Sumber: Utusan online
Oleh ZAINI RABAN
KEPAKARAN dan kemahiran tinggi pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sudah teruji ketika mengiringi kapal dagang Malaysia di perairan Teluk Aden, dekat Somalia yang sering menjadi ancaman lanun.
Kepantasan pasukan TLDM menyelamatkan kapal dagang China dan kapal tangki India dari dirampas lanun di lautan tersebut pada 17 Disember 2008 dan 1 Januari tahun ini bukan sahaja menggentarkan musuh, malah membuka mata banyak pihak tentang keupayaan dan kehebatan pasukan keselamatan tanah air itu.
Bercakap mengenai kepakaran, salah satu unit yang memang terkenal dengan kecekapan terutama di bawah air adalah KD Duyong TLDM yang kini di bawah pimpinan Pegawai Memerintah, Kapten Rusli Ahmad.
Unit yang berpangkalan di Lumut itu bernaung di bawah pemerintahan Markas Armada dan merupakan Pusat Selam dan Peperangan Periuk Api TLDM.
Tanggungjawab utama unit tersebut ialah melaksanakan semua aktiviti berkaitan dengan penyelaman, Explosive Ordnance Disposal (EOD), kejuruteraan bawah air dan pemusnahan periuk api.
Tanggungjawab tersebut dilakukan semata-mata bagi memastikan tahap keselamatan dan pertahanan perairan negara dalam keadaan memuaskan.
''Kepercayaan tinggi negara terhadap KD Duyong jelas terbukti kerana KD Duyong merupakan unit ulung dipertanggungjawabkan menangani apa sahaja keperluan tugas pemusnahan bahan letupan di dalam air," kata Rusli ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
KD Duyong yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Selam TLDM kini berkembang dengan pesat sejak kewujudannya pada awal tahun 70-an dulu.
Bermula dari sebuah unit kecil dengan peralatan asas di Pangkalan TLDM Woodlands, Singapura, berubah menjadi pasukan yang mantap dengan dilengkapi pelbagai peralatan canggih serta kompleks pentadbiran yang tersergam indah.
Perubahan itu nyata membawa banyak manfaat hingga membolehkan KD Duyong mempunyai keupayaan menjalankan kerja-kerja kimpalan atau kejuruteraan di bawah permukaan air.
Menurut Rusli, tugas tersebut amat penting khususnya bagi menjalankan kerja-kerja memperbaiki kapal yang memerlukan kimpalan bagi mengelak kebocoran ketika melaksanakan tugas di lautan luas.
Katanya, tanpa kehadiran anggota pasukan penyelam yang diwajibkan memiliki kemahiran kimpalan dalam air, pengoperasian kapal-kapal perang negara mungkin terjejas jika tidak dibaiki secepat mungkin.
''Aksi penyelam melaksanakan kerja-kerja kimpalan sering menarik minat pelawat yang seakan-akan tidak percaya melihat api juga boleh menyala di dalam air dengan terang sekali.
''Kombinasi teknologi dan skil penyelam menyebabkan ia dapat direalisasikan," katanya.
Selain membuat kimpalan kapal-kapal, pasukan berkenaan juga mampu memperbaiki struktur dalam air seperti jambatan yang rosak dan tugasan yang memerlukan kerja-kerja pemotongan atau kimpalan di dalam air.
Semua kerja berkenaan dilakukan semata-mata bagi memastikan pengoperasian pasukan TLDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara keseluruhannya berjalan lancar walau berdepan dengan apa saja halangan.
Pada masa sama, kepakaran berkenaan juga boleh diaplikasi untuk memperbaiki kemudahan awam seperti paip-paip bawah air sekiranya berlaku kerosakan atau disabotaj pihak musuh.
''Kepakaran menjalankan kerja-kerja kimpalan serta pemotongan bawah air memerlukan latihan intensif selama kira-kira tiga tahun dan ketabahan serta kesungguhan bagi menguasainya.
''Ini kerana walaupun seseorang anggota itu mempunyai kesihatan fizikal dan mental yang baik tetapi secara semula jadi belum tentu lagi mereka mampu bertahan dalam tempoh lama di dalam air," katanya.
Berdasarkan pengalaman KD Duyong, semua anggotanya boleh bertahan di dalam air untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan, sementara dalam tempoh tiada had sekiranya tahap kedalaman air tidak melebihi sembilan meter.
Bagi tahap kedalaman melebihi 12 meter, anggota yang bertugas boleh bertahan sehingga 135 minit dan waktu itu akan berkurangan jika kedalamannya bertambah.
Rusli menjelaskan, kewujudan KD Duyong cukup relevan sekali. Tambahan pula, tidak lama lagi Malaysia akan menyambut ketibaan kapal selam pertama.
Penyelam TLDM turut memainkan peranan utama dalam menyokong pengoperasian aset strategik negara sebagai elemen penting dalam aspek Penyelamat Kapal Selam (Submarine Rescue).
Katanya, pembabitan penyelam dalam tugas baru ini nyata sekali akan membawa mereka ke tahap yang lebih bahaya dan mencabar.
''Apa pun, sebagai perwira negara, walau apa jua cabaran yang perlu ditempuh, kita perlu bersedia melaksanakan tanggungjawab dan misi diamanahkan itu dengan penuh semangat juang, sejajar dengan moto TLDM iaitu 'Sedia Berkorban'," katanya.
Beliau menjelaskan, operasi sesebuah kapal selam merupakan sesuatu yang kompleks dan berisiko tinggi.
Katanya, sebarang kecuaian bukan sahaja boleh memusnahkan kapal selam malah menyebabkan seluruh anak kapal terkorban atau terperangkap di dalamnya.
''Sebab itulah anggota-anggota TLDM yang terlibat dengan pengendalian kapal selam itu telah dihantar menjalani latihan bertahun-tahun untuk benar-benar mahir.
''Bagi KD Duyong pula, kita sentiasa bersedia memberi khidmat sokongan dalam kerja-kerja senggaraan dan tugas menyelamat bila diperlukan," katanya.
Dalam pada itu, Rusli berkata, KD Duyong juga mampu bersaing melaksanakan latihan bersama penyelam tentera laut asing serta menawarkan latihan kepada pelatih luar negara yang direalisasikan melalui Malaysian Defence Cooperation Programme (MDCP) setiap tahun.
Selaras dengan keperluan meningkatkan perkhidmatan berkualiti dan kekal relevan, KD Duyong telah menyahut saranan pucuk pimpinan tertinggi TLDM bagi mendapatkan persijilan ISO 9000:2001.
Ia berjaya direalisasikan pada tahun 2004 yang menjadikan KD Duyong sebagai unit kelima dalam TLDM memperoleh pengiktirafan cemerlang tersebut.
Kini unit ini dalam proses peningkatan skop dan berubah ke persijilan ISO 9000:2008.
Saban tahun beberapa pasukan dari KD Duyong akan mengambil bahagian dalam pertandingan inovasi peringkat TLDM, ATM mahupun nasional.
Penyertaan terakhir unit ini adalah dalam Pertandingan Kemahiran Industri, Inovasi dan Kreativiti Peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian Sumber Manusia.
''Namun kita tidak boleh leka dan berpuas hati. Amalan kualiti perlu terus ditingkatkan dalam semua aspek pengurusan harian.
''Perubahan ke arah proses kerja yang lebih baik perlu terus dilaksanakan," ujar Rusli.
Usaha keras dan konsisten untuk berubah ke arah yang lebih baik dan berkualiti itu adalah sejajar dengan kata-kata Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar bahawa: ''...semua perkara boleh diubah kecuali al-Quran."
Kata Rusli, ia secara tidak langsung menggalakkan warga TLDM berfikiran terbuka, menerima idea baru, menerima pakai pendekatan baru yang sesuai dan tidak kekal mengikut amalan sebelumnya yang tidak lagi relevan.
Ekoran itu, KD Duyong kini sedang membuat kajian dan mengenal pasti kewajaran meningkatkan lagi amalan di tempat kerja dengan menerapkan empat peraturan serta amalan baik disarankan oleh OHSA (Occupational Health and Safety) yang akan menjurus ke arah persijilan OHSAS 18001.
Telah menjadi hakikat bahawa KD Duyong menjadi lokasi lawatan utama bagi pelawat apabila melawat Pangkalan TLDM Lumut.
KD Duyong selalu menerima lawatan rombongan diraja, Panglima-panglima tentera tempatan dan negara asing, institusi pengajian tinggi, sekolah dan badan-badan beruniform.
Pada 22 Mei lepas, unit ini turut menerima lawatan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta rombongan Kementerian Pertahanan.
Bersiap sedialah bagi menghadapi mereka (yakni musuh-musuh) dengan segala kekuatan yang termampu kamu sediakan dari pasukan berkuda yang lengkap sedia untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh lain selain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedangkan Allah mengetahui-Al Anfal Ayat 60
About Me
- Minda Pertahanan
- Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.
Pages
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Labels
- Agensi Penguatkuasaan (5)
- APMM (17)
- ATM (71)
- Aviation (3)
- Ebooks (3)
- Eksesais (9)
- Exhibitions (4)
- LIMA (6)
- LIMA / DSA updated (9)
- LIMA updated (31)
- LIMA'09 updated (7)
- Luar negara (31)
- Menhan (3)
- National Task Force (7)
- NTF (6)
- Ops Benteng (5)
- PDRM (12)
- PKPP (1)
- SAR (1)
- Sejarah (5)
- Seminar (1)
- TDM (90)
- TLDM (135)
- TUDM (54)
- Umum (54)
- Veteran (31)
- Wataniah (7)
- Wataniah/Simpanan (2)
No comments:
Post a Comment