Sumber Majalah Perajurit Edisi Oktober 2012
Oleh Hamzah Hd
Foto: PR Markas 2 Div
Oleh Hamzah Hd
Foto: PR Markas 2 Div
Gelombang
Arab Spring setakat ini masih lagi membara dan api sentimen kebencian kepada
pemerintah dalam negara ini juga diberi gambaran yang serupa oleh
individu-individu berkepentingan dan sentiasa dinyalakan supaya ianya terus
membara agar gelombang yang serupa menular dan mengganggu gugat kestabilan
negara demi sebuah perjuangan dendam kesumat.
Meskipun
geo-politik negara-negara Arab langsung tidak mempunyai persamaan dengan
suasana dalam negara ini namun atas dasar kebencian sebilangan rakyat negara
ini terhadap pemerintah, menjadikan Arab Spring begitu relevan untuk dijadikan
asas gerakan menjatuhkan kerajaan yang majoritinya dipilih rakyat. Walaupun gelombang ini masih lagi berskala
kecil dan mampu ditangani oleh pasukan keselamatan namun transisi berterusan
terhadap lanskap geo-strategik global dan serantau mungkin boleh menjana
persefahaman dan campurtangan halus dari luar mendorong sesuatu yang lebih serius serta
menyemarakkan semangat dan cetusan gelombang yang lebih besar.
Walaupun
rantau Asia Tenggara kini nampak aman dari sebarang bentuk ancaman tradisional
namun beberapa isu dalaman serta lanskap geo-politik dalam negara mampu
mencetus konflik jika tidak ditangani dengan berhemah.
Fokus
terhadap rantau Asia Tenggara waktu ini semakin meningkat ekoran meningkatnya
kebangkitan kuasa-kuasa serantau seperti China dan India yang bukan hanya
melibatkan kuasa ekonomi malah ketenteraan.
Justeru komitmen ATM dalam konteks ini telah memberi penafsiran semula terhadap
konsep pertahanan dan keselamatan nasional bagi menjamin perseimbangan
keupayaan dalam skop tanggungjawab yang semakin berkembang. Meskipun keupayaan teras ATM sebagai
ketumbukan perang namun, fokus juga diberikan sebagai peranan sekunder bagi membantu pihak berkuasa awam dalam
pembentukan dan pembangunan negara bangsa yang stabil dan harmoni.
Sebagai
ketumbukan peperangan daratan, kesiagaan Tentera Darat Malaysia (TD) tidak
perlu dipersoalkan lagi tentang kredibiliti dan kewibawaan pasukan. Walaupun TDM tidak dominan berbanding
angkatan darat sesetengah negara di rantau ini namun keupayaan dan semangat
juang warga TDM sudah diiktiraf dan bertaraf dunia. Ianya terbukti melalui catatan sejarah
perjuangan membebaskan tanahair dari penjajahan, konfrontasi dan insurgensi
malah komitmen yang telah ditunjukkan dalam perkhidamatan di bawah payung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)
sejak era 1960an lagi.
Tahun
2012, keupayaan ketumbukan TD diuji lagi.
Sumber perisikan TD mendapat maklumat bahawa negara LANUNLAND sekali
lagi telah melancarkan konfrontasi militer terhadap Malaysia ekoran
ketidakpuasan hati tentang beberapa perkara yang bersifat domestik
nusantara. Kemungkinan serangan dilakukan dengan kaedah penyusupan melalui negeri-negeri kawasan
tengah Semenanjung. Sebagai tindak balas
ofensif pemerintah tertinggi ATM telah mengarahkan supaya angkatan darat
diaturgerakkan ke kawasan terbabit bagi menampan dan memberi cabaran terhadap kemaraan
gerakan musuh.
Ketumbukan Infantri Divisyen kedua di gerakkan |
Angkatan
2 Div Infantri Diatur Gerak
26 Jun 2012- EX EAGLE 1/2012
dilancarkan. Markas 2 Divisyen Infantri di Pulau Pinang telah diberi mandat
untuk melaksanakan misi ofensif peperangan konvensional menentang angkatan
LANUNLAND. Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) dan Pusat Olah Perang
Tentera Darat (POPTD) telah dipertanggungjawabkan untuk memberi bantuan dan
mengkordinasikan aspek pelaksanaan peperangan ini. Pelancaran telah
disempurnakan oleh Panglima 2 Div bertempat di 2 RRD Ipoh Perak.
Pada hari kedua persiapan
untuk misi ini telah memperlihatkan kemampuan unit-unit pelaku 2 Bgd (TE KERIS)
dalam melaksanakan Operasi Ofensif Gerakmara bagi mencapai misi yang telah
diberikan. Pada hari yang sama Panglima
Medan TD, Lt Jen Dato’ Zulkiple Hj Kassim telah hadir ke Dewan Johari Selan 2
RRD untuk mendengar penyampaian Konsep Operasi 2 Bgd dan juga Perancangan
Gerakmara (Perintah) Unit-Unit Tempur.
01 Julai – Ketumbukan 2 Div
mula diuji. Di kampong Helban Kuala
Kangsar, Panglima Medan TD dengan penuh
semangat dihadapan 1500 orang pejuang mengingatkan semua pejuang supaya memanfaatkan peperangan ini sebaik mungkin
dalam usaha untuk mempertahankan kedaulatan tanahair yang tercinta. Setiap inci bumi keramat ini mesti dijaga dan
jangan biarkan ianya dijajah semula demi maruah dan kedaulatan.
02 Julai- Di Batu Kurau, ketumbukan
2 Bgd telah diserang oleh satu seksyen
pasukan musuh bersama kereta perisai semasa kemaraan pasukan ke Gerik. Pertempuran sengit berlaku dan memaksa pihak
musuh berundur setelah diasak oleh tank dan serangan Kompeni. Pejuang 2
Bgd berjaya meneruskan kemaraan sehingga ke kawasan harbour yang
dipilih.
RAJD bersedia untuk memasang Jambatan Taktikal untuk membantu kemaraan ketumbukan TD |
Menilai kekuatan angkatan
LANUNLAND yang telah mara ke kawasan utara negeri Perak, pemerintah TDM
mengambil keputusan untuk menggabungkan elemen dengan menggemblengkan kekuatan
berkonsepkan gabungan melibatkan
ketumbukan ATM. Justeru 387 pejuang dari
TD berkampung di Kem Kemunting menyusun strategi untuk menghapuskan pemberontak
LANUNLAND.
Di Lubuk Merbau, kedudukan
‘B’ Bateri 3 RAD telah siap sedia untuk melaksanakan tembakan ke atas kedudukan
musuh. Anggota meriam bersedia di tapak meriam menunggu arahan untuk memberi
bantuan tembakan pada bila-bila masa sahaja.
03 Julai- Satu pertempuran
sengit telah berlaku. Batalion Ke 23
RAMD bersama PENDEKAR telah memusnahkan pertahanan dan berjaya mengekang
kemaraan pemberontak LANUNLAND di Kampung Jenalik. PENDEKAR (PT 91M) adalah
kereta kebal termoden buatan Poland di bawah kawalan 11 ARMOR yang berpangkalan
di Gemas Negeri Sembilan mampu memusnahkan tank musuh dan memberi
bantuan tembakan sejauh 5km kepada ketumbukan yang sedang mara. Dalam pertempuran tersebut 4 orang pemberontak telah
ditawan dan seorang telah dibunuh.
Kemaraan tidak terjejas walaupun jambatan sudah dimusnahkan oleh pihak musuh |
Dalam situasi lain, jambatan
Raja Muda Nazrin yang merentangi Tasik Raban musnah terkena tembakan daripada
grup Artileri dan Mortar angkatan musuh.
Sebahagian daripadanya rosak teruk dan tidak boleh dilalui oleh
kenderaan berat. Skuadron ke 4 RAJD (jambatan) telah diaturgerak untuk membina
jambatan jenis pontoon dan katamaran bagi membolehkan ketumbukan 2 Bgd
meneruskan kemaraan.
04 Julai- Di Tasik Raban,
Pengarah Peperangan Mej Jen Dato’ Azizan Md Delin mengadakan mesyuarat ‘O’
group (PAWAU) merangkumi keseluruhan perlaksanaan perisikan, gerakan dan
aturgerak trup di kawasan tanggungjawab Eagle yang dirancang sebelum ini
serta menilai kembali senario
pertempuran yang telah berlaku dengan mengaturgerakan strategi baru
untuk menghadapi ancaman serta manipulasi taktikal angkatan musuh pada masa
mendatang. Panglima
Medan TD turut bersama turun padang untuk memberi semangat kepada pegawai dan
anggota yang sedang melaksanakan perjuangan ini. Beliau juga turut menyaksikan operasi
penyeberangan Sungai dan melawat Markas Taktikal 2 Bgd.
Di Lawin, pertempuran sengit
telah berlaku menyebabkan 12 orang pejuang telah terbunuh, 15 cedera dan 2
orang telah hilang tanpa dapat dikesan. Batalion ke 9 RRD yang diketuai oleh Lt Kol
Ahmad Suhaimi Navinda Abdullah dibantu oleh tembakan Artileri dan Calvari telah
bertindak balas dengan memusnahkan pertahanan musuh dan menyebabkan musuh
mengundur ke lokasi pertahanan melengah yang baru. Dalam kejadian tersebut
seorang musuh ditawan.
05 Julai- Di Padang Rengas 3
orang pegawai disyaki telah dijangkiti Laptospirosis (Kencing Tikus) dan
2 orang pegawai lagi serta 4 orang anggota LLP
mengalami cirit birit telah
dimasukkan ke Hospital Medan. Mereka
dilapurkan berada dalam keadaan stabil. Dalam
pada itu seorang anggota telah dimasukkan ke Hospital Taiping kerana mengidap demam
Denggi. Kesemua mereka yang terlibat ditarik keluar dari barisan hadapan untuk diberi
rawatan lanjut.
06 Julai- Di Lawin dua buah
pesawat pejuang musuh jenis HAWK Tentera Udara LANUNLAND telah menyerang pengawal
hadapan di Kampong Tenaga Baru. Seramai 35 pejuang terkorban 7 cedera dan 15
dilapurkan hilang. Sebuah tank dan 2 buah kavalri turut musnah dalam
serangan tersebut.
07 Julai- Platun 11, Komp D 9 RRD telah menggempur kubu
musuh di Ladang Weng Joo, Taiping Perak. Empat orang musuh dan sebuah trak 3 ton musuh
telah berjaya ditawan semasa pertempuran manakala seorang telah berjaya dibunuh
dan selebihnya telah melarikan diri.
Manakala Komp B, 9 RRD pula
telah memusnahkan pertahanan musuh di Ladang Stoughton ,Taiping Perak pada hari
yang sama. Hampir keseluruhan pertahanan
musuh musnah semasa serangan tersebut.
Semua musuh melarikan diri ke pertahanan melengah yang baru.
Di Lenggong, Panglima 2 Bgd,
Brig Jen Dato’ Md Dzahir bin Abdul Rashid telah membaca perintah Pergerakan
Briged (Panglima TE KERIS) kepada Pegawai-Pegawai Memerintah/Pemerintah di
bawah naungan. Perintah ini disampaikan
bagi membolehkan semua pasukan membuat persiapan untuk serangan akhir briged ke
atas saki baki musuh.
Pada waktu Subuh yang hening
08 Julai di Kampong Padang Kunyit Gerik, Ketumbukan 2 Briged yang
diketuai oleh Brig Jen Dato’ Md Dzahir Abd Rashid telah menggempur kubu musuh dan
memaksa angkatan LANUNLAND berundur sepenuhnya.
Dalam pertempuran yang mengambil masa 1 jam 40 minit, musuh dilapurkan
seramai 183 telah terbunuh, 211 cedera dan 68 hilang. Manakala di pihak tentera darat sendiri seramai 45 orang pejuang terkorban , 49 orang cedera
dan 13 orang lagi hilang tidak dapat dikesan.
Pertempuran sengit itu juga menyebabkan 4 kenderaan musuh turut musnah.
Ekoran daripada pertempuran itu yang melibatkan kemusnahan besar angkatan
LANUNLAND. Sumber-sumber perisikan medan
telah mengesahkan bahawa saki baki musuh telah berundur secara menyeluruh dan
dijangka tiada lagi ancaman akan berlaku di bumi Perak untuk masa terdekat.
2 comments:
dari dulu sampai sekarang tak habis habis dengan cerita lanunland.... pemalas otak beku
lu kena fikir la bro Anonymous... Laporan Execise tentera ni adalah laporan sebenar bukan cerita fiksyen... Takkan nak sebut sebijik2 negara2 yang menjadi sasaran dalam latihan ini.
Post a Comment