About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, July 20, 2011

Sumber utusan
Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD
Gambar DJOHAN SHAH




BERBEKALKAN keazaman dan semangat cintakan tanah air, sebahagian rakyat negara ini sanggup berkorban masa dan tenaga untuk menjadi anggota sukarelawan Rejimen Askar Wataniah.

Boleh dikatakan juga, kebanyakan sukarelawan Askar Wataniah adalah golongan berkerjaya dan berpendidikan tinggi yang mempunyai tanggungjawab harian yang perlu dilaksanakan.

Namun dalam kesibukan masa dan keletihan bekerja, ia tidak menghalang anggota sukarelawan tersebut untuk menyumbangkan bakti bagi berkhidmat dan menyahut seruan kerajaan dalam menjaga keharmonian negara.

Malah kebelakangan ini selebriti tanah air seperti penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan Ana Raffali juga sanggup memikul tanggungjawab tersebut.

Penyertaan mereka juga membuktikan kejayaan konsep Hanruh iaitu pertahanan menyeluruh dalam dasar pertahanan negara kerana semakin ramai anggota masyarakat sedar tentang tanggungjawab menjaga dan memastikan keamanan negara tidak terletak di tangan anggota tentera sahaja.

Walaupun status mereka sekadar sukarelawan, Askar Wataniah tetap menjalani latihan asas ketenteraan yang bertujuan menyediakan anggota dan pasukan yang mampu bergandingan dengan pasukan tetap sekiranya diperlukan.

Sementara itu, Panglima Tentera Darat, Datuk Zulkifli Zainal Abidin berkata, pengorbanan Askar Wataniah yang bertindak sebagai pelapis benteng pertahanan negara perlu disanjung kerana mereka sanggup mengetepikan urusan lain dan masa terluang.

"Kesedaran orang ramai menyertai Askar Wataniah adalah satu pengorbanan besar yang tidak ternilai dengan wang ringgit,'' katanya pada majlis Pelancaran Kompeni Askar Wataniah Kawasan Setiawangsa, Batu, Bukit Bintang, Lembah Pantai, Seputeh dan Cheras di Rejimen 515 Askar Wataniah di Kuala Lumpur Ahad lalu.

Menurut beliau, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amat menghargai pembabitan orang ramai terutamanya golongan belia dalam pasukan sukarelawan tersebut.

Dalam pada itu, bagi Pembantu Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Annasir Daud, 21, tidak pernah terlintas di fikirannya penyertaan sebagai Askar Wataniah merupakan beban kepada dirinya

"Bagi saya, ia merupakan pengalaman yang sangat berharga dan tidak mungkin diperoleh di mana-mana.

"Kami diberikan latihan dan dididik seperti latihan ketenteraan sebenar. Selain menguji ketahanan fizikal dan mental, pelatih turut diberi peluang mempelajari kaedah-kaedah tempur di medan peperangan," katanya.

Annasir yang berasal dari Sabah berkata, menyertai Askar Wataniah adalah kaedah terbaik dalam mendisiplinkan diri serta belajar berdikari.

Menurut pelajar kolej swasta, Mohamad Farid Ikhfal Hakim, 19, menyertai Askar Wataniah merupakan landasan terbaik baginya untuk mencapai impiannya menjadi pegawai tentera yang hebat dan disanjungi.

"Saya bercita-cita untuk menjadi anggota tentera sejak kecil lagi. Dengan cara inilah saya dapat menunjukkan kesetiaan kepada tanah air dan menyumbangkan khidmat bakti kepada negara.

"Askar Wataniah adalah kumpulan benteng pertahanan negara kedua selepas anggota tentera tetap,'' katanya.

Menurutnya, jika berlaku kejadian luar jangka seperti kekurangan anggota tentera, mereka akan diberi tanggungjawab membantu mempertahankan keselamatan.

Mohamad Farid menyarankan orang ramai terutama mahasiswa untuk cuba mendekatkan diri, mengenali dan menyertai Askar Wataniah kerana ia dapat memenuhi masa lapang dengan aktiviti bermanfaat serta mengelak daripada terbabit dalam gejala sosial.

Pengurus Hal Ehwal Akademik Kolej Antarabangsa Geomatika, Siti Rodhiyah Md. Safar, 24, pula berkata, status sebagai wanita tidak menghalang dan menjadi masalah buatnya untuk menjalani latihan dengan cabaran-cabaran lasak yang perlu ditempuhi.

"Saya ingin buktikan, tiada perkara yang mustahil dalam hidup ini. Sekiranya lelaki boleh, kami golongan wanita juga mampu melakukannya setaraf dengan kebolehan kaum lelaki.

"Tidak ramai yang mengetahui kelebihan menyertai Askar Wataniah yang selama ini dilihat sebagai latihan menggerunkan," katanya.

Tambahnya, menyertai pasukan Askar Wataniah mengajarnya erti persahabatan antara masyarakat yang berbilang kaum sekali gus membentuk semangat kesatuan di negara ini.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini