About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Saturday, December 5, 2009

Zahid sempurnakan pemeriksaan armada 2009

Sumber Utusan

LANGKAWI 1 Dis. - Pemeriksaan armada atau perbarisan kapal-kapal merupakan acara tradisi setiap kali Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) berlangsung di pulau legenda ini.

LIMA 2009 turut menyaksikan upacara yang sama pada pembukaannya apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyempurnakan pemeriksaan tersebut yang diadakan di Awana Porto Malai di sini.

Pemeriksaan tersebut melibatkan 13 kapal TLDM, sebuah daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan dua buah daripada Polis Marin.

Kapal-kapal asing turut terlibat iaitu dua kapal masing-masing dari Pakistan, Filipina dan Korea Selatan manakala satu dari Amerika Syarikat (AS), India, Thailand, Singapura dan Australia.

Jarak jauh pelayaran untuk pemeriksaan armada LIMA 2009 ialah sejauh lapan batu nautika.

Armada kali ini melibatkan kekuatan 3,230 pegawai dan anggota lain-lain pangkat (LLP) daripada semua negara yang terlibat.

TLDM menghantar seramai 1,110 anggota, APMM (163), Polis Marin (26) dan kapal asing (1,923).

Pemeriksaan armada merupakan tradisi TLDM yang biasanya dilakukan sebelum pergi berperang dan bertujuan menunjukkan kepada musuh kekuatan armada sesebuah angkatan laut.

Kini, pemeriksaan tersebut dilakukan pada usia perkhidmatan sesebuah angkatan laut mencapai usia 50 tahun selain merupakan upacara istiadat bagi meraikan sesuatu majlis yang besar seperti penganjuran LIMA.

Pemeriksaan armada bagi LIMA telah diadakan buat pertama kalinya pada tahun 1993 iaitu pada LIMA yang kedua.

LIMA kali ini merupakan sesuatu yang istimewa apabila pemeriksaan armada menjadi acara terakhir sambutan 75 tahun TLDM pada tahun ini.

No comments:

Tinggalkan pesanan anda di sini