About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Thursday, April 27, 2023

ULANG TAHUN KE-89 -TLDM SIAGA KEDAULATAN TERPELIHARA

LUMUT 27 April- Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyambut Hari Ulang Tahunnya (HUT) yang ke 89 dalam suasana mood raya.  Namun slogan Sedia Berkorban yang digalas oleh warga Navy People tidak menjadikan ianya sebagai satu alasan untuk tidak melakukan yang terbaik meskipun ramai yang tidak dapat balik berhari raya di kampung atau tidak boleh bercuti panjang.

Upacara perbarisan  penuh istiadat tradisi tentera laut  ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman bin Ayob berlangsung di Padang Kawad KD PELANDOK, Pangkalan TLDM Lumut, Perak yang melibatkan 16 kontinjen termasuk lapan (8) kontinjen panji-panji dari KD PELANDOK, KD MALAYA, KD PANGLIMA HITAM, KD SRI SANDAKAN, KD RAJAWALI, KD SRI SEMPORNA, KD DUYONG dan Skuadron Frigate Ke-23.



Seramai 61 orang Pegawai dan 812 Anggota Lain-lain Pangkat yang diketuai oleh Kdr Lim Kim Tat TLDM serta dibantu oleh Pancaragam Pusat TLDM yang dipimpin oleh Lt Kdr Mohd Shamram bin Ramli TLDM. Perbarisan kali ini turut melakar sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya melibatkan lapan (8) buah Panji-Panji Rejimen TLDM di dalam sebuah acara.


Turut menyaksikan perbarisan adalah Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Sabri bin Zali, Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Dato’ Abu Bakar bin Md Ajis, Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Ruzelme bin Hj Ahmad Fahimy dan barisan Jawatankuasa Laksamana (JLAKS) TLDM serta warga The Navy People.


Anugerah Dan Pengiktirafan


 Seperti mana kebiasaan Panglima Tentera Laut turut menyempurnakan upacara penyampaian piala dan anugerah kepada unit dan warga yang cemerlang sepanjang tahun 2022.  Tiga Piala telah diperuntukan kepada kapal-kapal yang memenuhi kriteria keunggulan dalam kategori masing-masing iaitu Piala Agong dimenangi oleh Kapal Diraja (KD) LEKIU, Piala Gonzales dimenangi oleh  Kapal Diraja (KD) KERIS dan Piala Panglima Tentera Laut dimenangi oleh Kapal Diraja (KD) SUNDANG. 

Piala Agong- Piala ini dihadiahkan oleh SPB YDPA untuk dianugerahkan kepada kapal TLDM yang menonjol serta dapat mencapai dan mengekalkan tahap tertinggi operasi sepanjang tahun.

Piala Gonzales- Piala ini dihadiahkan oleh bekas PAT Jen Tan Sri Mohd Ghazali bin Dato' Mohd Seth untuk dianugerahkan kepada kapal yang memperoleh markah tertinggi dalam Audit Kesiapsiagaan (AK) TLDM

Piala PTL - Diberikan kepada kapal yang mencapai tahap operasi yang tertinggi dalam kategori sistem persenjataan yang meliputi sistem kawalan dan senjata tidak termasuk sistem anti kapal selam.

Manakala Markas Terbaik pula dianugerahkan kepada Markas Pemerintahan Kapal Selam.


Anugerah Markas Terbaik-  Merupakan penghargaan tertinggi TLDM kepada Markas yang telah mempamerkan kecemerlangan secara menyeluruh dalam pengurusan organisasi berlandaskan kesiagaan yang menyerlah dan prestasi terbaik sepanjang tahun.

Di samping itu juga dua anugerah kecemerlangan modal insan terbaik bagi tahun 2022 ialah 831727 Bintara Muda PAP (PKL) Abdul Rahman bin Abu Hassan bagi kategori Bintara TLDM Terbaik  dan Laskar TLDM Terbaik dianugerahkan kepada 837167 Laskar Kanan TMS Tc. Shatheesrao a/l Apparao.

Bintara Terbaik

Lasykar Terbaik

Perbarisan kali ini juga menyaksikan seramai 40 orang pegawai dan anggota dianugerahkan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) sebagai pengiktirafan dan penghargaan terhadap jasa bakti anggota tentera yang terlibat dalam OP DAULAT berikutan insiden pencerobohan Lahad Datu, Sabah.


Pameran statik aset pertahanan dan sokongan turut diadakan melibatkan dua (2) buah Helikopter Operasi Maritim (HOM) dari Skuadron 503, Kota Kinabalu, Sabah, dua (2) buah Loader dan sebuah lori Bomba TLDM, dua (2) buah motor scrambler dan dua (2) buah Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) Pasukan Khas Laut (PASKAL).


Sempena suasana Syawal, Majlis Jamuan Hari Raya Peringkat TLDM turut diadakan di Auditorium M.Sidek Shahbudin, KD PELANDOK   bersama seluruh ahli keluarga The Navy People seusai Upacara Perbarisan Istiadat. 


Ternyata kemeriahan berganda ini dapat dikongsi bersama tanpa melupakan rakan seperjuangan yang sedang bertugas di perbatasan. Walaupun negara masih bergembira merayakan Aidilfitri, TLDM sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab memelihara kedaulatan perairan negara tercinta ini.


No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini