About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, July 20, 2011

TLDM makin hampir miliki kapal 'halimunan'

sumber utusan
Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my


ENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) semakin hampir untuk memiliki kapal perang berteknologi stealth (halimunan) termoden apabila kapal kelas Sigma 10614 dan kelas Gowind disenarai pendek bagi program pembangunan kapal tempur pesisir (LCS).

Hakikat itu turut disokong dengan pengesahan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini bahawa reka bentuk akhir skuadron LCS pertama negara itu, dengan penekanan kepada teknologi halimunan akan siap hujung bulan ini.

Ini bermakna, platform mana yang bakal dipilih untuk dijadikan asas kepada aset tempur itu bakal terjawab mulai bulan depan atau selewat-lewatnya pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2011 Disember ini.

Sigma 10614 lahir hasil teknologi Belanda dengan menampilkan reka bentuk modular yang terbukti berjaya mengurangkan kadar pantulan radar dan memiliki kemampuan untuk diintegrasi dengan mana-mana sistem persenjataan termoden pada hari ini.

Kelebihan integrasi itu berpunca daripada penggunaan sistem pengurusan tempur jenis Tacticos, yang diakui sebagai antara terbaik di dunia sehingga berjaya menambat hati beberapa negara pengguna lain antaranya Tentera Laut Maghribi dan Indonesia.

Difahamkan, keyakinan dan kemampuan hakiki yang dibuktikan oleh Sigma di negara berkenaan, menjadi pendorong kuat kepada TLDM untuk menyenarai pendek Sigma 10614 sebagai salah satu platform akhir bagi program skuadron LCS.

Bagaimanapun, Sigma 10614 adalah versi berbeza kerana jauh lebih canggih, panjang dan lebar berbanding empat buah Sigma 9113 (korvet) dan dua Sigma 10514 (friget) milik Indonesia, mahu pun Sigma yang dimiliki Tentera Laut Maghribi sendiri.

Gowind pula diakui sebagai sebuah platform dengan teknologi halimunan antara terbaik pernah dicipta, hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) panjang DCNS, iaitu syarikat perkapalan yang membekal kapal selam pertama negara.

Kadar pantulan radar kapal ini sangat rendah menyebabkan ia sukar dikesan musuh dan di rantau Asia, negara yang memiliki aset sedemikian hanyalah Singapura, melalui kapal friget kelas Delta, juga hasil kerjasama dengan syarikat Perancis.

Walaupun dianggap jauh lebih berkemampuan berbanding Sigma 10614 dalam aspek halimunan, kekurangan Gowind adalah belum teruji sepenuhnya kerana DCNS sendiri, masih membuat beberapa kajian.

Sebenarnya, selain daripada pemilihan platform yang memiliki teknologi halimunan termoden, program LCS juga bakal menyaksikan kemasukan peluru berpandu pertahanan udara, antikapal permukaan serta sistem antikapal selam tercanggih di rantau ini.

Ini kerana, bagi pertahanan udara umpamanya, peluru berpandu Evolved Sea Sparrow Missile (ESSM) keluaran Amerika Syarikat (AS), yang mampu memusnahkan mana-mana pesawat moden sehingga jarak 50 kilometer (km) dikatakan menjadi pilihan TLDM.

Begitu juga dalam aspek antikapal permukaan. TLDM khabarnya telah memilih untuk menggunakan peluru berpandu berteknologi halimunan buatan Norway, Naval Strike Maritime (NSM) yang mampu menyerang kapal musuh sehingga jarak 180 kilometer.

Bagi menangani ancaman kepal selam pula, TLDM memilih untuk menggunakan sistem torpedo sedia ada, tetapi kemampuan sistem sonar akan dipertingkatkan seoptimum mungkin dengan pemasangan Hull Mounted Sonar (HMS).

Jika perkara itu menjadi kenyataan, sejarah bakal tercipta kerana inilah kali pertama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memiliki payung perlindungan udara sehingga jarak 50 km, selain TLDM sendiri bakal menjadi pengguna pertama ESSM di rantau Asia Tenggara.

Selain itu, kemasukan NSM dalam inventori TLDM juga bakal melonjakkan kuasa tempur organisasi tersebut memandangkan, peluru berpandu jenis Exocet 40 Blok II yang dipasang pada Friget Kelas Jebat dan Korvet Kelas Kasturi hanya mempunyai jarak membunuh sehingga 70 km.

