About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, May 25, 2011

TLDM terus mantap

Oleh Ani Awang
oleh Roy Azis Abd Aziz

SETIAP pasukan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) biasanya akan mengadakan sambutan hari ulang tahun masing-masing sebagai memperingati kejayaan dan kematangan setiap pasukan itu.

Sambutan hari ulang tahun penubuhan itu juga diharap akan membangkitkan semangat kecintaan anggota kepada pasukan dan memastikan kerjasama pegawai dan anggota di semua peringkat diperkukuhkan setiap masa.

Justeru, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak terkecuali dengan mengadakan pelbagai program sambutan Ulang Tahun TLDM ke-77 di Padang Kawad KD Pelandok di Pangkalan TLDM di sini baru-baru ini.

Istiadat perbarisan ulang tahun itu disertai 85 pegawai dan 515 anggota terlibat dalam istiadat perbarisan yang diketuai Ketua Perbarisan Komander Ahmad Rashidi Othman.

Mereka yang berpakaian seragam putih berdiri gagah untuk memberi tabik hormat kepada Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Armada TLDM, Laksamana Madya Datuk Wira Jamil Osman yang mengadakan pemeriksaan kawalan kehormatan pada istiadat tersebut.

Majlis dimulakan dengan perarakan empat panji-panji diraja bagi kapal KD Pelandok, KD Malaya, KD Rajawali dan KD Panglima Hitam.

Abdul Aziz dalam ucapannya berkata, TLDM sedang berusaha menaikkan gaji serta elaun anggotanya sejajar dengan peningkatan taraf perjawatan di kalangan anggotanya.

Beliau berkata, usaha itu perlu bagi meningkatkan semangat dan motivasi anggota TLDM.

Katanya, antara elaun yang sedang dalam pertimbangan kerajaan adalah bayaran insentif perkhidmatan kapal selam, tugas stesen luar pantai, bahasa asing, pasukan khas, juruterbang dan elaun bagi juru teknik pesawat.

"Cadangan gaji dan elaun ini sedang dipertimbangkan oleh kerajaan," katanya di KD Pelandok, Pangkalan TLDM di sini baru-baru ini.

Selain itu, Abdul Aziz berkata, TLDM sedang mengambil langkah proaktif melaksanakan transformasi ke arah memartabatkan TLDM bagi mencapai misi dan visinya.

Menurutnya, untuk mencapai tujuan itu, TLDM telah menggunakan pelan strategi seperti kesiagaan, menambah baik kesediaan sumber, pengurusan sumber manusia, pengurusan lojistik dan membangunkan modal insan.

Beliau berkata, kesemua pelan tersebut perlu dilaksanakan di setiap markas, unit dan setiap anggota.

Selain itu, kata Abdul Aziz, aset TLDM sentiasa diselenggara dengan baik dan boleh digunakan pada bila-bila masa yang diperlukan demi untuk menjaga kepentingan negara.

Katanya, pihaknya juga bekerjasama dengan agensi luar menerusi kerjasama strategik di antara TLDM dengan MISC Berhad.

"Kerjasama itu terbukti berkesan apabila berjaya mengiringi 238 buah kapal dengan melindungi nilai dagangan negara berjumlah hampir RM63.3 bilion," ujar beliau.

Sementara itu, seramai lima orang menerima Anugerah Pujian Panglima Tentera Laut dan dua orang bagi Anugerah Bintara dan Laskar Terbaik TLDM.

Pegawai Waran 1, Nik Ezanee Nek Anom, 44, berkata, Anugerah Pujian Panglima Tentera Laut yang diterima itu merupakan satu penghargaan kepadanya yang sudah berkhidmat dengan TLDM selama 23 tahun.

"Anugerah ini memberi satu dorongan dan semangat untuk bekerja lebih kuat.

"Azam saya akan datang adalah untuk membimbing anggota bawahan supaya mereka menjadi anggota yang terlatih," katanya yang berasal dari Tumpat, Kelantan.

Nik Ezanee menyertai TLDM pada 19 Jun 1988 dan pernah bertugas di KD Mahameru, KD Jerong, KD Indra Sakti, Kapal RMN SSC dan pasukan projek PV TLDM serta mewakili TLDM ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertugas di Daffur, Sudan.

Menurutnya, pengalaman paling mencabar semasa bertugas di Daffur kerana mereka terdedah dengan ancaman bertugas di padang pasir.

"Namun kelengkapan persenjataan kita lebih maju berbanding dengan mereka," katanya.

Bagi Laskar Kanan (Paskal) Luye ak Aru, 36, yang mempunyai kepakaran sebagai penyelam kapal, payung terjun, ikhtiar hidup pertempuran, tempur jarak dekat dan perisikan - kelebihan itu banyak membantu kejayaannya dalam TLDM.

"Saya terbabit dengan Ops Fajar 1 untuk membebaskan kapal Bunga Melati 2 dan 5 daripada tawanan lanun Somalia.

"Pengalaman yang ada pada saya banyak membantu saya menggunakan kepakaran bagi setiap operasi yang disertai," katanya yang berasal dari Sarawak.

Dia menyertai TLDM pada 18 April 1996 dan kini bertugas di KD Panglima Hitam.

Pegawai Waran 11 (Paskal), Teruna Hassan, 41, berkata, anugerah yang diberikan itu merupakan satu penghargaan yang tinggi pada dirinya.

"Semasa bertugas sebagai Ketua Tim Gempur Dua, semasa Ops Fajar 8, pasukan saya berjaya menyelamatkan kesemua anak-anak kapal serta melindungi harta negara.

"Saya percaya pasukan Paskal boleh dimantapkan dengan meningkatkan peralatan sedia ada bagi membolehkan ia menjadi pasukan yang disegani dalam TLDM," katanya yang kini bertugas di KD Panglima Hitam.

Berasal dari Papar, Sabah, beliau menyertai TLDM pada 8 Januari 1990.

Laskar Kanan (Paskal) Abdul Aziz Ismail, 33, berkata, anugerah itu merupakan satu penghargaan kepadanya untuk terus menabur khidmat bakti dalam TLDM.

"Saya berazam untuk bekerja dengan lebih gigih demi negara dan memperoleh banyak pengalaman semasa berkhidmat di TLDM termasuk terlibat dalam Ops Fajar 1, 4 dan 8,'' katanya yang mula berkhidmat dengan TLDM pada 18 April 1996.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini