About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Thursday, October 29, 2009

Kerajaan kaji pesawat 4 negara ganti MiG-29N

Sumber: Utusan online

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Kerajaan sedang meneliti pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) yang dikeluarkan empat negara iaitu Amerika Syarikat (AS), Perancis, Itali dan Sweden bagi menggantikan MiG-29N yang akan ditamatkan perkhidmatannya pada 31 Disember tahun depan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembelian MRCA itu tidak akan melibatkan pesawat dari Rusia berikutan pengalaman pahit kerajaan apabila terpaksa membelanjakan kos tinggi RM260 juta setahun untuk menyenggara semua pesawat MiG-29N.

"Sukhoi SU-30MKM yang merupakan pesawat tempur jarak jauh yang baru dibeli akan menjalankan tugas penggantian kepada MiG-29N. Tetapi untuk menggantikan MiG yang sedia ada, kita tidak akan beli Sukhoi yang lain.

"Insya-Allah negara-negara yang sedang kita tinjau untuk menambahkan kekuatan pertahanan udara kita antaranya AS, Perancis dan Itali, kalau sesuai mungkin juga dari Sweden.

"Kita akan lihat bukan saja dari segi kecanggihan teknologi tetapi untuk jangka panjang bagaimana kita boleh menjimatkan kos penyenggaraan," katanya menjawab soalan tambahan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau yakin pesawat Sukhoi SU-30MKM tidak akan mengalami nasib sama seperti MiG-29N terutama dari segi penyenggaraan.

"Kita mempunyai pilihan kerana boleh mendapatkan alat ganti pada harga berpatutan daripada syarikat di China dan India yang telah diberi hak mengeluarkan komponen berkenaan," katanya.

Menjawab soalan asal Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud), beliau berkata, daripada 18 pesawat MiG- 29N yang dibeli kerajaan pada 1993, hanya 10 buah dioperasikan sekarang untuk tujuan pertahanan ruang angkasa serta penglibatan minimum dalam latihan yang telah dirancangkan.

"Jumlah ini akan dikurangkan kepada enam pesawat menjelang Januari tahun depan sehingga kepada tarikh penamatan khidmatnya," ujar beliau.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Abdul Rahman mengenai pesawat pengganti Nuri, beliau berkata, kerajaan masih berunding mengenai pekara itu.

"Penggantian Nuri sebagai mana yang diketahui, sedang dirundingkan. Namun, oleh kerana keadaan ekonomi yang tidak menggalakkan, saya fikir keutamaan kita bukan untuk menambah aset (yang tidak diperlukan).

"Tumpuan kita ialah untuk memperbaiki aset sedia ada dan menggunakan wang yang ada bagi menambah aset paling diperlukan, dengan keutamaan kepada pesawat yang mempunyai fungsi pelbagai guna," katanya.

1 comment:

Anonymous said...

bukanlah tindakan bijak olih kerajaan utk menamatkan pesawat mig 29- unperfectstone53

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini