Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
SELARAS dengan pembangunan negara, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khasnya Tentera Darat sentiasa diberi keutamaan bagi menyediakan sebuah pasukan berketerampilan dan siapsiaga.
Ini merupakan komitmen diberikan oleh kerajaan dalam menjaga kebajikan warga tentera yang bergelar perajurit negara.
Pelbagai aspek termasuk pendidikan dan bimbingan kefahaman Islam dalam ATM diwujudkan sejak penubuhan Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) pada 16 April 1985.
Berikutan itu usaha telah dilaksanakan oleh Kagat demi mempertingkatkan pendidikan dan kefahaman Islam di kalangan warga tentera dan ahli keluarga mereka.
Namun begitu, proses pembelajaran dan memberi kefahaman Islam yang dilaksanakan secara 'ad hoc' ini sering terjejas disebabkan tiada satu pusat latihan khusus.
Bagi mengatasi masalah ini, Markas ATM telah mencadangkan agar Institut Latihan dan Kefahaman Islam (Ilmi) diwujudkan dengan harapan dapat membantu menyelaraskan segala program ilmuwan Islam supaya lebih tersusun.
Mesyuarat Lembaga Menteri yang bersidang pada 22 September 1997 telah meluluskan penubuhan Ilmi di Jalan Sua Betong, Port Dickson.
Ilmi berfungsi melatih anggota-anggota Kagat dalam aspek dakwah dan pada masa sama menganjurkan kursus-kursus kefahaman Islam kepada anggota tentera melibatkan perkhidmatan darat, laut dan udara.
Komandan Ilmi, Leftenan Kolonel Ibrahim Embong berkata, pengajaran dan pembelajaran di Ilmi berteraskan konsep dunia dan akhirat.
''Ia bertujuan melahirkan warga Kagat yang mempunyai tahap akademik dan profesional tinggi dalam menyampaikan dakwah Islamiah serta memberi pendidikan agama kepada warga tentera dan masyarakat,'' katanya kepada Utusan Malaysia ini.
Jelasnya, selain golongan muslim, Ilmi juga menyediakan kelas untuk mengajar warga tentera bukan muslim melalui aspek etika, moral dan nilai-nilai murni.
Selain warga tentera dalam negara, Ilmi juga menyediakan kemudahan kepada negara luar seperti Brunei dan Bosnia untuk menghantar anggota tentera mereka mengikuti kursus mengenai kefahaman Islam.
Mengenai kemudahan, Ibrahim berkata, ia tidak pernah diabaikan sebaliknya kerajaan sentiasa membantu dalam menambah kemudahan sedia ada selaras dengan perkembangan institusi tersebut.
No comments:
Post a Comment