About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Saturday, September 29, 2012

EAGLE 2012- MISI OFENSIF PERTAHAN BUMI PERAK

Sumber Majalah Perajurit Edisi Oktober 2012
Oleh Hamzah Hd
Foto: PR Markas 2 Div

Gelombang Arab Spring setakat ini masih lagi membara dan api sentimen kebencian kepada pemerintah dalam negara ini juga diberi gambaran yang serupa oleh individu-individu berkepentingan dan sentiasa dinyalakan supaya ianya terus membara agar gelombang yang serupa menular dan mengganggu gugat kestabilan negara demi sebuah perjuangan dendam kesumat. 

Meskipun geo-politik negara-negara Arab langsung tidak mempunyai persamaan dengan suasana dalam negara ini namun atas dasar kebencian sebilangan rakyat negara ini terhadap pemerintah, menjadikan Arab Spring begitu relevan untuk dijadikan asas gerakan menjatuhkan kerajaan yang majoritinya dipilih rakyat.  Walaupun gelombang ini masih lagi berskala kecil dan mampu ditangani oleh pasukan keselamatan namun transisi berterusan terhadap lanskap geo-strategik global dan serantau mungkin boleh menjana persefahaman dan campurtangan halus dari  luar mendorong sesuatu yang lebih serius serta menyemarakkan semangat dan cetusan gelombang yang lebih besar.

Walaupun rantau Asia Tenggara kini nampak aman dari sebarang bentuk ancaman tradisional namun beberapa isu dalaman serta lanskap geo-politik dalam negara mampu mencetus konflik jika tidak ditangani dengan berhemah.

Fokus terhadap rantau Asia Tenggara waktu ini semakin meningkat ekoran meningkatnya kebangkitan kuasa-kuasa serantau seperti China dan India yang bukan hanya melibatkan kuasa ekonomi malah ketenteraan.  Justeru komitmen ATM dalam konteks ini telah memberi penafsiran semula terhadap konsep pertahanan dan keselamatan nasional bagi menjamin perseimbangan keupayaan dalam skop tanggungjawab yang semakin berkembang.  Meskipun keupayaan teras ATM sebagai ketumbukan perang namun, fokus juga diberikan sebagai peranan sekunder bagi  membantu pihak berkuasa awam dalam pembentukan dan pembangunan negara bangsa yang stabil dan harmoni.

Sebagai ketumbukan peperangan daratan, kesiagaan Tentera Darat Malaysia (TD) tidak perlu dipersoalkan lagi tentang kredibiliti dan kewibawaan pasukan.  Walaupun TDM tidak dominan berbanding angkatan darat sesetengah negara di rantau ini namun keupayaan dan semangat juang warga TDM sudah diiktiraf dan bertaraf dunia.  Ianya terbukti melalui catatan sejarah perjuangan membebaskan tanahair dari penjajahan, konfrontasi dan insurgensi malah komitmen yang telah ditunjukkan dalam perkhidamatan di bawah  payung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sejak era 1960an lagi.

Tahun 2012, keupayaan ketumbukan TD diuji lagi.  Sumber perisikan TD mendapat maklumat bahawa negara LANUNLAND sekali lagi telah melancarkan konfrontasi militer terhadap Malaysia ekoran ketidakpuasan hati tentang beberapa perkara yang bersifat domestik nusantara.  Kemungkinan serangan  dilakukan dengan kaedah  penyusupan melalui negeri-negeri kawasan tengah Semenanjung.  Sebagai tindak balas ofensif pemerintah tertinggi ATM telah mengarahkan supaya angkatan darat diaturgerakkan ke kawasan terbabit bagi menampan dan memberi cabaran terhadap kemaraan gerakan musuh.



Ketumbukan Infantri Divisyen kedua di gerakkan

Angkatan 2 Div Infantri Diatur Gerak

26 Jun 2012- EX EAGLE 1/2012 dilancarkan. Markas 2 Divisyen Infantri di Pulau Pinang telah diberi mandat untuk melaksanakan misi ofensif peperangan konvensional menentang angkatan LANUNLAND. Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) dan Pusat Olah Perang Tentera Darat (POPTD) telah dipertanggungjawabkan untuk memberi bantuan dan mengkordinasikan aspek pelaksanaan peperangan ini. Pelancaran telah disempurnakan oleh Panglima 2 Div bertempat di 2 RRD Ipoh Perak.

Pada hari kedua persiapan untuk misi ini telah memperlihatkan kemampuan unit-unit pelaku 2 Bgd (TE KERIS) dalam melaksanakan Operasi Ofensif Gerakmara bagi mencapai misi yang telah diberikan.  Pada hari yang sama Panglima Medan TD, Lt Jen Dato’ Zulkiple Hj Kassim telah hadir ke Dewan Johari Selan 2 RRD untuk mendengar penyampaian Konsep Operasi 2 Bgd dan juga Perancangan Gerakmara (Perintah) Unit-Unit Tempur. 

01 Julai – Ketumbukan 2 Div mula diuji.  Di kampong Helban Kuala Kangsar,  Panglima Medan TD dengan penuh semangat dihadapan 1500 orang pejuang mengingatkan semua pejuang supaya   memanfaatkan peperangan ini sebaik mungkin dalam usaha untuk mempertahankan kedaulatan tanahair yang tercinta.  Setiap inci bumi keramat ini mesti dijaga dan jangan biarkan ianya dijajah semula demi maruah dan kedaulatan.

02 Julai- Di Batu Kurau, ketumbukan  2 Bgd telah diserang oleh satu seksyen pasukan musuh bersama kereta perisai semasa kemaraan pasukan ke Gerik.  Pertempuran sengit berlaku dan memaksa pihak musuh berundur setelah diasak oleh tank dan serangan Kompeni. Pejuang 2 Bgd berjaya meneruskan kemaraan sehingga ke kawasan harbour yang dipilih.


RAJD bersedia untuk memasang Jambatan Taktikal  untuk membantu kemaraan ketumbukan TD

Menilai kekuatan angkatan LANUNLAND yang telah mara ke kawasan utara negeri Perak, pemerintah TDM mengambil keputusan untuk menggabungkan elemen dengan menggemblengkan kekuatan berkonsepkan gabungan  melibatkan ketumbukan ATM.  Justeru 387 pejuang dari TD berkampung di Kem Kemunting menyusun strategi untuk menghapuskan pemberontak LANUNLAND.

Di Lubuk Merbau, kedudukan ‘B’ Bateri 3 RAD telah siap sedia untuk melaksanakan tembakan ke atas kedudukan musuh. Anggota meriam bersedia di tapak meriam menunggu arahan untuk memberi bantuan tembakan pada bila-bila masa sahaja. 

03 Julai- Satu pertempuran sengit telah berlaku.  Batalion Ke 23 RAMD bersama PENDEKAR telah memusnahkan pertahanan dan berjaya mengekang kemaraan pemberontak LANUNLAND di Kampung Jenalik. PENDEKAR (PT 91M) adalah kereta kebal termoden buatan Poland di bawah kawalan 11 ARMOR yang berpangkalan di Gemas Negeri Sembilan mampu memusnahkan tank musuh dan memberi bantuan tembakan sejauh 5km kepada ketumbukan yang sedang mara. Dalam  pertempuran tersebut 4 orang pemberontak telah ditawan dan seorang telah dibunuh.


Kemaraan tidak terjejas walaupun jambatan sudah dimusnahkan oleh pihak musuh

Dalam situasi lain, jambatan Raja Muda Nazrin yang merentangi Tasik Raban musnah terkena tembakan daripada grup Artileri dan Mortar angkatan musuh.  Sebahagian daripadanya rosak teruk dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan berat. Skuadron ke 4 RAJD (jambatan) telah diaturgerak untuk membina jambatan jenis pontoon dan katamaran bagi membolehkan ketumbukan 2 Bgd meneruskan kemaraan.

04 Julai- Di Tasik Raban, Pengarah Peperangan Mej Jen Dato’ Azizan Md Delin mengadakan mesyuarat ‘O’ group (PAWAU) merangkumi keseluruhan perlaksanaan perisikan, gerakan dan aturgerak trup di kawasan tanggungjawab Eagle yang dirancang sebelum ini serta menilai kembali senario  pertempuran yang telah berlaku dengan mengaturgerakan strategi baru untuk menghadapi ancaman serta manipulasi taktikal angkatan musuh pada masa mendatang. Panglima Medan TD turut bersama turun padang untuk memberi semangat kepada pegawai dan anggota yang sedang melaksanakan perjuangan ini.  Beliau juga turut menyaksikan operasi penyeberangan Sungai dan melawat Markas Taktikal 2 Bgd.

Di Lawin, pertempuran sengit telah berlaku menyebabkan 12 orang pejuang telah terbunuh, 15 cedera dan 2 orang telah hilang tanpa dapat dikesan. Batalion ke 9 RRD yang diketuai oleh Lt Kol Ahmad Suhaimi Navinda Abdullah dibantu oleh tembakan Artileri dan Calvari telah bertindak balas dengan memusnahkan pertahanan musuh dan menyebabkan musuh mengundur ke lokasi pertahanan melengah yang baru. Dalam kejadian tersebut seorang musuh ditawan.

05 Julai- Di Padang Rengas 3 orang pegawai disyaki telah dijangkiti Laptospirosis (Kencing Tikus) dan 2 orang pegawai lagi serta 4 orang anggota LLP  mengalami cirit birit  telah dimasukkan ke Hospital Medan.  Mereka dilapurkan berada dalam keadaan stabil.  Dalam pada itu seorang anggota telah dimasukkan ke Hospital Taiping kerana mengidap demam Denggi. Kesemua mereka yang terlibat ditarik keluar dari barisan hadapan untuk diberi rawatan lanjut.

06 Julai- Di Lawin dua buah pesawat pejuang musuh jenis HAWK Tentera Udara LANUNLAND telah menyerang pengawal hadapan di Kampong Tenaga Baru. Seramai 35 pejuang terkorban 7 cedera dan 15 dilapurkan hilang. Sebuah tank dan 2 buah kavalri turut musnah dalam serangan tersebut.
07 Julai-  Platun 11, Komp D 9 RRD telah menggempur kubu musuh di Ladang Weng Joo, Taiping Perak.  Empat orang musuh dan sebuah trak 3 ton musuh telah berjaya ditawan semasa pertempuran manakala seorang telah berjaya dibunuh dan selebihnya telah melarikan diri.

Manakala Komp B, 9 RRD pula telah memusnahkan pertahanan musuh di Ladang Stoughton ,Taiping Perak pada hari yang sama.  Hampir keseluruhan pertahanan musuh musnah semasa serangan tersebut.  Semua musuh melarikan diri ke pertahanan melengah yang baru.
Di Lenggong, Panglima 2 Bgd, Brig Jen Dato’ Md Dzahir bin Abdul Rashid telah membaca perintah Pergerakan Briged (Panglima TE KERIS) kepada Pegawai-Pegawai Memerintah/Pemerintah di bawah naungan.  Perintah ini disampaikan bagi membolehkan semua pasukan membuat persiapan untuk serangan akhir briged ke atas saki baki musuh.

Pada waktu Subuh yang hening 08 Julai di Kampong Padang Kunyit Gerik, Ketumbukan 2 Briged yang diketuai oleh Brig Jen Dato’ Md Dzahir Abd Rashid telah menggempur kubu musuh dan memaksa angkatan LANUNLAND berundur sepenuhnya.  Dalam pertempuran yang mengambil masa 1 jam 40 minit, musuh dilapurkan seramai 183 telah terbunuh, 211 cedera dan 68 hilang.  Manakala di pihak tentera darat  sendiri  seramai 45 orang pejuang terkorban , 49 orang cedera dan 13 orang lagi hilang tidak dapat dikesan.  Pertempuran sengit itu juga menyebabkan 4 kenderaan musuh turut musnah. Ekoran daripada pertempuran itu yang melibatkan kemusnahan besar angkatan LANUNLAND.  Sumber-sumber perisikan medan telah mengesahkan bahawa saki baki musuh telah berundur secara menyeluruh dan dijangka tiada lagi ancaman akan berlaku di bumi Perak untuk masa terdekat.

Ex Eagle berjaya dilaksanakan dengan cemerlang


Perang Tamat

Di Gerik, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Dato' Seri Panglima Hj Zulkifli Hj Zainal Abidin  telah mengistiharkan Eagle 2012 ditamatkan 
Bermula dengan Staffex yang diadakan di Kem Tun Razak, Pulau Pinang diikuti dengan CPX di Kem Syed Putra, Perak dan diakhiri dengan FTX di kawasan Kuala Kangsur ke Gerik, Perak telah memerah tenaga, keringat dan komitmen yang jitu dari semua pihak bagi mencapai objektif yang telah ditetapkan dalam doktrin TDM. Beliau sangat berpuas hati dengan pencapaian TD yang terlibat yang telah berjaya menewaskan angkatan musuh. Beliau amat yakin dengan gabungan semua elemen aset TD berupaya meletakan TD setanding dengan negara-negara lain yang ‘kelihatan’ dominan di rantau ini.  PERAJURIT
tonggak tentera darat




2 comments:

Anonymous said...

dari dulu sampai sekarang tak habis habis dengan cerita lanunland.... pemalas otak beku

Anonymous said...

lu kena fikir la bro Anonymous... Laporan Execise tentera ni adalah laporan sebenar bukan cerita fiksyen... Takkan nak sebut sebijik2 negara2 yang menjadi sasaran dalam latihan ini.

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini