About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Tuesday, June 2, 2009

Khidmat pesawat MIG-29N akan ditamatkan - Zahid

Sumber: Utusan online

BAGAN DATOH 1 Jun - Pesawat MIG-29N milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan digantikan dengan pesawat pemintas yang lain bagi memperkuatkan pasukan itu, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Perkara ini telah dibincangkan dengan Panglima TUDM, Jen. Tan Sri Azizan Ariffin dan pesawat ini akan digantikan dalam masa terdekat, katanya.

"Pesawat MIG ini akan dilupuskan dengan menjual kepada syarikat-syarikat tertentu atau ke negara-negara yang dibenarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Mulai bulan depan, saya telah mengambil keputusan supaya Skuadron MIG dapat digantikan dengan pesawat udara yang lain dan mencari jalan agar MIG ini dapat dilupuskan," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa ribut di kawasan Rungkup di sini hari ini.

Mengenai pesawat Sukhoi yang baru diterima, beliau berkata, kesiapsiagaan pesawat yang ditempatkan di Gong Kedak, Kelantan itu telah terbukti.

Beliau berkata, kumpulan juruterbang pesawat itu telah mendapat latihan yang secukupnya melalui latihan simulator dan latihan-latihan yang dijalankan setiap masa.

Sementara itu, mengenai konsep 1Malaysia dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), beliau berkata, pihaknya telah menjalankan kempen 1Malaysia 1Angkatan melalui konsep pertahanan menyeluruh dengan mengajak pelbagai kaum menyertai Askar Wataniah.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, kerajaan Persekutuan bersetuju menyalurkan bantuan kepada mangsa ribut di kawasan Parlimen Bagan Datoh menerusi pembabitan pegawai dan anggota tentera dari Markas 2 Divisyen.

Beliau berkata, kerja-kerja akan dikendalikan Kor Jurutera dan Infantri yang akan melaksanakan kerja baik pulih dan membina semula rumah yang rosak teruk dilanda ribut awal pagi Sabtu lalu. - BERNAMA

No comments:

Tinggalkan pesanan anda di sini