Satu lagi peluru berpandu antikapal milik TLDM yang dipasang pada kapal Korvet Kelas Laksamana, iaitu Otomat Teseo Mk2 juga masih tidak mampu menandingi jarak dan kecanggihan NSM kerana hanya mampu menenggelamkan kapal musuh sehingga jarak 130 km.

Mengulas mengenai perkembangan tersebut, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar mengakui, hanya kapal kelas Sigma 10614 dan Gowind sahaja yang masih kekal dalam senarai pendek untuk program pembangunan LCS.

Bagaimanapun katanya, segala keputusan akhir mengenai platform mana yang hendak dipilih terletak sepenuhnya di tangan kerajaan kerana selain pertimbangan teknologi, faktor kemampuan kewangan kerajaan turut diambil kira.

Namun tegasnya, sebagai pengguna, TLDM sudah pasti mahukan sebuah platform yang ampuh, bukan sahaja dalam soal halimunan dan kemampuan peperangan tiga dimensi tetapi, kapal yang hendak dipilih mestilah telah terbukti kemampuannya.

Menurut Abdul Aziz, ini kerana LCS bakal berada di barisan hadapan perairan negara, sehingga jarak 200 batu nautika dan dengan mengambil kira ketegangan di kepulauan Spratly, sudah tentu aset tempur itu akan lebih banyak 'bermain' di Laut China Selatan.

"Program ini merupakan satu peluang yang tidak boleh dilepaskan oleh TLDM kerana jika tidak, negara akan rugi. Kapal LCS bukan sahaja mampu memastikan kedaulatan negara terus terpelihara tetapi industri pertahanan tempatan juga akan meraih limpahan teknologi.

"Jika peluang ini dilepaskan atau memakan masa terlalu lama, TLDM bakal berdepan dengan kekangan dari segi jumlah aset kerana banyak kapal permukaan kami telah diserah kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). Ini sudah pasti menjejaskan operasi kami," katanya.

Mengenai jenis persenjataan yang bakal dipasang, beliau enggan mengulas secara terperinci tetapi mengesahkan TLDM berminat dan berhasrat untuk menggunakan sistem persenjataan baru bagi meningkatkan lagi keupayaan cegah rintang negara.

Katanya, beberapa jenis sistem persenjataan baru telah dinilai oleh TLDM dan perkara itu jika tiada sebarang masalah akan dipasang terus kepada kapal LCS kerana pembinaan aset tempur tersebut tidak lagi mengaplikasi konsep 'fitted for, but not with'.

"Apa yang saya boleh sahkan ialah apabila siap, kapal ini bakal memberi peningkatan berganda kepada elemen cegah rintang kerana ia akan dilengkapi dengan sistem peperangan tiga dimensi yang jauh lebih mantap dan berbisa, berbanding apa yang kita ada sekarang," ujarnya.

Perundangan Senjata Biologi digubal

Sumber utusan

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my

UALA LUMPUR 19 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan telah menggubal Rang Undang-Undang Senjata Biologi yang akan menjadi sebahagian daripada rangka kerja perundangan negara untuk menentukan Konvensyen Senjata Kimia (BWC) dilaksanakan dengan berkesan.

Menurut Perdana Menteri, konvensyen tersebut antara lain melarang sebarang bentuk pembangunan, penghasilan serta penyimpanan stok senjata berkaitan bakteriologi dan toksin.

Jelasnya, Malaysia merupakan antara negara terawal yang menandatangani perjanjian BWC berhubung larangan berkenaan yang mula dibincangkan sejak 10 April 1972.

''Kerajaan yakin rangka kerja perundangan yang diwujudkan itu akan membantu dalam usaha menjamin satu kaedah yang selamat dalam mengendalikan bahan kimia berbahaya.

''Pada masa yang sama, ia menentukan keperluan bahan kimia tersebut tidak menjejaskan penyelidikan sains hayat dan entiti perniagaan di negara ini,'' katanya pada majlis perasmian Kongres Antarabangsa mengenai Biosekuriti, Biokeselamatan dan Biopertahanan 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Ismail Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kongres, Datuk Dr. Abdul Ghaffar Ramli dan Presiden Perundingan Biopertahanan, Paul Van Der Ijjsel.

Najib berkata, BWC memberi jaminan sains hayat tidak disalahguna untuk merosakkan kehidupan manusia sejagat.

BWC juga, jelasnya, penting kerana ia mewakili kehendak masyarakat dunia dalam menghalang berlakunya peperangan serta pembangunan senjata biologi.

Dalam perkembangan lain, beliau menambah, kerajaan sedang mendapatkan maklum balas mengenai cara untuk mempercepatkan pembangunan bioteknologi di negara ini.

Tambah beliau, langkah itu bagi menentukan bahawa sebarang kebimbangan mengenai biokeselamatan dan biosekuriti dapat ditangani dengan sebaiknya.

Kementerian Pertahanan nafi kos beli OPV meningkat

sumber utusan

KUALA LUMPUR 19 Julai - Kementerian Pertahanan hari ini menafikan dakwaan bahawa kos pembelian enam kapal peronda luar pesisir (OPV) meningkat daripada RM6 bilion kepada RM10 bilion.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dakwaan oleh Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim itu tidak berasas kerana kementeriannya baru memeterai surat hasrat bagi pembelian kapal tersebut.

"Bagaimana beliau (Zaid) tahu lebih awal sedangkan ia (pembelian) belum lagi muktamad? Projek OPV baru di peringkat 'letter of intent' (surat hasrat) sahaja.

"Sepanjang pengetahuan saya, belum ada jumlah yang dipersetujui dan belum ada syarikat prinsipal yang dilantik,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Kongres Antarabangsa mengenai Biosekuriti, Biokeselamatan dan Biopertahanan 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Ahmad Zahid mengulas kenyataan Zaid menerusi blognya yang mendakwa kos OPV yang telah diberikan kepada syarikat tempatan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. meningkat daripada RM6 bilion kepada RM10 bilion.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain jumlah serta pelantikan syarikat prinsipal yang belum dipersetujui, kementeriannya juga belum membuat keputusan berhubung sub kontraktor yang membekalkan sistem untuk OPV itu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai penggubalan Rang Undang-Undang Senjata Biologi, katanya, Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (Stride) akan menerajui jawatankuasa teknikal untuk menggubal rang undang-undang berkenaan.

"Ia masih di peringkat draf. Ada beberapa isu yang sedang dibincangkan termasuk aspek perundangan,'' katanya.

"Kita memerlukan pakar untuk menyediakan input sebelum draf itu dihantar ke pejabat Peguam Negara.

Beliau menambah, kesan daripada rang undang-undang itu membolehkan kerajaan membendung penghasilan senjata biologi dan bagi menjamin keselamatan negara.

Mengenai penganjuran kongres terbabit, katanya, ia memberi tumpuan kepada penekanan menangani penggunaan bahan-bahan kimia dalam peperangan.

"Kita (Malaysia) menyelitkan mesej dan meminta masyarakat dunia supaya mengelakkan penggunaan bahan kimia dalam sebarang konflik. Sebarang pertikaian harus diselesaikan dengan baik melalui rundingan di meja bulat,'' tegasnya.

Beli senjata untuk pertahanan

Sumber utusan

Oleh HISYAMUDDIN AYUB
pengarang@utusan.com.my

KOTA BELUD 19 Julai – Pembelian aset untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dibuat berdasarkan keperluan sistem pertahanan udara negara dan bukannya menerusi perbandingan dengan negara jiran.

Panglimanya, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud berkata, semua pihak sudah sedia maklum mengenai kekuatan masing-masing dan jenis persenjataan yang dimiliki, tetapi perbezaannya adalah keupayaan taktikal dan kebolehan individu.

“Apa yang membezakan antara satu sama lain adalah taktikal dan strategi yang akan digunakan. Namun begitu, fokus TUDM pada masa ini adalah menambah baik dari aspek Misil Berpandu Ketepatan (PGM),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan ‘Eksesais Paradise’ oleh TUDM dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Darat di Lapang Sasar Kota Belud, Kem Paradise di sini hari ini.

Hadir sama Panglima Operasi TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Ackbal Abd. Samad dan Pegawai Perhubungan Lapang Sasar Kota Belud, Mejar Ahmad Nazri Ibrahim.

Mengulas lanjut, Rodzali berkata, TUDM ketika ini mempunyai penggabungan baik antara penggunaan bahan letupan boleh dikawal dan bahan letupan tidak boleh dikawal.

Katanya, situasi tersebut akan berubah kepada penggunaan bahan letupan boleh dikawal sepenuhnya pada masa depan dan ia berdasarkan peruntukan kewangan yang diberikan.

Namun begitu, katanya, tambahan kepada bahan letupan boleh dikawal sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Rodzali berkata, sistem pertahanan udara negara akan terus dipertingkatkan apabila sistem radar bakal ditempatkan di Kuching, Sarawak yang akan mula berfungsi Oktober ini.

Katanya, sistem tersebut telah sampai di negara ini dan ia kini di peringkat pemasangan dan pengesahan.
Sumber utusan
Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD
Gambar DJOHAN SHAH




BERBEKALKAN keazaman dan semangat cintakan tanah air, sebahagian rakyat negara ini sanggup berkorban masa dan tenaga untuk menjadi anggota sukarelawan Rejimen Askar Wataniah.

Boleh dikatakan juga, kebanyakan sukarelawan Askar Wataniah adalah golongan berkerjaya dan berpendidikan tinggi yang mempunyai tanggungjawab harian yang perlu dilaksanakan.

Namun dalam kesibukan masa dan keletihan bekerja, ia tidak menghalang anggota sukarelawan tersebut untuk menyumbangkan bakti bagi berkhidmat dan menyahut seruan kerajaan dalam menjaga keharmonian negara.

Malah kebelakangan ini selebriti tanah air seperti penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan Ana Raffali juga sanggup memikul tanggungjawab tersebut.

Penyertaan mereka juga membuktikan kejayaan konsep Hanruh iaitu pertahanan menyeluruh dalam dasar pertahanan negara kerana semakin ramai anggota masyarakat sedar tentang tanggungjawab menjaga dan memastikan keamanan negara tidak terletak di tangan anggota tentera sahaja.

Walaupun status mereka sekadar sukarelawan, Askar Wataniah tetap menjalani latihan asas ketenteraan yang bertujuan menyediakan anggota dan pasukan yang mampu bergandingan dengan pasukan tetap sekiranya diperlukan.

Sementara itu, Panglima Tentera Darat, Datuk Zulkifli Zainal Abidin berkata, pengorbanan Askar Wataniah yang bertindak sebagai pelapis benteng pertahanan negara perlu disanjung kerana mereka sanggup mengetepikan urusan lain dan masa terluang.

"Kesedaran orang ramai menyertai Askar Wataniah adalah satu pengorbanan besar yang tidak ternilai dengan wang ringgit,'' katanya pada majlis Pelancaran Kompeni Askar Wataniah Kawasan Setiawangsa, Batu, Bukit Bintang, Lembah Pantai, Seputeh dan Cheras di Rejimen 515 Askar Wataniah di Kuala Lumpur Ahad lalu.

Menurut beliau, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amat menghargai pembabitan orang ramai terutamanya golongan belia dalam pasukan sukarelawan tersebut.

Dalam pada itu, bagi Pembantu Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Annasir Daud, 21, tidak pernah terlintas di fikirannya penyertaan sebagai Askar Wataniah merupakan beban kepada dirinya

"Bagi saya, ia merupakan pengalaman yang sangat berharga dan tidak mungkin diperoleh di mana-mana.

"Kami diberikan latihan dan dididik seperti latihan ketenteraan sebenar. Selain menguji ketahanan fizikal dan mental, pelatih turut diberi peluang mempelajari kaedah-kaedah tempur di medan peperangan," katanya.

Annasir yang berasal dari Sabah berkata, menyertai Askar Wataniah adalah kaedah terbaik dalam mendisiplinkan diri serta belajar berdikari.

Menurut pelajar kolej swasta, Mohamad Farid Ikhfal Hakim, 19, menyertai Askar Wataniah merupakan landasan terbaik baginya untuk mencapai impiannya menjadi pegawai tentera yang hebat dan disanjungi.

"Saya bercita-cita untuk menjadi anggota tentera sejak kecil lagi. Dengan cara inilah saya dapat menunjukkan kesetiaan kepada tanah air dan menyumbangkan khidmat bakti kepada negara.

"Askar Wataniah adalah kumpulan benteng pertahanan negara kedua selepas anggota tentera tetap,'' katanya.

Menurutnya, jika berlaku kejadian luar jangka seperti kekurangan anggota tentera, mereka akan diberi tanggungjawab membantu mempertahankan keselamatan.

Mohamad Farid menyarankan orang ramai terutama mahasiswa untuk cuba mendekatkan diri, mengenali dan menyertai Askar Wataniah kerana ia dapat memenuhi masa lapang dengan aktiviti bermanfaat serta mengelak daripada terbabit dalam gejala sosial.

Pengurus Hal Ehwal Akademik Kolej Antarabangsa Geomatika, Siti Rodhiyah Md. Safar, 24, pula berkata, status sebagai wanita tidak menghalang dan menjadi masalah buatnya untuk menjalani latihan dengan cabaran-cabaran lasak yang perlu ditempuhi.

"Saya ingin buktikan, tiada perkara yang mustahil dalam hidup ini. Sekiranya lelaki boleh, kami golongan wanita juga mampu melakukannya setaraf dengan kebolehan kaum lelaki.

"Tidak ramai yang mengetahui kelebihan menyertai Askar Wataniah yang selama ini dilihat sebagai latihan menggerunkan," katanya.

Tambahnya, menyertai pasukan Askar Wataniah mengajarnya erti persahabatan antara masyarakat yang berbilang kaum sekali gus membentuk semangat kesatuan di negara ini.

Saturday, July 9, 2011

Reka bentuk LCS siap hujung bulan ini

sumber: utusan online

KUALA LUMPUR 7 Julai - Reka bentuk akhir Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang bakal dibangunkan untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan siap hujung bulan ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ciri-ciri halimunan menjadi penekanan utama dalam reka bentuk LCS bagi memastikan aset tempur itu sukar dikesan.

"Reka bentuk serta sistem pertahanan kapal ini bakal menjadikan ia sebagai aset tempur canggih dan mampu mengawal perairan negara secara berkesan selama 40 tahun dari sekarang.

"Ia dibina mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh TLDM dan penekanan utama diberi kepada aspek halimunan bagi memastikan LCS sukar dikesan," katanya di sini hari ini.

Utusan Malaysia difahamkan, kapal tersebut akan dilengkapi dengan peluru berpandu Evolved Sea Sparrow Missile (ESSM) yang mampu menembak pesawat sehingga jarak 50 kilometer (km).

Untuk sistem antikapal pula, LCS dijangka dilengkapi dengan peluru berpandu jarak jauh (185km) buatan Norway, Naval Strike Missile (NSM) selain turut dipasang torpedo.

Terdahulu, Ahmad Zahid menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean sempena lawatan tiga hari beliau bermula Isnin lalu, ke negara ini.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Chee Hean, beliau berkata, beberapa perkara membabitkan kerjasama ketenteraan telah dibincangkan khususnya isu berkaitan Selat Melaka.

"Kedua-dua negara menyatakan komitmen untuk meningkatkan lagi kerjasama dalam soal rondaan bersama di Selat Melaka kerana hasilnya cukup positif dalam membanteras kegiatan lanun.

"Sehingga Julai tahun ini, tiada kes membabitkan lanun di perairan Selat Melaka. Ini memberi keyakinan kepada syarikat pengendali kapal dan manfaatnya dapat dinikmati bersama," katanya.

Ditanya sama ada isu pencerobohan ruang udara negara turut dibincangkan, Ahmad Zahid berkata, perkara itu tidak disentuh kerana Malaysia sudah membuat bantahan melalui Wisma Putra.

Wednesday, July 6, 2011

6 RAMD Dapat Kem Baharu

Oleh hamzah hd.




“Beta merasa bangga dengan pencapaian yang telah ditunjukkan oleh warga tentera khasnya Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di dalam keupayaan dan kesungguhan mereka menjalankan tugas untuk mempertahankan negara dan berdoa warga tentera darat (TD) akan terus berusaha dengan gigih untuk memantapkan sistem pertahanan demi menjamin kesejahteraan, keselamatan dan kedaulatan negara”. Demikian ekspresi Ke bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Al Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah Tuanku Sultan Kedah yang juga merupakan Kolonel Yang Dipertua RAMD dalam titah Perasmian Kem Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah pada 29 Mac 2011.

Keberangkatan tiba KDYMM Tuanku telah disambut oleh Panglima Tentera Darat, Jen Dato’Sri Zulkifeli Mohd Zin dan menerima tabik Hormat Diraja dari Kawalan Kehormatan Batalion Ke-6 RAMD. Seterusnya menandatangani Plat Perasmian yang dipersembah menghadap pentas Diraja secara taktikal dengan kenderaan URO VAMTAC diiringi anggota-anggota tempur berjalan kaki, penembak tepat, bermotosikal Honda CR250R, dan kenderaan CONDOR dengan gimik pertempuran dalam suasana hujan lebat dan berjaya mengatasi halangan untuk mencapai kejayaan mutlak.

Elemen-elemen terlibat juga mempamirkan komitmen dan kombinasi padu satu pasukan lengkap oleh Batalion Infantri Standard (BIS) 6 RAMD dengan Unit-unit Bantuan. Selain itu baginda turut mencemar duli melawat galeri dan kawasan kem manakala aturcara berasingan telah diaturkan kepada KDYMM Sultanah di Rumah BAKAT.
Turut hadir, Kerabat-kerabat Diraja negeri Kedah, Menteri Besar, YAB Dato’Seri Azizan Abdul Razak, Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan Negeri, Panglima Medan TD, Lt Jen Dato’Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima 2 Divisyen dan Panglima-panglima formasi naungan 2 Divisyen.

Sejarah Asal

Dalam program pembangunan tentera (army care), TD telah mensasarkan untuk merobohkan kem-kem lama miliknya bagi membina kem-kem baru dalam usaha untuk menyediakan infrastruktur dan prasarana lengkap, selesa dan kondusif kepada warga TD. Pembinaan sebuah kem BIS melibatkan bangunan teknikal seperti stor peluru, senjata dan kediaman anggota sahaja akan menelan belanja antara RM90 juta hingga RM110 juta.
Kem Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang bernilai 92 juta yang telah siap sepenuhnya pada 4 Mac 2010 di atas sebidang tanah yang berkeluasan 79,069 hektar menjadi model kepada rancangan pembinaan kem-kem tentera yang lain di bawah program yang serupa.

Nama asal penempatan ini adalah Kem Tanah Merah yang merupakan tapak penempatan Rumah Keluarga ATM yang didiami pegawai-pegawai dari Pasukan Infantri dan pegawai-pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di sekitar kawasan Kepala Batas dan Bukit Pinang. Kem ini juga pernah dijadikan penempatan sementara Pegawai Kadet TUDM semasa proses penaiktarafan Kolej Tentera Udara (KTU) sedang dilaksanakan.

6 RAMD pada ketika itu berpangkalan di Kem Bukit Pinang, Kepala Batas Kedah dengan Leftenan Kolonel Isa bin Daud sebagai Pegawai Memerintah telah diberi kepercayaan sebagai pasukan pertama menjadi penghuni kem ini yang mula mengambil alih pada 15 Mac 2010 dengan nama Kem BIS Tok Jalai.

Kompleks kem ini mengandungi pejabat-pejabat pentadbiran dan teknikal yang lengkap untuk sebuah BIS. Selain dari itu kompleks ini juga menyediakan kemudahan 4 buah blok penginapan untuk anggota-anggota bujang di mana setiap satunya berupaya menampung 152 orang anggota tentera. Fasilitas lain yang turut disediakan adalah lapang sasar 25 meter, sirkit merentas halangan, pavilion, menara abseiling, padang kawad dan gelanggang sukan.

Penukaran nama kepada Kem Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah merupakan idea yang tepat dan disokong oleh banyak pihak terutamanya oleh warga pasukan ini dalam menzahirkan ucapan penghargaan dan penghormatan tertinggi bukan sahaja mengambil nama bersempena dengan nama sultan yang memegang tahta negeri Kedah Darul Aman malah komitmen baginda sebagai Kolonel Yang Dipertua RAMD amat signifikan sekali. Kem ini merupakan legasi ke 3 penggunaan nama sultan bagi TD selepas Kem Syed Sirajuddin di Gemas Negeri Sembilan dan Kem Sri Iskandar di Mersing Johor Darul Takzim. PERAJURIT

Eksesais Belangkas

sumber Majalah Perajurit edisi Julai 2011
Oleh Hamzah hd.




Dasar Pertahanan Negara (DPN) Malaysia telah menetapkan bahawa mempertahankan kepentingan-kepentingan negara merupakan teras kepada kedaulatan dan kemerdekaannya. Justeru, melindungi dan mempertahankan kawasan kepentingan Malaysia dari segala ancaman samada dari luar atau dalam negara menjadi objektif utama. Oleh yang demikian, membina struktur gabungan, keseragaman, keseimbangan dan kerjasama yang mantap antara perkhidmatan adalah penting kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mempertingkatkan keupayaan menghadapi peperangan konvensional dengan memberi perhatian kepada peperangan empat dimensi iaitu peperangan di daratan, laut, udara dan elektronik.

Kekuatan operasi darat bergantung kepada keampuhan kuasa tempur Tentera Darat Malaysia (TDM) yang beroperasi dengan bantuan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Perlaksanaan misi ini memerlukan kemampuan sistem persenjataan, mobiliti, perlindungan dan bantuan logistik.

Sempadan yang panjang mengelilingi wilayah negara yang sebahagian besarnya adalah sempadan laut memerlukan keupayaan ATM bertindak pantas melalui Angkatan Bersama untuk menghadapi sebarang ancaman yang mana salah satu kaedah yang efisyen adalah pendaratan amfibi sebelum menyusup ke kawasan-kawasan sasaran.

Sejarah peperangan di Tanah Melayu malah dari zaman Kesultanan Melaka lagi, salah satu kaedah kemasukan tentera-tentera Portugis menawan Melaka pada tahun 1511 adalah melalui pendaratan amfibi.

Lt. Jen. Yamashita, Panglima 25 Pemerintahan Medan Tentera Darat Jepun mengetuai bala tentera yang mempunyai kekuatan 25,000 pegawai dan anggota mendarat serentak di Songkhla, Patani dan Kota Bharu pada 7 Disember 1941 juga melalui kaedah amfibi.

Pada Ogos 1964, gerila Indonesia dalam kempen Ganyang Malaysia mula menyerang wilayah di Semenanjung Malaysia sebahagiannya juga menggunakan kaedah amfibi sebelum membuat penyusupan ke dalam hutan Malaya.

Ini menggambarkan gerakan amfibi sangat signifikan dalam rentetan sejarah peperangan dan pertahanan negara. Justeru TLDM sebelum era 90an mempunyai beberapa buah kapal Landing Ship Tank (LST) seperti KD SRI LANGKAWI, KD SRI RAJA JAROM DAN KD SRI BANGI yang telah dilucutkan tauliah pada era 80an. Menerima kemasukan kapal-kapal pembekal yang lebih moden seperti KD SRI INDERA SAKTI, KD MAHAWANGSA dan KD SRI INDERAPURA yang juga mempunyai peranan yang sama sebagai Kapal Pembekal Pelbagai Guna yang boleh bertindak sebagai Kapal Induk dalam skrin armada TLDM dan platform untuk operasi amfibi Angkatan Bersama.



DPN yang memperuntukan TLDM sebagai elemen pertahanan maritim manakala TDM sebagai elemen pertahanan darat secara umumnya saling memerlukan di antara satu sama lain bagi menyediakan pertahanan mapan di dalam wilayah negara dengan dibantu oleh TUDM.

Bagi menentukan keberkesanan kaedah penghantaran pasukan tempur samada sebagai pertahanan maupun menggempur musuh di sesuatu lokasi bergolak, sebagai negara maritim yang di kelilingi laut semestinya kaedah amfibi menjadi satu pilihan taktikal yang mungkin lebih berkesan dan praktikal. Bagi menterjemahkan doktrin operasi bersama ini, Eksesais Belangkas (EKS-BELANGKAS) telah diaturgerak bagi memenuhi tujuan dan matlamat ATM.

EKSESAIS BELANGKAS 26/2011

EKS-BELANGKAS merupakan siri latihan eksesais tahunan bersama di antara TLDM dan TDM mengkhususkan kepada pelaksanaan latihan bagi Operasi Amfibi iaitu operasi yang melibatkan keupayaan trup membuat penyusupan melalui pendaratan di pantai seterusnya membuat serangan ke atas musuh.

EKS- BELANGKAS siri ke 26 telah diadakan pada 2 Mei hingga 11 Mei 2011 dengan penglibatan lebih 500 orang pegawai dan anggota-anggota TDM dan TLDM antaranya dari Markas 10 Briged Para, Kem Terendak Melaka, 9 Rejimen Askar Melayu Diraja Para, Kompeni Batalion Para dan 10 Skuadron RSD Para. Manakala TLDM melibatkan Kapal Diraja (KD) SRI INDERA SAKTI, KD SELANGOR, KD DUYONG dan KD PANGLIMA HITAM.
Eksesais ini telah dilaksanakan dalam tiga fasa utama iaitu:

Fasa 1 - Fasa Pelabuhan yang berlangsung di Pangkalan TLDM Lumut Perak, melibatkan perancangan atur gerak, perbincangan, taklimat di Pusat Taktik dan Maritim (PUSTAKMAR). Di samping aktiviti sukan Piala BELANGKAS dan pelbagai acara sosial bagi memperkukuhkan kerjasama dua hala di antara TLDM dan TDM.

Fasa 2 - Kapal belayar menerusi Selat Melaka menuju ke Perairan Tanjung Bidara di Kem Terendak, Melaka. Sepanjang pelayaran, semua aset yang terlibat telah melaksanakan evolusi-evolusi kelautan, navigasi, latihan penembakan meriam dan senjata kecil secara bersama.

Fasa 3 - Merupakan fasa utama yang melaksanakan gerakan sebenar Pendaratan Amfibi di mana aset-aset yang terlibat telah menjalani latihan Operasi Amfibi secara bersama di Perairan Tanjung Bidara, Melaka.

Eksesais ini mensasarkan objektif yang jelas untuk meningkatkan tahap kerjasama di antara TDM dan TLDM di dalam pelaksanaan operasi bersama, menguji persiapan atur gerak trup, melatih Pemerintah dan Staf di dalam perancangan dan pelaksanaan, menilai dan menguji keberkesanan Standard Operating Procedure For Army and Navy (SOPAN) dan mengenalpasti keperluan aset Pasukan UdaraTentera Darat (PUTD) dalam menyokong pelaksanaan Eksesais BELANGKAS 26/2011.

Latihan berbentuk Operasi Amfibi amat penting untuk dikuasai oleh ATM dalam konteks negara kita Malaysia sebagai sebuah negara maritim. Justeru, EKS-BELANGKAS merupakan platform terbaik bagi TDM dan TLDM bagi menguasai peperangan jenis ini baik dari aspek perkongsian pengalaman, pengetahuan serta aset dalam membentuk sebuah angkatan tentera yang mantap lagi kredibel. Usaha ini amat selari dengan konsep integrasi dan jointness seperti yang diaspirasikan oleh ATM.

Namun pada pemerhatian penulis, ‘kekurangan’ unsur yang sangat penting dalam operasi ini masih belum menampakkan tanda-tanda penambahan walaupun sudah beberapa kali penyataan positif ke arah perolehan ini diumumkan oleh pihak kerajaan sejak beberapa tahun lalu.

Operasi Amfibi sangat penting dalam konteks pertahanan negara. MPCSS KD MAHAWANGSA dan KD SRI INDERA SAKTI tidak akan lagi dapat menampung keperluan ini dengan lebih berkesan bila mana sesuatu latihan atau operasi sebenar yang berskala lebih besar digerakkan. Atas faktor usia, platform ini kemungkinan pada waktu itu salah satu atau kedua-duanya diserang ‘sakit’ mengejut.

Biarpun TLDM berjaya menjaga kedua-dua kapal yang berusia lebih 20 tahun ini dengan baik namun susut nilai akan berlaku juga. Sedangkan tugas untuk digalas tidak pernah berkurang, dari rondaan atau tugas-tugas rutin TLDM, segala bentuk latihan intra/ bilateral/multilateral, operasi-operasi khas, misi kemanusiaan dalam dan luar negara perlu dilunasi tanpa gagal.

Ironinya bila permintaan melebihi pengeluaran, secara fitrah ianya akan gagal memenuhi keperluan secara berkesan. Justeru, 4 buah lagi MPSS/MRSS perlu disegerakan bagi mengisi armada TLDM sejajar dengan pertambahan Pangkalan-pangkalan baru dan pembangunan Angkatan Bersama ATM dalam merencanakan kepelbagaian dimensi taktikal pertahanan negara. PERAJURIT

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini