About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Thursday, December 9, 2010

Khidmat lapan pesawat Cessna ditamatkan

Sumber utusan


SUBANG 3 Dis. - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini secara rasminya menamatkan khidmat lapan pesawat Cessna 402B yang salah satunya pernah diterbangkan sendiri oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud berkata, penamatan tauliah pesawat itu dipersetujui oleh Jemaah Menteri mulai bulan ini selepas mendapat pandangan TUDM mengenai status kapal terbang berkenaan.

Katanya, pesawat itu mula memasuki inventori TUDM sejak 35 tahun lalu iaitu pada 1975 sebagai pesawat latihan dan pengangkutan.

"Kita bermula dengan 10 unit Cessna dan kini sebanyak lapan buah yang beroperasi.

"Dua daripada pesawat itu akan diserahkan kepada Muzium TUDM dan untuk latihan mekanikal di Kolej Tentera Udara (KTU) manakala enam lagi akan dibuat penilaian seterusnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke Pangkalan TUDM Subang, di sini hari ini.

Pada lawatan itu, Rodzali menerima buku log operasi Cessna 402B sebagai simbolik penamatan khidmat pesawat tersebut dalam inventori TUDM.

Selain pernah diterbangkan sendiri oleh Dr. Mahathir, operasi Cessna juga amat signifikan dengan TUDM kerana menyaksikan lahirnya dua juruterbang pesawat pengangkut wanita pertama negara, Leftenan Zainab Sharif dan Leftenan Fadzilah Abdullah.

Pada majlis sebelumnya, Rodzali buat julung kalinya turut menyampaikan anugerah 'Airman of The Year 2009' kepada Pegawai Waran Udara I Hardy Mohamad Haron dan Sarjan Udara Shahrizal Abu Bakar.

Rodzali turut menyaksikan Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Anugerah Pelatih Terbaik Pegawai Graduan Siri 23/2010, menyempurnakan penyampaian Anugerah Terbang Selamat serta 'Green Endorsement' dan penyampaian Sijil Penghargaan Panglima Tentera Udara kepada petugas awam di Pangkalan Udara Subang.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini