About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Tuesday, June 2, 2009

APMM tambah 5,000 pegawai, kakitangan

Sumber: utusan online
PUTRAJAYA 1 Jun - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan menambah seramai 5,000 pegawai dan kakitangannya dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi memperkukuhkan peranan badan itu dalam mengawal perairan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengambilan kakitangan itu membabitkan semua peringkat perjawatan dan ia telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Selain itu beliau mahu, langkah penguatkuasaan dan aset seperti kapal dan bot juga dipertingkatkan meskipun ancaman lanun di perairan Selat Melaka sudah berkurangan.
''Isu seperti penyeludupan membabitkan kemasukan pendatang tanpa izin, diesel dan dadah adalah antara masalah yang perlu kita hadapi.

''Secara umum kita berpuas hati tetapi mungkin masyarakat belum memahami peranan APPM, jadi saya minta diadakan program tertentu untuk APMM berinteraksi dengan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena lawatan pertamanya ke APMM dan Bahagian Hal Ehwal Penguatkuasaan Maritim Malaysia (BHEPMM) di sini hari ini.
Hadir sama ialah Ketua Pengarah APMM, Laksamana Datuk Mohd. Amdan Kurish dan Ketua Pengarah BHEPMM, Ariffin Che Mat.

Setakat ini, APMM mempunyai kekuatan sebanyak 126 kapal dan bot, tiga unit helikopter dan sebuah pesawat dengan 3,234 pegawai serta kakitangan.

Menurut Muhyiddin, APMM memerlukan kerjasama agensi penguatkuasaan lain termasuk perhubungan rapat dengan kerajaan negeri dan masyarakat.

''Ini bagi membolehkan perairan negara kita selamat dan apa sahaja bantuan yang diperlu dapat diberikan," katanya.

Beliau turut mendedahkan, APMM mempunyai cabaran besar dalam menangani kemasukan pendatang haram kerana terdapat rakyat Malaysia yang terlibat dalam kegiatan itu.

''APMM mengesan terdapat tonto ditempatkan di pelbagai kawasan di sepanjang perairan negara dan mereka memberikan maklumat kepada pendatang tersebut.

''Jadi perkara ini yang perlu kita pecahkan dan rakyat perlu memberikan kerjasama iaitu dengan tidak terlibat dalam kegiatan tersebut," katanya.

Ditanya keperluan APMM untuk memiliki pesawat tanpa juruterbang, beliau berkata, ia melibatkan kos yang tinggi sedangkan terdapat pelbagai cara lain boleh digunakan.
''Aset yang ada sekarang perlu dimanfaatkan sepenuhnya dan diselenggarakan dengan baik," katanya.

Sementara itu, Mohd. Amdan menjelaskan, masalah utama yang dihadapi ialah pendatang tanpa izin sama ada diseludup masuk atau dibawa keluar dari negara ini.

''Cabaran besar ini adalah kerana faktor negara kita begitu dekat dengan negara jiran selain terdapat banyak lokasi-lokasi tersorok yang membolehkan melakukan kegiatan itu," katanya.
Selain itu beliau menyatakan, kegiatan penyeludupan seperti rokok dan dadah turut menjadi tumpuan penguatkuasaan APMM.

''Jadi dengan aset yang terhad, kita perlu memastikan keselamatan keseluruhan perairan negara.

''Cabaran kita adalah untuk memantau semua pergerakan yang melintasi Selat Melaka menggunakan sistem pengawasan laut, radar dan pemantauan menggunakan bot dan kapal," katanya.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini