About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, April 12, 2023

LTAT BUKA AKAUN TABUNG HAJI UNTUK ANAK-ANAK WARGA ATM



SUNGAI PETANI,11 Apr - Satu Skim Penabungan  Anak-anak Rukun Kelima (SPARK) telah diperkenalkan dalam kalangan anak-anak warga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

SPARK merupakan satu inisiatif Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan membuka akaun Tabung Haji kepada anak-anak anggota ATM yang bersekolah di dalam kem di seluruh Malaysia.


Sebanyak RM50 telah disumbangkan oleh Yayasan LTAT untuk setiap akaun yang dibuka di mana telah melibatkan seramai 13,500 orang pelajar dengan nilai RM 675,000.  Pembayaran fasa pertama adalah sebanyak RM 314,050 yang melibatkan 6,281 orang pelajar.


Kenyataan ini telah diumumkan oleh Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan dalam satu Majlis Berbuka Puasa Menteri Pertahanan Bersama Warga Tentera Darat Malaysia (TDM) bertempat di Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah hari ini. 


Menyampaikan Sumbangan


Dalam majlis yang sama, YB Menteri Pertahanan telah menyempurnakan penyampaian sumbangan kebajikan kepada anggota TDM yang melibatkan seramai 26 orang penerima kategori Orang Kelainan Upaya (OKU) dan 24 anggota lagi merupakan penerima kategori asnaf.


Sumbangan tersebut merupakan inisiatif Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dalam membantu meringankan beban kepada mereka yang memerlukan khususnya warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam suasana menyambut Ramadhan. 


YB Menteri Pertahanan meluangkan masa beramah mesra dengan 500 warga TDM yang bersama-sama mengimarahkan Masjid An-Naim yang merupakan lokasi ketiga beliau dalam siri majlis berbuka puasa bersama warga ATM pada tahun ini. Terdahulu adalah di Pulau Langkawi bersama warga TLDM dan di Sendayan bersama warga TUDM.


Komited


Kementerian Pertahanan kekal komited di dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan Warga Pertahanan berada pada tahap terbaik, serta menjadi keutamaan sejajar dengan lima teras Kertas Putih Pertahanan. Usai Majlis Berbuka Puasa, YB Menteri Pertahanan bersama-sama warga TDM menunaikan solat Maghrib berjemaah di Masjid An-Naim dan diimamkan oleh Mejar Mohd Na’im bin Haji Ahmad Al Hafiz, Pegawai Staf 2 Agama, Markas Tentera Darat.


Ketibaan YB Menteri Pertahanan disambut oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman, Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Hj Muhammad Huzaimi bin Sabri, Panglima 6 Briged, Brigedier Jeneral Dato’ Mohd Akib bin Haji Yusof.


Turut hadir ke acara ini adalah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Markas Tentera Darat, Mej Jeneral Azhan bin Hj Md Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan LTAT, Dato’ Dr. Mohd Nizar bin Haji Sudin, pegawai-pegawai kanan TDM serta warga TDM khususnya daripada Formasi 6 Briged dan kem-kem di bawah naungannya. 








No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini