Friday, March 25, 2011

SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN 2 DIVISYEN KE- 42

Sumber Majalah Perajurit edisi Mac 2011
oleh Hamzah hd.



Tanggal 23 Januari 2011 yang lalu genap 42 tahun penubuhan Markas 2 Divisyen Pasukan Infantri Tentera Darat Malaysia (TDM) yang berpangkalan di Kem Tun Razak, Bukit Gedong, Pulau Pinang.

Satu Istiadat Perbarisan telah diadakan pada 18 Feb 2011 di Padang Kawad 2 Divisyen yang disempurnakan oleh Panglima Markas 2 Divisyen iaitu Mej. Jen. Dato’ Mohd Noor bin Daud dengan mengambil tabik hormat dan memeriksa perbarisan.



Perbarisan yang terdiri daripada 6 kontijen daripada setiap Briged iaitu 6 Briged, 8 Briged, Briged Sempadan dan Trup Divisyen. Partisipasi keseluruhan berjumlah 30 orang Pegawai dan 420 orang anggota Lain-lain Pangkat (LLP) dari seluruh negeri di bawah pemerintahan 2 Divisyen iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak, Kelantan dan Trengganu termasuk anggota Pancaragam telah terlibat dalam perbarisan ini.

Perbarisan ini diketuai oleh Lt. Kol. Mohd Khairi Yap bin Abdullah, Pegawai Memerintah Rejimen Ke 3 Kor Armour Diraja dibantu oleh Pegawai Waren 1 Mohd Arif bin Kusnin selaku Sarjan Mejar Perbarisan. Turut terlibat sebagai elemen statik ialah 2 buah 105mm L5 Pack Howitzer dari Rejimen ke 3 Artileri Diraja dan 6 buah Condor dari Rejimen Ke 3 Kor Armour Diraja. Istiadat ini turut dihadiri oleh Panglima-panglima Briged serta isteri, pegawai-pegawai Kanan, pegawai dan LLP di bawah naungan Divisyen Ke 2 Infantri Tentera Darat (TD).

Perutusan

Di dalam Ucapan Perutusan, Panglima Markas 2 Divisyen mengajak semua warga 2 Divisyen meraikan ulangtahun ke 42 Markas ini dengan penuh rasa kesyukuran, rendah diri dan perasaan bangga kerana telah dapat menyumbang bakti kepada perkhidmatan dan negara. Sejak penubuhannya, 2 Divisyen telah melalui pelbagai pengalaman pahit dan manis, menempuh onak dan duri bersulamkan keringat, airmata dan ramai di antaranya yang telah terkorban untuk mengekalkan kemerdekaan dan kedaulatan undang-undang demi memastikan keharmonian pelbagai kaum dan kemakmuran negara dipertahankan.

Beliau turut menyeru kepada semua peringkat warga 2 Divisyen supaya terus memberi perhatian terhadap 2 agenda utama TD selari dengan Perintah Ulung Panglima TD yang menggariskan 2 dimensi yang perlu diberi keutamaan ialah kesiagaan keupayaan tempur dan kualiti hidup. Justeru semua warga mestilah komited dan mengembeling tenaga menentukan kedua-dua aspek tersebut terlaksana sepenuhnya dengan memberi penekanan dan kembali kepada perkara-perkara asas ketenteraan (back to basic).

Tambah beliau, senario politik antarabangsa dan serantau juga telah menuntut semua warga lebih sensitif, komited dan profesional semasa menangani isu-isu keselamatan yang timbul. Ianya amat bersesuaian dengan tugas serta tanggungjawab warga 2 divisyen ke arah mengekalkan keselamatan di kawasan tanggungjawab. Perlebaran kawasan tanggungjawab dengan pengambilalihan tugas gerakan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu OP WAWASAN dan OP NYAH memerlukan semua warga lebih fokus dalam melaksanakan tugas apatah lagi operasi ini melibatkan hubungan secara langsung dengan penduduk awam setempat.

Dalam satu wawancara, beliau menegaskan bahawa Divisyen ini tidak mempunyai apa-apa masalah bagi meneruskan penugasan mengawal sempadan ini selepas tempoh percubaan selama 6 bulan tamat malah kata beliau, Briged Sempadan mempunyai kekuatan yang mencukupi dan bersedia sebilang masa bagi memenuhi keperluan pemantauan persempadanan negara jika diperlukan.

Beliau juga mengingatkan supaya semua warga 2 divisyen melengkapkan diri masing-masing dengan ilmu pengetahuan dengan mengamalkan budaya membaca kerana dengan ilmu pengetahuan akan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan cekap dan berkesan sesuai dengan tugas-tugas operasi yang berhubung terus dengan masyarakat awam.

Untuk itu aspek latihan perlu diberi perhatian oleh semua peringkat pemerintah dengan mengatur aktiviti-aktiviti latihan bagi melahirkan anggota yang terlatih dan mampu digerakkan untuk apa jua tugas yang diberikan seumpama operasi-operasi bukan ketenteraan dengan berpandukan piawaian TD dan dilakukan secara realistik dan berterusan.

Dalam aspek pengurusan logistik, sistem pengurusan sedia ada hendaklah dipatuhi sepenuhnya di samping mengoptimumkan penggunaan aset dan mengamalkan budaya senggaraan yang betul supaya aset dan kelengkapan yang dimiliki dapat dipanjangkan jangka hayatnya.

Kerjasama

Di dalam usaha mempertingkatkan kesejahteraan rakyat, kerajaan telah memperkenalkan Blue Ocean Strategy (Strategi Lautan Biru) iaitu kerjasama strategik di antara Kementerian Pertahanan dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Asas Tani dan Kementerian Sumber Manusia.

Angkatan tentera Malaysia (ATM) khususnya 2 Divisyen telah dilibatkan secara langsung di dalam program-program permasyarakatan yang menempatkan banduan-banduan di bawah pengawasan Warden Penjara dan Anggota Tentera. Program rondaan bersama melibatkan anggota Polis Tentera dan PDRM, Program Bantuan Perkhidmatan Kesihatan, Program Bantuan Pembinaan Rumah dan Program Bekalan Air Luar Bandar.

Penglibatan 2 Divisyen bersama agensi-agensi kerajaan yang lain dalam menjayakan projek-projek, selain dapat membantu mengurangkan kesempitan kehidupan rakyat malah ianya juga dapat mewujudkan persefahaman dan juga merupakan satu pengiktirafan yang sangat membanggakan sekaligus melonjakkan imej pasukan.

Anugerah Kecemerlangan

Sempena Sambutan Hari Ulangtahun ke 42 Markas ini juga, satu Majlis Penyampaian Sijil Perkhidmatan Cemerlang Awam, Anugerah Kumpulan Meningkat Kualiti Kerja (KMK) dan Anugerah Sukan bagi tahun 2010 telah diadakan sebaik selesai Istiadat Perbarisan.
MENAMBAHBAIKAN SISTEM LATIHAN UJIAN KETAHANAN LASAK INDIVIDU (UKLI) oleh Batalion Pertama Rejimen Sempadan telah memenangi tempat pertama KMK Peringkat 2 Divisyen dengan menerima Piala Pusingan, Sijil Penyertaan dan Hadiah Wang Tunai.

Anugerah Olahragawan dimenangi oleh Kpl. Mohd Aliff bin Mohd Sahar (25) dari 2 RAMD kelahiran Kuala Lumpur yang bergiat aktif dalam sukan Tinju. Mewakili TD, ATM dan Negara dalam pelbagai kejohanan di Peringkat Dalam dan Luar Negara.

Olahragawati 2 Divisyen dimenangi oleh Prebet Norliana bte Mohd Rusni (21) dari 72 Workshop Divisyen kelahiran Kota Bharu Kelantan. Mewakili TD, ATM dan Negara dalam pelbagai kejohanan di Peringkat Dalam dan Luar Negara dalam acara Olahraga Jalan Kaki. PERAJURIT

No comments:

Tinggalkan pesanan anda di sini