About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, July 20, 2011

Kementerian Pertahanan nafi kos beli OPV meningkat

sumber utusan

KUALA LUMPUR 19 Julai - Kementerian Pertahanan hari ini menafikan dakwaan bahawa kos pembelian enam kapal peronda luar pesisir (OPV) meningkat daripada RM6 bilion kepada RM10 bilion.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dakwaan oleh Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim itu tidak berasas kerana kementeriannya baru memeterai surat hasrat bagi pembelian kapal tersebut.

"Bagaimana beliau (Zaid) tahu lebih awal sedangkan ia (pembelian) belum lagi muktamad? Projek OPV baru di peringkat 'letter of intent' (surat hasrat) sahaja.

"Sepanjang pengetahuan saya, belum ada jumlah yang dipersetujui dan belum ada syarikat prinsipal yang dilantik,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Kongres Antarabangsa mengenai Biosekuriti, Biokeselamatan dan Biopertahanan 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Ahmad Zahid mengulas kenyataan Zaid menerusi blognya yang mendakwa kos OPV yang telah diberikan kepada syarikat tempatan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. meningkat daripada RM6 bilion kepada RM10 bilion.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain jumlah serta pelantikan syarikat prinsipal yang belum dipersetujui, kementeriannya juga belum membuat keputusan berhubung sub kontraktor yang membekalkan sistem untuk OPV itu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai penggubalan Rang Undang-Undang Senjata Biologi, katanya, Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (Stride) akan menerajui jawatankuasa teknikal untuk menggubal rang undang-undang berkenaan.

"Ia masih di peringkat draf. Ada beberapa isu yang sedang dibincangkan termasuk aspek perundangan,'' katanya.

"Kita memerlukan pakar untuk menyediakan input sebelum draf itu dihantar ke pejabat Peguam Negara.

Beliau menambah, kesan daripada rang undang-undang itu membolehkan kerajaan membendung penghasilan senjata biologi dan bagi menjamin keselamatan negara.

Mengenai penganjuran kongres terbabit, katanya, ia memberi tumpuan kepada penekanan menangani penggunaan bahan-bahan kimia dalam peperangan.

"Kita (Malaysia) menyelitkan mesej dan meminta masyarakat dunia supaya mengelakkan penggunaan bahan kimia dalam sebarang konflik. Sebarang pertikaian harus diselesaikan dengan baik melalui rundingan di meja bulat,'' tegasnya.

No comments:

Tinggalkan pesanan anda di sini