Sumber: Bernama Online
Oleh Melati Mohd Ariff
KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) --"Dirikan muzium darurat sebagai satu usaha mengabadikan perjuangan dan kemenangan rakyat Malaysia menewaskan pemberontakan komunis."Muzium ini juga sebagai memperingati jasa pahlawan negara termasuk, askar, polis dan konstabel khas, pengawal kampung, askar British, Gurkha dan Komanwel yang jarang dikenal atau didendangkan."Demikian saranan Datuk Omar Mohd Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) dalam wawancara dengan Bernama di pejabat PSM Jalan Tun Razak baru-baru ini.Menurut beliau, PSM membuat cadangan ini memandangkan betapa pentingnya negara menentukan kelestarian memori bangsa mengenai satu peristiwa besar (darurat) yang meninggalkan banyak kesan mendalam dalam sejarah negara.
INSTITUSI HIDUP
Muzium yang dicadangkan boleh menjadi 'institusi hidup' yang dapat menyanggah sebarang usaha pembohongan atau penyelewengan mana-mana pihak mengenai hakikat sebenar dahagi komunis.Dengan adanya muzium ini, tambah Omar, rakyat terutama generasi muda akan dapat mengenal pasti daripada sudut sejarah siapa dia sebenarnya wira dan pejuang bangsa dan siapa pembelot dan penderhaka dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dan pembangunan negara Malaysia.Tambahan pula, katanya, seorang demi seorang daripada mereka yang terlibat dalam gerakan mematahkan pemberontakan komunis atau yang melalui pengalaman ngeri semasa komunis bermaharajalela, telah meninggal dunia."Mereka yang masih hidup boleh dirakamkan pengalaman mereka dengan kecanggihan teknologi yang ada masa kini. Rakaman ini boleh disimpan di muzium berkenaan sebagai satu catatan sejarah yang berharga dan boleh didengar dan dipertonton kepada pengunjung ke Muzium Darurat yang dicadangkan."Perang menentang komunis ini amat penting untuk diabadikan untuk memberi pengajaran akan bahaya musuh dalam selimut. Kisah peribadi mereka yang terlibat dalam peperangan ini adalah bahan sejarah penting yang perlu dicatat dan disimpan. Jika mereka sudah tiada, apa lagi yang boleh menjadi bukti kekejaman komunis," katanya.Omar berkata tidak banyak peruntukan wang diperlukan untuk membina Muzium Darurat ini, sedangkan manfaatnya amat besar untuk masa depan negara.
PERLU DIJADIKAN IKTIBAR
Menurut Omar, zaman Darurat yang banyak menyaksikan peristiwa berdarah amat penting dalam lipatan sejarah Malaysia.Ia juga perlu diabadikan supaya dapat menjadi iktibar dan pengajaran sepanjang masa kepada rakyat Malaysia khususnya generasi masa depan.Negara, katanya, mengambil masa kira-kira 41 tahun (1948-1989) untuk memerangi dan menewaskan pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) di bawah pimpinan Chin Peng, setiausaha agung PKM.Pengganas komunis yang juga dikenali sebagai 'Bintang Tiga' mengganas dan bermaharalela selama dua minggu selepas Jepun tewas dan sebelum Inggeris mengambil alih pemerintahan negara ini pada September 1945.Ini kemudian disusuli pengisytiharan darurat pada 16 Jun 1948 yang berlarutan sehingga 1960. Kerajaan British mengisytiharkan Darurat selepas tiga pengurus ladang dibunuh komunis di Sungei Siput, Perak. Dalam tempoh yang panjang memerangi komunis, jelasnya, negara kerugian ratusan juta ringgit."Kerajaan menanggung kos perang antara RM130 juta hingga RM150 juta setahun. Saya masih ingat semasa bersekolah di Penang Free School, kami diberitahu guru sejarah bahawa kerajaan menanggung kos RM1 juta sehari untuk memerangi komunis. Itu baru kos yang ditanggung kerajaan negara ini tidak termasuk pasukan tentera Inggeris dan Komanwel," kata Omar.Rakyat Malaysia juga, tambahnya, wajar berbangga dengan kejayaan kerajaan dan rakyat negara ini yang berjaya mematahkan pemberontakan komunis."Inilah kali pertama dalam sejarah sebuah negara bebas berjaya mengalahkan pihak komunis. Rakyat negara ini bukan sahaja harus berbangga tetapi juga tidak boleh melupakan atau mensia-siakan pengorbanan mereka yang telah mempertaruh nyawa untuk menghancurkan cubaan komunis daripada berkuasa di negara ini."Rakyat juga perlu sedar bahawa bahaya seperti ini ada setiap masa, lebih-lebih lagi apabila kita mula alpa atau memandang ringan soal keselamatan negara," jelas Omar.Justeru, menurut Omar, PSM menyokong penuh keputusan kerajaan tidak membenarkan Chin Peng, pulang dan tinggal di negara ini.Tambahnya, membawa balik Chin Peng bermakna memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada pemimpin komunis itu serta perjuangannya.
PENGGANAS DAN PETUALANG
Sambil menyuarakan rasa kecewanya kerana isu Chin Peng dibenar ditimbulkan semula, Omar berkata PSM telah membuat pendirian yang tegas mengenai isu Chin Peng yang mahu kembali ke negara ini sejak dibangkitkan pada 2003.Beliau berpendapat ada dua faktor mengapa isu Chin Peng ini dibangkitkan semula, iaitu, satu, kerana generasi baru yang mendapat layanan hasil dasar keterbukaan kerajaan cuba mencari cerita alternatif dan kedua, kepentingan politik sesetengah pihak yang sengaja mahu 'menangguk di air keruh.'"Ini juga adalah kerana kejahilan tentang sejarah tanah air dan mereka tidak melalui pengalaman pahit-maung serta penderitaan akibat kekejaman komunis."Itu sebabnya mengapa mereka tidak mempunyai sebarang perasaan negatif terhadap PKM dan Chin Peng dan dengan itu menyokong tuntutan Chin Peng untuk kembali ke negara ini. Hanya mereka yang melalui pahit dan duka kesengsaraan hidup semasa komunis bermaharajalela dapat merasa dan memahami sejarah yang sebenarnya," kata Omar.Bagi Omar, Chin Peng tidak harus balik ke Malaysia. Dia juga tidak harus dibenar menjejakkan kakinya di negara ini. Sekiranya Chin Peng kembali ke negara ini, dia sepatutnya dibicarakan sebagai penjenayah perang.PKM yang dipimpin Chin Peng, pengganas dan petualang negara, telah mencetuskan banyak angkara, keganasan dan kezaliman, katanya.Antaranya selepas Jepun menyerah kalah pada akhir Ogos 1945 dan sebelum tentera British kembali ke Tanah Melayu pada September tahun yang sama, PKM menculik ramai orang Melayu dan yang lain yang disyakki PKM sebagai 'tali barut' pihak Jepun. Mereka itu, katanya, diseksa dan dibunuh.Pengganas komunis PKM juga, katanya, membunuh pengusaha ladang getah serta merosakkan harta awam di mana keganasan serta huru-hara yang dicetuskan pengganas komunis menyebabkan kerajaan terpaksa mengisytiharkan Darurat yang berpanjangan selama 12 tahun (1948-1960).Ramai rakyat yang tinggal di kawasan terpencil dipindahkan ke kawasan baru yang dikenali sebagai 'kampung baru' yang dikawal ketat tentera dan polis.Omar berkata di dalam perang selama 12 tahun itu, Chin Peng mengepalai tentera gerilanya seramai 8,000 orang lelaki dan perempuan melawan hampir 25,000 orang askar Melayu, British dan Komanwel.Angka itu, katanya tidak termasuk lebih 50,000 polis, konstabel khas yang kebanyakannya kaum Melayu, dan pasukan pengawal kampung dikenali sebagai 'Home Guard'."Selepas Darurat (peringkat pertama) tamat pada 1970, ditafsirkan 6,700 pengganas komunis berjaya dibunuh, sementara di pihak kerajaan pula, 1,865 orang anggota keselamatan terkorban dan lebih kurang 3,000 orang awam maut."Ini adalah angka rasmi, mungkin ada angka lebih besar yang kita tidak tahu. Bagaimanapun, pengorbanan mereka yang terbunuh ini tidak boleh dilupakan dan disia-siakan," katanya.PUTAR BELIT SEJARAHOmar turut mengulas tindakan Chin Peng menghasilkan memoir yang mendakwa bahawa pemberontak komunis Malaya adalah pejuang nasionalis radikal yang menentang imperialis dan penjajahan British."Ini satu pembohongan besar. Dia cuba memutar-belitkan sejarah Darurat untuk menutup keganasan, kekejaman serta dosa yang telah mereka lakukan."Sejak 1930, PKM merancang untuk mendirikan sebuah Republik Komunis di Tanah Melayu dengan bantuan luar. Republik Komunis bererti tidak ada Kesultanan Melayu dan juga hak keistimewaan untuk orang Melayu. Yang paling utama, komunis adalah anti-Islam," katanya.Pembohongan yang dilaungkan komunis, katanya masih dapat ditangkis pada zaman ini kerana masih ada mangsa Darurat yang hidup meskipun mereka sudah tua tetapi masih mengingati kenangan pahit semasa pemberontakan komunis."Apabila mereka ini sudah tiada, cerita sebenar pembohongan tersebut mungkin akan menjadi kabur dan lama kelamaan ditakuti lenyap. Akhirnya generasi baru akan menerima pakai kisah pembohongan itu sebagai kenyataan benar."Sekarang pun sudah nampak persepsi tentang penjahat komunis dan sejarah Darurat berubah sedikit demi sedikit lantaran dipisahkan oleh kejauhan masa dan peristiwa."Ini akan menjadi lebih ketara di kalangan generasi muda yang tidak merasai keperitan zaman Darurat serta bahaya ancaman komunis selain daripada membaca kisah ini yang dibicarakan secara umum di dalam buku teks sekolah," katanya.Menurut beliau, PKM gagal di negara ini kerana tidak mendapat sokongan padu orang Melayu yang beragama Islam yang melihat komunis sebagai anti-Islam dan gejala asing."Jika komunis mendapat sokongan orang Melayu, sudah tentu sejarah negara ini akan berubah," katanya.
BUKAN NASIONALIS
Menurut Omar, Chin Peng dan konco-konconya juga bukan nasionalis tetapi penderhaka kerana mereka mengangkat senjata menentang kerajaan yang dipilih rakyat. Jika mereka nasionalis, jelasnya, mereka seharusnya menerima pengampunan tanpa syarat yang ditawarkan di Rundingan Baling pada 1955."Chin Peng menolak mentah-mentah meskipun dia tahu Malaya berada di ambang kemerdekaan dan seharusnya mengakui hakikat perjuangan komunisnya adalah sia-sia," sambung Omar.Beliau turut merujuk kepada Perjanjian Damai Haadyai yang ditanda tangani pada 2 Dis 1989 di antara PKM, kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand, yang menamatkan perjuangan bersenjata komunis."Perjanjian tesebut adalah penyelesaian bijak. Komunis secara terang-terangan telah tewas tetapi mereka tidak dihukum seperti yang lazimnya dilakukan ke atas pihak yang kalah perang."Rakyat Malaysia tidak menuntut bela atau memburunya seperti yang berlaku ke atas pemimpin-pemimpin Nazi, Jepun dan Khmer Rouge yang diheret ke Tribunal sebagai penjenayah perang."Chin Peng serta pemimpin lain PKM sebaliknya dibenar tinggal di wilayah Thai bersempadan dengan Malaysia. Perjanjian Haadyai 1989 adalah anugerah konsesi yang amat besar dan PKM seharusnya berterima kasih. Meminta lebih daripada itu sudah keterlaluan dan tidak mengenang budi," tegas Omar.Menurut beliau lagi, meskipun PKM menandatangani Perjanjian Damai Haadyai dan sanggup meletak senjata tetapi mereka sebenarnya tidak menyerah kalah."Jauh sekali menggugurkan hasrat bulat mereka untuk bangkit semula mengangkat senjata, bagi berjuang menegak ideologi dan cita-cita politik mereka yang belum selesai," tambahnya.
BAHAYA MASIH ADA
Sehubungan itu, Omar mengingatkan bahawa bahaya komunis tetap ada walaupun perjuangan mereka telah berjaya dipatahkan."Komunis tidak akan hapus. Macam di bendang, ada pelbagai jenis ikan (haruan, keli) dan belut. Bila tak ada air, ikan-ikan ini akan menanam diri mereka di dalam lumpur. Bila ada air, ikan-ikan itu akan keluar semula."Kita sudah buat kajian kisah komunis di seluruh dunia. Begitulah yang mereka lakukan. Secara halus, mereka ini akan menyusup masuk dalam mana-mana persatuan, persatuan kebudayaan, persatuan muzik. Bila mereka sudah kuat mereka akan ambil alih persatuan tersebut dan mengembangkan sayapnya."Saya pasti ada usaha untuk menghidupkan kembali ideologi komunisme kerana ideologi ini tidak akan dibenarkan mati," jelasnya.Beliau turut merujuk kepada kebangkitan pengaruh pemerintahan sosialisme, satu cabang komunisme, di Amerika Selatan.Menurut Omar juga, sekali seorang itu Marxist-Komunis selama-lamanya dia Marxist-Komunis.Sejarah juga, katanya, membuktikan pihak komunis yang 'mati' dapat bangkit dan menceroboh semula apabila ada kesempatan, kelemahan dan kealpaan dalam negara."Jangan biarkan pisang berbuah dua kali. Saya memohon supaya satu kata pemutus tegas diambil berhubung isu Chin Peng ini. Ia perlu dianggap sebagai 'cerita yang sudah ditutup' dengan satu noktah besar."Kita mesti bergerak ke depan. Kita perlu fokus kepada menangani pelbagai masalah yang ada untuk membangunkan negara ini dan kita tidak mampu untuk terus-terusan bercerita tentang kedurjanaan komunis," tegas Omar.-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment