About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, October 28, 2009

SCORPENE – KD TUNKU ABDUL RAHMAN

Sumber: Majalah Perajurit Edisi Okt 09.
Oleh: Hamzah Hd.

Nama Scorpene diambil dari sejenis ikan batu karang yang mempunyai ciri-ciri penyamaran yang sukar dikesan. Ianya bertepatan dengan keupayaan rekaan terkini oleh DCNS berdasarkan kepada Kelas Amethyste yang telah terbukti memberi perkhidmatan yang baik sebelum ini.

Keluarga Scorpene yang mengandungi tiga jenis iaitu Asas Scorpene, Scorpene Basic-AIP dan Scorpene Padat. Di antara ciri-ciri unik lain yang dimiliki Scorpene ialah menggabungkan kemajuan terbaru bentuk badan kapal dengan pembinaan bermodul dengan teknologi terkini termasuk synchronous propulsion motor, two-stage turbo-charged diesel engine dan bateri-bateri berkapasiti tinggi.

Secara keseluruhannya seni bina ini telah mengoptimumkan pengurangan bunyi. Bentuk badan kapal adalah direka bentuk untuk pergerakan yang senyap dan untuk memaksimumkan keupayaan penyeyapan sistem akustik kapal sendiri. Setiap item yang dipilih adalah bermatlamatkan penyeyapan dan pengikat kepada pemasangan peralatan pemasangan juga direka bentuk untuk tujuan yang sama.

Pemilihan atau penggunaan keluli jenis 80 HLES high-yield untuk ketahanan tekanan adalah menyamai kapal selam nuklear yang membenarkan penyelaman tanpa had melebihi kedalaman 300 meter yang mana memberi lebih kebebasan di dalam membuat manuver taktikal dan juga tidak terhad kepada bilangan atau durasi penyelaman ke tahap kedalaman maksima.

Sistem kombat bersepadu berprestasi tinggi juga menawarkan fleksibiliti dan kebolehpercayaan yang diperlukan. Kepelbagaian dan tatasusunan konsol yang mesra pengguna memberikan kuasa penuh kepada pengendali mengawal penugasan terhadap penderia permukaan, persenjataan dan tindak balas elektronik termasuk wire-guided torpedoes dan pantulan maklumat kehadiran misil anti kapal musuh.

Mempunyai sistem yang mampu mengesan atau memerhati semua pemasangan sistem utama dan sistem sokongan. Kefungsian pemanduan, penyelaman, keselamatan dan kuasa pendorong diintergrasikan sepenuhnya untuk memberikan fleksibiliti kepada pegawai dan krew memberi tumpuan kepada tugas-tugas yang berisiko tinggi. Pengurangan beban kerja hasil dari otomasi ini telah membolehkan hanya 30 orang krew mengoperasikannya berbanding generasi kapal selam sebelum ini memerlukan 50 orang anak kapal.

Program Scorpene ini telah mengesahkan DCNS sangat berpengetahuan sebagai kontraktor utama untuk program-program pembinaan kapal perang canggih. Setakat ini sudah sepuluh buah kapal selam dari kelas ini telah ditempah iaitu 2 buah (Chile), 2 buah (Malaysia) dan 6 buah oleh negara India. Sekaligus meletakkan Scorpene sebagai satu penanda aras kepada rekabentuk kapal selam konvensional (SSK) antarabangsa.

Kapal Diraja TUNKU ABDUL RAHMAN (KDTAR)

Merupakan kapal selam pertama negara yang telah dilancarkan 23 Oktober 2007 telah berlepas dari Pangkalan Tentera Laut Perancis di Toulon dan berlayar pulang ke tanahair pada 11 Julai 2009. Selamat berhimpit di Jeti KD Sultan Abdul Aziz Shah Pulau Indah Pelabuhan Klang pada 03 Sep 2009 setelah menempuh perjalanan sejauh lebih kurang 6000 batu nautika selama 54 hari.

KD TAR yang berada dalam Kelas Scorpene ini adalah sebuah kapal selam yang boleh digerakkan oleh kuasa elektrik dan diesel telah dibina oleh French military shipyard DCNS di Cherbourg dengan kerjasama oleh Spanish naval shipyard Navantia dengan menelan kos 1.04 billion Euro (RM3.4 million) yang telah dipersetujui pada tahun 2002.

KD TAR adalah kapal selam tempur konvensional yang panjangnya 66.4 meter dan lebar 6.2 meter. Enjin elektronik Jeumont Schneider 2,900kw versi CM-200 dengan Sistem pendorong 7 kipas. Tekanan udara, sistem penyejukan air dan kuasa elektrik dibekalkan dengan 4 janakuasa diesel Izar/MTU 396 12V SE84 atau 360 elemen bateri plumbum. Makanisme sistem pendorong dan elemen sokongan dibina dalam 2 kebuk berasingan dengan sistem pautan elastik bagi menghilangkan kesan bunyi dan gegaran. Mampu beroperasi secara berterusan selama 45 hari dengan komplemen 35 orang krew. Mampu bergerak senyap dan sukar dikesan penderia musuh kerana sokongan rekabentuk, item dan instalasi peralatan menepati keperluan penyeyapan.

Persenjataan yang dibawa ialah 6 tiub peluru berpandu dengan kemampuan pelancaran serentak dengan sistem pengisian peluru berpandu automatik sepenuhnya. Peluru berpandu anti kapal permukaan SM39 Block II Exocet, Torpedo anti kapal selam Black Shark dan mampu membawa 10 torpedo dan 30 periuk api. Pengurusan kombat adalah menggunakan sistem intergrasi taktikal kombat (SUBTICS) dengan 6 konsol paparan dan sebuah meja informasi taktikal. Sistem sonar jarak jauh pasif, sonar aktif dan sonar resolusi tinggi yang mampu mengesan ranjau laut, periuk api dan halangan semula jadi.

KD TAR yang bersaiz sederhana adalah merupakan gabungan inovasi-inovasi yang merupakan antara rekabentuk kapal selam yang terkini dalam kelasnya yang dibina berasaskan reka bentuk kapal selam Penyerang Nuklear (SSN) Tentera Laut Perancis selari dengan keperluan tentera laut masa depan di samping memenuhi spesifikasi yang diperlukan oleh TLDM dalam konteks kos dan keupayaan untuk pengawasan strategik perairan negara.

KD TAR direka khusus untuk melaksanakan pelbagai tugas dan misi pengawasan perairan, pengumpulan maklumat risikan, menyekat jalur perhubungan laut (SLOC), peperangan anti kapal selam (ASW), peperangan paras permukaan (ASuW) dan bersedia menghadapi segala ancaman-ancaman semasa samada ancaman dijangka atau tidak dijangka.

Keupayaan bergerak dengan kelajuan 20 knot semasa menyelam adalah suatu keupayaan yang bakal menjadi igauan kepada musuh permukaan kerana kelajuan tahap ini merupakan kelincahan yang sangat diperlukan untuk manipulasi taktikal di medan tempur. Taktik tembak dan lari keluar dari zon bahaya torpedo (TDZ) kapal perang permukaan adalah sangat-sangat memerlukan kelajuan tinggi kerana dengan mengambil kira kepintaran operator kapal-kapal perang permukaan yang turut mempunyai penderia yang canggih untuk menjejak musuh yang paling digeruni berada di mana-mana sahaja di bawah air.

Namun begitu, di perairan Selat Melaka tidak memberi kelebihan kepada mana-mana kapal selam untuk bertempur dengan selesa atas faktor-faktor kedalaman air dan kesibukan lalulintas. Meskipun ianya mampu meledakkan torpedonya ke arah sasaran, apa yang dikuatiri kesan gegaran akan menjejaskan kedudukan kapal selam itu sendiri kerana pantulan gegaran yang tertampan pada dasar yang cetek.

Perolehan kedua-dua kapal selam ke dalam inventori armada TLDM pastinya memberi dimensi baru kepada kepelbagaian misi dan operasi Pasukan Khas Laut (PASKAL). Misi-misi khas dan penyusupan akan dapat dilaksanakan hingga ke tengah-tengah medan berkonflik di luar kesedaran pihak musuh akan memberi suatu natijah besar kepada keberkesanan sesuatu operasi tempur atau pengumpulan maklumat perisikan.

Dimensi Latihan Bersama

Khalayak umumnya merasa teruja dan bangga dengan melihat perolehan ini sebagai suatu anjakan kepada pertahanan laut biru yang diamanahkan kepada TLDM. Semestinya TLDM mempunyai tugas berat dan mencabar selepas ini yang pada peringkat awalnya akan mempersiapkan armadanya dengan perancangan latihan persendirian yang intensif antara elemen tempur permukaan, elemen udara bersama kapal selam.

Untuk memastikan tim CIC dan sejauh mana kemampuan sonar yang sudah tersedia terpasang di mana-mana platform flotila serang berfungsi sebaiknya, maka ini peluang yang dinanti-nantikan untuk mempraktikkan sekerap mungkin dengan adanya kapal selam sendiri. Jika sebelum ini latihan Combined Anti Sub Marine Exercise (CASEX) hanya sesekali dilakukan dengan tentera laut negara-negara lain, ianya tidak betul-betul memberi impak maksima kerana keterhadan masa malah juga sering kali reaksi negara-negara terbabit hanya mahu memenuhi skedul latihan semata-mata atau dengan kata lain mereka tidak benar-benar untuk menurunkan ilmu taktikal hasil dari aplikasi kapal selam. Sonar TLDM belum teruji sepenuhnya dan untuk mengatakan sonar yang dibeli baik atau buruk persembahannya adalah menjadi tidak tepat dan tidak adil kerana tidak mempunyai banyak peluang untuk membuat koreksi atau penjajaran kepada penderia jika melakukan sekali sekala latihan.

Pada umumnya CASEX mempunyai enam siri iaitu A- bersama kapal ASW atau helikopter, B- bersama pesawat ASW, C- bersama gandaan angkatan ASW, D- peranan semasa mengiringi kapal selam nuklear, E- pelbagai latihan dan S- latihan antara kapal selam. Setiap siri mengandungi sub-sub siri yang secara umumnya merupakan latihan-latihan asas, medium dan lanjutan di antara elemen-elemen tersebut. Hanya latihan yang konsisten sahaja yang akan menentukan kompetensi tim Action Information Organisation (AIO) untuk menguasai taktikal di dalam semua dimensi peperangan bawah permukaan dan dimensi-dimensi lain di permukaan, udara dan elektronik.

Menjelang Malaysia sebagai negara maju, TLDM seharusnya memiliki pesawat ASW di samping membuat peningkatan kepada helikopter yang ada supaya lebih menjurus kepada helikopter ASW untuk melengkapkan kitaran latihan bersepadu yang lebih agresif bagi menjana kemahiran dan kecekapan operator dan menguji keupayaan peralatan sebagai pelengkap gelaran armada versatil di rantau ini. Apatah lagi jika jumlah aset tempur samada permukaan atau bawah permukaan direalisasikan menjadikan 6 buah bagi setiap skuadron. Justifikasi oleh kebanyakan penganalisis pertahanan negara dengan jumlah ini agak ideal dengan mengambil kira keluasan perairan dan kitaran senggaraan bagi setiap platform.

Sesuatu yang tidak boleh dinafikan oleh semua rakyat Malaysia bahawa perolehan kapal selam ini akan memberi dimensi pertahanan yang utuh kepada negara dengan mendukung Dasar Pertahanan yang meletakkan perinsip cegah rintang bagi mengelakkan kuasa-kuasa luar/serantau untuk melakukan provokasi atau bertindak agresif terhadap kepentingan negara. Menang atau kalah di dalam peperangan adalah bukan penentu mutlak kepada sesiapa tetapi dengan adanya aset strategik bawah permukaan ini sekurang-kurangnya boleh membuat perhitungan sewajarnya.

Apa yang penting ialah sokongan kerajaan untuk meletakkan keutamaan dalam konteks pembekalan di dalam semua aspek keperluan seperti alat ganti, pembaikan kecemasan supaya aset ini betul-betul mampu bersiapsiaga sebilang masa untuk memberi pulangan dalam konteks melaksanakan tugasnya mengawal, menjamin kedaulatan dan keselamatan perairan negara dari segala ancaman.
Perajurit

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini