Oleh HERMAN HAMID
Sistem pertahanan jarak dekat FN-6 Vshored yang dibeli oleh Malaysia dari China ini merupakan antara teknologi pertahanan canggih yang dibangunkan oleh negara berkenaan.
SEJAK kerajaan memeterai hubungan diplomatik secara rasmi dengan China pada 31 Mei 1974, banyak perkembangan berlaku dalam hubungan antara kedua-dua negara.
Apatah lagi selepas China melakukan pembaharuan dalam orientasi pasarannya yang diperkenalkan oleh Deng Xiao Peng pada 1979 hingga hubungan dagang antara dua negara ini semakin berkembang pesat saban tahun.
Apatah lagi selepas China melakukan pembaharuan dalam orientasi pasarannya yang diperkenalkan oleh Deng Xiao Peng pada 1979 hingga hubungan dagang antara dua negara ini semakin berkembang pesat saban tahun.
Walaupun China di satu pihak merupakan sebuah negara kuasa besar, namun hubungan yang terbina sejak 35 tahun lalu itu sentiasa subur dan bertambah akrab.
Apatah lagi baik Malaysia mahu pun China adalah negara yang terbuka kepada perdagangan. Ia menjadikan hubungan berkenaan terus penting untuk manfaat ekonomi.
Jumlah dagangan dua hala juga meningkat setiap tahun dan dijangka mencecah lebih RM180 bilion pada tahun ini, menjadikan China lima rakan dagang utama kita.
Tradisinya eksport Malaysia ke China adalah komoditi seperti minyak kelapa sawit, bahan kimia dan petroleum sementara import pula berupa barangan elektrik, mesin serta barangan berasaskan kimia dan tekstil.
Ternyata angka yang dicapai itu tidak mungkin akan berlaku sekiranya kedua-dua negara tidak mempunyai hubungan baik termasuk kepercayaan dalam berurus niaga.
Ini tidak menghairankan kerana hubungan dagang antara kerajaan Melayu silam dengan China terjalin beratus tahun lalu khususnya pada era Kesultanan Melayu Melaka.
Justeru ramai yang melihat, sudah sewajarnya hubungan dagang ini memasuki satu era baru dengan tidak lagi hanya terikat dengan produk tradisi sebaliknya mula mengimport kelengkapan pertahanan dari China.
Jika sebelum ini Malaysia lebih banyak terarah kepada Eropah khususnya Britain, Perancis dan Rusia, sekarang China adalah salah satu pembekal pilihan yang harus dipertimbangkan secara serius oleh kerajaan.
Lagi pun China bukanlah baru dalam bidang ini kerana sebagai sebuah kuasa besar dunia, kemampuan pertahanan negara itu boleh diibarat sebagai "duduk sama rendah, berdiri sama tinggi" dengan kuasa besar lain.
Hampir keseluruhan kelengkapan persenjataan China dikeluarkan oleh negara itu sendiri. Keupayaan mereka membangunkan senjata berteknologi moden tidak pernah diragui oleh pemerhati industri pertahanan.
Mengulas mengenainya, penganalisis pertahanan, Datuk Muhammad Hamzah berkata, antara kelebihan China ialah daripada segi harga selain teknologi lebih ke depan berbanding sesetengah negara Eropah.
Kata beliau, minda masyarakat kini perlu diubah untuk menerima China sebagai negara pembekal kelengkapan persenjataan setelah sekian lama bergantung dengan Barat.
''Jangan kita menyalah anggap kemampuan China. Ia sebenarnya diakui mempunyai teknologi yang hebat. Jika tidak tak kan mereka guna senjata keluaran sendiri untuk bersaing dengan kuasa besar lain.
''Justeru saya melihat potensi besar yang ada pada China harus dimanfaatkan segera. Banyak negara lain sebenarnya melihat China sebagai sumber persenjataan baru,'' katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau yang lebih 20 tahun terlibat dalam bidang ini berkata, daripada segi rekod, Pakistan dan Iran adalah antara negara yang banyak mendapatkan senjata daripada China selain negara Asia Barat dan Afrika.
Katanya, keyakinan kepada China juga sudah semakin meluas di kalangan negara Asia Tenggara apabila Thailand dan Indonesia sudah mula membeli aset itu dari China.
''Sedangkan kita walaupun sudah mempunyai persetujuan dari China untuk membeli senjata mereka, namun segalanya masih berada di peringkat awal.
''Kita hanya membeli sistem pertahanan udara jarak dekat jenis FN-6 VSHORADS yang dimeterai beberapa tahun lalu. Walaupun untuk satu bateri, ia tetap permulaan baik untuk penerokaan lebih lanjut,'' jelasnya.
Sejak mula membuka ekonominya, China telahmencapai kemajuan hingga banyak bandar utamanya dilihat jauh lebih moden dari sesetengah bandar raya di Eropah.
Pembangunan modal insan rakyatnya yang ditekankan kepada teknologi dan sains telah membuahkan hasil lumayan hinggakan ia menjadi antara negara paling hadapan dalam banyak perkara termasuk teknologi angkasa dan industri pembinaan kapal. Malah firma kejuruteraannya amat diakui kepakaran mereka dalam pembinaan jambatan.
Kebanyakan jambatan terpanjang di dunia sendiri berada di negara tersebut termasuk yang melibatkan aplikasi teknologi terhebat dalam sejarah kejuruteraan.
Justeru bagi Muhammad, sebarang keraguan yang timbul harus diketepikan sebaliknya semua pihak dalam bidang pertahanan harus mempunyai keyakinan kepada China.
Katanya, berdasarkan pengalaman, terdapat satu situasi unik berbanding negara pengeksport lain kerana China tidak menekankan keuntungan semata-mata dalam menjual kelengkapan pertahanan mereka.
Sebaliknya beliau berkata, melalui penjualan senjata, China melihat ia sebagai satu pengiktirafan negara pembeli terhadap keupayaan teknologi mereka. Ia sekali gus menandakan mereka diakui sebagai sebuah kuasa utama pertahanan dunia kini.
''Ini pada saya adalah batu loncatan kepada pengukuhan hubungan dua hala pada masa depan. Tiada siapa dapat nafikan kepentingan China pada masa kini dan masa depan.
''Apatah lagi tidak mustahil kuasa utama ekonomi akan beralih ke China setelah krisis kewangan global mula dilihat meruntuhkan ekonomi Barat.
''Jadi penting bagi kita mengukuhkan lagi hubungan ini pada masa depan, pembelian senjata adalah satu usaha yang akan memanfaatkan kita. Di samping memperoleh yang terbaik, kita juga akan mendapat harga kira-kira 20 peratus lebih murah,'' ujarnya.
Antara keperluan semasa bagi Malaysia ketika ini ialah sistem pertahanan udara jarak sederhana melibatkan peluru berpandu anti pesawat untuk melindungi aset strategik negara seperti pangkalan udara.
China dalam hal ini menawarkan pakej sangat kompetitif berbanding tiga negara pengeluar lain melalui KS-1A MSAM mereka yang mampu melancarkan peluru berpandu sejauh 60 kilometer.
Katanya, harganya juga lebih murah kira-kira 20 peratus selain pakej penyelenggaraan yang rendah manakala negara pengeluar lain tidak mampu mencecah jarak sejauh itu.
''Sebenarnya persetujuan secara prinsipnya telah dilakukan antara Malaysia dan China pada tahun 2004 hasil lawatan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ke China namun ia masih belum dimuktamadkan.
''Persetujuan itu akan melibatkan perpindahan teknologi untuk FN-6 yang telah dibeli Malaysia dan ia tawaran menarik berbanding negara pengeluar lain yang agak lokek dengan perpindahan teknologi,'' ujarnya.
Bagi Muhammad, pembelian senjata dari China adalah satu agenda baik untuk dipertimbangkan kerajaan atas pelbagai faktor sama ada teknikal, kewangan, perpindahan tekonologi, politik mahu pun strategik.
''Sebenarnya pegawai tertinggi pertahanan Malaysia telah didedahkan dengan industri pertahanan China sejak dua dekad lalu. Banyak lawatan dilakukan dan mereka melihat sendiri kemampuan senjata China dari siri ujian.
''Saya percaya selain KS-1A, Malaysia juga boleh mendapatkan aset lain yang masih diperlukan seperti jet latihan dan kapal laut yang pada saya ia cukup berbaloi dengan wang yang dibelanjakan,'' ujarnya.
Sejarah menunjukkan China berbeza dengan Barat yang sentiasa cuba menjadi kuasa imperialis untuk mengawal apa yang dilihat penting untuk mereka.
Malah rekod hubungan China dengan negara dunia ketiga, negara Islam serta Asia yang lain cukup menunjukkan satu suasana keselesaan untuk Malaysia meningkatkan pembelian aset pertahanan dari negara itu.
Maka pembelian kelengkapan pertahanan dari China adalah satu pilihan yang dilihat sebagai amat strategik untuk Malaysia selain efektif daripada segi kos.
PENULIS ialah wartawan eksekutif Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment