sumber utusan
Oleh HAKIMI ISMAIL
SUDAH menjadi tradisi dalam angkatan tentera, lambang MP (Polis Tentera) dan beret merah amat digeruni oleh mereka yang melakukan kesalahan.
Mereka yang memakai lambang dan beret itu merupakan anggota Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) yang bertanggungjawab menjaga disiplin dan penguatkuasaan undang-undang dalam pasukan tentera.
Provos Marsyal Tentera Darat (TD), Kolonel Mislan Anuar memberitahu, peranan KPTD dilakukan oleh tiga pecahan cabang kemahiran melalui pelaksanaan tugas provos iaitu trafik dan istiadat, kawalan keselamatan fizikal dan cawangan siasatan.
Umumnya, tugas provos adalah untuk menguatkuasakan peraturan am termasuk tugas istiadat seperti pengiring orang kenamaan serta pergerakan konvoi-konvoi tentera.
Bagi kawalan kedudukan penting seperti kem-kem tentera pula, ia dilaksanakan di bawah kawalan keselamatan fizikal.
"Siasatan terhadap kes-kes jenayah termasuk aktiviti penyalahgunaan dadah pula dipertanggungjawabkan kepada Cawangan Siasatan Jenayah (CSJ). Siasatan ini berkaitan kes-kes yang membabitkan anggota dan pegawai TD termasuk kes-kes syariah, rasuah, kemalangan, penipuan dan sebagainya," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semasa sambutan hari ulang tahun KPTD ke-57 baru-baru ini.
Sebelum ini, siasatan terhadap kes-kes jenayah termasuk dadah melibatkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya TD dilaksanakan oleh 91 Cawangan Penyiasatan Khas (CPK) KPTD.
Selepas 1 Ogos 1993, 91 CPK telah diserap dan diletakkan di bawah Cawangan Provos Marsyal ATM .
Sehubungan itu, staf dan keanggotaan pasukan itu terus diserapkan ke cawangan tersebut dan KPTD terpaksa menubuhkan perjawatan ad hoc dan melatih semula keanggotaannya bagi membantu TD melaksanakan tugas-tugas siasatan kes jenayah.
Sejajar dengan Pelan Pembangunan Strategik TD 'Army 2 10 Plus 10, penubuhan pasukan khas penyiasat yang dinamakan 48 CSJ KPTD telah direalisasikan bagi memenuhi keupayaan dan keperluan tugas-tugas penyiasatan.
Secara rasmi Cawangan itu telah ditubuhkan berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2007.
Menurut Mislan, antara peranan dan tanggungjawab 48 CSJ KPTD adalah mengesan, mencegah, menangkap dan menyiasat anggota TD dan mereka yang tertakluk pada undang-undang perkhidmatan dan terlibat dalam salah laku jenayah termasuk penyalahgunaan dadah.
"Kita juga memberi khidmat nasihat dan membantu pemerintah tentera setempat berhubung perlakuan dan pencegahan jenayah," katanya.
Selain itu, 48 CSJ KPTD juga menyedia dan menyalurkan statistik rekod jenayah bagi tujuan penyimpanan rekod dan tapisan keselamatan.
Mereka juga perlu menyediakan kertas penyiasatan bagi tujuan pendakwaan di Mahkamah Tentera atau pun perbicaraan pemerintah tentera di samping membantu dan bekerjasama dengan agensi penguat kuasa awam dalam penyaluran maklumat.
Beliau seterusnya menegaskan, CSJ KPTD bukan berperanan mencari kesalahan mana-mana pihak dalam TD.
"Apabila kita menjalankan tugas termasuk menyiasat, kami sebenarnya mencari fakta dan kebenaran. Kami bukan mencari kesalahan seseorang," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, 48 CSJ KPTD terdiri daripada Markas 48 CSJ, Markas CSJ Zon dan Detasmen CSJ.
"Markas 48 CSJ KPTD beroperasi di Jabatan Arah Polis Tentera di Kementerian Pertahanan," katanya.
Terdapat dua sel di bawah Markas 48 CSJ KPTD iaitu Sel Siasatan Jenayah dan Sel Pembangunan dan Teknikal Siasatan.
"Sel Siasatan Jenayah mempunyai tiga unit iaitu Unit Siasatan Jenayah, Unit Anti-Narkotik dan Unit Risikan Jenayah," katanya.
Sel Pembangunan dan Teknikal Siasatan pula terdiri daripada Unit Pembangunan dan Analisis dan Unit Proses dan Rekod.
Aspek-aspek perundangan, pembangunan modal insan, pembangunan peralatan penyiasatan serta aspek teknikal siasatan dan bantuan kepakaran akan diberi perhatian oleh sel ini, kata Mislan.
"Ini termasuklah bantuan kepakaran Tim Poligraf yang boleh mengesan sebarang aktiviti penipuan apabila seseorang itu disoal siasat selain forensik dan fotografi.
"Kami mempunyai peralatan poligraf yang akan digunakan apabila melakukan soal siasat," katanya.
Beliau berkata, sesuatu yang menarik ketika menjalankan tugas, anggota CSJ KPTD sentiasa akan membawa bersama taser gun iaitu senjata yang menggunakan arus elektrik dan mampu melemahkan suspek yang cuba melawan ketika diberkas.
Senjata berkenaan dikatakan mampu 'melumpuh' seketika mana-mana individu walaupun orang terbabit mempunyai kekuatan luar biasa.
"Sebaik sahaja pihak yang hendak diberkas itu jatuh atau tumbang akibat penggunaan taser gun tersebut, anggota CSJ akan bertindak memberkasnya," katanya.
Dalam pada itu katanya, CSJ KPTD mempunyai data lengkap mengenai latar belakang setiap anggota dan pegawai dalam TD.
Data berkenaan dapat digunakan bagi mengenal pasti setiap anggota yang terlibat dalam kemalangan dan sebagainya.
"Data tersebut meliputi butir-butir DNA setiap anggota dan pegawai TD," katanya.
Tambahnya, setiap anggota dalam CSJ telah diberi latihan dan kemahiran siasatan secukupnya. latihan dan kemahiran itu akan terus diberi bagi memahirkan mereka menjalankan tugas siasatan.
"Selain latihan dan kursus dalam negara, anggota kami juga dihantar ke luar negara bagi menambah pengetahuan.
"Untuk bergelar anggota dan pegawai CSJ KPTD, mereka perlu sekurang-kurangnya mempunyai latihan asas penyiasatan," katanya.
Kebolehan lain yang perlu ada pada anggota dan pegawai CSJ KPTD adalah dari segi pengetahuan sains polis seperti aktiviti jenayah tempatan, penyediaan dan penggunaan alat saintifik, pengetahuan modus operandi penjenayah serta latar belakang tempatan di mana penyiasat itu bertugas.
Beliau berkata, penyiasat CSJ juga perlu mempunyai pengetahuan dalam sains kelakuan penjenayah termasuk asas kriminologi dan psikologi.
"Selain mempunyai pengetahuan undang-undang dan mengetahui hak asasi manusia, penyiasat CSJ juga perlu menjalankan siasatan dengan akal yang waras kerana ia penting bagi menentukan keberkesanan siasatan," jelasnya.
Bersiap sedialah bagi menghadapi mereka (yakni musuh-musuh) dengan segala kekuatan yang termampu kamu sediakan dari pasukan berkuda yang lengkap sedia untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh lain selain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedangkan Allah mengetahui-Al Anfal Ayat 60
About Me
- Minda Pertahanan
- Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.
Pages
Thursday, December 9, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Labels
- Agensi Penguatkuasaan (5)
- APMM (17)
- ATM (71)
- Aviation (3)
- Ebooks (3)
- Eksesais (9)
- Exhibitions (4)
- LIMA (6)
- LIMA / DSA updated (9)
- LIMA updated (31)
- LIMA'09 updated (7)
- Luar negara (31)
- Menhan (3)
- National Task Force (7)
- NTF (6)
- Ops Benteng (5)
- PDRM (12)
- PKPP (1)
- SAR (1)
- Sejarah (5)
- Seminar (1)
- TDM (90)
- TLDM (135)
- TUDM (54)
- Umum (54)
- Veteran (31)
- Wataniah (7)
- Wataniah/Simpanan (2)
No comments:
Post a Comment