About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Sunday, April 17, 2011

TLDM 77 TAHUN - MENGUASAI SISTEM PERANG PELBAGAI DIMENSI

Sumber : Majalah Perajurit Edisi Apr 2011
Oleh Hamzah Hd.

Jika mengimbau 77 tahun lampau, tidak ada manusia ketika itu dapat menjangkakan akan wujud sebuah angkatan laut yang benar-benar dikendalikan oleh anak watan sebagai pemerintah tertinggi di dalam armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika ini. Walaubagaimana pun dengan kemahuan beberapa orang anak muda Melayu ketika itu telah merintis lorong dengan rasa ingin memulakan sesuatu di dalam perjuangan maritim walau pun terpaksa menjadikan tentera kolonial sebagai tapak permulaan kepada sebuah nama perjuangan.

Perang Dunia kedua menjadi ujian getir kepada sekumpulan anak-anak muda Melayu yang memilih samudera raya sebagai medan untuk menabur bakti menentang pencerobohan Tentera Jepun terhadap Tanah Melayu bersama-sama tentera Laut penjajah British yang pada ketika itu sedang menjajah Tanah Melayu.

Dengan kebolehan dan komitmen yang ditunjukan oleh anak-anak muda peribumi maka sebuah sayap sukarela telah ditubuhkan oleh Tentera Laut Diraja British dan diberi nama The Straits Settelment Naval Volunteer Reserve yang beroperasi di Singapura. Walaubagaimanapun kerana kekangan ekonomi, seksyen sukarelawan Melayu ini dibubarkan pada tahun 1947 dan menubuhkan kembali pada tahun 1949 dengan nama Malayan Naval Force (MNF) untuk menghadapi ancaman Tentera Jepun yang mendarat di Tanah Melayu. Ekoran daripada kebolehan yang dipamirkan, Ratu Elizebeth II telah berkenan menganugerahkan Panji-panji Diraja kepada MNF berkuatkuasa dari 1 Jun 1958 yang mana telah digunakan sehingga kini sebagai TLDM yang berdaulat.

Pada suatu ketika dahulu, pengiraan tarikh penubuhan TLDM diambilkira dari penubuhan MNF tetapi melalui kajian pakar-pakar sejarah dalam era 80an mendapati penglibatan anak Melayu di dalam pertahanan maritim bermula hampir serentak dengan penglibatan anak Melayu dalam Infantri pada tahun 1933. Dengan penemuan ini maka penetapan tarikh penubuhan TLDM adalah pada 27 April 1934 yang mana upacara perbarisan istiadat dan aktiviti sambutan ulangtahun ini dilangsungkan saban tahun sehingga kini.

Sejak penubuhan, TLDM juga telah melalui beberapa zaman penting dalam negara. Semasa konfrontasi dengan Indonesia, TLDM menjadi elemen penting membuat pertahanan dari diceroboh tentera Indonesia melalui jalan laut. Di zaman darurat, TLDM berganding bahu dengan TDM mengawasi pertahanan pantai dan di sepanjang Sungai Rejang Sarawak dengan menggunakan Lancang Rivering Craft (RCP). Di Perairan Pantai Timur Semenanjong pernah menjadi medan pelarian rakyat Vietnam yang melarikan diri dari kancah peperangan di negara mereka yang mana TLDM menjadi benteng penghalang kemasukan mereka dengan melancarkan Operasi Cabut sekitar tahun 70an hingga tahun 80an. Era millennium telah mencetus satu penambahbaikan yang sangat ketara dengan penubuhan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang mana menyaksikan penghijrahan beberapa aset rondaan dengan sejumlah keanggotaan TLDM sebagai peneraju utama bagi melaksanakan dasar kepolisan maritim yang selama ini terpikul di bahu TLDM bersama Agensi-agensi Penguatkuasaan yang lain. Pengwujudan agensi maritim ini telah memberi ruang yang lebih luas kepada TLDM di dalam menumpukan perhatian kepada tugas hakiki terhadap keselamatan Perairan Negara.

Sejak kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957 jawatan tertinggi ini telah diisi oleh 2 orang dari Pegawai Tentera Laut Diraja British (RN)dan 2 orang dari Pegawai Tentera Laut Diraja Australia (RAN) sehingga 1967. Anak watan pertama mewarisi jawatan tertinggi TLDM ialah Laksamana Muda (Laksda) (Bersara) Tan Sri K Thanabalasingam yang merupakan PTL ke 5 dalam sejarah TLDM. Jawatan ini seterusnya diambil alih oleh Laksdya (Bersara) Dato’ Mohd Zain bin Mohd Salleh pada tahun 1976 setelah persaraan ‘Bob Thana’. Nama kedua-dua bekas Panglima Tentera Laut (PTL) ini telah diabadikan sehingga sekarang bagi menamakan dua bahagian Kadet Tentera Laut di Kolej Sultan Idris Shah 1 (KDSI) iaitu ‘Bahagian Thana dan Bahagian Zain’.

Laksamana (Admiral) adalah pangkat tertinggi di dalam hierarki pangkat tentera laut. PTL yang ke 10 iaitu Laksamana Tan Sri Dato' Seri Abu Bakar Bin Abdul Jamal (1998 - 2002) adalah Panglima pertama TLDM yang menyandang pangkat tersebut dan legasi kepimpinan Melayu kini bersilih ganti sehingga sekarang yang merupakan PTL yang ke 15 adalah Laksamana Tan Sri Abdul Aziz bin Haji Jaafar yang mengambil alih jawatan tertinggi TLDM ini pada 1 April 2008.

Hari ini TLDM berkembang pesat dengan komposisi strategik 30 orang yang terdiri dari Pangkat Laksamana (PTL), Laksamana Madya (3 orang), Laksamana Muda (9 orang), Laksamana Pertama (17 orang) yang mewakili kepakaran-kepakaran utama di dalam peperangan maritim termasuk teknikal dan logistik.

Hari Armada juga telah diperkenalkan pada akhir era 90an untuk merakyatkan TLDM kepada masyarakat umum yang diadakan setiap 2 tahun sekali di Pangkalan TLDM Lumut. Pengisytiharan Bandar Lumut Sebagai Bandar Tentera Laut pada 24 April 2009 telah mencetus satu lagi tarikan dalam peta pelancongan dalam Negeri Perak dan Acara Perarakan Masuk Tentera Laut ke Bandaraya Kota Kinabalu atau lebih dikenali sebagai Freedom of Entry to the City, juga telah diperkenalkan juga mampu menggamit kemasukan pelancong ke Malaysia melalui Negeri Sabah.

Peranan

Visi TLDM To Be A World Class Navy(Always Excellent) dengan kata lain untuk menjadi tentera laut bertaraf dunia yang mempunyai sebuah organisasi yang komited, kompeten, memandang ke hadapan, berusaha untuk kualiti dan penambahbaikan yang berterusan di dalam pengurusan sumber dan teknologi. Keunggulan dan keprofesionalan yang diasas oleh pendidikan berterusan dan peningkatan kemahiran pegawai dan anggotanya dengan penambahan nilai-nilai kemanusiaan sekaligus membentuk keberanian fizikal dan moral.

Misi TLDM To Protect Malaysia's Sovereignty and Maritime Interests bermakna untuk menyediakan dan mengerah kekuatan angkatan laut bagi melindungi kepentingan maritim Malaysia semasa aman dan memastikan kemenangan semasa perang.

Bagi menyokong misi waktu aman armada TLDM dimanfaatkan sepenuhnya dengan melaksanakan peranan seperti:

- menjalani latihan untuk menghadapi segala kemungkinan, melakukan pemantauan dan menjaga segala kepentingan di dalam Wilayah Perairan Malaysia (WPM) dan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE).

-pengumpulan maklumat.

-memberi bantuan tentera laut di dalam operasi dan latihan dengan Tentera Darat, Udara dan agensi awam.

-Menguatkuasakan undang-undang yang yang telah diamanahkan kepada TLDM dan membantu melaksanakan penguatkuasaan undang-undang lain.

- Melakukan aktiviti pemetaan laut.

- Memberi bantuan pengiring dan pengakutan laut.

-Membantu dan melaksanakan operasi mencari dan menyelamat dan misi kemanusiaan semasa bencana alam.

Manakala misi waktu perang armada TLDM bertanggungjawab di dalam:

-Menjaga dan mengawal laluan perhubungan laut Pantai Timur dan Barat Semenanjong dan bersambung antara Malaysia Barat dengan Malaysia Timur.

-Meningkatkan pemantauan ZEE dan menjaga segala kepentingan negara.

-Menutral dan mengawal pergerakan musuh yang berada di jalur komunikasi laut daripada mendarat di kawasan yang sangat penting bagi kehidupan atau boleh meningkatkan api peperangan.

-Melakukan penyapuan dan penanaman periuk api.

-Meningkatkan aktiviti pengumpulan maklumat.

-Membantu dan memberi kerjasama dengan Tentera Darat dan Udara dalam menyediakan platform semasa operasi amfibi.

-Mencari dan memusnahkan angkatan musuh.

Organisasi Lama Dan Baharu

Pangkalan TLDM Woodland merupakan tapak pertama dalam sejarah TLDM yang menempatkan KD MALAYA sebagai pangkalan pentadbiran utamanya dan Pusat Latihan Rekrut bertempat di Sembawang Singapura untuk melatih rekrut-rekrut baru. Manakala Malaysian Base Jetty adalah adalah dermaga yang menempatkan sebilangan kapal-kapal TLDM di masa itu. Satu lagi formasi yang menjadi nadi bagi pengoperasian armada ialah Area Logistic Depot yang terletak berhampiran dermaga.

Pangkalan TLDM Lumut merupakan pangkalan yang terbesar dan termoden di rantau ini dalam eranya yang mula dibina pada pertengahan tahun 70an dan mula diduduki pada awal tahun 80an dengan perpindahan secara menyeluruh seluruh kekuatan yang berada di Woodlands. Untuk mentadbir sebuah pangkalan yang besar di Lumut, komposisi KD MALAYA Woodland masih berfungsi dan ditempatkan di bangunan sementara di Blok A-2 dengan nama LUMUT GARISEN. Status KD MALAYA telah dikembalikan sepenuhnya setelah menduduki bangunan sendiri pada era 2000 setelah semua prasarana lengkap dibangunkan seperti Padang Kawad dan sebagainya.

Pembangunan prasarana dan Pangkalan-pangkalan baharu terus dirancang dan direalisasikan oleh pimpinan tertinggi TLDM semasa. Sehingga kini TLDM sudah boleh berbangga dengan perolehan pangkalan-pangkalan strategik yang meletakkan TLDM sebagai sebuah organisasi yang tersusun dan teratur.

Di dalam rantaian pemerintahan TLDM, pemerintah tertingi melaksanakan penugasan melalui formasi-formasi utama dan unit-unit. Secara asasnya segala operasi dan fungsi material telah diwakilkan kepada Markas Armada untuk menangani masalah dasar yang berkaitan dengan pembangunan armada walaubagaimanapun segala pembentukan TLDM adalah di bawah Markas TLDM.

Markas Pendidikan dan Latihan yang diketuai oleh Laksamana Muda (Laksda) bertanggungjawab sepenuhnya di dalam sistem pembelajaran dan pembentukan modal insan. Unit- unit di bawah pemerintahan beliau ialah KD PELANDOK yang mengendalikan kursus-kursus kepakaran peringkat asas sehingga lanjutan bagi Lain-lain Pangkat (LLP) dan KD SULTAN IDRIS 1 (KDSI) untuk latihan Pegawai-pegawai Kadet. Manakala KD SULTAN ISMAIL merupakan pangkalan khusus untuk melatih perajurit-perajurit muda telah dibina di Tanjong Pengelih Johor lengkap dengan dermaga yang mampu menempatkan beberapa buah kapal yang bersaiz Frigat.

Markas Bantuan TLDM diketuai oleh Laksamana Pertama (Laksma) bertanggungjawab untuk menyediakan fasiliti sokongan seperti Depot Bantuan TLDM, termasuk pentadbiran Pangkalan TLDM Lumut (KD MALAYA), Pusat Penyeyapan Kapal (SSC), Provost TLDM, Penginapan Pegawai, Hospital ATM, Depot Senggaraan Kenderaan, Bomba dan Komplek Sukan.

Markas Armada yang berpusat di Pangkalan TLDM Lumut bertanggungjawab terus kepada Markas Tentera Laut dalam konteks pengoperasian dan kesiapsiagaan keseluruhan armada TLDM dengan dibantu oleh Markas-markas Wilayah yang terdiri dari Wilayah Laut 1 (Mawilla 1) yang berpusat di Tanjong Gelang Kuantan bagi menyokong operasi TLDM di Pantai Timur, Markas Wilayah Laut 2 (MAWILA 2) yang sebelum ini berpusat di Labuan dan kini telah menukar lokasi pentadbirannya ke Kota Kinabalu untuk mentadbir Wilayah Perairan Malaysia Timur.
MAWILA 3 telah mula beroperasi pada tahun 2009 yang terletak di Bukit Malut Langkawi yang merupakan akses kepada aktiviti dari Lautan Hindi ke perairan Selat Melaka di antara Selat yang tersibuk di dunia di samping bertanggung jawab menjaga keutuhan serta intergriti perairan Barat Laut Semenanjong Malaysia serta meningkatkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang lain yang berada di kawasan ini dalam konteks domestik seperti bantuan kepada mangsa-mangsa bencana seperti banjir dan aktiviti-aktiviti kemanusiaan.
MAWILA 4 adalah sebuah lagi pangkalan yang sedang dibina di Sejingkat, Kuching Sarawak, dijangka dapat memberi pemusatan pemantauan menyeluruh terhadap keselamatan di perairan negeri Sarawak khususnya.
Markas Sistem Armada mengendalikan Setor dan Depot Senggaraan yang mana Depot Bantuan Armada menyediakan peralatan dan logistik dan Depot Peluru dan Bahan Letupan menyediakan persenjataan dan bahan letupan. Depot Senggaraan memberi bantuan pembaikan di Pangkalan dan pembaikan berjadual atau kecemasan (refit) di mana-mana pusat pembaikan kapal yang banyak terdapat di dalam negara. Senggaraan dipraktikkan melalui beberapa kaedah iaitu pembaikan oleh anak-anak kapal sendiri, pembaikan oleh staf pangkalan samada di Depot Senggaraan Armada ataupun Depot Senggaraan Kawasan. Satu lagi kaedah senggaraan ialah melalui pembuat peralatan yang biasanya dibuat oleh di Shipyard awam.
Cawangan Udara ketika ini sedang giat membangunkan prasana dan struktur dengan penambahan satu lagi struktur baru iaitu Markas Udara yang memayungi KD RAJAWALI, Skuadron 501- 6 x Agusta Westland Super Lynx 300 dan Skuadron 502- 6 x Eurocopter AS 555 Fennec. Dengan peningkatan ini, dijangka Markas ini sedang mengintai Helikopter ASW, AEWAC, MPA sebagai sasaran pembangunan masa depan untuk mengimbangi strategi peperangan pelbagai dimensi yang sangat memerlukan keupayaan ini. Bagi memenuhi keperluan operasi tentera laut yang tidak mempunyai platform pengangkut untuk menyokong operasi anti kapal selam atau lebih selesa menggunakan frigat kombatan sebagai elemen search attack unit (SAU), sudah tentu mengimpikan helikopter organik light airborne multy purpose system (LAMPS) yang lebih canggih sebagai peningkatan dan penambahan kepada yang sedia ada dalam inventori. Skuadron 501 dan 502 sejak perolehannya mempunyai rekod cemerlang di dalam perkhidmatan bukan sahaja ianya bersih dari rekod kemalangan yang meragut nyawa atau aset malah telah berjaya sebagai organik dalam beberapa misi Operasi Fajar dan Medivac.
Antara lain-lain Pangkalan atau unit-unit TLDM yang telah beroperasi sepenuhnya yang memainkan peranan yang tersendiri ialah Pusat Hidrografi Negara, di Pulau Indah Selangor, KD SRI GOMBAK, KD SRI TAWAU, KD SRI SANDAKAN, KD SRI LABUAN, KD SRI SEMPORNA yang menjadi Pangkalan hadapan yang menempatkan Pasukan Khas Laut (PASKAL), Stesen-stesen Komunikasi, penempatan-penempatan strategik yang menduduki secara tetap di Gugusan Semarang Peninjau (GSP) yang masih menjadi tuntutan bertindih beberapa buah negara.
Pasukan Khusus

Pasukan Khas Laut (PASKAL) adalah di antara aset elit TLDM yang sudah mencipta nama sebaris dengan pasukan khusus negara-negara maju berdasarkan penglibatan dan keberjayaan mereka di dalam operasi-operasi domestik dan juga di peringkat antarabangsa sejak penubuhannya lagi. Kejayaan terbaru adalah kejayaan tim ini menumpas dan menawan sekumpulan lanun yang telah menawan sebuah kapal dagang Malaysia MT Bunga Laurel kira-kira 300 batu nautika Timur negara Oman dalam Operasi Fajar yang dilaksanakan sejak 21 Jun 09 bagi memberi perlindungan kepada kapal-kapal dagang milik MISC dan yang berkepentingan kepada negara semasa melalui perairan Teluk Aden dari dirampas lanun.

KD PANGLIMA HITAM adalah sebuah pusat pentadbiran dan operasi pasukan ini di mana pentadbiran dan operasi rutin adalah diletakkan di bawah naungan Markas Armada manakala operasi khas akan dilaksanakan dengan perintah Panglima Tentera Laut. Sebuah pangkalan hadapan iaitu KD SEMPORNA adalah penempatan khusus pasukan ini terletak di Sabah Timur bagi memantau aktiviti-aktiviti yang memerlukan tindakan pantas untuk menanganinya.

Simulator

Sejajar dengan perkembangan, penambahan dan pemodenan aset tempur dan aset sokongan, TLDM turut merencanakan sesuatu untuk pemantapan wacana ilmu modal insan yang mengoperasikan aset dan peralatan supaya menghasilkan satu input yang membanggakan negara dalam permainan olah perang di samudera. Justeru penyediaan simulator-simulator yang yang menjurus kepada sesuatu tugas yang berasaskan cogan Float, Fight and Move (Terapong, Berperang dan Bergerak). Cogan ini jika ditafsirkan akan mencakupi semua aspek kemahiran teknikal, taktikal dan semangat juang warganya. Penyediaan penyelaku-penyelaku seumpama ini memberi impak yang sama seperti berlatih di platform sebenar malah menjimatkan masa dan wang ringgit.

TANGKAS adalah Penyelaku Kawalan Kerosakan (DCFF) adalah satu konsep latihan amali dalam konteks kawalan kerosakan dan mencegah kebakaran di dalam kapal. Pendedahan di dalam modiul yang direka khas yang menyerupai keadaan sebenar di dalam sesebuah kapal dan pelaku bertindak mengikut prosedur yang digariskan untuk menentukan kapal tidak mengalami kebocoran dan memadam kebakaran dan terus terapung untuk berperang walaupun mengalami kerosakan-kerosakan fizikal. Terbahagi kepada 2 bahagian iaitu Damage Control Training Unit (DCTU) yang direkabentuk menyerupai satu keratan badan kapal dengan tujuan untuk memberi latihan dan pendedahan mengenai kebocoran kapal. Dipertingkat dari sistem konvensional yang membolehkan struktur DCTU ini dibuaikan ke kiri dan ke kanan menyamai roll di laut sebenar. Fire Fighting Control Unit (FFTU) pula direkabentuk menyerupai satu kompartmen kapal yang akan mengalami kebakaran minyak. Pelatih akan mendapat pendedahan menggunakan alat pemadam api yang betul dalam usaha memadam kebakaran di dalam kapal.

PUSTAKMAR (Pusat Taktikal Marin) dibangunkan dengan sokongan sistem simulasi yang sistemetik dan mesra pengguna bagi mengasah minda, kemahiran dan membentuk kerjasama taktikal dalam konteks Aksi Informasi dan Organisasi (AIO) kepada tim AIO. Biasanya pemain-pemain akan menghabiskan beberapa hari di Pusat ini untuk latihan olah perang secara simulasi sebelum keluar ke laut melakukan aksi-aksi di medan dalam waktu sebenar.

Ship Handling adalah satu gerak kerja yang sangat penting untuk menentukan pergerakan kapal (manouever) lancar, selamat dan menepati keperluan taktikal jika berada dalam suasana pelayaran biasa, latihan atau perang. WASPADA ialah Penyelaku Anjungan (Bridge Handling) bagi menyedia dan melatih Tim Panduarah di anjungan yang disimulasikan sebagai sebuah kapal telah dibangunkan pada tahun 2003 dengan pembangunan perisian software dan hardware oleh ECS Simulator STN ATLAS Electronic adalah kesinambungan kepada skim latihan asas dan lanjutan (teori dan amali) kepada pelaut dari kalangan pegawai eksekutif, anggota Navigasi (JTP), Komunikasi, Kelasi dan Kejuruteraan dalam konteks pemanduarahan (manouevering) yang sebelum ini telah disempurnakan di fakulti masing-masing dan nilai tambah dalam kerjasama berpasukan tim panduarah.

Penubuhan unit-unit Simpanan Sukarela (PSS) yang terdiri daripada komponen-komponen Simpanan Pilihan (PALAPES/PLAS), Simpanan Pakar (Pelabuhan/Perkapalan), Simpanan Khusus (Perikanan/Perubatan/JabatanLaut),
Simpanan Sukarela Biasa dan Simpanan Angkatan Tetap (Bekas Pegawai dan LLP TLDM). Komponen-komponen ini telah diletakkan di bawah 4 unit PSSTLDM bertauliah iaitu KD SRI MANJUNG, KD SRI MEDINI, KD SRI KLANG dan KD SRI PINANG. Enam unit Pasukan Simpanan Tentera Laut (PSTL) iaitu PSTL Chendering, PSTL Kuantan, PSTL Kuching, PSTL Labuan, PSTL Sandakan, PSTL Tawau. Lapan unit Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES-Laut) iaitu Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Universiti Utara Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu dan Akademi Laut yang telah ditubuhkan secara rasminya pada 1 Ogos 2010 dan merupakan komponen pertama diwujudkan di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Empat unit Pasukan Latihan Anggota Simpanan (PLAS) iaitu Politeknik Sultan Abdul Aziz Shah, Politeknik Johor Bharu, Institut Kemahiran MARA Manjung, Politeknik Matang, Kuching dan satu unit Pakar (Limbungan).

Jika dikira dengan jumlah unit yang telah tertubuh dan jumlah keanggotaan yang ada, sasaran TLDM untuk menjadikan nisbah satu anggota PSS bersamaan 3 anggota tetap (1:3) yang mana 75 peratus dari Simpanan Sukarela (SS) dan 25 peratus dari Simpanan Angkatan Tetap (SAT) (bila diimplemen) sehingga tahun 2010 boleh dikira telah mencapai sasaran untuk membantu TLDM dalam mencapai misi PSSTLDM iaitu menyedia sumber manusia simpanan yang kuat semangat juang, berkemahiran dan mempunyai kecekapan menepati kehendak TLDM.

Satu dimensi baru PSSTLDM terbentuk bagi penyelesaian jangka panjang terhadap keselamatan, iaitu konsep kerjasama dan perkongsian strategik di antara TLDM dan MISC telah termeterai. Sebuah kapal dagang ditransformasikan menjadi sebuah kapal Auxiliary TLDM (BUNGA MAS 5 (BM 5) dengan krew BM 5 yang telah diserapkan ke PSSTLDM untuk melaksanakan operasi menjaga keselamatan kapal-kapal dagang Malaysia yang berkepentingan di zon-zon yang berisiko tinggi seperti di Perairan Teluk Aden Somalia.
Dengan komposisi dan kombinasi pangkalan utama dan kecil di seluruh negara dengan meletakkan aset-aset permukaan di setiap lokasi, dijangka dapat memberi kuasa mobiliti dan proses ulang bekal dan bantuan teknikal yang lebih pantas untuk ke sesuatu kawasan bergolak di samping memberi keyakinan keselamatan kepada komuniti setempat.
Adalah menjadi dasar TLDM yang meletakkan moral asas kepada keberkesanan tugasan anggota adalah sokongan dan kebajikan keluarga mereka. Justeru, di mana sahaja penempatan atau pangkalan, set lengkap untuk kehidupan keluarga mereka disediakan dengan lengkap di dalam kawasan penempatan yang menjamin suasana kondusif, selamat dan harmoni.
Latihan dan Kerjasama

Untuk menjadikan TLDM sebagai sebuah pasukan yang kompeten dan berwibawa adalah satu perkara yang bukan mudah untuk dilaksanakan. Departmen Peperangan diberi tanggungjawab untuk membangun dan menyelia prosedur dan doktrin peperangan armada. Penyediaan aset armada termasuk modal insan menjadi keutamaan yang tidak ada kompromi sebelum mereka boleh keluar beroperasi di laut lepas. Justeru untuk memastikan dua elemen utama ini berfungsi sepenuhnya beberapa siri aktiviti terlebih dahulu dilaksanakan seperti Latihan Pre Joining, Shakedown, Workup, Operational Readiness Evaluation, Pemeriksaan Tahunan dan lain-lain.

Latihan Intra TLDM seperti OSTEX, PERANG PANGKOR, KERISMAS, JERONG EMAS, NAGA EMAS dan lain-lain adalah medan evaluasi bagi memastikan doktrin dan taktikal baharu peperangan diuji cuba keberkesanannya.

Latihan-latihan Bersama seperti ANGSA (TUDM), BELANGKAS (TDM), HALILINTAR (TUDM/TDM), PAHLAWAN (TUDM/TDM) dan lain-lain terus diberi keutamaan bagi memastikan ketiga-ketiga perkhidmatan ini boleh bekerjasama untuk memastikan ruang udara dan laut negara diberi pertahanan mapan.

Hubungan dan kerjasama dengan Tentera Laut negara-negera luar juga turut menjadi agenda penting TLDM dengan mengadakan pelbagai kombinasi latihan seperti EX- BERSAMA LIMA (FPDA), MALINDO JAYA , MALINDO DARSASA (Indonesia), MALAPURA (Singapura), THALAY LAUT (Thailand), HORNBILL (Brunei), PHIMAL (Filipina), CARAT, PENYU TRIDENT, PASKAL SEAL (US) dan banyak lagi diatur silih berganti saban tahun.

Armada

Tunggak utama kewujudan sesebuah angkatan laut adalah armadanya. Sebuah armada yang lengkap kepada sesebuah negara adalah armada yang mengandungi komposisi aset permukaan/bawah pemukaan yang mencukupi dengan kelengkapan persenjataan, ekuipmen dan keanggotaan yang bersemangat juang yang tinggi dan terlatih. Apatah lagi dengan sokongan organik yang mampu memberi gambaran awal sesuatu ancaman seperti Airborne Early Warning And Control (AEW&C), Helikopter ASW, penderia yang berkesan dan operator yang tahu manfaatkan kebolehan diri dan sistem secara optimum.

TLDM telah membahagikan aset-aset armada kepada beberapa flotila iaitu Flotila Serang, Rondaan, Bantuan dan Latihan.

Flotila Serang mengandungi:
- Skuadron ke 22 Korvet Kelas Kasturi - KD Kasturi (25) dan KD Lekir(26).
Jenis Corvette Guided Misile
Pembuat Blohm + Voss (HDW) di Kiel, Jerman
Ditauliah 15 Ogos 1984
Sesaran 1850 tan (berat penuh)
Panjang 97.3 meter (319.1')
Lebar 11.3 meter (37.1’)
Draf kedalaman 3.5 meter (11.5’)
Propulsi 4 x MTU 20V 1163 TB92 CODAD (21400 shp)
Kelajuan 28 knot
Persenjataan
Persenjataan: Peluru Berpandu: 8x MM40 Exocet block II anti kapal, tiada SAM
Meriam: 1x Creusot-Loire 100mm/55 Mk2 Compact, 1x Bofors 57mm/70, 2x2 Emerson Electric 30mm sekunder kembar
Torpedo: 2x3 B515 untuk torpedo A244S Whitehead
Penderia Penjejak udara/permukaan: Thales DA08
Navigasi: Kelvin Hughes 1007
Kawalan Tembakan: Thales Mirador
Sonar: ATLAS Elektronik DSQS-21C
Peperangan elektronik: DR3000S ESM, Scimitar ECM
Krew 128

Dalam usia yang mencecah 27 tahun, KD KASTURI kini sedang menjalani program pemanjangan hayat perkhidmatan atau Service Life Extension Program (SLEP) untuk memberi penyesuaian baru dalam perkhidmatan dan akan dikuti oleh KD LEKIR selepas ini. Peningkatan dan pengupayaan kepada sistem dan komponen dijangka akan memberikan satu kuasa tempur yang selari dengan keperluan terkini.

- Skuadron ke 23 Frigat Kelas Lekiu - KD Jebat (29) dan KD Lekiu (30).

Jenis Frigate Guided Misile (FFG)
Pembuat BAE Systems Marine, Glasgow (dahulunya Yarrow Shipbuilders)
Ditauliah 9 Oktober 1999 (Lekiu)/ 20 November 1999 (Jebat)
Sesaran 1845 tan, 2390 tan (berat penuh)
Panjang 105.5 meter
Lebar (346’) 12.8 meter (42’)
Draf kedalaman 3.6 meter (11.8’)
Propulsi 4 Diesel MTU CODAD 24500kW (33300 shp)
Kelajuan 28 knots
Persenjataan
Peluru Berpandu: 8x MM40 Exocet SSM, 16x Sea Wolf SAM VLS
Meriam: 1x 57mm meriam utama Bofors, 2x 30mm sekunder MSI
Torpedo: 2x 3 B515 324mm (12.75in) Stingray anti kapal selam
Penderia Penjejak udara: Signaal DA08
Penjejak permukaan: Ericsson Sea Giraffe 150HC
Navigasi: Racal Decca
Kawalan Tembakan: 2x Marconi 1802
Sonar: Thomson-Sintra Spherion aktif serang/jejak Peperangan elektronik: AEG Telefunken/Marconi Mentor ESM, MEL Scimitar ECM
Krew 145
- Skuadron ke 24 Mini Korvet Kelas Laksamana- KD Laksamana Hang Nadim (134), KD Laksamana Tun Abdul Jamil (135), KD Laksamana Mohammad Amin (136), dan KD Laksamana Tan Pusmah(137).
Jenis Corvette Guided Misile
Pembuat Assad/Laksamana
Ditauliah Julai 1997(134/135), Julai 1999(136/137)
Sesaran 705 tan (berat penuh)
Panjang 62.3 meter (204.4’)
Lebar 9.3 meter (30.5’)
Draf kedalaman 2.5 meter (8’)
Propulsi Propulsi 4x Diesel MTU 20V 956 TB 92 14800kW
Kelajuan 36 knots
Persenjataan
Peluru Berpandu: 6x OTO Melara/Matra Otomat Teseo Mk2 anti kapal,4x pelancar Selenia Elsag Albatros untuk Aspide SAM
Meriam: 1x OTO Melara 76mm/62 Super Rapid, 2x Breda 40mm/70 sekunder kembar
Torpedo: 2x3 ILAS-3 324mm (12.75in) Whitehead A244S
Penderia Penjejak udara/permukaan: Selenia RAN 12L/X Navigasi: Kelvin Hughes 1007 Kawalan Tembakan: 2x Selenia Orion 10X Sonar: Atlas Elektronik ASO 84-41 Peperangan elektronik: Selenia INS-3 ESM, Selenia TQN-2 ECM
Krew 47
- Skuadron Kapal serang laju (FAC M-1) Kelas Perdana- KD Perdana (3501), KD Serang (3502), KD Ganas (3503) dan KD Ganyang (3504).
Jenis Kapal Ronda Laju,(Peluru Berpandu)
Pembuat Perancis
Sesaran 265 tan
Panjang 47 meter (154.2’)
Lebar 7 meter (23.1’)
Draf kedalaman 3.9 meter (12.8’)
Propulsi 4 MTU MD 16V 538 TB90 diesel 8820kW
Kelajuan 36.5 knots
Persenjataan
Peluru berpandu: 2x MM38 Exocet SSM
Meriam: 1x 57mm/70 meriam utama Bofors, 1x 40mm70 sekunder Bofors
- Skuadron Kapal serang laju (FAC M-2) Kelas Handalan- KD Handalan (3511), KD Perkasa (3512), KD Pendekar (3513) dan KD Gempita(3513).
Jenis Kapal Ronda Laju,(Peluru Berpandu)
Pembuat Sweden
Sesaran Sesaran: 240 tan
Panjang 43.6 meter (142.6’)
Lebar 7.1 meter (23.3’)
Draf kedalaman 2.4 meter (7.4’)
Kelajuan 34.5 knots
Persenjataan
Peluru berpandu: 4x MM38 Exocet SSM
Meriam: 1x 57mm/70 meriam utama Bofors, 1x 40mm70 sekunder Bofors
Torpedo: tiada
Penderia Penjejak permukaan: Philips 9GR 600
Navigasi: Kelvin Hughes 1007
Kawalan tembakan: Philips 9LV 212
Sonar: tiada data
Peperangan elektronik: Thales DR 3000 ESM
-Skuadron Kapal Selam (Scorpene) Kelas Perdana Menteri- KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak
Jenis Kapal Selam Penyerang Konvensional (SSK)
Pembuat Perancis
Ditauliah 2009
Sesaran 1700 tan
Panjang 67.5 meter
Draf kedalaman 5.4 meter
Propulsi 2x Diesel 1250 KW setiap satu
Kelajuan 20 knots
Persenjataan Peluru Berpandu: 6x tiub torpedo 21 inci untuk 18 torpedo atau peluru berpandu SM39 Exocet anti kapal
Penderia Sistem Tempur: SUBTICS
Sonar: aktif serang/jejak dan pasif
Krew 31
- Skuadron LCS.
Skuadron bayangan yang dijangka akan memulakan pembinaaan pada pertengahan 2012 ialah pembinaan 6 buah Littoral Combat Ship (LCS) yang dipersenjatai dengan lengkap akan dibina oleh syarikat tempatan iaitu Boustead Holdings Berhad yang menekankan kepada ciri-ciri halimunan(stealth). Pemerhati-pemerhati pertahanan berpendapat dunia pertahanan maritim hari ini bertumpu kepada suatu rekaan yang sudah tentu bercirikan halimunan iaitu kombinasi rekabentuk aerodinamik yang tidak banyak menonjolkan struktur binaan yang bersudut tepat. Sebahagian besar struktur dindingnya diperbuat daripada bahan komposit dari campuran kayu dan gentian kaca kerana bahan ini akan bertindak sebagai radar absorbent material (RAM) supaya tidak menghasilkan pantulan jitu oleh pancaran radar dari permukaan maupun udara. Dengan ini akan memberi kelebihan taktikal yang menjadi elemen penting dalam sesuatu peperangan. Ciri-ciri lain yang agak terkini dari segi rekaannya ialah anjungan yang boleh memandang 360 darjah, menara bersepadu, serombong dan kedudukan persenjataan meriam skunder.
Flotila Rondaan mengandungi:
- Skuadron Kapal serang laju (FAC G) Kelas Jerong- KD Jerong (3505), KD Todak (3506), KD Paus (3507), KD Yu (3508), KD Baung(3509), KD Pari (3510).
Jenis Kapal Ronda Laju (Meriam)
Pembuat Lurssen Werft Bremen, Jerman
Sesaran 244 tan
Panjang 44.9 meter (147.6’)
Lebar 7 meter (23.1’)
Draf kedalaman 2.5 meter (8.2’)
Kelajuan 32 knots
Persenjataan Meriam: 1x 57mm/70 meriam utama Bofors,
1x 40mm70 sekunder Bofors
Penderia Penjejak permukaan: Kelvin Hughes 1007
Navigasi: Racal Decca 1226
Peperangan elektronik: Thales DR 3000 ESM
- Skuadron NGPV (MEKO A-100) Kelas Kedah - KD Kedah (171), KD Pahang (172) KD Perak (173), KD Terengganu (174), KD Kelantan (175), KD Selangor (176 ).
Jenis Kapal Ronda
Pembuat Blohm + Voss/Howaldtswerke, German Naval Group (GNG) Boustead Naval Dockyard
Ditauliah Pertama 5 Jun 2006 (Kedah) dan terakhir / 28 Dis 2010 (Selangor)
Sesaran 1650 tan (berat penuh)
Panjang 90.1 meter
Lebar 12.8 me ter
Draf kedalaman 3.6 meter
Propulsi 2x Caterpillar 3616 (5450kW) diesel, 16000 bhp, 2 shaf controllable pitch propeller
Kelajuan 24 knots
Persenjataan
Peluru Berpandu: 4x MM40 Exocet SSM (FFBNW), 1x battery RAM SAM (FFBNW)
Meriam: 1x Oto Melara 76mm/62 Rapid , 1x Oto Melara/Mauser 30mm
Torpedo: (FFBNW)
Penderia Penjejak udara/permukaan: EADS TRS-3D/16 ES
Navigasi: STN Atlas 9600
Kawalan Tembakan: Oerlikon Contraves TMEO/TMX
Sonar: L-3 NDS 3060
Peperangan elektronik: Thales Sceptre X/Sealion ESM, Sippican ALEX Mk 137 ECM
Krew 70+

Skuadron PV Generasi Baru Kelas Meko 100 yang sistemnya berkonsepkan fitted for but not with ini membolehkan beroperasi berterusan di laut dengan mengambil kira keselesaan anak-anak kapal menjadikan perolehan ini memberi impak positif dan menjadi pendorong kepada TLDM memacu perjuangan dengan angkatan laut yang seimbang dan kredibel bagi menangani cabaran dan konflik semasa dan mendatang. Pembinaan keseluruhan sebanyak enam buah platform yang dilengkapi dengan kelengkapan canggih dan termoden bukan sahaja memenuhi hasrat TLDM setakat ini malah menjanjikan kelancaran operasi maritim dan meletakkan kesiapsiagaan angkatan armada pada tahap kategori satu dan memberi impak semangat juang kepada perajurit dan usaha cegah rintang kepada pihak musuh yang sering mengintai dan mentafsir kelemahan pertahanan negara.

Inovasi tempatan yang mempunyai ciri-ciri serba boleh telah menekankan aspek ketahanan pengoperasian dan keselesaan menghuni warganya yang merupakan inovasi persediaan penempatan krew lelaki dan wanita (mixed gender crewing) secara langsung memberi gambaran bahawa perancangan masa depan TLDM akan memberi peluang kepada pegawai dan lasykar wanita untuk bertugas di kapal dengan lebih serius. Penempatan percubaan pegawai wanita di dalam skuadron ini telah membuktikan bahawa diskriminasi gender tidak berlaku dan wanita juga mampu digerakkan dan diberi peranan seiring dengan lelaki tanpa berkompromi dalam perkara agama dan tatasusila dan langkah ini amat bersesuaian dengan peranan masa kini TLDM.
Flotila Bantuan mengandungi:
- Skuadron ke 26 Kapal Penyapu Ranjau Kelas Mahamiru- KD Mahamiru(11), KD Jerai(12), KD Ledang (13), KD Kinabalu(14).
Jenis Penyapu Ranjau
Pembuat Itali
Ditauliah Pertengahan tahun 80an
Panjang 51 meters (170 ka)
Kelajuan Kelajuan: 16 knots
Persenjataan 1 x Bofors 40 mm L/70
penderia Thomson Sintra TSM 2022 sonar
Thomson-CSF radar
Skuadron yang dikenali sebagai Mines Counter Measures Vessel (MCMV) ini adalah menggantikan MCMV lama yang diperbuat daripada kayu yang telah dilucutkan tauliah daripada perkhidmatan era 70an. Skuadron baru ini mula berada dalam perkhidmatan TLDM moden pada tahun 1986 yang ditempah dari Italy yang masih mengekalkan nama-nama asal tetapi struktur badannya diperbuat daripada bahan Glass Reinforced Plastic (GRP) dan perkakasan lain yang menggunakan bahan tembaga bertujuan untuk mengurangkan kesan medan magnetik sesuai dengan tugas dan peranannya untuk mengesan, menyapu dan memusnahkan periuk api.
- Skuadron ke 31 Command & Support - KD Sri Indera Sakti (1503) dan KD Mahawangsa (1504).
Jenis Kapal Kawalan dan Perintah Pelbagai Guna (MPCSS)
Pembuat Korea Selatan
Ditauliah 1983
Sesaran 4300 tan (sesaran penuh)
Panjang 100m (328')
Lebar 15m (49')
Draf kedalaman 4.75m (15.5')
Propulsi 2x Deutz diesel, 2 shaf, 5986 bhp
Kelajuan 16.5 knot
Persenjataan Meriam:2 x 57mm/Dual Purpose, 2 x 20mm anti udara
Muatan keupayaan membawa 600 tentera, ruang kargo 1,000 meter padu, 10 x kontena 20', 680 meter persegi ruang kenderaan
Krew 136
Skuadron Kapal Kawalan dan Perintah Pelbagai Guna (MPCSS) satu-satunya skuadron pengangkut malah juga sering dilibatkan dalam operasi amfibi dan operasi-operasi penting seperti OPS FAJAR, misi-misi kemanusiaan di dalam dan luar negara. Bagi menyokong kekurangan yang begitu ketara dengan keperluan penugasan yang sangat mendesak, penambahan beberapa buah lagi kapal seumpama ini tidak sepatutnya menjadi retorik dan ekonomi negara sebagai alasan. Bagi merealisasikan keperluan drastik TLDM, membeli kapal terpakai adalah lebih realistik di samping menunggu pembinaan kapal pengangkut pelbagai guna yang sedang dirancang.
- Kapal Auxillary diserap dari MISC- MV Bunga Mas Lima.
Tercetusnya idea transformasi BM 5 ialah bermula dari OPERASI FAJAR (OPS FAJAR) pada tahun 2008 memandangkan penugasan kapal-kapal TLDM untuk pengawasan ini menelan kos yang terlalu tinggi. Satu konsep kerjasama dan perkongsian strategik di antara TLDM dan MISC telah termeterai. Sebuah kapal dagang ditransformasikan menjadi sebuah kapal Auxiliary TLDM BM 5 bagi menyelesaikan satu masalah negara khususnya ATM mengekang ancaman baru. Kejayaan terbaru kapal ini ialah menjadi platform kepada Pasukan Khusus negara dan berjaya menyelamatkan tebusan dan kapal MT BUNGA LAUREL yang di tawan oleh 7 orang lanun pada 20 Jan 2011 yang lalu.
- Skuadron ke 36 Hidrosurvey- KD Mutiara, KD Perantau dan KTD Penyu.
Platform-platform ini memain peranan dan menjadi pemula yang sangat penting kepada penyelidikan, pengukuran dan pemetaan laut yang mana sekarang ini hidrografi TLDM telah berjaya mengeluarkan carta laut sendiri yang telah di guna pakai oleh pelaut antarabangsa yang beroperasi di kawasan ini. Jika sebelum ini TLDM menggunakan British Admiralty Charts untuk panduarah tetapi ketika ini keseluruhanya menggunakan Carta Malaysia (MAL Chart) dalam ukuran metrik sepenuhnya. Pablikasi-pablikasi lain yang berkaitan turut dikeluarkan oleh Pusat ini untuk kemudahan pelaut-pelaut sekali gus menjana pendapatan negara.
- Diving Tender- KTD Kepah
Kapal Tunda Diraja ini yang asalnya berperanan sebagai Ocean Tug dan mula mempelbagaikan peranan kepada tugas-tugas operasi Pasukan Penyelam setelah KD DUYUNG dilucutkan tauliah. Walaubagaimana pun nama KD DUYUNG telah diabadikan kepada sebuah Unit yang dulunya lebih dikenali sebagai Pusat Selam TLDM.
- Skuadron Fast Troop Vessel (FTV) – KD Sri Gaya, dan KD Sri Tiga
Adalah 2 buah kapal yang digunakan sebagai pengangkut trup dan ransum dari Sabah ke Gugusan Semarang Peninjau (GSP).
- Skuadron bayangan Multy Role Support Ship (MRSS)
Masih dalam perancangan kerajaan walaupun sudah beberapa kali kenyataan tentang perolehan ini disuarakan bagi memenuhi kekurangan yang ketara dalam inventori TLDM. Platform ini menjadi sangat penting kepada Angkatan Bersama ATM bagi mengatur gerak Pasukan Amfibi ke kawasan-kawasan operasi dengan lebih pantas dan sistemetik.
Flotila Latihan mengandungi:
- Skuadron 21 Frigat KD Hang Tuah (76), KLD Tunas Samudera.

Nama KD HANG TUAH sebenarnya sudah diguna pakai kepada kapal ex-HMS LOCH INSH yang dilucutkan tauliah kerana usang yang juga lebih dikenali sebagai ‘Hang Tuah lama’ dalam kalangan orang-orang lama TLDM. KD HANG TUAH hari ini merupakan sebuah kapal bersaiz Frigat yang ditauliahkan semula ke dalam perkhidmatan TLDM pada tahun 1977 yang nama asalnya ialah HMS MERMAID. KD HANG TUAH telah banyak mengalami perubahan terutamanya kepada penderia dan Meriam dan ianya masih dikekalkan di dalam perkhidmatan adalah kerana kapal ini mempunyai open deck fitting yang memenuhi kriteria seamanship atau Ilmu Kelautan seperti mana terkandung di dalam buku rujukan Admiralty Manual of Seamanship (BR 67). Kapal ini juga mempunyai kabin khusus untuk memuatkan pelatih-pelatih pegawai yang akan mengikuti latihan Ocean Navigation Certificate. Flotila ini juga mempunyai kekangan ketara di dalam keperluan sebagai platform latihan dan skuadron bayangan juga bakal dibina oleh syarikat pembinaan tempatan tidak lama lagi dan dijangka akan mengambil kira keperluan-keperluan asas Ilmu Kelautan dan penempatan pelatih dari kedua-dua genetik.

Sel Wanita TLDM

Memandangkan pegawai dan lasykarnita memainkan peranan yang sama penting dengan anggota lelaki di dalam TLDM dan melihat kepada perkembangan dan peningkatan, maka Sel ini telah ditubuhkan pada 1 Mei 2009 bagi menguruskan kerjaya serta kebajikan anggota wanita secara khusus.

Pada masa ini, terdapat tujuh pegawai wanita berpangkat Komander di TLDM dan kebanyakan mereka menduduki jawatan-jawatan tertinggi di pusat latihan dan pentadbiran. Jika sebelum ini hanya KLD TUNAS SAMUDERA sahaja yang memperuntukan perjawatan pegawai wanita bertugas di atas kapal tetapi era Kapal Peronda Generasi Baru telah memecahkan monopoli kaum lelaki sebagai pelaut di mana Pegawai-pegawai Wanita sudah pun diberi tugas yang sama.

Dengan peningkatan kuota 8 peratus pengambilan anggota wanita waktu ini, dijangka pegawai dan lasykarnita akan diperjawatkan ke perjawatan di kapal-kapal terutamanya dalam bidang komunikasi, bekalan dan teknikal yang memperuntukan penugasan yang sama dengan anggota lelaki. Sejajar dengan peningkatan kuantiti dan kesamarataan keistimewaan yang diperolehi, pengupayaan bidang dan tanggungjawab juga harus transisi tanpa mengira perbezaan gender, walaubagaimana pun tidak harus berkompromi dari sudut adab dan syariat.

Harapan

Menjadi harapan rakyat terbanyak yang telah mendedikasikan pertahanan maritim ini kepada TLDM seluruhnya. Justeru kerajaan tidak harus tunduk atau berkompromi dengan segala tekanan dan bantahan hanya dari sebilangan kecil rakyat yang mewakili pihak-pihak yang sengaja mencetus sesuatu yang boleh menaikkan saham politik mereka. Apa jua perancangan untuk pembangunan ATM mesti diteruskan biarpun terpaksa membelanjakan lebih sedikit wang negara namun impak keamanan memberi pulangan yang lebih bermakna daripada itu.

Dalam konteks diplomasi serantau, pembangunan pertahanan adalah hak mutlak sesebuah negara yang mana negara kita tidak harus merasa bersalah dengan peningkatan pembangunan pertahanan secara menyeluruh kerana dalam masa yang sama negara-negara serantau telah ‘mendahului’ tindakan ini tanpa merujuk kepada kesensitivitian jiran tetangga. Persiapan maksimum harus diteruskan biarpun berperang atau menceroboh kedaulatan negara lain bukanlah satu impian namun pembangunan ini mesti diberi sentuhan secara konsisten.

Menguasai ‘sistem’ perang pelbagai dimensi sudah di ambang, suatu momentum pembangunan TLDM yang teratur dan terancang walaupun terpaksa berhadapan dengan birokrasi ekonomi negara namun sesuatu perkara yang akan menjadi lebih rumit adalah bagi mengekalkan pengupayaan disiplin dan nyala rasa semangat juang operatornya bagi menentukan pencapaian matlamat secara optimum.
PERAJURIT

No comments:

Tinggalkan pesanan anda di sini