kali ini berlangsung secara norma baharu dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19.


No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini