About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Thursday, December 9, 2010

Marin latih penyelam skuba pelapis

Sumber utusan
Rencana dan gambar AMIR SARIFUDIN
amir.mansor@utusan.com.my


PASUKAN Gerakan Marin dan polis Terengganu mengorak langkah apabila bersama-sama melatih anggota serta pegawainya dalam kemahiran skuba.

Sesuatu yang menjadi perhatian, langkah ini merupakan usaha meningkatkan lagi profesionalisme dalam kalangan anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Projek perintis yang memberi kemahiran selam pada anggota dan pegawai ini melibatkan pelbagai jabatan dalam kontinjen Terengganu termasuk narkotik, cawangan khas, marin dan sebagainya.

Ekoran program meningkatkan profesionalisme dalam kemahiran skuba itu, sebanyak 39 anggota dan pegawai polis telah menyahut cabaran kepimpinan PDRM dan akhirnya berjaya memperolehi lesen menyelam pada majlis tamat kursus di Pulau Redang, Terengganu baru-baru ini.

Apa yang menarik, lesen menyelam itu nanti bakal digunakan oleh anggota dan pegawai terbabit dalam penugasan kepolisan seperti siasatan jenayah, mencari barang bukti, mencari mangsa lemas dan tugas-tugas yang berkaitan dengan kemahiran skuba.

Sebelum ini, apabila berlaku sesuatu kes yang memerlukan kemahiran menyelam, tindakan dikatakan kali agak lambat memandangkan anggota yang mempunyai lesen selam adalah terhad.

Di samping itu, mereka ini pula perlu didatangkan dari pusat tertentu yang jauh dari tempat kejadian dan ini sudah pasti mengambil masa agak lama.

Dengan lebih ramai anggota polis mempunyai lesen menyelam di setiap daerah di Terengganu, mereka ini boleh diberi penugasan dan bergerak pantas terhadap sesuatu kes itu.

Kursus tamat latihan menyelam oleh anggota dan pegawai itu termasuk 10 anggota wanita di Taman Laut Pulau Redang baru-baru ini, disempurnakan Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd. Shukri Dahlan dan Komander Pasukan Gerakan Marin PDRM, Datuk Isa Munir.

Lebih menarik, dua anggota Pasukan Gerakan Marin dari Wilayah Tiga yang turut mendapat lesen menyelam, telah mencatat sejarah dalam pasukan marin kerana menjadi dua wanita pertama mempunyai lesen menyelam.

Sebelum ini, hanya anggota dan pegawai lelaki dari Pasukan Gerakan Marin sahaja yang mempunyai lesen menyelam.

Mohd. Shukri ketika ditemui berkata, pendekatan polis Terengganu kini ialah meningkatkan profesionalisme setiap anggota dan pegawainya dalam pelbagai bidang termasuk kemahiran menyelam.

‘‘Ini sejajar dengan sumbangan PDRM kepada pembangunan negara.

‘‘Negara tidak akan rugi apabila memiliki aset terdiri daripada anggota dan pegawai PDRM yang mempunyai pelbagai kemahiran yang boleh digunakan dalam penugasan kepolisan,’’ katanya.

Di samping itu, kata Mohd. Shukri, anggota dan pegawai yang menjalani latihan selam itu turut menjalankan aktiviti komuniti kepolisan.

Mereka bukan sahaja belajar teknik-teknik menyelam, malah melakukan kerja-kerja pembersihan dasar laut bagi memulihara alam sekitar di dasar laut.

Hasilnya, kira-kira 200 kilogram sampah-sarap seperti pukat, tali, botol dan sebagainya, berjaya dipungut dan dikeluarkan dari dasar laut.

Mohd. Shukri berkata, langkah itu bukan sahaja dapat memulihara terumbu karang dan alam sekitar, malah memastikan kawasan pelancongan di Terengganu dipulihara dan Terengganu dapat terus jadi tumpuan pelancong.

Beliau melihat, Terengganu yang mempunyai kaitan dengan maritim berikutan kedudukannya di Laut China Selatan selain terdapat tasik yang terbesar, memerlukan penjagaan berterusan dari agensi-agensi penguat kuasa seperti PDRM.

‘‘Dalam hal ini, kita percaya apabila anggota dan pegawai polis Terengganu memiliki kemahiran tertentu seperti menyelam, ia akan membantu penguatkuasaan di Terengganu,’’ katanya.

Sementara itu, Isa pula berkata, latihan selam itu diadakan dengan bayaran paling minimum dan merupakan kerjasama antara IPK Terengganu dan Pasukan Gerakan Marin Wilayah Tiga.

Anggota dan pegawai polis terbabit telah mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi menghadiri latihan selam berkenaan semata-mata untuk meningkatkan profesionalisme masing-masing.

‘‘Bagi Pasukan Gerakan Marin, kita berbangga kerana dua anggota wanita kita telah berjaya mencatat sejarah menjadi anggota marin wanita pertama memiliki lesen skuba,’’ katanya.

Ekoran itu, kata Isa, pihaknya sedang memikirkan untuk meluaskan lagi skop penugasan anggota dan pegawai marin wanita berkenaan.

‘‘Kita sedang memikirkan agar peluang dan penugasan anggota-anggota marin wanita diperluaskan lagi.

‘‘Tidak mustahil pada masa hadapan lebih ramai anggota marin wanita diberi penugasan selam sama seperti anggota lelaki,’’ katanya.

Isa menambah, selain latihan menyelam dan projek komuniti membersihkan dasar laut dari sampah-saraph, program di Pulau Redang itu dapat merapatkan lagi kerjasama dan persefahaman antara PDRM dan penduduk setempat.

Menurutnya, melalui kerjasama sedemikian, ia dapat membantu PDRM dalam menangani segala bentuk masalah jenayah.

Dalam pada itu, penyelaras latihan selam berkenaan, Supritendan Roslan Abd. Wahid berkata, kehadiran para penyelam itu di Pulau Redang secara langsung dapat meyakinkan pelancong bahawa destinasi pelancongan di Terengganu adalah selamat.

‘‘Program komuniti kepolisan seperti pembersihan sampah-sarap di dasar laut ini pula membukitkan bahawa PDRM juga prihatin dengan isu-isu alam sekitar,’’ katanya.

Menurutnya, pembabitan pasukan polis dalam program-program komuniti dengan penduduk setempat seperti di Pulau Redang itu akan merapatkan lagi rangkaian kerjasama antara polis dan masyarakat.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini