About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Tuesday, July 7, 2009

TLDM berjaya uji peluru berpandu Aspide

Sumber: Utusan online
LUMUT 3 Julai - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sekali lagi berjaya membuktikan kesiapsiagaan dan keupayaan armadanya dalam aspek menangkis serangan udara dengan penembakan misil Aspide di perairan Selat Melaka awal pagi semalam.

Dalam ujian penembakan itu, misil Aspide yang dilancarkan dari salah sebuah kapal skuadron penyerang iaitu Kapal Diraja (KD) Laksamana Hang Nadim, tepat mengenai serta memusnahkan sasaran udara yang ditunda oleh sebuah pesawat jenis LearJet.

Kenyataan TLDM yang diedarkan kepada media hari ini menyebut, kejayaan hasil penembakan peluru berpandu permukaan ke udara ini membuktikan armada TLDM sentiasa bersiap sedia menangani sebarang ancaman.

''Terutamanya serangan ke udara, iaitu salah satu dari empat dimensi peperangan maritim masa kini," kata kenyataan itu.

Turut menyaksikan sesi latihan penembakan itu ialah Panglima Armada TLDM, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.
Menurut kenyataan itu lagi, dalam usaha penjimatan kos latihan penembakan, TLDM mengambil pendekatan dengan melaksanakan aktiviti itu bersama siri latihan 'Perang Pangkor' iaitu latihan operasi mingguan sedia ada.

Latihan itu, sejajar dengan konsep pengoperasian aset tempur TLDM iaitu sentiasa terlatih dan siaga untuk digerakkan apabila perlu.

Misil Aspide adalah antara misil anti udara yang dimiliki oleh TLDM bagi melengkapkan sistem persenjataan kapal-kapal dari kelas Laksamana yang kini telah menjangkau usia 26 tahun.
Ia berupaya melakukan pandu tuju melalui radar semi aktif dengan ketepatan tinggi dan boleh mencapai jarak maksimum 20 kilometer dengan kelajuan 600 meter sesaat.

Aspide adalah sistem misil Itali yang dibangunkan dari sistem misil Amerika Syarikat AIM-7E Sparrow, yang paling sesuai digunakan bagi penembakan udara ke udara dan permukaan ke udara. Misil ini mula digunakan pada tahun 1987.

Dalam masa sama, kejayaan penembakan itu juga menunjukkan keupayaan sistem persenjataan kapal milik TLDM di samping membuktikan kemampuan anggota TLDM dan firma tempatan yang terbabit dalam penyelenggaraan sistem tersebut.

Penembakan itu turut melibatkan unit dan aset-aset lain dalam TLDM yang bertanggungjawab menyedia, merancang dan melaksanakan tugas secara berpasukan.

''Antara unit dan aset lain yang terlibat dalam siri latihan kali ini adalah KD Sri Inderapura, KD Perak, KD Laksamana Tun Abdul Jamil, KD Laksamana Tan Pusmah, helikopter Fennec, bot CB90, bahagian penguasa ujian dan penilaian sistem persenjataan dan juga depot peluru dan letupan TLDM,'' kata kenyataan tersebut.

Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (Stride) turut tidak ketinggalan melakukan aspek analisis serta penyelidikan pertahanan penembakan itu.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini